Sistem yang menggunakan konsep sungkupan bukan sahaja melindungi tetapi mencantikkan bangunan |
Anda kemungkinan kepanasan apabila berada dalam bangunan pejabat dan hanya berharap kepada pendingin hawa.
Ketika itu, pendingin hawa merupakan satu-satunya sumber bagi menyejukkan penghuni bangunan termasuk anda.
Namun evolusi dalam bidang inovasi menjanjikan suatu yang menarik dengan kejayaan kumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencipta satu sistem yang mampu mengatasi masalah kepanasan tetapi pada masa sama, mengindahkan bahagian hadapan bangunan.
Melalui inovasi ini penghuni bangunan akan berasa lebih sejuk dan mampu mengurangkan penggunaan tenaga elektrik. Pemilik bangunan pula akan berasa kagum dengan keindahan seni arkitek pada muka hadapannya.
Kumpulan penyelidik terbabit dianggotai oleh Mohammad Affendy Omardin selaku ketua, Dr Noraziah Ahmad, Mohd. Sidek, Zahrizan Zakaria, Khalimi Johan Abdul Hamid,Roslina Sidek dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam
Menurut Mohammad Affendy, teknologi tersebut yang dinamakan sistem perawatan muka hadapan bangunan beroperasi berdasarkan kaedah sungkupan yang menggunakan lapisan pelindung ultra violet (UV) atau ultra lembayung terhadap kepanasan.
"Selain itu , kaedah ini memberi imej baru kepada bangunan," katanya ketika ditemui di kampus UMP, Gambang Kuantan, baru-baru ini.
Sistem tersebut kata beliau menggunakan struktur besi sebagai kerangka utama manakala pelindung lutsinar membolehkan diadaptasikan konsep teknologi hijau.
Lebih menarik, teknologi tersebut memungkinkan pendekatan ubahsuai mengikut selera pemiliknya selain tidak mencemarkan alam sekitar.
Menurut beliau, konsep reka bentuk tersebut mempunyai bilah-bilah panel boleh dipasang dengan sel-sel solar untuk penjanaan elektrik.
Selain itu, bilah-bilah panel tersebut boleh berfungsi sebagai penghalang bunyi bising dari luar dan sesuai digunakan di kawasan berdekatan dengan lebuh raya, lapangan terbang dan stesen keretapi.
"Kami mula menjalankan penyelidikan bermula pada 2008 dan ia dihasilkan atas tujuan beberapa faktor antaranya kos pembinaan semula bangunan sangat tinggi, harga perundingan tinggi dan tidak terdapat teknologi baru dalam pembinaan bangunan ketika ini
"Kini teknologi ini sudahpun bersedia untuk dikomersialkan,'' katanya. Beliau jugal memberitahu bahawa pihaknya dalam perancangan akan memasang struktur tersebut di beberapa bangunan terpilih UMP.
Meskipun struktur kerangka menggunakan besi, namun katanya, pengguna boleh menggantikannya dengan bahan lain yang sesuai atau ringan.
Yang istimewanya, konsep tersebut boleh digunakan untuk membina kemudahan awam seperti tempat meletak kenderaan, pondok menunggu bas, ruang perniagaan dan juga sebagai aksesori tambahan.
No comments:
Post a Comment