Feb 24, 11 10:21am
Keganasan yang tercetus di Libya didakwa sudah meragut lebih 1,000 nyawa dengan 600 orang daripada mereka di ibu negara, Tripoli, kata Nouri el-Mismari, bekas ketua protokol kepada Presiden Muammar Gaddafi, semalam.
Menurut AFP, Mismari, yang tinggal di Perancis hujung tahun lalu kerana masalah kesihatan berkata, huru-hara timbul akibat kemarahan orang ramai terhadap regim Gaddafi itu jauh lebih teruk dengan lebih 1,000 nyawa terkorban.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan asas merujuk kepada anggaran angka kematian yang diberikannya itu.
Selasa lalu, kerajaan Libya buat pertama kali mendedahkan bahawa 300 rakyatnya terbunuh dalam tunjuk perasaan yang tercetus lebih seminggu lalu. Namun Persekutuan Antarabangsa Mengenai Hak Asasi (IFHR) semalam menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 640 orang yang telah terkorban.
“Ini amat, amat serius. Rakyat Libya tidak akan berhenti untuk menamatkan pemerintahan 41 tahun Gaddafi ini," kata Mismari.
“Ini adalah penamat kepada Muammar Gaddafi. Beliau langsung tidak memperoleh lima peratus sokongan rakyat negaranya," katanya.
Mismari berkata, apa yang menyedihkan regim Gaddafi menembak secara rambang rakyat yang memprotes. Katanya lagi, tidak sepatutnya tentera udara juga diarahkan melepaskan tembakan dari pesawat.
Beliau berkata, Gaddafi akan bernasib baik sekiranya dia terbunuh atau rakyat negara itu akan mendakwanya di mahkamah seperti Saddam Hussein.
- AFP
No comments:
Post a Comment