@kosmoonline
DAHULU Kyaw Thu, 51, seorang bintang filem terkenal di negara yang diperintah junta tentera, Myanmar. Kini, dia kerap dilihat mengusung keranda atau memandu kereta mayat pada majlis pengebumian orang miskin.
Selepas sedekad Kyaw Thu mengasaskan Persatuan Perkhidmatan Pengebumian Percuma, organisasi itu telah membantu lebih 100,000 buah keluarga yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada si mati tanpa bayaran waima kyat1 (RM0.47).
Persatuan tersebut merupakan salah satu daripada banyak kumpulan awam tempatan yang berkembang di negara yang berada di bawah pemerintahan tentera selama hampir separuh abad. Kehadirannya dapat menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh sektor awam kerana sering berdepan masalah kewangan dan aliran masuk bantuan asing yang sangat rendah. Menurut perangkaan Bank Dunia, Myanmar kekal sebagai salah satu negara tidak membangun walaupun memiliki banyak sumber-sumber alam yang tidak diteroka dengan hampir satu pertiga rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan. Kadar inflasi yang teruk turut menyebabkan penduduk negara pemerintah tentera itu semakin melarat.
Ritual pengebumian
PERBELANJAAN untuk majlis pengebumian di Myanmar menelan kos yang tinggi.
Pyae Phyo Tun, 12, seorang kanak-kanak yang mati lemas ketika sedang berenang di tasik berdekatan rumahnya. Ibu bapanya terpaksa merayu bantuan daripada Kyaw Thu kerana tidak mampu menanggung kos pengebumian anak lelakinya. "Kamu (Kyaw Thu) adalah penyelamat kami. Tanpa pertolongan anda, perjalanan terakhir anak lelaki kami tidak akan lancar," kata Aye Maw, 33, kepada pelakon filem itu pada hari pengebumian anak lelakinya di Yangon.
Di negara yang turut dikenali sebagai Burma itu, majoriti penganut Buddha percaya perjalanan ke kehidupan seterusnya perlu berjalan lancar tanpa ada penangguhan. Sebab itulah, upacara pengebumian adalah sesuatu yang sangat tradisi bagi penduduknya. Sudah menjadi kebiasaan, saudara-mara si mati akan membina sebuah astaka yang mampu bertahan selama seminggu di hadapan rumah untuk orang ramai berkumpul.
Selalunya, pada hari ketiga kematian, orang yang berkabung akan pergi ke tanah perkuburan manakala para sami akan membaca mantera sebelum mayat dibakar. Bagi yang berkemampuan, mereka akan membeli sebidang tanah di kawasan perkuburan bagi tujuan itu. Selepas beberapa hari, sebuah upacara memperingati si mati akan diadakan dengan menjemput orang ramai untuk berkabung manakala sami pula akan bersembahyang bagi memudahkan perjalanan roh ke dunia seterusnya. Bagi kebanyakan keluarga, agak sukar untuk mereka mengadakan sebuah majlis yang besar seperti itu. Pada masa itulah masa yang sangat sibuk bagi Kyaw Thu.
PERSATUAN Perkhidmatan Pengebumian Percuma telah menguruskan lebih 100,000 majlis seumpamanya untuk mereka yang kurang berkemampuan.
"Saya berasa gembira dan pada masa yang sama sedih. Anak saya tidak menyebabkan sebarang masalah walaupun dia kini sudah meninggal dunia. "Kami berdepan pelbagai kesukaran pada peringkat awal bagi mengurus pengebumian tetapi Persatuan Perkhidmatan Pengebumian Percuma membantu kami menyempurnakan mayatnya tanpa bayaran," kata Aye Maw dengan suara yang bergetar dan air mata yang bercucuran membasahi pipi.
Suaminya Zaw Tun, 34, bekerja sebagai buruh binaan berkata, mustahil untuk mereka membayar sendiri kos upacara pengebumian anak lelakinya.
Bagi upacara pengebumian sahaja boleh menelan kos lebih kyat35,000 (RM129.20) iaitu 10 kali ganda pendapatan seharinya. Persoalannya, bolehkah dia bekerja dalam waktu singkat bagi mengumpul duit sebanyak itu? "Saya terpaksa meminjam sebanyak kyat45,000 (RM166.70) pada kadar faedah 15 peratus ketika memerlukan wang bagi menghantar anak ke hospital dan mengaji sebuah bot untuk pengebumian. "Jiran-jiran tidak dapat membantu kerana mereka juga bekerja sebagai buruh kasar seperti saya," kata Zaw Tun dalam nada hiba selepas pulang dari tanah perkuburan.
Diperhatikan
"Saya tidak berminat dalam politik. Tetapi orang ramai berharap dan menaruh kepercayaan kepada kami disebabkan oleh aktiviti yang kami lakukan, " kata Kyaw Thu yang mengakui dia dan kumpulannya diperhatikan oleh pemerintah. Dia meninggalkan dunia lakonan kerana telah disenarai hitam selepas dibebaskan dari tahanan. "Kehidupan saya kini sangat sunyi berbanding ketika menjadi pelakon dahulu. Tetapi jika saya letakkan diri sebagai Kyaw Thu, seorang pekerja sosial, sekarang saya mempunyai lebih ramai kawan. Bukan sahaja orang yang masih hidup tetapi juga hantu," katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment