Wednesday, July 09, 2014

DATUK SHARIFAH AINI KESAYANGANKU..... (koleksi laporan Utusan online)

ARKIB : 09/05/2014
Datuk Sharifah Aini dijangkiti H1N1.
KUALA LUMPUR 9 Mei - Penyanyi legenda Datuk Sharifah Aini, 61, hari ini mengesahkan yang dia pernah dijangkiti virus Influenza A (H1N1) lima bulan lalu.
Menerusi Facebooknya hari ini, Sharifah Aini memberitahu yang dia menerima rawatan di hospital selama 28 hari dan sepanjang tempoh itu dia ditempatkan di bilik berasingan daripada pesakit lain.
"Sampai sekarang saya perlu berulang-alik ke hospital dan hospital ibarat rumah kedua saya kerana kesihatan saya belum pulih seratus peratus. Saya memberitahu pengalaman ini, agar orang ramai lebih berhati-hati. Semuanya berlaku kerana saya terlalu ingin menjaga hati orang.
"Waktu itu saya mengadakan majlis khatam al-Quran dan salah seorang jemputan saya membawa kenalannya (wanita) yang tidak saya kenali dan wanita itu sejak datang batuknya amat teruk. Wanita itu hadir tiga malam berturut-turut ke majlis yang saya anjurkan itu.
"Tiap kali datang, dia akan memeluk dan mencium pipi saya. Bila dia peluk saya, tangan saya berpeluh. Selepas itu saya dapat tahu yang dia baru pulang daripada bercuti dari luar negara. Gara-gara dia, saya dan ahli keluarga disahkan dijangkiti virus H1N1," katanya yang dipetik melalui laman Facebooknya hari ini.
Kata Sharifah Aini, tujuan dia mendedahkan pengalaman itu bukan untuk menghina sesiapa, cuma untuk mengingatkan orang lain agar berhati-hati apabila mempunyai rakan atau saudara mara yang batuk teruk. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140509/hi_02/Sharifah-Aini-dijangkiti-H1N1#ixzz36xaAY5NB 

© Utusan Melayu (M) Bhd 

ARKIB : 22/05/2014
Sharifah Aini keluar masuk hospital sejak 5 bulan lalu akibat H1N1.
Oleh KHADIJAH IBRAHIM
KUALA LUMPUR 22 Mei - Penyanyi Datuk Sharifah Aini, 61, reda jika dijemput Allah pada bila-bila masa ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya sekarang.
Beliau kini menerima rawatan di sebuah hospital swasta kerana paru-parunya dijangkiti kuman.
``Kita tidak tahu bila dan di mana kita akan meninggal dunia dan jika ini takdir Allah, saya terima dengan hati yang damai dan tenang.
``Hanya satu saya pinta, doakan saya berakhir dalam khusnul khotimah (meninggal dunia dalam keadaan baik). Di kesempatan ini juga, saya ingin memberitahu pada semua bahawa saya amat menyayangi dan menghargai kasih sayang serta doa daripada anda semua,'' katanya di laman Facebook yang dimuat naik sejak dua hari lalu.
Bagaimanapun sewaktu dihubungi hari ini, Sharifah Aini berkata, walaupun ditahan di hospital, keadaan kesihatannya masih stabil dan segala dugaan yang menimpanya adalah kesan daripada jangkitan virus Influenza A (H1N1) yang dihidapinya, lima bulan lalu.
``Keluar masuk hospital adalah perkara biasa bagi saya ketika ini. Memandangkan daya ketahanan badan masih lemah, saya tidak dapat menerima kunjungan pelawat,'' katanya yang sudah 45 tahun bergelar anak seni. - UTUSAN ONLINE

A
rtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140522/hi_06/Sharifah-Aini-keluar-masuk-hospital-sejak-5-bulan-lalu-akibat-H1N1#ixzz36xZvHDCo 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

ARKIB : 03/07/2014
Sambut hari lahir di hospital.

KUALA LUMPUR 2 Julai - Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini hari ini menyambut hari lahirnya yang ke-61 tahun di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya.
Penyanyi tersohor itu telah berada di pusat perubatan berkenaan sejak kelmarin kerana sesak nafas dan beliau dibawa ke situ oleh anaknya, Aliff Omar Ali, kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurut rakan baik Sharifah Aini, Aishah Ali, setakat ini, keadaan penyanyi yang terkenal dengan lagu Seri Dewi Malam itu tidak berbahaya walaupun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
"Menurut pakar yang merawatnya, Datuk Dr. Zainudin Md. Zain, keadaan Datuk stabil, jadi saya boleh cakap keadaannya baik.
"Apa yang difahamkan oleh pakar, punca penyakit yang mengakibatkan paru-paru mengeras dan berparut sangat jarang berlaku. Jadi saya tidak boleh kongsi banyak tentang ini memandangkan pakar yang merawatnya lebih arif," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Dua tahun lalu, penyanyi itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dan keadaannya semakin membimbangkan apabila bahagian paru-parunya dijangkiti kuman.
Menurut Aishah, setakat ini Sharifah Aini ditemani keluarga terdekatnya sahaja. Malah, tetamu luar juga tidak dibenarkan masuk untuk melawat penyanyi tersebut.
"Yang boleh melawatnya hanya anak dan keluarga terdekat," katanya.
Sebelum ini, Sharifah Aini dalam laman sosialnya turut memberitahu bahawa beliau pernah menerima rawatan di hospital selama 28 hari apabila disahkan dijangkiti virus Influenza A (H1N1).
Rentetan itu, beliau sering berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140703/dn_07/Sharifah-Aini-stabil,-sambut-hari-lahir-di-hospital#ixzz36xZdkNFS 

© Utusan Melayu (M) Bhd 

ARKIB : 05/07/2014
Sharifah Aini meninggal dunia 1.30 pagi tadi.

KUALA LUMPUR 5 Julai - Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, 61, meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara KPJ di sini pada sekitar pukul 1.30 pagi tadi kerana komplikasi paru-paru.
Allahyarham disahkan mengidap masalah paru-paru yang serius semenjak dua tahun lalu dan sejak itu, berulang alik dirawat di hospital.
Keadaan Allahyarham, yang baru menyambut hari kelahiran pada 2 Julai, dikatakan semakin kritikal semenjak beberapa hari lalu dan menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140705/hi_01/Sharifah-Aini-meninggal-dunia-1.30-pagi-tadi#ixzz36xZOXueg 

© Utusan Melayu (M) Bhd ARKIB : 05/07/2014

ARKIB : 06/07/2014
Pulangnya biduanita sepanjang zaman.
RADIO kecil berwarna biru itu berada di atas rak paling hampir dengan dapur tanah di rumah usang kami. Dengan bunyi ‘kriuk-kriuk’ kecil yang selalu terbit dek frekuensi yang terganggu kala butang ‘on’ dimainkan, itulah peneman sunyi kami anak-beranak, selain sebuah televisyen hitam putih 14 inci.

Ketika itu, awal tahun 1980-an, kami tinggal di tepi Sungai Dungun, Terengganu. Saya masih kecil tetapi sangat berminat dengan radio kerana sering menghidangkan irama-irama yang mampu membuatkan seorang anak kecil seperti saya melekat di dapur bersama arwah ibu.

Seringkali juga sedang asyik bersembang, ibu menyuruh kami adik-beradik diam, tiba-tiba.

"Syhhhh, Seri Dewi Malam sudah datang, " kata arwah ibu yang sekali gus jari jemarinya memperkuatkan lagi bunyi yang teralun dari radio. Nah, alunan Seri Dewi Malam lebih mantap, mudah menyerap dan ketika itu jugalah, saya melihat wajah ibu memerah. Dalam senyum yang santun, ibu benar-benar terhibur dengan alunan suara emas penyanyinya bersenandung. Kami melihat wajah ibu seperti melur di pagi hari, kembang senyumnya penuh seri.

Kata arwah ibu, Sharifah Aini inilah pengganti Saloma, isteri P. Ramlee. Selepas Saloma tiada, ibu tidak punya artis lain yang dinanti-nantikan suaranya di radio, sehinggalah munculnya Sharifah Aini dengan kelas kesenimanan yang cukup tinggi. Kata ibu saya juga, Sharifah Aini pandai mengaji, sebab itu suaranya begitu merdu kala menyanyi.
Demikianlah seorang Sharifah Aini, membeli jiwa, memberi mimpi untuk kaum wanita berdiri, termasuk ibu saya ketika itu. Gaya, keterampilan, cara bersopan manja dia bercakap dan sudah pasti suara lemak merdu yang menjadi pembawaan adalah ciri-ciri wanita yang cukup sempurna di mata penggemar.

Selepas saya dewasa dan mengenalinya secara peribadi, penilaian saya terhadap Sharifah Aini jauh lebih tinggi berbanding zaman di mana ibu saya mengenang seorang Sharifah Aini. Kata cerdik pandai, seniman yang hebat bukan saja diukur kejayaannya tetapi usia kesenimanan yang dimilikinya. Sharifah Aini yang mesra kami panggil Kak Pah, membuktikan bahawa dia berkarya sepanjang zaman, malar segar berdekad-dekad lamanya.

Anak kepada pasangan Syed Jaafar Syed Sahil dan Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas ini dilahirkan di Nee Soon, Singapura pada 2 Julai 1953. Namun sejak usia lapan bulan lagi, Sharifah dijaga serta dibesarkan oleh neneknya, Tengku Wan Mariam Tengku Wan Tahir serta datuknya, Syed Sahil Syed Ali Al-Jufry, di Majidee, Johor Bahru.

Dengan pendapatan daripada hasil memandu teksi, kehidupan mereka sekeluarga cukup sederhana sehinggalah Sharifah Aini sewaktu kecil pernah mengambil upah menggiling cili dan menjual buah nangka serta kuih muih tradisi Johor lainnya. Nasibnya mula berubah, selepas menjuarai pertandingan Bintang RTS 1968 di Singapura dengan lagu Tiga Malam. Namanya kemudian gemilang sekali apabila berkolaborasi dengan seniman Datuk Ahmad Nawab yang mencipta lagu-lagu popular untuknya seperti Seri Dewi Malam (EP 1970), Aku Kekasih Pujaan (EP 1970) dan Aku Dan Dia (EP 1971).

Beliau kemudian disunting menjadi artis rakaman EMI dan terus bertahan dengan syarikat itu selama 38 tahun. Hasilnya, nama Sharifah Aini hari ini terukir dalam The Malaysia Book of Records sebagai penyanyi paling lama dengan sesebuah syarikat rakaman dan memiliki 135 album. Pada 2006, beliau dianugerahkan dengan gelaran Biduanita Negara.

Banyaknya lagu popular beliau menjadikan Sharifah Aini muncul sebagai artis pertama negara yang digelar ‘superstar’. Antara lagu popular lain beliau ialah Hapuslah Airmatamu, Seiring Dan Sejalan (duet bersama Broery Marantika), Terbang Helang, Bunga Tanjung, Jalak Lenteng, Seribu Mawar, Kau Tinggi Di Awan Biru, Hiburkanlah Hatiku, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Kau Racun Hidupku.

Saya melihat dia sebagai pejuang yang berjuang sehingga ke penghujung hayat. Dua kali gagal dalam perkahwinan bukan penamat perjuangan untuk bahagia dengan percaturan diri.
Sedang satu-satu anak tunggalnya, Aliff Omar masih meneruskan pengajian di tanah Arab, Sharifah Aini hanya punya beberapa pembantu mendiami rumah bernilai jutaan ringgit itu. Lalu saya bertanya, "Rumah bagai istana raja, Kak Pah sendiri, apakah tidak sunyi?"

Jawabnya ringkas, "Barangkali sudah ditakdirkan Allah, hidup sendirian sehingga ke penghujung usia."
Bagi Sharifah Aini, dengan membahagiakan insan lain, itu menjadi sesuatu yang membahagiakan dirinya walaupun mungkin keseorangan melalui hidup yang bulat ini. Benarlah, sehingga saat 'kepulangannya', tidak ada yang sehebat dirinya. Proses menjadi seniman itulah yang menjadi tunggak ‘kekayaan’ seorang Sharifah Aini. Saya percaya sebahagian besar daripada kita sangat terhutang kepadanya.

Hari ini sama seperti ibu saya, mengenang biduanita yang meninggalkan sejuta kenangan di hati peminat. Sungguhpun saya bukan peminat setia Sharifah Aini (kerana saya bukan berada pada zamannya, barangkali), insan bernama Sharifah Aini itu sendiri menghantar banyak makna dalam kehidupan saya lewat perkenalan kami, kerana bidang tugas saya sebagai wartawan seni dan hiburan di Utusan. Dia antara sebahagian insan berpekerti baik dan berperibadi indah pada sudut pandang saya.

Di sebalik pentas yang gemerlapan, Sharifah Aini juga mengisi hidup dengan membuat amal kebajikan. Dia telah menjayakan hampir 1,000 persembahan amal selain memelihara banyak anak-anak yatim. Dia mendekatkan diri kepada Allah bersama rakan-rakan di luar dunia seni. Saya pasti dia menemui jalan pulang yang sebaiknya pada sisi seorang muslimah.

Sisi yang peribadi ini tidak dipertontonkan dan hanya yang rapat sahaja tahu bahawa dunia gemerlapan tidak menjauhkan dia dengan tuntutan seorang muslimah. Selepas berjaya memetik bintang dia tetap berpijak pada hakikat kehadirannya sebagai hamba Allah.

Detik 1.26 pagi Sabtu ketika Ramadan berada di pintu hari ketujuh, dia menutup usia 61 tahun di Pusat Pakar Perubatan Damansara. Sharifah Aini pergi setelah hampir dua tahun bertarung tiga penyakit serius, paru-paru dijangkiti kuman, radang paru-paru (dideritai semenjak dua tahun lalu) dan H1N1 yang (dideritai semenjak lima bulan yang lalu).

Duhai Seri Dewi Malam, selamat kembali menemui Pencipta. Segala budi baik, bakti luhur yang kau berikan tetap dikenang melangkau zaman. Al-Fatihah!

Doa untuk meninggal pada Ramadan dimakbulkan.

KUALA LUMPUR 5 Julai- Doa dan impian Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini untuk meninggal dunia pada bulan Ramadan, dimakbulkan oleh Allah.
Biduanita bersuara emas itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.26 pagi ini bersamaan 7 Ramadan 1435H di Hospital Pakar Damansara KPJ akibat komplikasi paru-paru.
“Kak Pah selalu berdoa kepada Allah, jika mahu mengambil nyawa Kak Pah, biarlah pada bulan mulia ataupun pada hari Jumaat, penghulu segala hari," beritahunya dalam satu pertemuan dengan wartawan Utusan Online di rumah beliau di Lorong Utara, Petaling Jaya sebelum ini.
Dalam pertemuan itu juga, Sharifah Aini turut memberitahu beliau sentiasa reda apabila diduga dengan masalah kesihatan yang semakin terjejas ketika itu.
Kesihatan penyanyi Bunga Tanjung itu terjejas sejak 2002 dan sering berulang alik ke hospital dan ditahan di wad.
Pada 30 Jun lalu, keadaan beliau semakin kritikal sehingga diberi bantuan pernafasan.
Sementara itu, jenazah Allahyarham telah dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail sekitar pukul 7.30 pagi ini untuk dimandikan dan disembahyangkan.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140705/hi_02/Doa-Sharifah-Aini-untuk-meninggal-pada-Ramadan-dimakbulkan#ixzz36xZ8TI1a 

© Utusan Melayu (M) Bhd

 ARKIB : 06/07/2014
Ibu ampunkan salah silap Kak Pah
ALIFF Omar (tengah, baju merah), anak kepada Allahyarham Sharifah Aini Syed Jaafar menyiram air mawar dan menabur bunga mawar ke atas pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN /ABDUL RAZAK LATIF

KUALA LUMPUR 5 Julai - "Sepatutnya Umi yang pergi dahulu, bukan dia," demikian kata-kata Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas, 80.
Ibu kandung Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini itu meluahkan kesedihan ekoran kehilangan anak kesayangannya yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Pakar Damansara KPJ di sini, pukul 1.26 pagi tadi.
Menurut Sharifah Noor yang membahasakan dirinya sebagai Umi, dia sempat bertemu dengan Allahyarham pada Selasa lalu di pusat perubatan berkenaan.
Beliau berkata, itu adalah pertemuan terakhir antara mereka yang turut disertai suami Sharifah Noor yang juga bapa tiri Allahyarham, Musa Baba, 78.
"Semasa Umi datang pada hari itu, dia sudah koma, tidak dapat bercakap lagi. Umi bisik di telinganya bahawa Umi sangat sayangkan dia.
"Umi juga beritahu, dia adalah anak Umi yang baik dan dia banyak menolong kehidupan Umi," beritahu Sharifah Noor dengan nada sebak.

Menurut Sharifah, dia menjadi agak terkejut apabila dalam keadaan koma itu, Sharifah Aini kelihatan seperti mengangguk-anggukkan kepalanya apabila mendengar ibunya bercakap.
"Dia macam angguk-angguk kepala selepas Umi bercakap. Sememangnya Sharifah Aini adalah anak yang baik.

"Insya-Allah sebagai ibu, saya yakin ganjarannya adalah syurga yang sedang menanti Sharifah Aini di akhirat," katanya lagi seraya berkali-kali memberitahu bahawa dia reda akan pemergian anak kesayangannya itu.
Sementara itu, tiada permintaan yang lebih penting buat Aliff Omar, 33, iaitu agar semua orang yang mengenali Allahyarham Sharifah Aini memaafkan segala salah silap ibunya itu selepas kematiannya.

Anak Biduanita Negara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar, Aliff Omar mengimamkan solat jenazah ibunya di Masjid Al-Taqwa Taman Tun Dr. Ismail di sini hari ini. Sharifah Aini, 61, meninggal dunia kira-kira pukul 1.26 pagi Sabtu di sebuah hospital swasta di Damansara akibat fibrosis paru-paru.- Gambar : Izham Jaafar


Menurut anak tunggal penyanyi yang popular dengan lagu Bunga Tanjung itu. dia reda dengan pemergian ibunya yang meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru pada usia 61 tahun sambil pada masa sama meminta semua pihak agar mendoakannya tabah dalam menerima ujian.
Malah, dia menyedari sebagai penyanyi terkenal, arwah ibunya itu tentunya mempunyai ramai kenalan termasuklah jutaan peminat di Malaysia, Singapura dan Brunei yang pernah berurusan dalam pelbagai urusan sewaktu hayatnya.

"Terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat tentang diri ibu saya selama ini. Saya berharap agar anda semua dapat mendoakan yang terbaik untuk arwah ibu saya. Saya minta anda semua halalkan segala salah silap ibu saya sewaktu hayatnya.

"Saya juga memohon agar anda semua mendoakan saya dan ahli-ahli keluarga agar kami tabah dengan kehilangan ini," katanya selepas majlis pengebumian jenazah penyanyi itu tengah hari ini di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini.

Jenazah Sharifah Aini atau nama penuhnya Sharifah Aini Syed Jaafar disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail di sini sebanyak tiga kali dengan salah satunya diimamkan oleh Aliff sendiri.
Sementara itu, bekas suami pertama Allahyarham, Ali Bakar, 62, semasa ditemui selepas upacara itu berkata, dia diberitahu oleh Aliff tentang arwah yang dimasukkan ke hospital berkenaan beberapa hari lalu.
"Saya sempat melawat arwah di hospital selepas diberitahu oleh Aliff dan ketika itu arwah telah koma. Awal pagi tadi, Aliff sekali lagi menghubungi saya tetapi kali ini memberitahu bahawa ibunya telah meninggal dunia.


Sharifah Noor (tengah) ibu kepada Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini diberi air oleh ahli keluarga selepas hampir pengsan pada majlis pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, hari ini.


"Sepanjang arwah sakit, dia berpesan beberapa perkara kepada Aliff tetapi tidak mahu dikongsi dengan pihak lain kerana ia bersifat peribadi. Biarlah ia menjadi rahsia kami sahaja," ujarnya yang berkahwin dengan Allahyarham pada 1981 dan bercerai 10 bulan kemudian.
Allahyarham yang dilahirkan pada 2 Julai 1953 di Johor Bahru memulakan kerjayanya sebagai penyanyi selepas memenangi tempat pertama pertandingan Bintang RTS 1968 dengan mendendangkan lagu berjudul Tiga Malam dan kemudian menjadi penyanyi syarikat rakaman EMI.
Beliau adalah penyanyi kedua yang digelar Biduanita Negara selepas Saloma selain menjadi satu-satunya penyanyi tanah air paling lama kekal dengan satu syarikat rakaman iaitu selama lebih 40 tahun dengan nama telah diabadikan dalam Malaysia Book of Records.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140706/dn_06/Ibu-ampunkan-salah-silap-Kak-Pah#ixzz36xYDw4Xu
© Utusan Melayu (M) Bhd 


ARKIB : 06/07/2014
Lima artis terakhir mahu ditemui.

KUALA LUMPUR 5 Julai - Ketika dalam keadaan kritikal di Hospital Pakar Damansara KPJ di sini pada Jun lalu, Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini sempat menunaikan hajat peribadinya untuk bertemu dengan lima artis tempatan.

Mereka ialah Datuk DJ Dave, Nassier Wahab, Herman Tino, Nash dan Fauziah Latiff.
Menurut Nassier, hasrat itu disuarakan oleh Sharifah Aini dengan menelefon sendiri pengurus artis popular, Mas Omar kira-kira dua minggu lalu.

"Seminggu kemudian, iaitu pada Jumaat (27 Jun) barulah kami berkesempatan bertemu dengannya. Dalam pertemuan itu, memang kelihatan keadaan beliau amat uzur, tetapi Kak Pah kekal tersenyum dan rancak bercakap walaupun dalam keadaan termengah-mengah dan menggunakan wayar bantuan pernafasan di hidungnya.

"Malah, Kak Pah juga berkali-kali meminta maaf kepada kami semua yang datang menziarahinya dan memberitahu bahawa kesakitan yang ditanggung adalah ujian dari Allah bagi meredakan segala dosa yang telah dilakukannya selama ini. Ia adalah pertemuan terakhir yang penuh dengan air mata," katanya dalam nada sayu ketika ditemui di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail, lokasi di mana jenazah Allahyarham dimandikan.

Menurut Nassier, dia sama sekali tidak menyangka itu adalah pertemuan terakhir dengan biduanita berkenaan.
"Kami bagaikan adiknya sendiri, seolah-olah tidak mahu berpisah. Saya secara peribadi menganggap pertemuan kami itu amat bermakna dan tidak pernah menyangka kami dipilih bertemu dengan beliau pada penghujung usianya sedangkan pihak lain tidak semudah itu menziarahi beliau ketika sedang sakit tenat," katanya.

ARKIB : 05/07/2014
Siti Nurhaliza hadir beri penghormatan

KUALA LUMPUR 5 Julai - Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini, 61, yang meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi tadi di Hospital Pakar Damansara KPJ di sini.
"Kita kehilangan seorang insan yang banyak jasanya kepada negara terutama dalam industri muzik tanah air.

"Allahyarham adalah insan yang terpilih kerana dijemput Ilahi pada bulan Ramadan ini. Kita tidak tahu bila kita akan dijemput. Beliau sangat bertuah," kata beliau sebak sambil mengalirkan air mata ketika ditemui di Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr. Ismail di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20140705/hi_03/Siti-Nurhaliza-hadir-beri-penghormatan#ixzz36xYowqzw
© Utusan Melayu (M) Bhd 



No comments: