Tuesday, February 15, 2011

Gigolo untuk lelaki

@kosmoonline
SEWAKTU melepasi lorong di celah-celah bangunan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada suatu malam hujung minggu, kru Jurnal terserempak dengan beberapa lelaki muda berjalan mundar-mandir di bawah lampu neon yang suram.

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki sengaja diperlahankan bagi memerhati kegiatan lelaki yang inginkan kehidupan mewah dengan cara mudah itu.
Semasa mendekati seorang lelaki berkulit sawo matang yang memakai topi berceloreng, dia selamba menyapa.
“Sudah dapat?” soalnya ringkas yang menyangka kru Jurnal sedang mencari gigolo atau pelacur lelaki sepertinya. “Belum,” balas kru Jurnal.
Kemudian, Jurnal mempelawa lelaki yang mudah disapa dengan panggilan Wan itu untuk menaiki kenderaan menyusur likuan jalan yang semakin bertambah bilangan ‘pejalan kakinya’.
Kemesraan Wan, 23, memang menambat hati sesiapa sahaja. Walaupun bergelar gigolo, dia mengakui pelanggannya lebih ramai terdiri daripada kaum lelaki berhidung belang.
Ketika ditanya sejak bila dia berjinak-jinak dengan dunia pelacuran lelaki, Wan menjawab dorongan nafsunya terhadap kaum sejenis ketika usia belasan tahun menjadi puncanya.

RM1,000
Namun, setelah nafsu terhadap golongan sejenis bertukar menjadi keinginan untuk mendapatkan wang dengan cara mudah, dia semakin liar mencari lelaki yang berkedudukan tinggi.
“Ketika aku mula-mula datang ke KL (Kuala Lumpur) aku main belasah saja, tapi apabila ada pelanggan yang bagi aku tip yang tinggi, tuntutan aku juga semakin bertambah,” ujarnya yang menjadikan pekerjaan itu sebagai mata pencarian utama.
Katanya lagi, jika nasibnya baik pulangan yang diperoleh untuk melayan lelaki pada satu malam mampu mencecah sehingga RM1,000.
“Ramai pelanggan aku akan panggil aku selepas servis pertama yang aku berikan, mungkin ada yang mereka suka,” ujarnya.
Langkah seterusnya bergantung kepada pelanggan itu sendiri untuk memilih jenis servis yang ditawarkan berdasarkan perbincangan harga terlebih dahulu.
Pelanggannya pula bukan calang-calang orang. Ada antaranya yang bekerja dalam lapangan profesional malah tidak terkecuali yang berpangkat besar.

Selain daripada lelaki tempatan yang tidak puas dengan layanan si isteri, ada juga lelaki luar negara yang menginginkan percutian sensual daripada warga Asia terutama Malaysia.
“Mereka (pelancong asing) memang sukakan orang Asia, tambah-tambah yang berbadan kurus dan ada sedikit rupa,” singkapnya lagi.
Cerita Wan lanjut, dia pernah dibawa melancong ke luar negara oleh pasangan yang berusia lebih beberapa dekad daripada usianya.
“Semua perbelanjaan ditanggung termasuk makan dan minum sepanjang bersamanya asalkan segala kemahuannya dipenuhi,” katanya yang berhijrah ke Kuala Lumpur dari sebuah negeri di utara Semenanjung tiga tahun lalu.
Selain Wan, si gigolo jalanan, Jurnal turut bertemu dengan seorang tukang urut lelaki yang menyediakan khidmat seks selain urutan badan di sebuah premis di Klang, Selangor.
Pelanggan perlu memberikan kata laluan untuk menaiki tangga ke sebuah ruang di tingkat kedua.
Selain dilengkapi dengan kawalan kamera litar tertutup, premis ini turut dikawal rapi oleh seorang lelaki di sekitar kaki lima.

Urut ekstra
Setelah berjaya memasuki premis berkenaan, wartawan Jurnal dikehendaki memilih salah seorang tukang urut daripada sepuluh lelaki yang ditempatkan di sebuah bilik berkaca.
Sesudah itu, bayaran mengikut servis perlu dijelaskan sebelum memasuki bilik khas yang dipisahkan hanya oleh tirai berwarna hitam.

Urusan di dalamnya pula bergantung kepada kepetahan pujukan si pelanggan untuk memancing si tukang urut memberikan khidmat terbaik sepanjang tempoh sejam itu.
Menurut seorang tukang urut yang hanya mahu dikenali sebagai Jake, 25, tujuannya terlibat dengan aktiviti itu hanya untuk mencari duit lebih.
Kerjanya pada siang hari seperti lelaki normal lain, bezanya rentak kehidupan kotanya bermula pada tengah malam.
“Servis ekstra yang saya berikan berdasarkan upah yang diberikan oleh pelanggan.
“Semakin banyak jumlahnya semakin bertambah kerja saya,” ujarnya yang berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur.
Tidak perlu bergelendangan di jalanan untuk mengaut wang yang puratanya mencecah ribuan ringgit sebulan, lelaki bertubuh sasa ini bergantung kepada mata pencarian tambahan ini saja untuk menyara kehidupannya di bandar malah keluarga di kampung.
“Gaji saya setiap bulan disimpan untuk perbelanjaan di luar jangka, mungkin satu masa nanti saya akan menetap di luar negara, mana tahu,” getusnya sambil tertawa kecil.
Bimbangkan jangkitan penyakit kelamin atau penyakit tanpa penawar seperti AIDS atau HIV, Jake berkata dia sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.
Kata jejaka kacukan Siam ini lagi, cukuplah sekadar dirinya memberi kepuasan kepada pelanggan tanpa mendapat mudarat pada kemudian hari.
Malah, dia mengakui pekerjaan sampingan yang sudah dilakukannya selama dua tahun itu telah banyak menyerikan hidup lelaki-lelaki yang hidup bertuankan nafsu.

No comments: