Wednesday, May 25, 2011

SEKADAR NOTA .....DUA ALAM........

Terperangkap dalam tubuh lelaki

TERPERANGKAP dalam tubuh yang salah - setidak-tidaknya itulah tanggapan golongan 'mak nyah' yang rata-rata percaya mereka adalah wanita tetapi terperangkap dalam tubuh lelaki.
Keadaan ini menjerumuskan golongan ini dalam dilema untuk meletakkan kedudukan diri mereka dalam masyarakat kerana secara fizikal mereka lahir sebagai lelaki tetapi memiliki keinginan, nafsu dan naluri wanita.
Kegagalan menempatkan diri dalam masyarakat membuatkan golongan ini berasa terasing atau mengasingkan diri lalu membentuk kelompok sendiri
Lebih malang apabila golongan ini rata-ratanya terbabit dalam kegiatan tidak bermoral seperti pelacuran dan sebagainya sehingga melekat sebagai stigma yang sukar untuk dikikis dalam masyarakat.
Malah, ada sesetengah golongan ini bertindak keterlaluan apabila mengambil keputusan untuk menukar jantina dengan melakukan pembedahan.
Sudahlah berperwatakan menyerupai wanita hukumnya haram dan dikutuk oleh agama, inikan pula mengubah kejadian Allah tanpa ada sebarang alasan yang dibenarkan oleh Islam.
Berpeluang mendekati golongan ini baru-baru ini ternyata mereka mempunyai cara kehidupan tersendiri selain mempunyai kerjaya tetap untuk meneruskan kehidupan.
Yang pasti, walaupun selesa dengan cara masing-masing, mereka sebenarnya perlu dibantu untuk keluar daripada kepompong seterusnya menjalani kehidupan seperti insan-insan lain di dunia ini iaitu sebagai seorang lelaki sejati.
Apa yang menarik hendak dipaparkan kali ini ialah dilema mereka sebagai seorang mak nyah dan apakah faktor yang menyebabkan mereka menjadi demikian.
Tidak pernah terfikir apatah lagi merancang untuk melakukan pembedahan menukar jantina, tetapi segala-galanya berlaku dengan tiba-tiba.
Itulah yang terjadi kepada Amy (bukan nama sebenar) di mana dia tidak pernah menyangka satu hari nanti dia bukan sahaja merupakan seorang mak nyah yang berperwatakan seperti seorang wanita tetapi turut mempunyai alat kelamin perempuan.
Malah, katanya, walaupun (alat kelamin) tidak boleh berfungsi sepenuhnya seperti mengandung dan melahirkan anak, dia tidak menyesal dengan apa yang telah berlaku malah amat berbangga dengan keadaan dirinya hari ini.
"Pembedahan pertukaran jantina telah dilakukan 15 tahun lalu dan ketika itu saya berumur sekitar awal 30-an.
"Secara jujur saya nyatakan bahawa saya tidak pernah merancang apatah lagi terfikir untuk menukar jantina waktu itu.
"Tetapi segala-galanya berlaku dalam sekelip mata di mana satu hari tiba-tiba sahaja terlintas di fikiran 'saya nak mati sebagai seorang perempuan' dan tidak sampai seminggu segala-galanya berubah,'' ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai pembedahan yang dilakukan, Amy menerangkan bahawa ia hanya mengambil masa beberapa jam dan tidak sakit seperti yang diuar-uarkan.
Ini kerana, katanya, keesokan hari dia sudah disuruh berjalan oleh doktor dan hari keempat selepas pembedahan dia dibenarkan pulang.
Dia hanya kelihatan pucat dan letih mungkin disebabkan kehilangan banyak darah ketika melakukan pembedahan.
Beberapa bulan selepas pembedahan dilakukan, Amy turut memberitahu bahawa dia juga tidak mengalami sebarang jangkitan kuman di kawasan pembedahan dan sembuh seperti orang lain yang menjalani apa jua pembedahan.
"Di sini saya hendak memberitahu bahawa mereka (mak nyah) yang melakukan pembedahan dan memberitahu bahawa ia sakit macam nak mati adalah bohong semata-mata.
"Saya rasa orang itu tak buat pembedahan sebab saya tidak pula mengalami sakit sedemikian. Malah saya dibenarkan pulang selepas empat hari tinggal di hospital,'' katanya lagi.
Mengimbas kembali detik-detik awal dirinya terpesong menjadi mak nyah, Amy memberitahu segala-galanya bermula sewaktu di alam kanak-kanak.
Menegaskan bahawa dia tidak dipengaruhi oleh adik beradik perempuannya yang lain mahupun keadaan sekeliling, sebaliknya berpunca daripada diri sendiri.
Ini kerana dia memang suka bergaya dan ingin kelihatan cantik seperti seorang wanita termasuk bermain dengan permainan wanita seperti anak patung dan masak-masak.
Bagaimanapun, jelas Amy, pernah terdetik di hatinya sampai bilakah dia akan menjadi sedemikian.
Dia pernah mencuba untuk menjadi lelaki sejati tetapi tidak berjaya.
Ini kerana menurutnya, dia tidak boleh menipu diri sendiri selain hatinya memberontak.
Akhirnya, dia meneruskan kata hati sehinggalah membuat keputusan untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina.
Hari ini, Amy bukan sahaja merupakan seorang insan yang berjaya dengan kerjayanya malah dia juga gembira di samping keluarga tersayang.
Amy sememangnya merupakan seorang individu yang amat bertuah kerana walaupun di awal perubahan dirinya ia ditentang hebat oleh keluarga tetapi hari ini dia sudah boleh diterima malah dia juga sudah 'berkahwin'.

Sukar terima hakikat lahir sebagai lelaki

"SAYA mula mengambil pil hormon wanita selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Keputusan tersebut dibuat kerana mahu mengubah bentuk badan.
"Bagaimanapun buat masa sekarang saya tidak terfikir lagi untuk melakukan pembedahan menukar jantina,'' ujar Niza (bukan nama sebenar) ketika ditemui baru-baru ini.
Jika melihat daripada fizikalnya, ternyata Niza telah berjaya mengubahnya tetapi tidaklah secara pembedahan.
Katanya, dia hanya mengambil pil hormon untuk membentuk buah dada dan tidak untuk pembentukan punggungnya.
Begitupun, jangan pandang rendah padanya kerana selain merupakan seorang pelajar yang cemerlang, Niza juga mempunyai kerjaya tetap.
Apabila ditanya bagaimanakah dia boleh 'terbabas' hingga tekad tidak akan menoleh ke belakang lagi, ulas Niza, ibunya memang inginkan seorang anak perempuan dan sehingga saat dia dilahirkan, namanya juga menyerupai perempuan.
Bercerita lanjut mengenai perihalnya, Niza juga tidak menolak kemungkinan faktor genetik yang dakwa diwarisi daripada keluarga datuk dan neneknya.
Tetapi dia turut memberitahu keinginan dan kegemarannya memakai pakaian perempuan serta 'memenuhkan' mukanya dengan solekan sedikit sebanyak memainkan peranan penting kenapa dia ingin menjadi perempuan.
Hari ini, Niza amat bahagia dan gembira dengan apa yang dilakukan di samping dapat memenuhi kehendak nalurinya.
Berbual lanjut bersamanya, ternyata anak kelahiran selatan tanah air ini bijak berbicara termasuk hal-hal agama.
Ini secara tidak langsung membuatkan penulis terfikir, jika dia tahu segala hukum-hukum agama kenapa hatinya boleh dipesongkan menjadi sedemikian rupa.
Mungkin Tuhan mengujinya dan melihat sejauh mana Niza hendak mengikut kata hatinya.
Tetapi apa yang diperoleh daripada Niza, dia memberitahu satu ketika dahulu dia pernah mencuba untuk berubah tetapi segala usaha sia-sia kerana ia tidak dapat bertahan lama.
Ini kerana, selain hati memberontak, dia juga tidak dapat menerima hakikat bahawa dirinya dilahirkan sebagai seorang lelaki.
"Walaupun diri saya begini, saya tetap menjalankan kewajipan sebagai seorang muslim di mana saya tetap mengerjakan ibadat solat dengan cara seorang lelaki Islam yang bersolat.
"Saya ingin sekali mengerjakan solat Jumaat bersama jemaah lain tetapi disebabkan penampilan saya begini saya tidak berani tetapi masih melakukannya di rumah.
"Sama ada ia diterima oleh Allah atau tidak itu antara saya dengan-Nya. Jadi orang lain tidak perlu bersusah payah untuk memikirkannya,'' katanya tegas sebelum mengakhiri perbualan.
Ternyata, dalam kedua-dua kes ini, baik Amy mahupun Niza, mereka amat nekad dengan apa yang telah dilakukan.
Begitupun, apabila ditanya mengenai saat menemui ajal, Amy yang pada awalnya menyatakan ingin mati sebagai seorang perempuan menyerahkan segala-galanya kepada mereka yang hidup untuk menguruskan jenazahnya sama ada sebagai seorang lelaki atau perempuan.
Tetapi berlainan pula dengan Niza di mana ia tidak mahu memikirkan saat kematian kerana dia tidak pernah terfikir akan hal tersebut.

Menolak hukum Allah


KEHADIRAN golongan mak nyah dalam masyarakat adalah satu realiti yang tidak dapat disangkal.
Malahan hari ini, peratusan mereka semakin bertambah malah jangan terkejut sekiranya golongan itu itu turut mempunyai persatuan sendiri. Ia sebagai usaha menuntut hak sama rata di samping diberi ruang membuktikan kemampuan.
Bagi merealisasikan impian mereka untuk menjadi wanita, golongan itu sanggup bertindak melampaui batas dengan melakukan pembedahan pertukaran jantina semata-mata ingin memenuhi kehendak naluri masing-masing.
Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa mereka telah menolak hukum Allah yang terang-terangan menjadikan mereka seorang lelaki ketika dilahirkan ke dunia.
Dari sudut agama, penampilan golongan mak nyah itu jelas hukumnya haram sebagaimana berdasarkan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW.
Antaranya, daripada Ibnu Abbas r.a. Beliau berkata: "Bahawa Rasulullah SAW melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau meniru kaum wanita dan kaum wanita yang menyerupai dan meniru kaum lelaki (Hadis Riwayat Bukhari)."
Hal ini turut disokong oleh Juara Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan.
Katanya, dari sudut pandangan agama, isu hak manusia sepatutnya tidak wujud memandangkan hukum itu adalah ketetapan Tuhan dan bukannya ciptaan manusia.
Ini bermakna manusia tiada hak untuk melawan hukum tersebut. Tetapi diberi pilihan sama ada menuruti perintah Tuhan itu ataupun mengingkarinya (sebagai umar Islam kita wajib turuti perintah Allah).
"Dalam hal ini walaupun hukumnya haram tetapi bagi sesetengah kes ada yang dibolehkan dan contoh yang paling senang ialah khunsa.
"Khunsa merupakan individu yang mempunyai dua alat kelamin. Jadi, mereka berhak memilih untuk menjalani kehidupan berdasarkan kehendak yang menjurus sama ada lelaki ataupun perempuan tetapi seorang lelaki yang sengaja mengubah jantina sudah pasti hukumnya haram.
"Bagi golongan mak nyah, mereka sebenarnya mempunyai fizikal lelaki. Cuma jiwa dan naluri mereka sahaja yang cenderung ke arah perempuan. Bagaimanapun mereka tidak diberi hak untuk memilih mana-mana jantina yang mereka suka,'' ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah beliau, terdapat sebuah lagi hadis yang bermaksud: "Daripada Atha, daripada seorang lelaki dari Huzail telah berkata: "Aku berada di sisi Abdullah bin Amru Al-As dan dia telah melihat Ummu Said, anak perempuan Abu Jahal sedang meniru cara berjalan seperti seorang lelaki. Maka berkata Abdullah, "Siapa dia?" "Dia ialah Ummu Said, anak perempuan Abu Jahal," Maka berkata Abdullah: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bukan daripada golongan kami sesiapa dalam kalangan wanita yang menyerupai lelaki, begitulah juga lelaki yang menyerupai wanita." (Hadis Riwayat Ahmad).
Tegas Muhammad Asyraf, sebagai manusia dan sebagai khalifah di muka bumi ini umat Islam tidak disuruh mengikuti naluri. Tetapi hendaklah mengikuti iman dan takwa.
Oleh yang demikian, bagi golongan mak nyah mereka seharusnya mendorong diri untuk berlawan naluri yang bertentangan itu.
Mereka juga seharusnya membuat pilihan yang terbaik buat diri masing-masing.
Mengulas lanjut, Muhammad Asyraf berkata, mereka merupakan satu golongan yang paling kuat berpegang pada prinsip naluri di samping golongan yang dapat mempengaruhi orang disekeliling mereka.
"Percaya atau tidak, mereka ini merupakan golongan yang paling susah untuk ditegur kerana segala teguran yang diberikan hanyalah seperti 'mencurah air di daun keladi'.
"Mereka ini juga merupakan individu berpengaruh kerana mereka mampu mempengaruhi orang lain.
"Bagaimanapun Insya-Allah satu hari nanti mereka akan dibukakan pintu hati untuk bertaubat kerana bagi mereka yang telah melakukan pembedahan pertukaran jantina, sekiranya mereka meninggal dunia, mereka tetap akan dimandi, dikafan dan serta disolatkan sebagai seorang lelaki,'' katanya.


No comments: