Sunday, January 17, 2010

2 lemas, 4 hilang di Penang

AHLI keluarga meratapi mangsa tragedi perahu naga.
 GEORGETOWN: Latihan mendayung perahu naga oleh pasukan Sekolah Menengah Chung Ling bertukar tragedi apabila guru penasihatnya serta seorang pelajar lemas, manakala empat lagi hilang selepas perahu mereka dipukul ombak dan berlanggar dengan tongkang di Perairan Pantai Macalum di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi, kira-kira 100 meter dari pantai itu, perahu yang dinaiki 18 orang termasuk dua jurulatih dikatakan terbalik beberapa kali menyebabkan mangsa tercampak.

Latihan mendayung perahu naga Sekolah Menengah Chung Ling, Pulau Pinang bertukar tragedi selepas berlanggar dengan tongkang

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob, berkata mayat guru penasihat pasukan berkenaan, Chin Aik Siang, 28, dijumpai tersangkut pada perahu naga itu jam 10.20 pagi, manakala mayat Jason Ch'ng, 17, ditemui di bawah tongkang pada jam 2.45 petang. Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.


Gerakan mencari empat pelajar yang hilang pula diteruskan pagi ini selepas dihentikan pada jam 6.30 petang berikutan keadaan semakin gelap. Empat pelajar itu dikenali Brandon Yeoh, 17; Koh Yizhiang, 17; Cheah Zi Jun, 17 dan Yong Xiang, 16.

Ayub berkata, pelajar sekolah itu bersama seorang guru dan dua jurulatih dari Penang Forward Sports Club menjalani latihan mendayung untuk perlumbaan perahu naga yang dijadualkan pertengahan tahun ini.

Oleh Norakmah Mat Youb dan Petah Wazzan Iskandar
bhnews@bharian.com.my

No comments: