Tehran Bandaraya Muzium
Keadaan siang dan malamnya sama, sentiasa sesak dengan lalu lintas dan bunyi hon berterusan BAGI kebanyakan orang, Iran mungkin berada pada kedudukan terbawah dalam senarai negara yang ingin dilawati kerana memang jarang kedengaran promosi, berita atau laporan berkaitan tarikan pelancongan di negara itu. Namun, bagi penulis yang berkunjung buat pertama kali ke negara yang dulunya dikenali sebagai Parsi itu, perasaan teruja tetap ada walaupun rakan yang pernah ke sana memaklumkan Iran tidaklah sehebat mana.
Tiba hari yang dinanti, penerbangan Emirates Airlines dinaiki dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi itu menuju ke Dubai dan selang dua jam kemudian meneruskan perjalanan ke Tehran, ibu negara Iran. Ketika melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan atau 1 petang waktu Malaysia, terasa kesejukan cuacanya sebelum dimaklumkan pemandu kami, Ali Rezza bahawa Tehran di ambang musim sejuk. Sepanjang jalan dari lapangan terbang ke bandar raya yang berjarak kira-kira 40 kilometer itu, kelihatan tanah lapang tandus berlatarkan gunung ganang dan sebaik memasuki ibu kota, terlihat banjaran gunung memutih dilitupi salji.
Antara tempat menarik yang boleh dilawati di Teheran.
Penginapan di Hotel Esteghlal, dulunya Hilton Tehran memudahkan kami mengisi perut kerana ada sebuah restoran Thai beroperasi di situ walaupun rasa juadahnya agak berbeza dengan masakan Thai di Malaysia. Iran unik kerana beriklim sub tropika sepanjang laut Kaspia dan kering sepanjang tahun, namun di utaranya, suhu ketika musim salji jatuh di bawah paras beku tetapi kekal panas sepanjang musim lain yang jarang naik setinggi 29°Celsius.
Seperti bandar raya utama lain di dunia, Tehran sangat sibuk dengan keadaan siang dan malamnya sama saja, sentiasa sesak dengan lalu lintas dan bunyi hon kereta berterusan. Menempuh kesesakan lalu lintas di Tehran memberi pengalaman baru sehingga rakan penulis menyifatkan keadaan itu 10 kali ganda lebih teruk daripada Kuala Lumpur dengan sikap agresif pemandunya, manakala peraturan lalu lintas seolah-olah tidak wujud.
Dari segi pembangunan, Tehran tidak banyak ketinggalan berbanding bandar besar di negara maju lain. Ada kompleks beli-belah moden seperti Tandis Center dan Golestan Mall menempatkan butik jenama fesyen terkenal, termasuk dari Barat. Sebenarnya, banyak tarikan ada di Tehran seperti Muzium Permaidani, Muzium Melat dan Diba serta Kompleks Saad Abad, selain Bazar Tehran yang menjual pelbagai barangan seperti makanan, pakaian, kasut, emas dan mesin. Aktiviti malam agak terhad kerana kelab hiburan dan bar diharamkan di Iran sejak Revolusi Islam 1979, jadi masyarakat setempat lebih banyak menghabiskan masa mereka di taman atau makan di luar.
Tehran penuh dengan muzium yang memapar segala-galanya mengenai tamadun Iran, dari sejarahnya, arkeologi, industri berasaskan kaca, muzium diraja, permaidani, kebudayaan dan permata selain begitu banyak taman awam untuk penduduk bersantai. Penulis juga berkesempatan ke Esfahan, bandar berkembar Kuala Lumpur yang berjarak lebih 400 kilometer dari Tehran yang dihubungkan dengan lebuh raya lebar dan selesa, setanding negara maju lain. Perjalanan selama lima jam itu tidak terasa dek keindahan pemandangan di sepanjang laluan dengan gurun serta gunung ganang yang memutih dilitupi salji.
Sebaik tiba di Esfahan kira-kira jam 4 petang waktu tempatan, kami dibawa ke sebuah hotel terkenal di bandar bekas ibu negara Iran itu dan terpegun dengan keindahan seni binanya serta landskap dan taman dalamannya. Waktu yang suntuk kerana ketibaan kami hanya beberapa jam sebelum matahari terbenam mengehadkan peluang untuk melawat tempat menarik di sekitar Esfahan, lalu sekadar berkunjung ke sebuah bazar di tengah-tengah pusat bandar. Antara tarikan di bandar ini ialah Dataran Naqsh-e-Jahan, Dataran Imam dan Jambatan Siose tetapi kunjungan kami mengundang jelingan daripada masyarakat setempat yang mungkin belum biasa dengan pelancong asing. Kunjungan kali pertama ke negara berkeluasan 1.64 juta kilometer persegi itu memberikan pengalaman baru amat menarik, namun kekangan masa mengehadkan pergerakan.
INFO: Iran
· Republik Islam Iran juga dikenali sebagai Parsi di negara Barat
· Terletak di tengah benua Eurasia
· Berumur hampir 6,000 tahun dan menyimpan antara tamadun tertua di dunia
· Negara ke-17 terbesar di dunia
· Anggaran keluasan 1,648,000 kilometer persegi
· Pernah dijajah Greek, Arab dan Mongol
· Berperang selama lapan tahun bermula 1980 dengan negara jirannya Iraq Populasi dan Agama
· Anggaran 70 juta rakyat dengan 14 juta berada di Tehran
· Etnik majoriti, Parsi mewakili 51 peratus
· Majoriti adalah Muslim (90 peratus Syiah dan 8 peratus Sunnah)
· Agama minoriti, Bahai, Sabea, Hindu, Zoroastrianisme, Yahudi dan Kristian. Cara ke sanaPenerbangan secara terus atau transit di Dubai disediakan Penerbangan Malaysia (Mas), Qatar Airways, Emirates atau KLM.
@bharian.com.my
· Republik Islam Iran juga dikenali sebagai Parsi di negara Barat
· Terletak di tengah benua Eurasia
· Berumur hampir 6,000 tahun dan menyimpan antara tamadun tertua di dunia
· Negara ke-17 terbesar di dunia
· Anggaran keluasan 1,648,000 kilometer persegi
· Pernah dijajah Greek, Arab dan Mongol
· Berperang selama lapan tahun bermula 1980 dengan negara jirannya Iraq Populasi dan Agama
· Anggaran 70 juta rakyat dengan 14 juta berada di Tehran
· Etnik majoriti, Parsi mewakili 51 peratus
· Majoriti adalah Muslim (90 peratus Syiah dan 8 peratus Sunnah)
· Agama minoriti, Bahai, Sabea, Hindu, Zoroastrianisme, Yahudi dan Kristian. Cara ke sanaPenerbangan secara terus atau transit di Dubai disediakan Penerbangan Malaysia (Mas), Qatar Airways, Emirates atau KLM.
@bharian.com.my
No comments:
Post a Comment