PAGI itu Nor Izhan Zainudin bangun lebih awal berbanding hari biasa. Entah mengapa, malam tadi dia tidak nyenyak tidur. Hatinya seakan-akan tidak sabar menunggu ketibaan hari Sabtu itu.
Pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1) itu melihat sebuah beg besar yang diletakkan berhampiran bucu katil.
Di dalamnya sarat dengan barangan keperluan hariannya seperti berus gigi, sabun, selimut, tuala, kasut dan pakaian.
Seingatnya, itu saja senarai barangan yang perlu dibawa oleh peserta-peserta program bermalam di Muzium Alam Semula jadi, Putrajaya itu, seperti terkandung dalam surat jemputan yang diterimanya beberapa hari lalu.
Nor Izhan bingkas bangun dan menyiapkan diri, dia tidak mahu terlewat untuk sesi pendaftaran.
Sepanjang perjalanan ke muzium, dia sudah membayangkan keseronokkan yang bakal dialaminya nanti. Bukan dia tidak pernah berkunjung ke muzium bersama keluarganya sebelum ini, namun pengalaman bermalam di muzium pastinya menarik dan berbeza.
Lagi pun, ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke muzium yang berkonsepkan hidupan fauna di Malaysia. Selama ini, dia hanya mendengar kisah daripada rakan-rakan sekolahnya yang pernah berkunjung ke situ.
Sebaik tiba dia melihat ramai peserta yang sedang mendaftar. Terdapat seramai 59 peserta terdiri daripada pelajar-pelajar daripada beberapa sekolah rendah dan menengah di sekitar Selangor dan Putrajaya turut menyertai program itu.
“Selamat berkenalan, nama saya Nor Izhan, saya berumur 11 tahun,” sapanya kepada seorang peserta ketika kesemua mereka berkumpul untuk sesi lawatan.
Matanya melihat satu-persatu spesies haiwan yang dipamerkan di situ. Ada harimau, beruang matahari, badak Sumatera, gajah, kambing gurun, memerang, lemur, monyet dan Orang Utan.
Menariknya, biarpun ia hanyalah replika haiwan yang telah diawet, namun kesemuanya kelihatan hidup apatah lagi, ditempatkan dalam suasana latar belakang serta landskap sebenar.
“Wah! besarnya rangka ini, haiwan apa ini kakak?” soalnya kepada Norzela Suleiman, Kurator Zoologi Muzium Alam Semula jadi ketika melihat satu rangka besar di bahagian pintu masuk muzium itu.
“Itu rangka tulang ikan paus Bryde atau nama saintifiknya Balaenoptera edeni. Ia ditemui terdampar di Tanjung Aru, Labuan, Sabah pada Februari 2005.
“Saiznya kecil berbanding paus lain dengan berat tidak melebihi 25 tan. la gemar mendiami kawasan perairan bersuhu tropika berbanding lautan kutub yang sering didiami paus spesies lain,” balas Norzela.
Nor Izhan mengangguk-anggukan kepala, begitu juga rakan-rakannya. Baginya, segmen pameran muzium itu sangat informatif, selain gambar, ia turut mempunyai keterangan dan fakta-fakta menarik menerangkan anatomi, sifat dan perilaku kesemua haiwan terbabit.
Aktiviti malam
Aktiviti yang dilakukan tidak terhad setakat itu sahaja, kesemua peserta turut diajar kaedah membuat penanda buku menggunakan daun.
Aktiviti sebelah malam lebih mengujakan. Kesemua peserta dibawa ke taman berhampiran untuk aktiviti menangkap serangga menggunakan kaedah light trap.
“Kaedah ini digunakan oleh penyelidik untuk menangkap serangga pada waktu malam. Ini kerana sifat serangga yang sukakan cahaya.
“Tugas kamu adalah mengumpulkan kesemua serangga ini dan memasukkannya ke dalam botol. Aktiviti yang sama juga akan diadakan esok, tetapi kita akan menggunakan kaedah tangguk. Selepas itu, barulah kita akan belajar teknik mengawet pula,” terang Norzela.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Datuk Ibrahim Ismail berkata, program bermalam di muzium itu bertujuan mendedahkan kanak-kanak khususnya golongan pelajar mengenai khazanah alam semula jadi di Malaysia.
Katanya, peserta bukan sahaja berpeluang melihat pelbagai spesies haiwan yang dipamerkan malah, berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik yang diaturkan.
“Kita mahu mendekatkan golongan ini dengan muzium pada usia yang masih muda. Secara tidak langsung ia dapat menyemai sifat sayang dan cintakan khazanah negara termasuk alam semula jadi.
“Selepas ini, apabila mereka pulang ke rumah mereka dapat bercerita pengalaman yang dilalui. Misalnya aktiviti menangkap dan mengawet serangga. Bukan semua orang berpeluang dapat merasai pengalaman sedemikian,” jelasnya.
Tambah Ibrahim, penubuhan Muzium Alam Semula jadi sejak setahun lalu bertujuan mengumpul, mendokumentasi dan mempamer khazanah alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan, batuan, mineral dan fosil yang terdapat di negara ini.
Katanya, berbeza dengan zoo yang mempamerkan haiwan sebenar, fungsi muzium itu ialah sebagai tempat penyimpanan ratusan spesimen haiwan yang diawet khususnya spesies terancam dan sukar ditemui.
Pada masa yang sama, kewujudannya juga menjadi tarikan kepada pengunjung ke Putrajaya. Malah, ia juga menjadi tempat rujukan dalam kalangan penyelidik,” ujarnya.
Pengalaman berbaloi
Bagi Zulfahmi Izuddin Zamal, 14, biarpun program itu agak singkat, namun dia berpuas hati dengan pelbagai aktiviti yang diatur.
“Saya seronok kerana dapat mengenali pelbagai spesies fauna yang dipamerkan.
“Pengalaman yang dilalui berbeza daripada apa yang diperoleh melalui pembacaan atau di televisyen kerana kita berpeluang melihatnya dengan lebih dekat,” katanya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14 (1) itu memberitahu, antara pengalaman yang sukar dilupakan ialah sesi menangkap dan mengawet serangga.
“Sepanjang malam kami mencari pelbagai jenis serangga yang hidup di atas tanah, pokok, daun dan sebagainya. Daripada situ kami berpeluang mengenali spesies dan habitat haiwan ini.
“Nampak macam mudah namun, setiap proses pengawetan perlu dilakukan dengan teliti bagi memastikan haiwan tidak rosak dan tahan lama,” katanya.
Seorang rakannya dari sekolah yang sama, T. Tarence berkata, biarpun terpaksa mengenepikan sementara keselesaan berada di rumah, namun dia berpuas hati kunjungan itu agak berbaloi.
Remaja berusia 14 tahun itu memberitahu, sepanjang program itu dia banyak mempelajari mengenai sifat-sifat haiwan seperti mamalia, reptilia, burung dan serangga.
“Menariknya, ada spesimen haiwan yang dipamerkan sukar diperoleh dan telah pupus,” katanya.
Tarence memberitahu, program yang diadakan secara tidak langsung menarik minatnya untuk meneroka bidang sains pada masa hadapan.
“Pengalaman yang diperoleh di sini amat berharga dan sukar diperoleh di mana-mana walaupun di sekolah.
“Secara tidak langsung, ia juga dapat mendidik kami untuk menjaga khazanah alam semula jadi yang terdapat di negara ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment