Wednesday, February 16, 2011

HEBATNYA SHIELA - 3,000 saksikan konsert di Pusat Konvensyen Jakarta

saharudin.musthafa@utusan.com.my
JAKARTA 16 Feb. 
Penghibur ternama Malaysia, Datuk Sheila Majid berjaya menarik perhatian lebih 3,000 peminatnya ketika beraksi pada malam konsert Sheila Majid 25 Years Radiance Celebration di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Jakarta di sini malam kelmarin.
Persembahan Sheila pada malam konsert solo berkenaan membuktikan pengaruhnya di Indonesia masih lagi kukuh.

 SHEILA Majid mengadakan persembahan di hadapan peminat-peminat setianya di Pusat Konvensyen Jakarta sempena meraikan ulang tahun ke-25 kerjaya seninya di Jakarta, baru-baru ini

Sheila yang memulakan persembahannya dengan menyampaikan lagu Ada Ada Saja begitu bersemangat beraksi di hadapan peminatnya yang majoriti terdiri daripada rakyat Indonesia.
Tidak ketinggalan, sejumlah kecil peminatnya yang terbang ke Jakarta dari Malaysia, Singapura dan Brunei semata-mata untuk menyaksikan persembahannya.
Bagi Sheila, tiada apa yang lebih penting selain daripada penerimaan positif peminat-peminat Indonesia terhadap karier muziknya selepas 25 tahun berkarya.
Beliau secara peribadi menyifatkan, konsert solo itu berjaya mencapai matlamatnya meraikan ulang tahun ke-25 kerjaya seninya bersama-sama peminat setia dan rakan-rakan sealiran dari negara itu.
"Paling penting ialah penerimaan mereka terhadap seni yang saya perjuangkan selama 25 tahun yang lalu. Bukan saja dari peminat, malah dari penggiat seni muzik di negara ini. Itulah yang paling penting bagi saya." jelas Sheila kepada wartawan Malaysia sejurus berakhir konsert berkenaan di sini malam kelmarin.
Apa yang membuatkan penyanyi genit berusia 46 tahun itu terharu ialah teman-teman sealiran yang senior dan berpengalaman Indonesia seperti penyanyi Harvey Malaiholo dan Vina Panduwinata serta komposer tersohor Erwin Gutawa turut hadir menyokong persembahannya serta memberi maklum balas yang sangat positif.
"Selepas persembahan mereka (artis-artis Indonesia) datang berjumpa saya dan menyampaikan rasa gembira mereka dengan persembahan saya.
"Saya amat bersyukur kerana selepas 25 tahun menyanyi, mereka seperti menerima saya sebagai sebahagian daripada mereka," ujar Sheila yang menggunakan khidmat suaminya, Hashridz Murshim Hashim atau Acis yang mengiringi persembahannya.
Sepanjang dua jam konsert itu juga, Sheila juga terus mengajak peminat-peminatnya menjadi muzik sebagai platform untuk mengukuhkan perpaduan rakyat kedua-dua negara.
Sheila yang turut mengundang pemain gitar legenda Indonesia, Balawan untuk mengiringi persembahannya menerusi lagu Bunyi Gitar turut menyampaikan mesej yang penuh bermakna.
"Siapa kata kita (Malaysia-Indonesia) bergaduh? Hari ini di pentas ini, pemuzik Malaysia dan Indonesia bergabung. Kami sangat akrab," ujarnya sambil disambut tepukan gemuruh penonton.
Menurut penghibur itu, konsert solo beliau itu membuktikan penggiat seni Malaysia dan Indonesia mampu bekerjasama untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti untuk dibawa ke peringkat global.
Turut hadir menyaksikan konsert itu ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan serta penyanyi popular Malaysia Anuar Zain.
Tidak ketinggalan selebriti tempatan yang hadir termasuk pelakon kontroversi Cut Tari, pelakon kelahiran Malaysia yang kini popular di Indonesia Ashraf Sinclair bersama isterinya, Bunga Citra Lestari, komposer terkenal Odie Agam, bekas isteri Ahmad Dhani, Maya Estianti, penyanyi Ruth Sahanaya serta ramai lagi model serta pelakon sinetron popular tempatan.

No comments: