KAWASAN berpagar di Abbottabad yang didiami Osama sejak tahun 2006. |
ABBOTTABAD merupakan sebuah bandar yang cantik, terletak di kawasan berbukit-bukau di Lembah Orash, barat laut Pakistan. Bandar pertanian itu mempunyai kadar literasi yang tinggi, sekolah yang bagus dan suhu sederhana. Suasana malamnya sunyi dan tenang. Bagaimanapun, pada malam Ahad minggu lalu, penduduk di kejiranan kelas menengah yang menempatkan ramai bekas pegawai tentera dan ahli perniagaan itu dikejutkan oleh bunyi helikopter yang terbang rendah, diikuti letupan bom dan api menjulang menerangi langit. Penduduk serta-merta tahu sasaran serangan itu ialah sebuah rumah terpencil yang dikelilingi kawat berduri dengan suara penghuninya jarang didengari.
Seorang penduduk, Abbasi, yang tinggal kira-kira 100 meter dari situ, sempat memanjat bumbung rumahnya untuk melihat serangan yang dramatik itu.
“Helikopter itu terbang sangat rendah melintasi bumbung rumah saya. Saya terpaksa merebahkan diri kerana menyangka ia akan terhempas di atas rumah saya,” katanya.
Selepas letupan itu, suasana kembali sunyi. Dalam serangan itu, pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden mati ditembak pasukan komando Amerika Syarikat (AS). Osama, 54, dibunuh selepas beberapa bulan pergerakannya diintip oleh pasukan Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS.
Pengintipan itu adalah sebahagian daripada usaha mengumpul sebanyak mungkin maklumat yang dapat mengesahkan Osama ialah penghuni rumah itu. Perisikan itu juga menggunakan imej satelit selain mencuri dengar perbualan di dalamnya. Abbasi memberitahu, dia langsung tidak terfikir kediaman itu dihuni Osama kerana dia tidak pernah mendengar khabar angin mengenainya.
Tetapi Abbasi berkata, sejak berpindah ke situ enam tahun lalu, dia jarang mendekatinya apatah lagi ciri keselamatan kediaman itu sangat luar biasa. Ia dikelilingi tembok setinggi 4.5 meter di samping satu lagi tembok setinggi dua meter di dalamnya. Ia turut dilengkapi pintu pagar keselamatan dan terdapat banyak kamera.
Jiran
Walaupun kedudukannya agak terpencil, kediaman Osama dikelilingi tiga kejiranan iaitu Thanda Choha, Pekan Bilal dan Koloni Hashmi. Jiran-jiran Osama jarang melihat lebih daripada tiga orang berada di rumah itu dalam satu masa. Tiada tanda-tanda ada aktiviti domestik atau kanak-kanak bermain. Tiada juga kelibat orang pergi ke pasar.
Mereka juga meminta contoh pelan bangunan yang ada di situ kononnya mahu membina kediaman yang sama di tempat yang mendamaikan itu. Salah seorang daripada lelaki itu pergi ke kediaman Osama untuk bertanyakan sesuatu.
Bagaimanapun, ada sebab lain penduduk mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan kediaman itu. Apabila mereka mendengar bunyi tembakan senapang dan letupan bom, mereka menyangka puak Taliban Afghanistan sedang melancarkan serangan ke kawasan itu. Kedudukan rumah itu pula cuma satu kilometer dari akademi latihan tentera elit Pakistan dan Taliban sering menyasarkan tempat seperti itu. Juga, ramai keluarga etnik Pashtun berpindah ke situ. Orang Pashtun dikenali mewajibkan kaum wanita memakai purdah dan itu menjelaskan kenapa rumah itu sentiasa sunyi.
Penghuni rumah itu pula suka memencilkan diri. Mereka sangat jarang muncul dalam majlis perkahwinan penduduk atau majlis keraian lain. Satu laporan menyebut, jika bola kriket kanak-kanak bermain memasuki kawasan rumah itu, mereka tidak dibenarkan mengambilnya.
Seorang pemandu, Qazi Faisal memberitahu, ramai orang mengesyaki beberapa lelaki yang kelihatan di rumah itu bekerja sebagai penyeludup. Seorang saksi berkata, selepas serangan AS pada malam Ahad lepas, dia melihat tentera AS memunggah sesuatu yang kelihatan seperti senjata, barang emas dan wang tunai.
Pegawai-pegawai AS pula dipetik berkata, penghuni membakar sampah di dalam kawasan kediaman mereka berbanding ditinggalkan di luar untuk dikutip pihak berkuasa tempatan.
Isteri
Penduduk turut memberitahu, mereka menyaksikan beberapa kenderaan kalis peluru keluar masuk ke situ tetapi pintu pagar akan ditutup serta-merta selepas kenderaan itu masuk atau keluar. Namun, bukan perkara yang buruk-buruk sahaja dikaitkan dengan rumah itu. Seorang budak lelaki, Zarar Ahmed, 12, mendakwa dia pernah datang ke rumah itu dan di dalamnya ada tiga kanak-kanak iaitu seorang perempuan dan dua lelaki.
“Mereka memberi saya dua ekor arnab. Ada kamera di luar, jadi mereka akan tahu siapa yang datang,” katanya. Dia juga memberitahu, pemilik rumah itu mempunyai dua orang isteri, seorang bercakap dalam bahasa Urdu manakala seorang lagi bertutur dalam bahasa Arab.
Seorang penduduk dari Pekan Bilal, Qari Mastana Khan berkata, penghuni kediaman itu baik hati dan mereka sering membekalkan air minuman bersih dan makanan kepada penduduk miskin.
“Semasa bulan Ramadan, mereka mempelawa kami berbuka puasa di rumah mereka dan menghidangkan kami makanan yang lazat,” ujar Qari. Seorang peniaga, Mohammed Rashid memberitahu sebanyak dua ekor kambing hidup dihantar ke rumah itu dalam seminggu untuk disembelih dan dimakan.
“Ada juga kanak-kanak lelaki datang ke kedai saya untuk membeli gula-gula. Tetapi saya tidak pernah nampak orang perempuan di rumah itu". Pihak tentera Pakistan menemui 13 orang kanak-kanak di kawasan berpagar itu – 11 lelaki dan dua perempuan tetapi belum dapat dipastikan berapa ramai antara mereka yang bersekolah. Sesetengah jiran mengatakan kanak-kanak itu cuma belajar di rumah. Tiga isteri Osama kini berada dalam tahanan Pakistan. Isteri Osama, Amal al-Sadah berkata dia dan suaminya tinggal di dalam bilik yang sama sejak lima tahun lalu. Membawakan peluru untuk suami dan bersetuju untuk tinggal di dalam gua merupakan pengorbanan besar yang sanggup dilakukan wanita itu atas nama cinta.
Pihak berkuasa Pakistan telah menahan wanita berusia 24 tahun itu bersama anak perempuannya, Safiyah. Mereka berharap dapat membongkar misteri kehidupan Osama, musuh yang paling dibenci Amerika itu.
Amal kini dirawat di sebuah hospital tentera di Rawalpindi.
Pakistan juga telah menahan dua lagi isteri Osama dalam usaha mendapatkan lebih banyak maklumat daripada mereka.
Pada tahun 2002, Amal yang ditemu bual oleh sebuah majalah wanita Arab Saudi, al-Majalla mendedahkan, selepas serangan pada 11 September 2001 di AS, dia kembali ke Yemen dari Pakistan dengan bantuan beberapa pegawai Pakistan. Dia juga menceritakan kehidupannya sebagai isteri ketua pengganas. Dia berkata:
“Apabila AS mula mengebom Afghanistan, kami berpindah ke kawasan pergunungan bersama beberapa orang anak dan tinggal di dalam sebuah gua selama dua bulan. Kami hanya keluar selepas seorang anak lelaki Osama datang bersama sekumpulan puak.” Pada masa itu, Amal baru berusia 19 tahun.
“Apabila AS mula mengebom Afghanistan, kami berpindah ke kawasan pergunungan bersama beberapa orang anak dan tinggal di dalam sebuah gua selama dua bulan. Kami hanya keluar selepas seorang anak lelaki Osama datang bersama sekumpulan puak.” Pada masa itu, Amal baru berusia 19 tahun.
“Saya tidak tahu kami akan pergi ke Pakistan,” katanya yang tidak lama kemudian dihantar pulang ke Sanaa, Yemen, negara kelahirannya. Tidak diketahui bagaimana dia boleh bersatu semula dengan Osama selepas itu. Amal kini ditemu bual dalam soal siasat yang tidak melibatkan kekerasan. Dia ditanya soalan yang sama secara berulang-ulang bagi mengetahui sama ada dia bercakap benar atau tidak. Wanita-wanita itu dijangka mendedahkan maklumat bagaimana Osama menghabiskan masanya dan mengelak daripada ditangkap serta tinggal di rumah agam berhampiran sebuah akademi tentera di bandar yang terletak cuma dua jam setengah perjalanan dari Islamabad.
No comments:
Post a Comment