Monday, March 07, 2011

ANWAR SODOMY TRIAL II : Tiada Muslihat, Tiada Ugutan, Tiada Pujukan dan Tiada Perjanjian.

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 7 Mac - Tiada muslihat, tiada ugutan, tiada pujukan dan tiada perjanjian.
Selain itu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa barang-barang kes yang dipertikaikan iaitu tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi kecil warna putih dan botol plastik minuman jenama 'Cactus' diperoleh dengan cara yang salah. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar untuk mahkamah menggunakan budi bicara untuk mengetepikan barang-barang kes tersebut kerana tiada sebarang unsur yang salah digunakan
oleh pihak berkuasa dalam memperolehi barang-barang bukti itu.

Perkara tersebut merupakan sebahagian daripada inti pati hujah balas selama hampir tiga jam oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden di akhir bicara dalam perbicaraan (TWT) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Prosiding TWT diadakan selepas Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan pasukan pembelaan bahawa wujud pertikaian berhubung barang-barang itu yang dikemukakan dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Kesemua barang tersebut dirampas dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Terdahulu, Mohd. Yusof menyatakan, pihak pembelaan gagal membuktikan asas dakwaan mereka bahawa barang-barang tersebut diperolehi dengan cara yang tidak betul kerana sepanjang TWT, pembelaan gagal menunjukkan secara imbangan kebarangkalian bahawa tangkapan yang dibuat pada 16 Julai 2008 adalah salah.

Jelasnya, Anwar tidak pernah menafikan kewujudan waran tangkap walaupun tidak dapat mengingati apakah dokumen yang ditandatanganinya di IPK tersebut pada tarikh tangkapan.
Bagaimanapun, keterangan pegawai tangkapan, Supritendan Ahmad Taufik Abdullah Jumaat lalu menyatakan, waran tangkap telah dikemukakan kepada tertuduh pada tarikh tersebut di IPK dan Anwar telah menandatanganinya.

"Ahmad Taufik bukanlah seseorang yang mempunyai kepentingan dalam kes ini malah dia juga bukanlah seorang saksi dalam perbicaraan yang sebenar, sekiranya benar alasan tangkapan tidak diberikan, peguam-peguam Anwar dan beliau sendiri akan membuat bising dari mula tangkapan dan ia akan dapat dilihat dalam media,'' katanya.

Selain itu, Ahmad Taufik bukan sahaja mempunyai kuasa untuk menahan Anwar tanpa waran tetapi beliau mempunyai tanggungjawab untuk melakukan demikian.

Mohd. Yusof dalam hujahnya turut menyatakan, pengumpulan barang-barang kes itu dari lokap D9 tidak mempunyai kaitan dengan tangkapan tersebut malah Anwar tidak pernah ditipu, dipujuk atau diugut agar menggunakan tuala, berus gigi dan botol minuman itu.
Anwar juga mengetepikan haknya ke atas barang-barang kes itu apabila dia meninggalkan barang-barang itu di lokap terbabit. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar bagi mahkamah untuk mengetepikan barang-barang kes itu kerana tiada sebarang unsur penipuan, ugutan, pujukan atau janji digunakan dalam mendapatkan bukti tersebut.
Sekiranya mahkamah berpendapat bahawa penahanan itu salah, mahkamah masih tidak boleh mengetepikan barang-barang itu kerana ia sangat relevan dengan kes liwat yang sedang dibicarakan.

"Oleh itu, saya mohon agar permohonan barisan pembelaan ditolak dan pihak pendakwaan dibenarkan untuk memanggil semula Amidon Anan (bekas Ketua Bahagian CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman) dan Nor Aidora Saedon (Ketua Unit DNA Paterniti, Jabatan Kimia Malaysia) untuk mengemukakan barang kes,'' katanya.

Karpal akan menjawab hujahan tersebut esok.( baca keputusan hakim di bawah)

Pada prosiding hari ini, kira-kira pukul 11.46 pagi, galeri awam Mahkamah Tinggi yang mendengar hujahan tersebut tiba-tiba bertukar menjadi mini Parlimen.

Ia berikutan kehadiran beberapa ahli Parlimen dari parti pembangkang yang lengkap berpakaian rasmi Parlimen selepas tamat perasmian pembukaan penggal keempat persidangan Parlimen ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sebelum itu, peguam Karpal Singh pagi tadi menjawap hujah Yusof semalam dalam usaha tidak membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menjadikan tiga barangan kontroversial itu sebagai bukti.

Menurut Karpal, memandangkan tangkapan ke atas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dijalankan secara tidak sah dan barang berkenaan diperolehi secara tidak adil, justeru ia harus ditolak.

Sebaliknya, Yusof pula berkata mahkamah perlu mempertimbangkan sama ada barangan itu adalah relevant meskipun cara ia diperolehi mengkin 'tidak sah'.

Sambil memetik kes mahkamah di negara-negara Komanwel seperti Britain, Amerika, Jamaica dan Afrika, Yusof dalam hujahnya selama dua jam setengah itu berkata puntung rokok dan botol air minuman daripada tertuduh juga diterima sebagai bukti dalam kes serangan seksual dan pembunuhan.

Berdasarkan hujah kedua-dua pihak, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat penghakimannya hari ini.
Antara yang hadir ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusuf (Balik Pulau), Dr. Lee Boon Chye (Gopeng) dan William Leong (Selayang).


08 Mac 2011 ANWAR MENANG, BARANG BUKTI DITOLAK

 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memerintahkan tiga barangan - berus gigi, botol air minuman dan tuala 'Good Morning' tidak boleh diterima sebagai bukti.

Hakim, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dalam penghakiman dalam bicara dalam perbicaraan berkata barangan berkenaan diperolehi dengan cara yang tidak sah.
"Mahkamah mendapati tiga barang itu diperoleh secara tidak adil. Barang-barang dan perkara yang berkaitan akan ditolak daripada perbicaraan ini,” katanya.
Justeru, katanya, sampel DNA yang diperolehi itu juga tidak boleh diterima dan memerintahkan barang-barang berkenaan diketepikan.
Ketiga-tiga barang berkenaan diperoleh daripada lokap bahagian jenayah berat ibu pejabat kontinjen Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008.

Anwar ditahan di lokap itu semalaman sehari sebelumnya.
Sehubungan keputusan itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan, meskipun beliau mempunyai tiga saksi lagi.
Mahkamah kemudiannya ditangguhkan hingga pagi esok.

No comments: