Utusanonline
SEPANG 14 Jan. - Wanita Asia pertama berjaya merentasi Antartika secara solo, Datuk Paduka Sharifah Maslina Syed Kadir disambut meriah setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Ketibaannya disambut oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ong Tee Keat; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Shafie Mohd. Salleh dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah.
Lebih 300 pelajar UiTM yang menunggu seawal pukul enam pagi bersorak sebaik sahaja Sharifah Maslina tiba dan dia turut menerima ucapan tahniah daripada wakil penaja dan kakitangan Kementerian Belia dan Sukan.
Beliau yang juga pensyarah Psikologi Sukan, Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM memulakan ekspedisi merentasi Antartika dengan kaedah ski sailing selama 22 hari bermula dari Kutub Selatan sehingga melepasi garisan penamat di Hercules Inlet pada pukul 10.45 malam, 29 Disember lalu.
Kejayaan itu lebih manis apabila pihak Ekspedisi dan Logistik Antartika (ALE), iaitu badan yang mengurus dan mengendalikan ekspedisi itu, turut mengiktiraf kejayaan beliau memecahkan rekod 24 hari yang dicatat sebelum ini.
Sharifah, 39, yang ditemui pada sidang akhbar menceritakan detik-detik sukar apabila terpaksa berdepan angin kencang dan ribut salji sehingga pada satu ketika beliau menangis dan hampir berputus asa.
``Saat paling kritikal itu berlaku pada hari ke-18 dan cukup pantas, dalam satu hingga dua saat semuanya berubah, ribut salji berlaku secara mengejut, permukaan laluan juga berubah sehingga saya tidak nampak apa-apa.
``Saya mula hilang kawalan dan tersungkur dengan salah satu ski terbenam dan sebelah lagi melintang keluar menyebabkan saya tidak dapat bergerak langsung,'' katanya.
Menurutnya, apabila keadaan mula reda, beliau mengerah tenaga yang ada untuk membuka kasut ski bagi membolehkannya bergerak tetapi angin ribut yang lebih hebat datang sekali lagi sehingga menyebabkannya melayang di udara.
``Saya terdengar bunyi `krek' pada lutut saya dan ia membuat saya berfikir kaki saya mungkin patah, ia terlalu sakit sehingga membuat saya menangis... saya mula ketakutan dan berfikir adakah patut saya teruskan ekspedisi ini.
``Tapi melihat logo-logo yang ada pada baju membuat saya berfikir betapa saya tidak boleh mengalah begitu sahaja, mengenangkan harapan besar seluruh rakyat Malaysia, saya gagahkan juga,'' ujarnya lagi.
Sementara itu, Tee Keat berkata, Sharifah Maslina akan dilibatkan dalam program bagi membentuk kekuatan minda di kalangan belia di negara ini.
Katanya, kementeriannya akan bekerjasama dengan UiTM untuk membolehkan beliau menjelajah ke seluruh negara untuk memotivasikan golongan belia.
No comments:
Post a Comment