STAILO
Baju Melayu melangkau waktu
TIDAK khusus untuk musim perayaan ataupun masa beribadat, baju Melayu rekaan moden memiliki fungsi yang meluas. Apatah lagi apabila corak, material dan potongannya diperbaharui selari pergerakan trend semasa.
Gumbe antara label tempatan yang membariskan baju Melayu unik untuk kaum Adam. Tarikan Gumbe terletak pada kesederhanaan motif dan kesepaduan warna yang diterapkan.
Dengan motif hampir mencecah 50 variasi, baju Melayu cetusan Abie Abdullah itu kini mendapat sambutan menggalakkan meskipun baru muncul dalam pasaran pada Februari lalu.
Konsep suai padan baju Melayu bercetak sama ada jalur, kotak atau polka dot bersama seluar polos berona sepadan oleh Gumbe nyata memikat. Seluarnya terdiri daripada warna asas seperti merah, hijau, hitam, coklat, biru navy, kuning air dan putih.
Keselesaan si pemakai juga diutamakan. Justeru, penggunaan fabrik kapas campuran mengelakkan si pemakai cepat berasa panas dan berpeluh, masalah normal yang dialami ramai setiap kali memakai baju Melayu.
Gumbe yang bermaksud baju Melayu cekak musang dalam dialek Kelantan dipecahkan kepada dua jenis leher iaitu cekak musang dan teluk belanga. Potongannya juga berbeza daripada baju Melayu klasik. Ia direka mengikut potongan moden dan slim fit tanpa pesak dan kekek.
“Baju Melayu Gumbe dijual dalam talian. Gumbe bukan berkonsep baju Melayu tempah, jadi buat masa ini pelanggan hanya boleh memilih tiga saiz yang ditetapkan iaitu S, M dan L.
“Ia juga disasarkan untuk pasaran yang luas, tidak tertumpu kepada lelaki Melayu muda sahaja. Sesiapa yang inginkan kelainan berbaju Melayu dan bosan dengan pakaian tradisional yang sedia ada, Gumbe adalah alternatif terbaik.
“Meskipun ia didatangkan dengan seluar, untuk penciptaan gaya lebih santai atau ranggi, pengguna boleh padankan baju ini bersama jean atau kain pelikat. Kreativiti suai padan terletak pada cita rasa individu,” jelas Abie ketika ditemui Stailo baru-baru ini.
Baju Melayu Gumbe kini boleh diperoleh pada harga RM190 sepasang. Fokus turut diberikan kepada pemborong di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Singapura dengan pembelian minimum 20 pasang.
Sementara itu, penyanyi tanah air, Diddy Hirdy yang kini muncul dengan single baharu berjudul Bidadari Hati turut dilantik sebagai duta bagi baju Melayu Gumbe.
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment