Monday, July 18, 2011

BABY HATCH - NEW IN MALAYSIA

Jangan bunuh bayi anda!



BARU dua minggu bekerja di pusat perlindungan bayi, OrphanCare, Petaling Jaya, Selangor, Mariam tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi siren yang panjang pada suatu petang.
Meskipun wanita berusia 30-an itu sudah dimaklumkan tentang maksud bunyi tersebut, ia tetap mencemaskannya lantaran itulah pengalaman pertamanya menghadapi situasi sedemikian.
Dengan hati yang berdebar, dia menuruni anak tangga satu persatu. Semakin dekat, debaran dadanya semakin pantas. Sejurus sampai di ruang baby hatch (pelindung bayi) di hadapan premis tersebut, ditemukannya seorang bayi yang sedang menangis.
“Saya sangat terkejut apabila melihat bayi itu. Dia masih dalam keadaan berdarah dan tali pusatnya sudah dipotong tapi tidak berikat.
“Lantas saya ambil dan mandikan bayi itu. Pakaikan pakaian yang elok. Ketika ditinggalkan, dia hanya dibalut dengan sehelai kain,” ujar mariam yang kini sudah 10 bulan menjadi penjaga.
Menurutnya, bayi perempuan itu baru sahaja dilahirkan berdasarkan pada sekeping nota yang turut tertulis tarikh lahir dan agama bayi tersebut.
Walaupun bayi itu ditinggalkan begitu sahaja oleh si ibu yang melahirkannya, namun atas sebab yang agak jelas, bayi itu tidak mahu dijagainya. Atas saki-baki belas daripada si ibu itu, bayi itu dilepaskan pada keluarga angkat yang tahu menyayanginya.
Sentiasa bersedia 24 jam sehari kecuali hari cuti, tugas Mariam kadangkala dibantu oleh para sukarelawan yang datang bagi meringankan bebannya di OrphanCare.
“Bayi di sini akan dimandi dan ditukarkan persalinan baju yang baru. Kami menjaga mereka seperti anak sendiri sementara menunggu kehadiran ibu bapa angkat,” kata Mariam.
Ketika ditemui, Mariam sedang menguruskan dua orang bayi lelaki dan perempuan yang baru tiga hari diserahkan kepada OrphanCare.
Selalunya, bayi-bayi akan berada di pusat tersebut antara dua hingga tiga hari sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.

Sembunyi identiti


Pelindung bayi adalah salah satu kemudahan terbaharu yang disediakan di OrphanCare bagi membantu mereka yang menyerahkan bayi tanpa mahu mendedahkan identiti mereka.
Mengikut kaji selidik yang dilakukan oleh pusat tersebut, rata-rata yang datang menyerahkan bayi mereka disebabkan sama ada malu atau masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab menjaga anak.
Ia adalah alternatif kepada mereka yang sudah terlanjur tetapi mahu anak mereka selamat dalam pangkuan pihak yang lebih menyayangi tanpa perlu mendedahkan identiti sendiri.
Paling utama, OrphanCare mahu mengelakkan manusia menjadi lebih kejam dengan membunuh atau membuang bayi mereka lantaran hilang pertimbangan pada waktu ‘cemas’ itu.
Menurut Ketua Jawatankuasa Anak Angkat OrphanCare, Nor Aishah Osman, 49, sejak perkhidmatan pelindung bayi disediakan pada 29 Mei 2010 lalu, hanya tiga bayi yang ditinggalkan di situ.
Walaupun angka itu tidak begitu besar namun, ia wajar dipuji kerana sekurang-kurangnya tiga nyawa tidak berdosa dapat diselamatkan daripada mungkin menjadi gonggongan anjing.
“Sejak OrphanCare ditubuhkan pada tahun 2008, seramai 36 bayi telah diserahkan sendiri oleh ibu bapa mereka tanpa menggunakan perkhidmatan pelindung bayi.
“Kesemua bayi itu telahpun dipasang-pasang dengan keluarga angkat mereka,” ujar Aishah ketika ditemui di Kampung Tunku, Petaling Jaya baru-baru ini.
Di Barat, pelindung bayi sudah pun diterima umum dan idea tersebut menjadi inspirasi kepada bekas Pengerusi OrphanCare, Allahyarham Datuk Adnan Mohd. Tahir bagi merealisasikan perkhidmatan yang sama di Malaysia.
Setiap perincian idea adalah 100 peratus mengikut kehendak Allahyarham yang begitu prihatin terhadap keselamatan, keselesaan dan kebajikan bayi tersebut.
Eksekutif Pengurusan pusat tersebut, Zulkifli Mohd. Aris berkata, sebaik sahaja bayi diletakkan dalam baby hatch, beratnya akan menghidupkan seluruh sistem secara automatik.


“Lampu dan pendingin hawa akan terpasang bagi memberi pengudaraan kepada bayi. Dalam masa yang sama lampu dan siren kecemasan dalam bilik penjaga akan berfungsi.
Sementara itu, petugas OrphanCare boleh melihat melalui kamera litar tertutup untuk mengesahkan terdapat bayi atau tidak. Imej kamera hanya dari arah dalam pelindung bayi bukan luar,” ulas Zulkifli megenai kerahsiaan identiti pihak yang menyerahkan bayi tersebut.
Sebaik sahaja pintu pelindung bayi ditutup, ia akan terkunci bagi menjamin keselamatan bayi tersebut.
“Jadi, jika ada individu yang berubah fikiran untuk mengambil semula bayi itu, mereka perlu menunggu kami keluar dahulu,” tambah Zulkifli.

Tiada warganegara

Mengulas mengenai status bayi yang ditinggalkan di dalam pelindung bayi, Aishah berkata, bayi-bayi tersebut dikategori sebagai tiada warganegara.
“Ia berlaku kerana tidak ada dokumen yang sah seperti salinan sijil kelahiran bayi dan kad pengenalan ibu yang memberitahu bayi tersebut adalah rakyat Malaysia.
“Bayi itu juga perlu dilapor kepada pihak polis selain perlu dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan,” jelas Aishah.
Tambahnya, sijil kelahiran bayi itu nanti tidak akan dicatat nama ibu bapa angkat sehingga tempoh dua tahun.
Berbeza dengan bayi yang diserah secara sukarela kepada OrphanCare, ia boleh diserahkan terus kepada keluarga angkat selepas beberapa dokumen ditandatangani.

Padanan keluarga


Kata Aishah, OrphanCare yang bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sejak tahun 2009 itu mempunyai satu sistem bagi memadankan bayi-bayi dengan keluarga angkat.
“Lebih 800 pasangan yang berdaftar untuk mendapatkan anak angkat dan baru 100 pasangan telah ditemu bual. Dari senarai itu, kami menapis beberapa kriteria.
“Antaranya adalah usia perkahwinan pasangan dan tempoh tidak memiliki anak serta tahap kemampuan mereka membesarkan anak itu nanti.
“Dengan senarai yang ada, kami hanya perlu mengikut turutan susunan setiap kali ada bayi yang mendapatkan perlindungan di sini,” ujarnya.
Sesuai dengan matlamat dan slogan OrphanCare, sudah menjadi harapan kepada pusat tersebut supaya setiap kanak-kanak yang tersisih mendapat kasih sayang daripada sebuah keluarga.
“Kami berpendapat anak-anak perlu hidup sebagai sebuah keluarga yang lengkap dan percaya mereka yang dibesarkan dalam persekitaran begitu pasti berbeza dengan kehidupan sebatang kara.
“Pendidikan mereka juga insya-Allah akan terjamin sehingga ke peringkat yang lebih tinggi tambahan pula zaman sekarang memerlukan lebih daripada sekadar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ulas Aishah ketika ditebak persoalan tentang mengapa tidak menubuhkan sebuah rumah anak yatim.
Selain itu, katanya, semua ahli jawatankuasa OrphanCare berpendapat perasaan disayangi dan dimiliki lebih terasa jika anak-anak itu berkeluarga.

No comments: