Tuesday, February 01, 2011

20 maut rusuhan merebak di Mesir



2011/01/29
KAHERAH:
Sekurang-kurangnya 20 terbunuh dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan di seluruh Mesir apabila gerakan antikerajaan memasuki hari keempat, hari ini.
Sekurang-kurangnya 13 terbunuh manakala 75 lagi cedera dalam perhimpunan antikerajaan di Bandaraya Suez.
Di Kaherah, sekurang-kurangnya empat maut dan beratus lagi cedera. “Sehingga sekarang, lima maut dan beratus lagi cedera," kata seorang pegawai perubatan.
Angka kematian itu hanya dilaporkan di Hospital Qasr al-Aini sahaja.

Di Bandaraya Mansura di Lembah Nil, dua dilaporkan maut selepas terkena tembakan peluru getah ketika penunjuk perasaan mengadakan protes di jalan raya.
Penunjuk perasaan semakin memuncak sejak empat hari lalu yang menuntut Presiden Hosni Mubarak berundur daripada pemerintahannya selama lebih 30 tahun. - AFP


Ekonomi Mesir lumpuh

Kilang terpaksa ditutup, bekalan makanan dan minyak meruncing
KAHERAH: Ekonomi Mesir hampir lumpuh dengan kebanyakan kilang ditutup, mesin juruwang elektronik tidak lagi mengeluarkan wang tunai, bekalan makanan serta minyak kian meruncing.
 
Namun kebanyakan 80 juta rakyat negara Arab terbesar itu, menganggap segala keperitan yang dilalui itu berbaloi. “Saya kerugian 10,000 pound Mesir (RM5,225) setiap minggu.
“Bagaimanapun semuanya berbaloi. Saya pergi ke dataran Tahrir (tumpuan penunjuk perasaan di Kaherah) sejak tiga hari lalu dengan anak-anak saya.
“Bantahan terhadap (Hosni) Mubarak menyebabkan saya kerugian besar tetapi presiden itu menyebabkan kerugian lebih besar sejak 30 tahun lalu,” kata Ayman Ibrahim, peniaga di bandar perindustrian Abu Rawash kepada akhbar Britain, The Guardian.
Kilang dan gudang di Abu Rawash seperti Toyota, Hyundai, Mazda dan Jeep ditutup dan lengang.

Penutupan kilang berkenaan menyusul desakan penunjuk perasaan kelmarin agar mogok umum dilancarkan di seluruh Mesir. Bukan hanya kilang, pusat beli belah Carrefour-Dandy dan kedai runcit turut kosong.
“Keadaan ini menjejaskan perniagaan saya.
“Masalah di antara rakyat dan presiden Mubarak ini tidak baik untuk perniagaan saya,” kata pemilik kedai pakaian Polo, Ah Mahmoud.
Selain Abu Rawash, kilang di 6th October dan Sadat City juga kelihatan lengang.
Pelabuhan di Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir yang banyak bergantung kepada internet untuk mengedar kargo dan kontena tidak dapat digerakkan berikutan langkah kerajaan mengehadkan perkhidmatan internet sejak tunjuk perasaan yang bermula awal minggu lalu.
Walaupun keadaan ekonomi semakin terjejas, segelintir tokoh perniagaan Mesir tidak merungut.
Seorang ahli perniagaan berprofil tinggi Mesir, Naguib Sawiris dari syarikat telekom Orascom, berkata beliau menyokong aspirasi penunjuk perasaan untuk memperjuang demokrasi.
“Peralihan ke demokrasi adalah baik untuk Mesir,” katanya.
Rakan kongsi sebuah syarikat pelancongan di Kaherah, Mohammed Rajaa, Ahmed Aggag dan Amr Anwar juga mengeluh kerana kerugian besar berikutan pengunjung asing meninggalkan negara itu.
“Ia satu bencana. Kebanyakan pelancong membatalkan lawatan mereka. Kami kerugian dan mungkin bankrap dalam sebulan.
“Namun kami tidak hiraukan lagi soal wang. Kami bersama rakyat Mesir mahu Mubarak disingkirkan.”
– Agensi

No comments: