Friday, June 18, 2010

DEMI SI AUTISME - Perlukan Pengorbanan Suci



MENERIMA kehadiran anak-anak istimewa dalam kehidupan merupakan satu cabaran bagi setiap ibu bapa dan keluarga.
Justeru, untuk merentasi cabaran pastilah memerlukan pengorbanan besar agar dapat memberikan hanya yang terbaik untuk anak itu.
Begitu juga dengan bapa muda ini, Syahrul Idham Abd. Rahim, 36, yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga anak istimewanya, Ahmad Ezham, yang berusia 9 tahun.
Jika dilihat dari mata kasar, tiada apa yang kurang mengenai anak lelakinya itu. Tiada kecacatan yang ketara dan kekal dilihat dari pandangan mata. Namun, Ahmad Ezham sebenarnya dilahirkan sebagai anak autisme.
Ibunya bernama Rosnani Jaafar, 34 tahun. Ahmad Ezham juga mempunyai seorang abang berusia 11 tahun, Hazuan Syah dan seorang adik perempuan berusia dua tahun, Aisyah Addina.
Menurut Syahrul Idham, dahulu dia bertugas selama 15 tahun di salah sebuah syarikat MNC terkemuka di Petaling Jaya.
Namun atas kehadiran Ahmad Ezham, dia rela berhenti kerja agar dapat sentiasa dekat dengan anak kesayangannya itu.
''Implikasi ada anak OKU (orang kurang upaya) macam autisme ini memang memerlukan banyak pengorbanan kita sebagai ibu bapa mereka. Siapa yang nak jaga anak yang terlalu aktif
''Macam anak sindrom down atau kecacatan lain orang akan nampak, tapi anak istimewa autisme orang tidak boleh kenal, kecuali sudah ada pengalaman dengan keadaan mereka itu,'' katanya.
Jelasnya, waktu awal kelahiran anaknya itu, dia seolah-olah tidak boleh terima keadaan itu. Tambahnya, Ahmad Ezham terlalu aktif dan lasak mengakibatkan dia terlalu letih, menjadikan dia tertekan, tidak boleh melakukan sebarang aktiviti, tidak boleh tidur malam yang mengakibatkan pada waktu siang dia akan keletihan dan tertidur di tempat kerja.
Walaupun begitu, Syahrul Idham tidak pernah mengabaikan kepentingan pendidikan kepada anaknya itu.
Ketika berumur dua hingga tujuh tahun anaknya itu mengikuti aktiviti pembelajaran di NASOM (National Autisme Society of Malaysia) selain PDK (pendidikan dalam komuniti) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sekarang, anaknya bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.
''Kalau nak cerita mengenai aktifnya anak saya ini mungkin orang tidak akan percaya. Kalau pergi kenduri kahwin, kami tidak boleh lama takut anak saya mengganggu majlis. Dia pula suka buka baju. Kalau dibiarkan dia ke taman permainan pula pastinya budak-budak lain akan buli dia,'' katanya ketika di temui di Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Bercerita lanjut bapa ini menerangkan, sejak dari peringkat bayi lagi, Ahmad Ezham mempunyai banyak kelainan daripada abang sulungnya yang dilahirkan normal.
''Sejak dari bayi lagi perkembangannya tidak normal. Agak lembab. Tidak aktif dan tiada eye contact dengan kami ketika bercakap dengannya.
''Pada tahun kedua dan ketiga, dia masih juga tidak boleh bercakap. Kami terus rujuk dia kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang mengesahkan anak saya ini autisme + ADHD (Attention Defisit Hyperactivity Disorder).
''Selain lasak dan terlalu aktif, anak saya ini juga selalu bercakap seorang diri tidak mengira tempat, masa dan keadaan. Kami juga tidak boleh alpa, kalau pergi mana-mana dia akan selalu 'hilang','' jelasnya.
Kata Syahrul Idham, bagi masyarakat yang tidak tahu, mereka selalu menganggap anaknya itu gila atau sedang bercakap dengan orang halus atau bunian atau kembarnya. Ada juga yang mencadangkan dirinya mengemukakan masalah ini kepada bomoh untuk dirawat.
Bagaimanapun dari segi fakta jelasnya, kanak-kanak autisme bercakap seorang diri menerusi intrapersonal mereka. Mereka sebenarnya mempunyai dunia mereka yang tersendiri seolah-olah terasing yang tidak difahami oleh orang luar.
Sekiranya anaknya itu melakukan sesuatu yang 'tidak masuk akal' sama ada di tempat-tempat awam, dirinya sebagai bapa akan dipersalahkan kononnya tidak pandai mengajar dan mendidik anak. Sedangkan Syahrul Idham sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu membataskan pergaulan anak-anaknya daripada masyarakat biasa.
Katanya, sampai sekarang pada waktu malam dirinya tidak boleh tidur dengan lena, kerana sentiasa bimbang dan was-was, memandangkan reaksi anaknya itu yang boleh di luar jangkaan.
''Pengalaman saya terbangun dari tidur melihat dia menghayun pisau atas kepala saya dan menabur serbuk perasa pada badan saya amat mengejutkan.
''Pernah sekali di pasar raya seorang jurujual memarahi saya kerana kononnya tidak pandai menjaga anak kerana kelakuan Ahmad Ezham yang tidak senang duduk,'' katanya.
Bagi Syahrul Idham, masyarakat berbuat demikian kerana mereka tidak sedar dan tidak tahu apa yang dialami anaknya itu kerana rupa paras autisme seperti mereka yang normal.
Bagaimanapun dia berharap masyarakat dapat mengambil tahu maklumat sebenar mengenai apa itu autisme kerana kemungkinan besar mereka akan 'terjumpa' juga dengan kes-kes seperti ini satu hari nanti.
Ahmad Ezham menurut ayahnya, hanya akan duduk diam sekiranya dia berminat dengan sesuatu perkara. Dia juga boleh mengenal huruf atau perkataan dengan menghafal dan ralit dengan komputer dan permainan berbentuk elektronik lain.
Namun sebagai bapa, tiada apa yang diingini oleh Syahrul Idham terhadap anaknya pada masa depan selain hanya berdoa anaknya itu akan mampu berdikari dan boleh menguruskan diri.
Syahrul Idham kini menceburi bidang insurans yang masanya lebih fleksibel bagi membolehkan dia mengambil dan menghantar anaknya itu ke sekolah. Manakala, isterinya pula membuka perniagaan kosmetik.
Pengorbanan yang dilakukan oleh Syahrul Idham merupakan contoh terbaik bagi bapa yang sanggup menjaga anak istimewa mereka dengan kasih sayang tidak berbelah bagi.
Sesungguhnya kasih seorang bapa itu tidak bertepi.




SI AUTISM PERLUKAN PERHATIAN PENUH MESRA
sekadar berkongsi pengalaman (petikan hmetro) ;


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
Harian Metro Online @ 1st July 2007

KEHIDUPAN kanak-kanak autistik memang misteri. Tiada siapa dapat membaca apa yang berlegar dalam fikiran mereka, terutama apabila kanak-kanak istimewa ini mula menunjukkan perangai pelik seperti berlagak pekak, menjadi terganggu dengan perubahan kecil pada persekitaran dan mencederakan diri sendiri.

Kanak-kanak ini juga tidak berminat dan enggan menggunakan alat permainan, tidak mahu bertentang mata dan tiada ekspresi muka apabila bercakap serta lebih suka bermain sendiri. Di sebalik kekurangan ini, sesetengah kanak-kanak autisme mempunyai bakat mengagumkan dalam seni lukis, muzik dan matematik.

Autisme adalah gangguan perkembangan otak yang dicirikan masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain serta menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang; biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai.

Masih ramai ibu bapa yang mempunyai anak autisme menyalahkan diri sendiri kerana dianugerahkan anak sebegini. Ia bukan salah sesiapa kerana tiada siapa tahu bagaimana atau kenapa autisme boleh berlaku.

Gangguan ini dipercayai berkaitan dengan ketidaknormalan pada beberapa bahagian otak. Malah, saiz otak kanak-kanak autistik juga tidak sama seperti kanak-kanak normal kerana ada yang lebih besar.

Masalah autisme boleh dikesan ketika bayi lagi. Bagaimanapun, biasanya ia hanya disedari kebanyakan ibu bapa apabila anak mencapai usia tiga tahun.

Sehingga kini, belum ada cara untuk menyembuhkannya. Namun, autisme boleh dirawat dan rawatan awal mampu memberi kehidupan lebih baik kepada kanak-kanak ini.

Dianggarkan seorang bayi daripada 1,000 kelahiran mengalami autisme. Bagaimanapun, ada kajian mengatakan kekerapannya antara dua hingga enam kes bagi setiap 1,000 kanak-kanak. Kanak-kanak yang ada adik beradik autistik mempunyai kebarangkalian lebih tinggi (dua hingga lima peratus) mendapat masalah sama.

Autisme berlaku tiga hingga empat kali lebih kerap pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Tahap serius autisme berbeza antara individu kerana sesetengah kanak-kanak boleh membesar dan hidup berdikari, manakala segelintir lagi sentiasa memerlukan bantuan sepanjang hayat.

Menurut Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Gleneagles Intan (GIMC), Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, secara umumnya kanak-kanak autistik ada tiga masalah utama iaitu:

a. Tidak mampu bersosial — Perkembangan sosial pesakit biasanya berlaku sangat perlahan, menyebabkan mereka jauh ketinggalan berbanding rakan sebaya. Selain itu mereka menunjukkan perlakuan sangat berbeza daripada normal seperti:

# Tidak menghiraukan orang lain.
# Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain.
# Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap.
# Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang).
# Susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran.
# Lebih suka bermain sendiri.
# Tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi.

b. Tidak boleh bertutur dan berkomunikasi

# Lambat bercakap.
# Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang.
# Tidak boleh berkomunikasi dengan baik.
# Bercakap dalam nada pelik — seperti menyanyi atau bercakap macam robot.
# Sukar memulakan percakapan.
# Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya.
# Kanak-kanak autistik dengan sindrom Asperger menggunakan bahasa rasmi dan pertuturan mereka kedengaran seperti orang dewasa.

c. Mempunyai masalah dalam pemikiran dan perlakuan

# Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan. Mereka mudah terganggu jika disuruh melakukan perubahan.

# Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan berpusing.

# Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi. Contohnya mereka berasa terganggu apabila mendengar bunyi mesin pengisar dan menunjukkan perlakuan di luar kawalan.

# Menunjukkan pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang.

# Sentiasa bergerak.

Masalah tingkah laku

Pada masa sama, kanak-kanak autisme ada masalah tingkah laku yang boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu:

# Suka mengasingkan diri — biasanya kekecewaan ditunjukkan melalui tindak balas negatif seperti mengamuk, marah-marah, agresif (yang tidak ditujukan kepada sesiapa) atau perlakuan yang merosakkan seperti mencederakan diri.

# Kumpulan pasif — tidak faham keadaan semasa dan tidak boleh membezakan keadaan baik dan buruk. Jadi mereka biasanya terbabit dalam masalah yang dicetuskan orang lain.

# Tidak tahu bersosial — jika melakukan kesalahan, ia sangat mudah dikesan.

# Aktif tetapi berperangai pelik — kanak-kanak autistik jenis ini suka mendapatkan perhatian orang lain dan biasanya mereka diejek atau dibuli kanak-kanak lain.

“Hampir 70 peratus kanak-kanak autisme ada masalah terencat akal pada tahap berbeza. Ini sebabnya proses pembelajaran mereka lebih lambat, ada masalah berinteraksi, berkomunikasi dan tingkah laku.

“Kekurangan dialami kanak-kanak ini menyebabkan mereka tidak faham perasaan orang lain, tiada usaha menggembirakan orang lain dan tidak pandai berinteraksi secara spontan. Individu autistik sukar memahami keadaan persekitaran yang menyebabkan mereka sukar terbabit secara langsung apabila bersembang.

“Tingkah laku yang suka mencederakan diri menandakan autisme teruk. Biasanya ia berlaku jika IQ kanak-kanak berkenaan kurang daripada 20. Bagaimanapun ia boleh dibantu dengan pengambilan ubat anti kemurungan,” katanya ketika seminar pendidikan autisme anjuran GIMC.

Biasanya kanak-kanak autisme memilih satu bahasa pertuturan. Jika selesa berbahasa Inggeris, mereka bertutur dalam bahasa berkenaan dengan sesiapa juga dan ibu bapa disaran menggunakan bahasa pilihan anak ketika berinteraksi dengan mereka.

Banyak faktor boleh mempengaruhi proses pembelajaran individu autisme iaitu:

# Sejarah pendidikan — Rawatan dan pendidikan awal dapat memberi kesan lebih baik. Ia membolehkan kanak-kanak autistik berdikari seperti kanak-kanak lain. Bahkan sokongan dan kaedah penjagaan di rumah juga memberi pengaruh besar kepada perkembangan individu ini.

# Keadaan persekitaran — Bunyi, bau dan suasana yang tidak selesa mengganggu proses pembelajaran. Akibatnya mereka sukar menerima apa yang diajar.

# Perangai atau tabiat.

# Darjah atau tahap autisme — sebahagian besar individu autisme ada masalah terencat akal. Jadi pencapaian setiap orang berbeza. Ada yang boleh berdikari, tetapi ramai juga memerlukan bantuan sepanjang hayat.

Setiap individu autistik ada pandangan sendiri terhadap kehidupan di dunia dan penerimaan terhadap pandangan itu membolehkan kita, terutama ibu bapa, memahami serta menangani perlakuan golongan istimewa berkenaan.

Seperti diterangkan di atas, masalah autisme boleh dikesan ketika bayi. Perkembangan dan tumbesaran setiap bayi berbeza; ada yang cepat dan ada pula lebih perlahan. Bagaimanapun di kalangan bayi autisme, perkembangan mereka biasanya lambat 18 bulan.

Jika anak anda menunjukkan perkembangan terlalu perlahan, segera bawa berjumpa doktor untuk dibuat pemeriksaan lanjut. Langkah ini membolehkan anak mendapat rawatan dan pendidikan khas supaya mereka boleh membesar dengan baik.

Antara tanda yang perlu diperhatikan ialah:

# Bayi tidak bercakap bahasa bayi seperti ‘ba ba atau ku ku’ ketika berumur 12 bulan.

# Tidak membuat pergerakan bermakna seperti menunjuk ke satu arah pada umur 12 bulan.

# Tidak boleh bercakap satu patah perkataan pun ketika berumur 16 bulan.

# Tidak boleh bercakap ayat yang mengandungi dua patah perkataan apabila berumur dua tahun.

# Hilang kemahiran bahasa atau sosial pada sebarang umur.

Menangani anak autisme

Cabaran ibu bapa yang ada anak autistik memang besar kerana sukar untuk memahami kelakuan anak. Gangguan tingkah laku kanak-kanak autisme juga berbeza antara individu dan ibu bapa perlu belajar cara menanganinya.

“Apabila bercakap dengan anak, bercakaplah mengikut tahap pemikirannya. Contohnya jika anak berusia 12 tahun, tetapi tahap pemikirannya mungkin sama seperti kanak-kanak berumur lapan atau enam tahun.

“Pendekatan penting untuk membentuk perlakuan baik ialah meningkatkan kefahaman anak terhadap kehidupan dan peranan mereka dalam dunia ini. Puji anak apabila mereka berkelakuan baik kerana ada kanak-kanak sengaja buat perangai hanya untuk mendapatkan perhatian.

“Jangan hukum anak apabila mereka buat perangai, sebaliknya gunakan pendekatan lebih positif. Contohnya dengan mengalihkan perhatian, melakukan aktiviti digemari atau melengahkan memberi apa yang diminta. Kalau semua kaedah tidak berjaya dan anak masih mengamuk, biarkan seketika hingga perasaan mereka reda,” katanya.

Mendidik anak autistik memerlukan kesabaran tinggi. Ada kanak-kanak yang meniru setiap perlakuan atau kata-kata ibu bapa. Jika anda berdepan masalah begini, anda boleh mengajar anak melalui mimik muka.

Jika marah, buat mimik marah. Cara ini sebenarnya sangat berkesan kerana ia bukan saja mengajar anak belajar mengenali ekspresi wajah, bahkan menimbulkan suasana pembelajaran tidak langsung yang lebih positif.

Selain itu, ibu bapa perlu memastikan anak terhindar daripada rangsangan yang boleh menyebabkan mereka terganggu untuk mengelakkan tindak balas atau kelakuan yang tidak diingini. Antaranya ialah:

# Pastikan anak anda sentiasa berasa selesa. Kadangkala pakaian, kasut dan persekitaran boleh menyebabkan mereka berasa terganggu.

# Elakkan kaedah konfrontasi (pertentangan dan perselisihan) yang boleh merangsang perlakuan tidak diingini.

# Pastikan anak tahu sesetengah tindak balas yang boleh diterima apabila berdepan satu-satu keadaan.

# Ajar anak cara berkomunikasi yang boleh diterima dan mereka tahu komunikasi berkenaan difahami orang lain.

# Ajar anak untuk mengenal satu-satu keadaan supaya mereka tahu apa perlu dilakukan mengikut masa, tempat, cara dan apa bakal terjadi selepas itu.

“Paling penting, ibu bapa atau penjaga perlu menjaga diri supaya tidak tertekan. Dapatkan bantuan dan sokongan sama ada daripada ahli keluarga, ibu bapa lain atau doktor.

“Luangkan masa untuk diri sendiri supaya anda lebih kuat dan tabah untuk mendidik anak.

“Terima kehadiran anak dengan hati terbuka. Saya percaya Allah memberi ujian yang setanding dengan kekuatan hati dan minda kita untuk menanganinya,” katanya.


Author
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
Harian Metro Online @ 1st July 2007

CABARAN BAPA SI AUTISME - Berhenti kerja demi anak

Oleh ROSMAH DAIN @utusanonline
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMAD

SEBAHAGIAN aksi Ahmad Ezham ketika ditemu bual bersama ayahnya, Syahrul Idham, baru-baru ini.

MENERIMA kehadiran anak-anak istimewa dalam kehidupan merupakan satu cabaran bagi setiap ibu bapa dan keluarga.
Justeru, untuk merentasi cabaran pastilah memerlukan pengorbanan besar agar dapat memberikan hanya yang terbaik untuk anak itu.
Begitu juga dengan bapa muda ini, Syahrul Idham Abd. Rahim, 36, yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menjaga anak istimewanya, Ahmad Ezham, yang berusia 9 tahun.
Jika dilihat dari mata kasar, tiada apa yang kurang mengenai anak lelakinya itu. Tiada kecacatan yang ketara dan kekal dilihat dari pandangan mata. Namun, Ahmad Ezham sebenarnya dilahirkan sebagai anak autisme.
Ibunya bernama Rosnani Jaafar, 34 tahun. Ahmad Ezham juga mempunyai seorang abang berusia 11 tahun, Hazuan Syah dan seorang adik perempuan berusia dua tahun, Aisyah Addina.
Menurut Syahrul Idham, dahulu dia bertugas selama 15 tahun di salah sebuah syarikat MNC terkemuka di Petaling Jaya.
Namun atas kehadiran Ahmad Ezham, dia rela berhenti kerja agar dapat sentiasa dekat dengan anak kesayangannya itu.

''Implikasi ada anak OKU (orang kurang upaya) macam autisme ini memang memerlukan banyak pengorbanan kita sebagai ibu bapa mereka. Siapa yang nak jaga anak yang terlalu aktif
''Macam anak sindrom down atau kecacatan lain orang akan nampak, tapi anak istimewa autisme orang tidak boleh kenal, kecuali sudah ada pengalaman dengan keadaan mereka itu,'' katanya.
Jelasnya, waktu awal kelahiran anaknya itu, dia seolah-olah tidak boleh terima keadaan itu. Tambahnya, Ahmad Ezham terlalu aktif dan lasak mengakibatkan dia terlalu letih, menjadikan dia tertekan, tidak boleh melakukan sebarang aktiviti, tidak boleh tidur malam yang mengakibatkan pada waktu siang dia akan keletihan dan tertidur di tempat kerja.
Walaupun begitu, Syahrul Idham tidak pernah mengabaikan kepentingan pendidikan kepada anaknya itu.
Ketika berumur dua hingga tujuh tahun anaknya itu mengikuti aktiviti pembelajaran di NASOM (National Autisme Society of Malaysia) selain PDK (pendidikan dalam komuniti) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sekarang, anaknya bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.
''Kalau nak cerita mengenai aktifnya anak saya ini mungkin orang tidak akan percaya. Kalau pergi kenduri kahwin, kami tidak boleh lama takut anak saya mengganggu majlis. Dia pula suka buka baju. Kalau dibiarkan dia ke taman permainan pula pastinya budak-budak lain akan buli dia,'' katanya ketika di temui di Serdang, Selangor, baru-baru ini.
Bercerita lanjut bapa ini menerangkan, sejak dari peringkat bayi lagi, Ahmad Ezham mempunyai banyak kelainan daripada abang sulungnya yang dilahirkan normal.
''Sejak dari bayi lagi perkembangannya tidak normal. Agak lembab. Tidak aktif dan tiada eye contact dengan kami ketika bercakap dengannya.
''Pada tahun kedua dan ketiga, dia masih juga tidak boleh bercakap. Kami terus rujuk dia kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) yang mengesahkan anak saya ini autisme + ADHD (Attention Defisit Hyperactivity Disorder).

''Selain lasak dan terlalu aktif, anak saya ini juga selalu bercakap seorang diri tidak mengira tempat, masa dan keadaan. Kami juga tidak boleh alpa, kalau pergi mana-mana dia akan selalu 'hilang','' jelasnya.
Kata Syahrul Idham, bagi masyarakat yang tidak tahu, mereka selalu menganggap anaknya itu gila atau sedang bercakap dengan orang halus atau bunian atau kembarnya. Ada juga yang mencadangkan dirinya mengemukakan masalah ini kepada bomoh untuk dirawat.
Bagaimanapun dari segi fakta jelasnya, kanak-kanak autisme bercakap seorang diri menerusi intrapersonal mereka. Mereka sebenarnya mempunyai dunia mereka yang tersendiri seolah-olah terasing yang tidak difahami oleh orang luar.
Sekiranya anaknya itu melakukan sesuatu yang 'tidak masuk akal' sama ada di tempat-tempat awam, dirinya sebagai bapa akan dipersalahkan kononnya tidak pandai mengajar dan mendidik anak. Sedangkan Syahrul Idham sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu membataskan pergaulan anak-anaknya daripada masyarakat biasa.
Katanya, sampai sekarang pada waktu malam dirinya tidak boleh tidur dengan lena, kerana sentiasa bimbang dan was-was, memandangkan reaksi anaknya itu yang boleh di luar jangkaan.

''Pengalaman saya terbangun dari tidur melihat dia menghayun pisau atas kepala saya dan menabur serbuk perasa pada badan saya amat mengejutkan.
''Pernah sekali di pasar raya seorang jurujual memarahi saya kerana kononnya tidak pandai menjaga anak kerana kelakuan Ahmad Ezham yang tidak senang duduk,'' katanya.
Bagi Syahrul Idham, masyarakat berbuat demikian kerana mereka tidak sedar dan tidak tahu apa yang dialami anaknya itu kerana rupa paras autisme seperti mereka yang normal.
Bagaimanapun dia berharap masyarakat dapat mengambil tahu maklumat sebenar mengenai apa itu autisme kerana kemungkinan besar mereka akan 'terjumpa' juga dengan kes-kes seperti ini satu hari nanti.
Ahmad Ezham menurut ayahnya, hanya akan duduk diam sekiranya dia berminat dengan sesuatu perkara. Dia juga boleh mengenal huruf atau perkataan dengan menghafal dan ralit dengan komputer dan permainan berbentuk elektronik lain.
Namun sebagai bapa, tiada apa yang diingini oleh Syahrul Idham terhadap anaknya pada masa depan selain hanya berdoa anaknya itu akan mampu berdikari dan boleh menguruskan diri.
Syahrul Idham kini menceburi bidang insurans yang masanya lebih fleksibel bagi membolehkan dia mengambil dan menghantar anaknya itu ke sekolah. Manakala, isterinya pula membuka perniagaan kosmetik.
Pengorbanan yang dilakukan oleh Syahrul Idham merupakan contoh terbaik bagi bapa yang sanggup menjaga anak istimewa mereka dengan kasih sayang tidak berbelah bagi.
Sesungguhnya kasih seorang bapa itu tidak bertepi.


Thursday, June 17, 2010

Pelajar Lelaki Dipenjara Dua Tahun Kebumi Mayat Bayi

MELAKA: Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi dipenjara dua tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran dan mengebumikan mayat seorang bayi lelaki yang dilahirkan teman wanitanya, di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini, bulan lepas.

TERTUDUH (menutup muka) hadir di Mahkamah Majistret, Melaka semalam atas tuduhan menyembunyikan kelahiran bayi.


Teman wanitanya yang juga pelajar berusia 15 tahun yang mengaku bersalah atas tuduhan sama, dikenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, selama dua tahun.
Remaja perempuan yang merupakan pesalah juvana, juga diperintah melapor diri di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan balai polis berdekatan setiap dua bulan sekali dalam tempoh dua tahun, mesti berada di rumah selewat-lewatnya jam 6 petang setiap hari bagi tempoh dua tahun dan mengikuti bangkel interaktif anjuran JKM.

Pelajar perempuan itu dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan berkenaan antara pukul 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lepas.
Kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil, tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama iaitu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Majistret Muhamad Faizal Ismail turut meneliti laporan sosial dan laporan akhlak yang disediakan Timbalan Pendakwaraya Farah Wahida Md Nor.
Hadir sama dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup itu ialah dua Penasihat Mahkamah Juvana Rizal Abdullah dan Zainon Mohd Ali.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan, Farah Wahida berkata, Muhamad Faizal menyatakan hukuman yang diputuskan itu berdasarkan kepada kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
Beliau berkata, majistret berharap hukuman berkenaan sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak melakukan jenayah sama dan juga sebagai pengajaran kepada kedua-dua pesalah muda itu.
"Walaupun kedua-dua pesalah masih muda tetapi mahkamah memandang serius kes berkenaan dan hukuman berat itu sebagai pengajaran," katanya.
Farah Wahida berkata, terdahulu ketika merayu agar hukuman diringankan, Muhammad Safiuddin memberitahu mahkamah dia ingin meneruskan pengajiannya dan juga meminta mahkamah memberi peluang kepadanya untuk berubah.
Pelajar perempuan dalam rayuannya berkata, dia mahu meneruskan pelajarannya dan turut memberitahu ibunya seorang ibu tunggal.
Farah Wahida berkata, beliau pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat berdasarkan kepentingan awam kerana kes jenayah berkenaan semakin berleluasa di negara ini.

- BERNAMA


KRONOLOGI KES


Mayat Bayi Lelaki Ditemui Ditanam Di Tebing Sungai Batu Berendam
MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya, yang merupakan pelajar berusia belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki, yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi, Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah berkata kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok.
"Siasatan kes ini telahpun selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada pukul 4 pagi di Taman Melaka Baru.
"Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.
Mohd Adnan berkata polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira pukul 10 malam Rabu lepas.
Katanya wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.
Semasa disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.
Katanya polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira pukul 1.45 pagi di rumahnya, yang kemudiannya membawa polis ke tempat bayi itu ditanam.
Susulan daripada itu, Mohd. Adnan memberitahu, polis menahan teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang merupakan penuntut sebuah pusat pengajian tinggi di Terengganu.
Tambahnya, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun itu, polis pergi ke lokasi tempat mayat bayi tersebut ditanam pada pukul 4 pagi keesokan harinya.
“Polis kemudian menemui mayat bayi yang ditanam sedalam 0.8 meter di tebing sebatang sungai sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
“Siasatan mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala,” katanya.
Berikutan itu, polis menahan pasangan terbabit di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.
- BERNAMA


Wednesday, June 16, 2010

2010 FIFA WORLD CUP - Puspawarna





kombinasiwajahpenyokongpenyokongdaripadapelbagainegara.jpg


KOMBINASI wajah penyokong-penyokong daripada pelbagai negara yang mengambil bahagian dalam piala dunia di Afrika Selatan.
danielederossitengahmeraikankejayaanmenjaringkangol.jpg

Pemain tengah Itali, Daniele De Rossi (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol menentang Paraguay dalam perlawanan yang berakhir dengan seri 1-1 di Cape Town, kelmarin.

markpastoncemasapabiladiasakolehpemainslovakia.jpg



Penjaga gol New Zealand, Mark Paston cemas apabila diasak oleh pemain Slovakia, Vladimir Weiss (tengah) dalam saingan kumpulan F di Rustenburg, semalam. kedua-dua pasukan seri
wajahhampaduapenyokongparaguay.jpg





 Wajah hampa dua penyokong Paraguay apabila Itali menjaringkan gol penyamaan dalam saingan kumpulan F, kelmarin. perlawanan berakhir dengan seri 1-1



@utusanonline

2010 FIFA WORLD CUP

Jabulani pula dipersoal



PORT ELIZABETH, Afrika Selatan, - Jurulatih Ivory Coast, Sven Goran Eriksson merupakan individu terbaru yang menyuarakan pendapat mengenai Jabulani iaitu bola yang digunakan di Piala Dunia.
Jurulatih kelahiran Sweden telah menuntut satu sidang kemuncak diadakan bagi membincangkan penggunaannya, tetapi bukan selepas Piala Dunia 2010 berakhir.
"Anda boleh lihat dalam perlawanan kelmarin apabila tendangan dilakukan, arah bola menjadi tidak menentu dan membelok ke arah lain.
"Penjaga gol sama sekali tidak menyukai situasi tersebut, kini semuanya sudah terlambat untuk melakukan sesuatu tentang hal itu di Piala Dunia namun ia harus dibahas oleh pihak yang terbabit,'' kata Eriksson selepas pasukannya seri 0-0 dengan Portugal kelmarin.
Menurut Eriksson, setiap orang harus mendengar pendapat penjaga gol terkemuka dunia dan memberi sokongan kepada mereka mengenai perkara tersebut.
"Pengurus, pemain dan syarikat yang menghasilkan bola (Adidas) harus memperkatakannya."
''Bola tersebut telah dilabel 'teruk' oleh penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas, dan 'sukar diduga' oleh penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon, yang kemudian mengatakan bahawa bola tersebut merupakan satu keaiban apabila digunakan dalam pertandingan yang hebat seperti Piala Dunia.
Penjaga gol Brazil, Julio Cesar berpendapat bola tersebut mempunyai kualiti yang sama dengan bola yang dibeli di pasar raya manakala penjaga gol Chile, Claudio Bravo pula mengatakan bola tersebut hanya sesuai untuk permainan bola tampar pantai.
Walaubagaimanapun, Adidas tampil membela produknya.
"Bola tersebut mengikut syarat yang ditetapkan oleh FIFA yang merangkumi, berat, saiz, dan tekanan mengikut suhu.
"Bola kita bukan sahaja menepati syarat yang ditetapkan malah cukup sesuai dengan aksi mereka," kata jurucakap syarikat Jerman itu. - AFP

Utusan Online

Sultan Brunei Ceraikan Azrinaz


PETALING JAYA:
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semalam menceraikan isteri baginda, Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar Hakim Mazhar dengan talak satu.
Pengumuman khas mengenai perceraian itu diumumkan oleh Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, Pengiran Alaudin Pengiran Abu Bakar melalui web tv Radio Televisyen Brunei (RTB) di Brunei malam semalam.
Pengiran Alaudin turut mengumumkan kesemua pingat dan darjah kebesaran yang pernah dianugerahkan kepada bekas wartawan penyiaran TV3 itu ditarik balik serta-merta.
Pengumuman khas itu boleh diikuti di http://www.rtbnews.rtb.gov.bn/?c=newsDetail&news_id=10094.
Sultan Brunei menikahi Azrinaz pada 20 Ogos 2005 pada satu majlis tertutup di lokasi yang dirahsiakan. Beliau ketika itu berusia 26 tahun sementara baginda berusia 58 tahun.

Hasil perkahwinan tersebut pasangan diraja itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Abdul Wakeel pada 1 Jun 2006 dan Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah pada 28 Januari 2008.

Tuesday, June 15, 2010

Istana Negara Baharu Ke Bawah Duli YMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong



Istana Negara baharu yang terletak di Jalan Duta Kuala Lumpur, sedang dalam proses pembinaan. Istana tersebut dianggar menelan belanja RM400 juta pada tahun 2006 tetapi kini tahun 2010 kosnya meningkat kepada RM811 juta. Projek ini bakal disiapkan pada Februari 2011. DAULAT TUANKU !!

SHREK yang mempesonakan - (Nostalgia 04Jun 2010 Galaxy Ampang)


                                                                    Bintang-bintang utama di sebalik Shrek Forever After pada majlis tayangan perdana filem itu Los Angeles baru-baru ini. Dari kiri: Antonio Banderas (Puss in Boots), Mike Myers (Shrek), Eddie Murphy (Donkey) dan Cameron Diaz (Fiona). - Foto AFP



NILAI hiburan yang ditawarkan dalam jenama filem francais Shrek memang tidak perlu disangkal. Bahkan, di kalangan peminat karakter gergasi hijau ini, kemunculan edisi keempat juga terakhir Shrek pastinya sesuatu yang paling dinantikan.
Sepertimana yang dipaparkan dalam jurnal Shrek untuk tiga prekuel terdahulu, Shrek Forever After (SFA) yang didatangkan dalam visual 3D kali ini masih berkisar kepada rentetan hidup Shrek.
Bab terakhir Shrek ini yang bermula dengan paparan Shrek (suara oleh Mike Myers) menyulami kebahagian di samping isteri, Fiona (suara oleh Cameron Diaz) dan tiga anaknya berubah selepas diperdaya oleh Rumpelstiltskin yang berangan menjadi raja, menerusi satu perjanjian yang mengakibatkan kehidupan Shrek menjadi haru-biru.


Kebahagiaan Shrek di samping Fiona dan tiga anaknya musnah selepas
diperdaya oleh Rumpelstiltskin.
Justeru, penceritaan kali ini membawa imaginasi dan khalayan penonton dalam misi Shrek untuk meleraikan kekusutan yang membelenggu.
Umumnya, tiada apa yang ekstra tentang SFA, walaupun penonton, masih mampu terhibur dengan jenaka dan aksi-aksi lucu yang dipaparkan, Shrek kali ini bagai dihasilkan sekadar untuk melengkapkan rantaian plot filem ini.
Misi Shrek untuk memulihkan segala kecelaruan yang membelenggu hidupnya masih ditemani Donkey (suara oleh Eddie Murphy) yang setia di sisi dan tidak lekang dengan jenaka slasptiknya.
Perjanjian dengan Rumpelstiltskin yang mengubah hidup Shrek menjadi haru-biru.
Penampilan Fiona untuk kali ini, daripada seorang puteri ayu kepada yang srikandi yang ekstrem dan ganas dalam mengetuai kumpulan ogre membalas dendam terhadap Rumpelstiltskin begitu mengujakan.

Begitu jua dengan aksi beberapa watak baru termasuk Rumpelstiltskin (suara oleh Walt Dohrn) dan bala tentera ahli sihirnya yang pasti membuai imaginasi penonton.
Apa pun, watak paling comel dan tentunya akan terus diingati adalah watak Puss in Boots (suara oleh Antonio Banderas) yang mengalami perubahan fizikal yang drastik kali ini.



Puss in Boots bertukar daripada
seekor kucing satria kepada kucing
gemuk yang manja.






Jika sebelum ini, Puss adalah seekor kucing satria, namun gara-gara dimanjakan oleh Fiona, Puss bertukar menjadi seekor kucing gemuk dan 'terlebih manja'. Aksi-aksi Puss On Boots memang boleh buat penonton pecah perut.
Lebih manis, kesemua watak-watak penting yang pernah mewarnai kembara Shrek daripada yang pertama hinggalah terkini dimunculkan kembali di pengakhiran cerita, sebagai simbolik kenang-kenangan buat semua peminat filem DreamWorks Animation ini.

Bersesuaian dengan perjalanan francais Shrek yang menemui noktahnya dalam edisi ini, SFA juga diakhiri dengan pengakhiran yang menggembirakan untuk semua. Shrek terus bahagia menjalani kehidupan bersama isteri, anak-anak dan komuniti persekitarannya.

Aksi lucu Shrek, Donkey dan Puss in Boots.


Bagi peminat Shrek dan animasi umumnya, SFA adalah animasi yang tidak harus dilepaskan kerana selepas ini tiada lagi jurnal si gergasi hijau yang comel untuk menggeletak anda di pawagam.
Cuma, dalam keghairahan trend pembikin filem Hollywood hari ini menawarkan visual 3D dalam kebanyakan filem mereka termasuk animasi, terdetik juga persoalan di fikiran mengenai relevannya SFA dipersembahkan dalam 3D.
Menyedari kapasiti dan plot Shrek yang hanyalah berkisar kepada genre drama, pengembaraan dan komedi dengan paparan aksi yang minimum, justeru SFA dilihat kurang memberangsangkan apabila diterjemah dalam paparan 3D.
Pengarahnya, Mike Mitchell.


Bukan plotnya lemah, cuma paparan secara 3D dilihat tidak memberikan impak ekstra kepada filem ini. Malah, berdasarkan pengamatan selama 93 minit itu, paparan 3D pada SFA hanya biasa-biasa saja, tidaklah sehebat pengalaman ketika kita menonton 3D dalam Up (2009), A Chrismas Carol (2009) mahupun How To Train Your Dragon (2010).
Rasanya, jika SFA dipersembahkan dalam bentuk 2D saja pun sudah memadai kerana memakai kaca mata 3D atau tidak, visual yang dipaparkan dalam filem ini tidak begitu menuntut kita untuk menikmatinya dalam visual 3D.
Mungkin desakan trend dan arus perkembangan teknologi industri filem Hollywood yang memaksa produksi SFA untuk turut sama menghidangkan filem arahan Mike Mitchell ini dalam visual 3D.

Kepincangan Dalam Masyarakat Kita...




SEORANG bapa telah membuat laporan polis akan kehilangan dua orang anak lelakinya dan 16 hari kemudian mendapati, mereka sebenarnya berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Tetapi itu bukanlah ceritanya. Cerita yang sebenarnya ialah, pihak polis kini sedang menimbang untuk mengambil tindakan ke atas keluarga kanak-kanak itu di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 kerana gagal atau cuai dalam menjaga anak di bawah peliharaan mereka sehingga kedua-duanya hilang. Mereka berusia tujuh dan lapan tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Kanan Datuk Ku Chin Wah ketika mendedahkan kejadian ini berkata, pada 15 Mei lalu, seorang lelaki berusia 45 tahun telah membuat laporan polis mendakwa dua orang anaknya tidak pulang ke rumah sejak 12 Mei.
Tetapi menurut Ku, apa yang mencurigakan pihak polis ialah, ketika dia membuat laporan kehilangan anak-anaknya itu, lelaki berkenaan bukan sahaja langsung tidak memperlihatkan riak wajah yang gusar malah kelihatan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
Pun begitu, pihak polis melancarkan gerakan mencari termasuklah mendapatkan bantuan daripada penduduk di sekitar Chow Kit di mana dua kanak-kanak ini hilang. Dan selepas usaha mencari menemui jalan buntu, pada 27 Mei, polis menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memaklumkan tentang kehilangan dua kanak-kanak itu dengan harapan akan ada pihak yang menghubungi jabatan berkenaan jika terjumpa mereka.
Menurut Ku, polis terkejut apabila mendapati, dua kanak-kanak tersebut sebenarnya berada dalam jagaan jabatan berkenaan. Siasatan lanjut mendapati, keluarga kanak-kanak itu berasal dari Terengganu dan baru berhijrah ke Kuala Lumpur pada awal bulan Mei untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
Mereka duduk menumpang berdekatan dengan Hospital Kuala Lumpur dan oleh kerana sibuk mencari kerja, mereka tidak memperdulikan pergerakan anak mereka.
Ini mendorong pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjutan dan akhirnya apa yang mereka dapati ialah sesuatu yang lebih mengejutkan. Pasangan ibu-bapa kepada kedua-dua anak ini sebenarnya tidak pernah berkahwin dan kelahiran anak sulung mereka tidak pernah didaftarkan.
“Kami dapati, sepanjang berada di ibu kota, budak-budak ini merayau di sekitar Chow Kit bersendirian sambil meminta sedekah dan makanan. Selepas memperolehi wang, mereka akan menghabiskannya di pusat-pusat hiburan bermain game,” kata Ku.
Hasil siasatan polis juga mendapati, seorang warga yang perihatin telah memberi makan kepada dua kanak-kanak ini setiap hari sehinggalah dia terpaksa ke luar kawasan dan apabila kembali dia tidak bertemu lagi dengan mereka.
Yang lebih menyedihkan ialah, kata Ku, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menemui kedua-dua beradik ini berpelukan kesejukan di bawah jejantas LRT Titiwangsa pada 13 Mei lalu dan sejak itu mereka berada di bawah jagaan jabatan itu di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah Cheras.
Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga kini turut bercadang memulakan tindakan undang-undang untuk mengambil hak penjagaan kanak-kanak ini daripada keluarga mereka.
Polis juga berkata, ibu-bapa kedua-dua kanak-kanak ini turut mendakwa mereka pernah kehilangan seorang lagi anak di Terengganu pada tahun 2003 tetapi tidak pasti sejauh manakah kebenaran cerita itu kerana ia didakwa berlaku tujuh tahun yang lalu.
Alahai... apa yang berlaku ke atas dua orang kanak-kanak itu mencerminkan kepincangan yang wujud dalam masyarakat kita. Mungkin tanpa kita sedari dan mungkin juga kita sedari tetapi tidak berupaya untuk mengubah nasib dan keadaan kerana kita juga dibelenggu dengan seribu satu macam hal, perkara dan masalah saban hari.

Minta Sedekah Kerana Miskin ke Atau Kerana Satu Kerjaya?
DAN itulah juga yang berjaya dibongkarkan oleh wartawan Mingguan mStar, Izra Abd Rahman dalam laporan penyiasatannya tentang bagaimana sekumpulan kanak-kanak Myanmar berjaya mengutip antara RM500 hingga RM800 sehari di sekitar Seksyen 7, Shah Alam dan kemudian pergi enjoy hasil kutipan itu dengan bermain game sepuas-puasnya di kafe siber yang berhampiran.
Bunyinya sama dengan apa yang dilakukan oleh dua orang kanak-kanak Terengganu yang hilang itu tetapi bezanya cuma satu. Mereka ini telah menjadikannya satu kerjaya sedangkan kanak-kanak Terengganu itu terdesak dan cuba menghiburkan diri kerana tiada tempat tinggal yang sempurna.
Kita memberi kerana kesian. Sang penerima menjadikan ia satu kerjaya tetap. Sebenarnya masyarakat kita mempunyai dua wajah. Di sebalik sikap tidak mahu ambil peduli apa yang berlaku di hadapan mereka, pada masa yang sama mereka seolah-olah menyokong pekerjaan minta sedekah ini dengan memberi wang kerana kesian. Itulah dia.
Dan ini semua menjurus ke arah dorongan untuk melahirkan lebih ramai peminta sedekah. Seorang pelancong pernah memberitahu penulis, mereka mengelak untuk melawat New Delhi dan Bangkok kerana dimaklumkan oleh rakan mereka yang kedua-dua bandar raya ini adalah bandar raya peminta sedekah.
Adakah kita mahu Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam menjadi sebahagian daripada imej ini? Jawapannya semakin terang. Tidak lama dahulu, penulis telah singah makan tengah hari di sebuah gerai dekat Pasar Taman Tun Dr Ismail dan dalam tempoh setengah jam, meja tempat penulis menjamu selera telah dikunjungi oleh tidak kurang daripada lima pasangan peminta sedekah - seorang celik dan seorang buta dan sicelik membimbing sibuta dari satu meja ke satu meja untuk meminta sedekah.
Ada di antaranya memang benar-benar minta sedekah dan ada pula meminta sedekah dengan ‘menjual’ tisu. Penulis tertanya-tanya berapa banyakkah hasil kutipan seharian yang berjaya mereka perolehi.
Tidak pernah kita semua bertanya apakah ada kemungkinan hasil kutipan sedekah mereka melebihi gaji bulanan orang yang memberi?
Daripada hasil pemerhatian penulis, boleh dikatakan hampir di setiap meja orang memberi sedekah. Pertama mungkin kerana tidak mahu terus diganggu kerana sedang makan dan kedua mungkin kerana malu dan segan sebab di meja bersebelahan orang sedang menyaksikan sama ada dia akan menghulurkan sesuatu atau tidak.
Dan selang beberapa hari kemudian di hadapan pejabat penulis sendiri, pasangan sicelik dan sibuta datang silih berganti untuk meminta sedekah atau perlu penulis katakan meminta derma di dalam restoran pada masa orang-ramai berduyun-duyun turun makan tengah hari.
Ada orang kata, pada setiap harta kekayaan seorang manusia, simiskin ada hak ke atasnya. Tetapi dalam konteks peminta sedekah/derma ini, penulis ingin bertanya apakah mereka juga jatuh di dalam kategori miskin atau mereka sebenarnya berkerjaya - iaitu kerja sebagai peminta sedekah.

(Published: Isnin Jun 7, 2010 MYT 8:58:00 PM)