Tuesday, February 15, 2011

SILVIO BERLUSCONI Itali dibicara atas dakwaan seks

MILAN - Seorang hakim Itali semalam memerintahkan Perdana Menteri, Silvio Berlusconi dibicarakan atas tuduhan membayar sejumlah wang kepada seorang gadis bawah umur dari Maghribi untuk mendapatkan khidmat seksnya dan cuba menutup perbuatan itu.
Hakim Cristina Di Censo membuat keputusan tersebut semalam dan menetapkan kes Berlusconi dibicarakan pada 6 April depan.

SILVIO BERLUSCONI duduk di kerusi belakang sebuah kereta di Mineo dekat Catania, Sicily, Itali semalam. RUBY (gambar kecil)
 
Kes beliau akan didengar oleh satu panel yang disertai oleh tiga juri wanita.
Berlusconi didakwa membayar gadis tersebut yang dikenali sebagai Ruby yang ketika itu berusia 17 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya.
Beliau juga didakwa menyalahgunakan pengaruhnya untuk membebaskan Ruby yang nama sebenarnya Karima El Mahroug daripada tahanan polis.
Ruby ditahan polis kerana disyaki mencuri wang berjumlah AS$4,103 (RM12,522) tetapi Berlusconi campur tangan bagi meminta polis membebaskannya.
Perdana Menteri itu dipercayai berusaha untuk membebaskan gadis tersebut kerana bimbang rahsianya akan bocor.
Undang-undang Itali membenarkan pelacur dilanggan tetapi mengharamkan hubungan seks dengan remaja berusia di bawah 18 tahun.
Bagi kesalahan pertama, beliau berdepan hukuman penjara antara enam bulan hingga tiga tahun manakala hukuman salah guna kuasa adalah lebih serius iaitu penjara maksimum 12 tahun.
Berlusconi, bagaiamanapun, menafikan semua tuduhan ke atas dirinya itu.
Perdana menteri berkenaan memberitahu, arahan pembebasan Ruby dilakukan bagi mengelak ketegangan diplomatik kerana beliau percaya gadis itu ialah cucu Presiden Mesir ketika itu, Hosni Mubarak.
Hosni telah meletakkan jawatan pada Jumaat lalu.
Berlusconi turut mendakwa tindakan pihak pendakwa raya mengheretnya ke mahkamah adalah bermotifkan politik dengan tujuan untuk menggulingkannya.
Berlusconi, 74, pernah dibicarakan kerana beberapa kes berkaitan perniagaan tetapi ini adalah kali pertama beliau dihadapkan ke mahkamah kerana tingkah lakunya.
Berlusconi didakwa susulan pihak pendakwa raya memberitahu, mereka memiliki bukti kukuh untuk mensabitkannya dalam kes tersebut. - AP

No comments: