Sunday, May 22, 2011

LAGI TANAH RUNTUH - RUMAH ANAK YATIM AT-TAQWA HULU LANGAT RANAP

Tanah runtuh: 16 terbunuh, 9 selamat

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat.

Operasi yang bermula pukul 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini dengan penemuan mangsa terakhir pada pukul 5.05 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob ketika memberikan perkembangan terkini mengenai insiden itu kepada pemberita di lokasi kejadian pagi ini berkata mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah 16 orang manakala sembilan mangsa yang terperangkap selamat.

Mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat, katanya.

Azman berkata lokasi mangsa yang berada berdekatan antara satu sama lain membantu memudahkan usaha mencari dan menyelamat.

24 buried alive in landslide at orphanagePasukan mencari dan menyelamat membabitkan seramai 754 anggota daripada pelbagai agensi bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), pasukan Smart, tentera 4 Divisyen, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan St John.

"Operasi mencari dan menyelamat dihentikan setakat ini dan akan disambung pada 8 pagi ini bagi membuat gerakan terakhir untuk pastikan tidak ada lagi mangsa yang terperangkap," katanya.

- Bernama
******
Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat hari ini.
Menurut laporan Bernama, setakat 8 malam ini, lima mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun, kata polis. Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.

Semua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni termasuk lima penjaga. Semua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang semua penghuni rumah anak yatim itu berada dalam sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang ini.

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit itu.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata polis akan menyiasat punca kejadian.
24 buried alive in landslide at orphanageBeliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga 8.20 malam ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.
Sementara itu, TV Selangor melaporkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menerusi laman twitternya berkata pihaknya mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera.

Khalid juga berkata kerajaan negeri akan menyediakan tabung bantuan mangsa dengan kadar segera.

Ahli exco kerajaan negeri Selangor Rodziah Ismail yang berada di tempat kejadian memberitahu bahawa kerajaan negeri akan memberi segala bantuan yang diperlukan.


@malaysiakini

 

Tanah Runtuh Di At-Taqwa : Tujuh Jenazah Satu Liang Lahad

HULU LANGAT 22 Mei - Tujuh daripada 16 mangsa yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding di sini hari ini.

LEBIH 500 penduduk menyertai solat jenazah untuk tujuh mangsa kejadian tanah runtuh di Masjid Sultan Hishamuddin Alam Shah, Hulu Langat, semalam.

Kesemua jenazah tujuh mangsa itu dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 2.30 petang.
Mereka ialah Dzahir Haziq Mohd. Muin, 18; Mohd. Azret Azahari, 8; Wan Ahmad Hasril Hazim, 11; Muhammad Naerzeim Mohd. Noor, 8; Mohd. Zaid Azahari, 14; Mohd. Iman Fahad, 9, dan Muhammad Hazim Sapree, 10.
Dua lagi mangsa dikebumikan di Kampung Jenderam Hilir, Dengkil selepas solat Zuhur hari ini iaitu Muhammad Kamarul Amizan Johari, 11, dan Muhammad Riezman Abdul Latif, 9.
Tujuh lagi mayat mangsa lain sudah dituntut ahli keluarga masing-masing. Tiga daripadanya dikebumikan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur serta masing-masing satu di Batu Caves, Perak, Pahang dan Kelantan.
Di Masjid Sultan Hishamuddin Alam Shah, Hulu Langat, lebih 500 penduduk menyertai solat jenazah mangsa kejadian tanah runtuh itu sebelum semua mereka dikebumikan dalam satu liang lahad.
Lima daripada jenazah tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 10.45 pagi, diikuti dua jenazah pada pukul 12.41 tengah hari.
Sebaik sahaja semua waris selesai melakukan pengecaman wajah mangsa, jenazah kemudian disembahyangkan kira-kira pukul 1.35 petang.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan berikutan tragedi itu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kira-kira 200 ahli keluarga dan rakan kepada 16 mangsa yang terbunuh berkumpul di pekarangan bilik mayat hospital berkenaan seawal pukul 7 pagi.
Selesai sahaja proses bedah siasat dijalankan, jenazah mangsa mula dituntut oleh keluarga masing-masing secara bergilir-gilir mulai pukul 7 pagi ini dan selesai pukul 12 tengah hari.
Seramai 37 kakitangan HKL termasuk pegawai agama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak tidur sejak pukul 9.30 malam tadi kerana bertungkus-lumus menguruskan kesemua 16 mayat mangsa tragedi itu.

Mangsa tertimbus sedalam 3 hingga 4 meter - Bomba


HULU LANGAT 22 Mei - Sukar untuk dibayangkan, namun hakikatnya runtuhan tanah yang menimbus 16 mangsa di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di sini semalam mempunyai kedalaman antara tiga hingga empat meter.
Tragedi itu diburukkan lagi dengan hujan lebat yang turun bermula pukul 5 petang sehingga 8 malam sehingga menyukarkan usaha mencari mangsa berikutan berlaku pergerakan tanah.
Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Puzi Mohd. Tabot berkata, hasil kerjasama pelbagai pihak, operasi mencari dan menyelamat itu dilakukan selama 14 jam mulai pukul 3 petang dan ditamatkan pukul 5.40 pagi setelah mayat terakhir ditemui.
"Keadaan paling kritikal adalah sewaktu hujan lebat di awal operasi. Setelah operasi menyelamat ditamatkan, kami cuma menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan termasuk operasi pembersihan dan membantu mangsa yang mengalami trauma.
"Ketika ini tiada pergerakan tanah dikesan namun kami akan meletakkan sebuah jentera dengan kekuatan 10 anggota di lokasi bagi memantau keadaan terutamanya sewaktu hujan sehingga esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.30 petang semalam, seramai 16 mangsa yang majoritinya terdiri daripada penghuni serta warden rumah anak yatim tersebut maut akibat tertimbus tanah runtuh.
Ditanya mengenai keadaan mangsa ketika ditemui, Mohd. Puzi berkata, kebanyakan mayat berada dalam keadaan sempurna.
"Kebanyakan mangsa ditemui berdekatan dan ada antaranya tertindih di antara satu sama lain. Sembilan mayat ditemui menggunakan anjing pengesan.
"Bagi yang terselamat, langkah awal diambil termasuk memberi oksigen selain menenangkan mereka agar dapat bertahan lebih lama kerana ada antaranya mengambil masa sehingga empat jam untuk diselamatkan," jelas beliau.

Empat mangsa terakhir ditemui awal pagi


HULU LANGAT 22 Mei - Empat mangsa terakhir kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14 di sini yang tertimbus berjaya ditemui kira-kira pukul 5 pagi ini oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Mangsa terakhir ialah Kamarul Hamizan atau 'Boboy', 11, ditemui pasukan itu pada pukul 5.05 pagi.
Tiga lagi mangsa yang dikenali sebagai Rizman, 9, Fahad dan Hazeem, 10 tahun ditemui kira-kira pukul 4.30 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supritendan Azman Ayob berkata, berikutan penemuan kesemua mangsa itu, operasi mencari dan menyelamat yang bermula sejak pukul 2.45 petang semalam dihentikan sementara mulai pukul 5.30 pagi.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya menyambung semula gerakan membersihkan kawasan itu pada pukul 8 pagi ini.
"Semua kerja pembersihan dimulakan semula pada pukul 8 pagi bagi memastikan tiada lagi mangsa yang tertimbus dalam runtuhan itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian awal pagi ini.
Tambah Azman, kesemua mangsa yang meninggal dunia berusia antara 7 hingga 34 tahun dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Katanya lagi, sebanyak 12 mayat mangsa yang dibawa ke HKL sebelum ini telah disahkan identiti oleh waris masing-masing.
"Kita masih menunggu laporan bedah siasat daripada pihak hospital untuk mengetahui punca kematian dan kecederaan yang dialami mangsa.

LATEST NEWS !! :

Struktur tanah lemah punca tanah runtuh - JKR


23/05/2011 4:02pm

KUALA LUMPUR 23 Mei - Hujan lebat luar biasa selama tiga hari mengakibatkan stuktur tanah menjadi lemah hingga membawa kepada berlakunya kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat pada Sabtu lepas yang mengorbankan 16 nyawa.
Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Ashaari Mohamad berkata, berdasarkan data taburan hujan yang diperoleh untuk tiga hari, sejumlah 29 milimeter (mm) hujan turun di kawasan itu pada Khamis, diikuti 41 mm pada hari berikutnya dan meningkat mendadak kepada 80 mm pada hari kejadian.
"Jumlah hujan yang turun pada hari kejadian adalah luar biasa sebab jumlah normal adalah sekitar 20 milimeter. Apabila hujan turun dan meresap ke dalam tanah ia telah menyebabkan struktur tanah menjadi lemah dan boleh runtuh pada bila-bila masa,” katanya ketika menyampaikan taklimat pada majlis penyampaian sumbangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada mangsa tragedi tanah runtuh itu di Hulu Langat dekat sini hari ini.
ARKIB : 18/08/2011


Sinar Ramadan ceriakan kedukaan

Penghuni At-Taqwa berharap agar Ramadan ini memberikan seribu pengertian baru buat mereka yang masih ada.

ALUNAN surah Yassin yang dibaca penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah At-Taqwa memecahkan hening malam di Pusat Latihan Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim), Hulu Langat.
Bacaan yang penuh bersemangat bagai membayangkan rohani dan jasmani mereka telah pulih dan kembali menjalani rutin harian seperti biasa selepas diuji Allah SWT dengan ujian yang amat dahsyat.
Namun itu tidak bermakna tragedi tanah runtuh pada 21 Mei lalu bersamaan 17 Jamadilakhir yang meragut nyawa rakan-rakan mereka telah dilupakan dan hilang dari ingatan.
Ia kekal meninggalkan kesan yang mendalam sehingga ada segelintir daripada penghuni yang terselamat masih trauma dengan peristiwa tersebut.
Kejadian ngeri yang mengorbankan 16 penghuni rumah tersebut masih lagi menghantui dan menjadi igauan.
Menatap wajah penghuni rumah At-Taqwa yang terselamat yang kini hanya tinggal 18 orang pasti mengusik rasa sayu dan simpati.
Bukan mudah buat mereka untuk melupai kejadian yang meragut nyawa sahabat baik yang dianggap seperti adik-beradik kandung sendiri.
Kehilangan Muhammad Riezman Abdul Latif; Lokman Hakim Abd. Satar; Muhammad Mustaqqim Mamat; Nur Rahimi Rosdi; Muhammad Naerziem Mohd. Noor; Shahrul Nurimran Adnan; Mohd. Kamarul Amizan; Mohd. Aiman Abdullah; Muhammad Zaim Azhari; Ahmad Azret Azhari; Muhammad Iman Fahad Mohd. Nidzam; Mohd. Hazim Safree; Wan Ahmad Hasril Wan Ahmad Hazim; Dzahier Haziq Mohd. Muin; Zaid Assyawal Zambri dan Faridz Ibrahim di hadapan mata mereka sendiri pasti dirindui.
Mana tidaknya, tahun lalu semua mereka yang berjumlah 49 orang bersama-sama merasai kemeriahan Ramadan.
Kini kemeriahan itu hanya tertumpu kepada baki anak-anak muda yang masih tinggal di penempatan sementara Yadim di Sungai Semungkis, Selangor.
Namun mereka cukup tabah mengharungi kehidupan di tempat baru yang serba sederhana biarpun di mata orang lain dilihat seperti ada kekurangan di sana-sini.
Bagi anak-anak yatim yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun itu, mereka bersyukur dan menerima seadanya segala ketentuan Tuhan yang dilimpahkan kepada keluarga At-Taqwa dengan hati terbuka.
Meskipun peristiwa itu berpunca daripada faktor alam, namun pasti ada sebab-sebab lain yang menyumbang kepada kejadian yang meragut 16 nyawa itu. Semua masih masih tidak jelas hingga ke hari ini.
Selepas terpaksa menahan kesakitan dan derita akibat terperangkap dalam runtuhan, kini kesan trauma daripada kejadian itu ditanggung sepanjang hayat.
Atas faktor tersebut juga permintaan penulis untuk menemubual anak-anak ini tidak dapat ditunaikan kerana dibimbangi soalan-soalan yang bakal ditanya bakal mengocak semula ketenangan hati mereka.
Yang Dipertua Persatuan Anak-Anak Yatim Malaysia, Dr. Idris Musa berkata, kejadian itu bukannya mudah untuk dilupakan lebih-lebih lagi ia berlaku di hadapan mata anak-anak tersebut.
"Mereka sebenarnya masih teringat kejadian tanah runtuh. Sebab itu kami sukar untuk membawa mereka keluar kerana takut emosi mereka terganggu.
"Pada zahirnya, mereka kelihatan biasa sahaja tetapi apabila tersasul dan bertanya tentang kejadian itu mereka akan kembali bersedih," katanya.
Beliau ditemui semasa majlis berbuka puasa dan solat Tarawih yang dianjurkan oleh AMP Radio Networks bersama anak-anak penghuni rumah At-Taqwa baru-baru ini.
Beliau berkata, adakalanya anak-anak itu menggigau, termenung dan menangis sendirian apabila terkenang peristiwa ngeri itu.
Merindui rumah lama
Oleh sebab itu, sebagai usaha untuk mengembalikan keyakinan dan semangat setiap penghuni yang terlibat, pihak rumah At-Taqwa mempergiatkan lagi sesi kaunseling.
Menurutnya, pihaknya kini sedang berusaha untuk mencari lokasi baru bagi membangunkan semula penempatan mereka agar penghuni rumah berkenaan dapat dipindahkan ke lokasi yang lebih selesa.
"Apa yang telah berlaku, biarlah berlalu dan kini kami sedang berusaha untuk mencari sebidang tanah yang sesuai untuk membina sebuah asrama yang sempurna.
"Penempatan sementara ini agak terhad untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan anak-anak ini merindui rumah lama mereka sebab mereka rasa macam berada di rumah sendiri," jelasnya.
Menyentuh mengenai latar belakang penghuni rumah At-Taqwa, Dr. Idris memberitahu yang mereka datang daripada pelbagai latar belakang keluarga.
"Ada setengah daripada mereka dulunya tidak diberi didikan agama dengan baik oleh keluarga masing-masing dan ada juga yang datang dari keluarga yang susah.
"Mungkin disebabkan oleh kekangan keluarga yang bermasalah kanak-kanak ini menjadi mangsa tanpa perhatian kasih sayang.
"Sebab itu, kami di rumah At-Taqwa amat mementingkan elemen akademik yang berlandaskan ajaran agama Islam," ujarnya.
Tambahnya, pembangunan insan memerlukan bantuan keagamaan dan ketegasan dalam didikan.
"Bagi saya, mendidik memerlukan ketegasan untuk membentuk disiplin anak-anak selain perhatian dan kasih sayang.
"Saya banyak meluahkan masa bersama mereka dengan bergurau senda dan kadang-kala saya mandi bersama mereka.
"Saya rasa dengan melakukan perkara seperti itu boleh berikan kesan yang besar berdasarkan elemen-elemen kasih sayang yang boleh menusuk ke dalam hati mereka," katanya.

No comments: