Tuesday, September 06, 2011

KONFLIK DI LIBYA

Tentera pemberontak mara ke bandar kelahiran Gaddafi
2011/09/07

UMM KHUNFIS (Libya): Tentera yang setia dengan pemimpin baru Libya meneruskan kemaraan kira-kira 8 kilometer memasuki bandar kelahiran Muammar Gaddafi di Sirte meskipun mendapat tentangan hebat.

Seorang tentera kerajaan dilaporkan maut manakala dua lagi cedera dengan sekurang-kurangnya seorang tentera yang setia dengan Gaddafi turut maut.
Pertempuan di timur Sirte itu menyaksikan tentera di bawah naungan Majlis Peralihan Kebangsaaan (NTC) kini semakin hampir ke bandar itu kira-kira 80 kilometer lagi.

Foto
Seorang pemberontak sempat bersantai di pps kawalannya di Tripoli
dalam suasana lebih tenang selepas Eidulfitri.

“Pertempuran yang berlaku amat sengit," kata Komander Mustafa Bendardaf.

“Lima kenderaan musuh dimusnahkan oleh serangan udara NATO dan dua askar mereka kini dalam tahanan kami," katanya. - AFP

Kesihatan Gaddafi stabil, rancang serangan baru
2011/09/07

SHISHAN: Kesihatan Muammar Gaddafi berada dalam keadaan terbaik dan beliau sedang merancang untuk mengatur pertahanan baru, kata jurucakapnya, Moussa Ibrahim ketika memberitahu saluran televisyen Syria, Arrai semalam.

“Kami masih berkuasa,” katanya menambah yang anak lelaki diktator yang digulingkan sudah mengetahui peranan masing-masing dalam pertahanan dan pengorbanan untuk negara mereka.
Ibrahim yang juga pengikut setia dipercayai berada di pekan wadi, Bani Walid yang sudah dikepung oleh pejuang anti Gaddafi berkata: “Kami akan berjuang dan menentang untuk Libya dan untuk semua Arab.”
Beliau menggelarkan pemerintah baru sebagai ejen NATO dan menuduh mereka melakukan jenayah termasuk semua jenayah rogol, pembunuhan dan rompakan.

“Libya tidak akan jatuh dan puak akan terus mempertahankan negara dan akan terus mempertahankan setiap pekan dan menawan kembali kawasan diceroboh,” katanya.

Sementara itu satu konvoi tentera Libya didakwa sudah menyeberang masuk ke Niger, disyaki membawa bersama Gaddafi dan salah seorang anak lelakinya, ketika kumpulan pemberontak bersedia untuk menyerang kubu terakhir Gaddafi.

“Saya melihat satu konvoi yang besar dan luar biasa membabitkan berpuluh kenderaan memasuki Agadez dari Arlit dan bergerak ke arah Niamey lewat Isnin,” kata sumber tentera Niger merujuk kepada utara bandaraya Niger, Agadez.
“Ada khabar angin bahawa Gaddafi dan seorang daripada anak lelakinya menyertai konvoi itu” kata sumber berkenaan.

Seorang wartawan dari sebuah stesen radio swasta di Agadez berkata bahawa beliau menyaksikan satu konvoi berpuluh kenderaan merentasi bandaraya dan menuju ke Niamey, ibu negara Niger.

Sumber kerajaan Niger pada awalnya berkata pegawai rejim Gaddafi melarikan diri merentasi sempadan pada Ahad. Mereka termasuk ketua keselamatan dalam negeri Gaddafi, Mansour Daw yang sebelum itu dilaporkan berada di kubu Bani Walid bersama dua lagi daripada anak lelaki pemimpin Libya itu. – AFP


Gaddafi dalam keadaan sihat, rancang pertahanan Libya2011/09/06

NICOSIA: “Muammar Gagdafi berada dalam kesihatan yang baik dan merancang serta menguatkan pertahanan Libya,” kata jurucakap presiden, Moussa Ibrahim kepada saluran televisyen Arrai Syria hari ini.

“Kami masih berkuasa,” katanya sambil menambah anak pemimpin diktator yang digulingkan itu akan mengambil alih peranan mereka dalam pertahanan dan sedia berkorban untuk negara.
"Kami berikrar untuk berjuang sehingga ajal atau sehingga berjaya,” kata Ibrahim yang dipercayai berada di bandar Bani Walid yang diserang pejuang anti Gaddafi
“Kami akan berjuang dan menentang untuk Libya dan semua negara Arab,” katanya. - AFP


Kubu Gaddafi bakal diserang

Foto
Tinggal empat bandar yang terus setia kepada bekas pemimpin Libya

SIRTE: Tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang diiktiraf sebagai pemerintah baru Libya, bersedia menyerang bandar Bani Walid selepas rundingan dengan penyokong Muammar Gaddafi supaya menyerah diri, menemui kegagalan. Bekas pemberontak berkata, rundingan dengan penasihat bandar padang pasir itu tidak serius kerana penyokong pro-Gaddafi terus melakukan serangan serentak dengan rundingan itu. Tentera NTC ketika ini bergerak ke Bani Walid daripada tiga arah. Perunding kanan NTC, Abdullah Kenchil, berkata penyokong Gaddafi mahu mereka masuk ke bandar itu tanpa senjata
Selain menjadi kubu kuat Gaddafi, kawasan berkenaan juga menjadi tempat suku kaum terbesar dan paling kuat di Libya. Bani Walid, terletak 150 kilometer ke tenggara Tripoli, satu daripada empat bandar yang masih setia kepada Gaddafi.
Sementara itu, anak lelaki Muammar Gaddafi menyalahkan abangnya atas kegagalan rundingan dengan pemerintah baru Libya mengenai meninggalkan satu daripada benteng penyokong setia terakhir, lapor televisyen Cable News Network (CNN) kelmarin.
Saadi Gaddafi memberitahu CNN dalam temubual telefon bahawa ucapan agresif abangnya, Saif al Islam yang siarkan beberapa hari lalu membawa kepada kegagalan rundingan, membuka jalan kepada serangan.
Dua anak pemimpin terkenal itu dipercayai bersembunyi di Sirte iaitu Saif dan Mutassim.
Bercakap mengenai lokasinya, Saadi berkata beliau sudah keluar dari Bani Walid, lapor CNN.
Saadi berkata yang beliau tidak menemui bapa atau abangnya sejak dua bulan lalu.
Saadi berkata, beliau berkecuali tetapi bersedia membantu berunding untuk gencatan senjata, kata CNN.
Pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil pula berkata, musuh pro-Gaddafi yang berkubu diberikan bantuan kemanusiaan dan masa untuk menyerang belum bermula kerana mereka perlu diberi lebih banyak masa untuk menyerah diri dan menghentikan pertumpahan darah.
Buat masa ini, NTC menawarkan tolak ansur dan pengarang Middle East BBC, Jeremy Bowen, yang berada di Tripoli memberitahu NTC tidak mahu menjadi penyebab pertumpahan darah baru ketika mula memerintah Libya. – Agensi


China tawar senjata kepada Gaddafi: Media
2011/09/05

MONTREAL: China menawarkan bekalan senjata kepada Muammar Gaddafi dalam bulan terakhir pentadbiran rejim itu dan difahamkan turut mengadakan perbincangan secara rahsia bagi tujuan penghantaran menerusi Algeria dan Afrika Selatan, demikian menurut laporan The Globe dan Mail.

Akhbar harian Kanada, berkata syarikat senjata yang dimiliki China bersedia untuk menjual senjata dan peluru bernilai sekurang-kurangnya AS$200 juta kepada Gaddafi pada akhir Julai lalu.
Namun, katanya, PBB sudah membuat sekatan susulan penemuan dokumen rahsia itu.
Akhbar berkenaan, hari ini, tidak mengesahkan sama ada bantuan tentera dihantar, tetapi ahli kanan majlis pemerintah baru Tripoli berkata, mereka mengesyaki pembabitan China, Algeria dan Afrika Selatan baru-baru ini.

Menurut satu laporan daripada media di Toronto, memaklumkan Algeria, China dan Afrika Selatan enggan menyokong tindakan NATO di Libya.

Ketua Jawatankuasa Tentera bagi Majlis Peralihan, Omar Hariri, mengkaji semula dokumen dan akan membuat kesimpulan mereka mengenai kehadiran senjata baru di medan perang. - AF


'Gaddafi perlu dibicara di Libya'
TENTERA anti-Gaddafi menemui periuk api disimpan di dalam sebuah rumah di Tripoli, semalam.
 TENTERA anti-Gaddafi menemui periuk api disimpan di dalam sebuah rumah di Tripoli, semalam

Jenayah sepanjang pemerintahan wajar diadili tanpa ambil kira dakwaan ICCLONDON: Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, perlu dibicarakan di negara itu kerana jenayah yang dilakukan sepanjang pemerintahannya tanpa mengambil kira dakwaan yang dikenakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadapnya.
Penyelaras bersama Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) di Britain, Guma al-Gamaty, berkata Gaddafi perlu dibicarakan di Libya berikutan banyak jenayah yang dilakukan sejak berkuasa pada tahun 1969.
ICC yang beribu pejabat di The Hague, mengeluarkan waran tangkap ke atas Gaddafi kerana jenayah kemanusiaan yang dilakukan ketika pemberontakan di Libya, bersama waran untuk anaknya, Seif al-Islam dan ketua perisikan beliau.

“ICC cuma akan membicarakan Gaddafi atas jenayah yang dilakukan sejak enam bulan lalu. Gaddafi bertanggungjawab ke atas banyak jenayah yang dilakukan sejak 42 tahun pemerintahannya, beliau perlu dibicarakan dan menjawab semua tuduhan dalam perbicaraan di Libya,” katanya kepada televisyen Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Beliau berkata terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada hukuman mati sesuai untuk Gaddafi tetapi menambah: “Mahkamah adil dan saksama dan akan memenuhi semua piawaian antarabangsa.”

“Pemerhati antarabangsa daripada pertubuhan hak kemanusiaan dan organisasi dipercayai lain serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan dibenarkan memantau. Ia akan menjadi perbicaraan yang adil, sesuatu yang Gaddafi tidak pernah berikan kepada penduduk Libya yang mengkritiknya sejak 42 tahun lalu,” katanya.
“Masa sudah berlalu. Tawaran rundingan kepadanya oleh NTC beberapa bulan lalu dan beliau tidak pernah menerima. Juga sukar bagi Gaddafi dan anaknya mencari tempat selamat atau negara yang mahu menerima mereka,” katanya.

Mengenai waran tangkap ICC, beliau berkata pilihan mereka amat terhad.

“Apa yang akan mereka hadapi jika ditangkap ialah ditahan dan dilayan dengan baik. Mereka akan dipastikan selamat dan berdepan dengan perbicaraan serta menjawab semua jenayah yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Britain dilaporkan pernah menjemput dua anak lelaki Muammar Gaddafi, ke ibu pejabat unit pasukan khas (SAS), ketika bekas Perdana Menteri, Tony Blair, cuba menjalin hubungan dengan rejim Libya, lapor akhbar The Sunday Times.

Dalam pendedahan terbaru daripada dokumen perisikan yang diperoleh media dan kumpulan hak di Tripoli, akhbar berkenaan melaporkan Blair juga membantu seorang lagi anak Gaddafi, Seif al-Islam, dengan tesis kedoktorannya. – AFP


Gaddafi digesa menyerah diri
2011/09/04

Turki sokong rejim baru Libya syarat henti pertumpahan darah

TRIPOLI: Duta Turki ke Libya, Ali Kemal Aydin, menggesa Muammar Gaddafi dan anggota keluarganya menyerah diri dan berjanji memberi bantuan secukupnya kepada negara Afrika Utara itu dalam proses menuju demokrasi.
“Kami jangka keluarga Gaddafi akan menyerah diri kepada kehakiman Libya. Tiada jalan lain lagi bagi mereka,” kata Ali, duta pertama untuk kembali ke Tripoli sejak Gaddafi digulingkan.
Beliau menegaskan, langkah itu penting bagi menghentikan pertumpahan darah berterusan.

Pada masa sama, Turki, katanya, tidak akan menjadi orang tengah antara Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) dengan keluarga Gaddafi.

“Kami sejak awal lagi minta Gaddafi dan ahli keluarganya menyerah kuasa kepada rakyat Libya. Malangnya, mereka tidak ikut nasihat kami,” katanya.

Di WASHINGTON: Fail yang ditemui dalam bangunan kerajaan Libya menunjukkan kerjasama rapat antara Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan Gaddafi, termasuk memindahkan suspek pengganas ke negara Afrika Utara itu untuk disoal siasat.
CIA ketika pentadbiran Presiden George W Bush membawa suspek pengganas ke Libya dan mencadangkan soalan yang sepatutnya ditanya penyiasat negara itu, lapor akhbar Wall Street Journal (WSJ), sambil menambah fail berkenaan ditemui di ibu pejabat agensi Keselamatan Luar Libya.

CIA juga mahu terus ‘hadir’ di negara itu, lapor WSJ, menurut nota pegawai tinggi CIA, Stephen Kappes, kepada ketua perisik Libya ketika itu, Moussa Koussa.

Bagi menunjukkan hubungan rapat mereka, nota bermula dengan ‘Dear Musa’ dan ditandatangani dengan ‘Steve’.

Seorang pegawai Amerika yang tidak dinamakan WSJ, Libya mahu menyambung hubungan diplomatik dengan Barat pada 2004.

“Cuma ingat, pada 2004, Amerika berjaya meyakinkan Libya untuk menamatkan program senjata nuklearnya dan membantu menghentikan pengganas yang secara aktif mensasarkan Amerika di negara sendiri dan di luar negara,” kata pegawai berkenaan.

Fail itu ditemui penyelidik Human Rights Watch yang melawat bangunan kerajaan dan menyerahkan salinan kepada Wall Street Journal. – AFP
Algeria tak izin Gaddafi masuk


SATU poster menunjukkan foto Gaddafi berkepala botak sebagai lelaki dikehendaki hidup atau mati dilihat di Tripoli, kelmarin.
SATU poster menunjukkan foto Gaddafi berkepala botak sebagai lelaki dikehendaki hidup atau mati dilihat di Tripoli, kelmarin.
Pemerintah baru Libya tuntut Algiers serah keluarga bekas pemimpin

ALGIERS: Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menghubungi Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika untuk berunding bagi memasuki negara itu tetapi tidak dilayan selepas isteri, dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya berada di negara jiran itu awal minggu ini.
 
Ahli perniagaan tawar RM5.34j tangkap pemimpin diguling
BENGHAZI: Sekumpulan ahli perniagaan Libya menawarkan ganjaran dua juta dinar (RM5.34 juta) kepada sesiapa yang dapat menangkap pemimpin negara itu Muammar Gaddafi, sama ada hidup atau mati, kata Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC).

“NTC menyokong inisiatif ahli perniagaan berkenaan yang sanggup menawarkan dua juta dinar sebagai ganjaran untuk menangkap Gaddafi hidup atau mati,” kata bekas menteri kehakiman Libya Mustafa Abdel Jalil yang berpaling tadah dan menyertai pemberontak.
Beliau berkata pihaknya juga menawarkan pengampunan kepada sekutu atau penyokong Gaddafi yang berjaya menangkap atau membunuh Gaddafi.
“Kami bimbang Gaddafi akan mencetuskan masalah besar berikutan kedegilannya,” kata beliau yang mengesahkan laporan bahawa pertempuran masih berterusan antara penyokong pemimpin itu dan pemberontak di Bab al-Aziziya.

Sementara itu, Gaddafi mengakui sudah meninggalkan kediaman utamanya di Tripoli iaitu Bab al-Aziziyah yang ditawan penentangnya semalam sambil menyifatkan tindakannya menghilangkan diri bertujuan memberikan peluang kepadanya mengatur strategi terhadap musuh.

“Bab al-Aziziyah tiada makna lagi kerana sudah musnah selepas menjadi sasaran 64 kali serangan peluru berpandu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

‘Kami berundur atas sebab taktikal,” katanya dalam ucapan yang disiarkan sebuah laman web stesen televisyen milik anak lelakinya, Saif al-Islam.
Ucapan itu turut dipetik saluran Al-Oruba yang pro-Gaddafi selepas pemberontak merempuh masuk kediaman berkenaan tetapi tidak menemui pemimpin itu atau mana-mana anggota keluarganya.

Tidak diketahui di mana Gaddafi mungkin berada. Tetapi, bagi sesetengah pihak, ada banyak tempat yang boleh melindungi Gaddafi termasuk di bawah tanah.

Lelaki yang memerintah Libya selama 42 tahun dikenali mempunyai banyak kubu bawah tanah di Bab al-Aziziyah di Tripoli.

Beberapa orang pernah melihat terowong itu dan masih tidak jelas ia wujud.
Sepanjang enam bulan pemberontakan, Gaddafi dilihat semakin kurus dan cengkung melakukan beberapa penampilan di khalayak kemudian menghilang.

Selepas pemberontak memasuki kediaman itu, Isnin lalu, pemimpin itu sekali lagi hilang. Ramai pemberontak yakin beliau berkurung di Bab al-Aziziyah, seorang pegawai kanan, Fathi al Baja memberitahu ada laporan mengatakan Gaddafi yang hampir 70 tahun mengalami serangan jantung dan terlantar di kediamannya. – AP/AFP

Pemberontak Libya tuntut bantuan AS$5 bilion
2011/08/25

DOHA: Pemberontak Libya dari Majlis Peralihan Negara(NTC) menuntut sejumlah AS$5 bilion untuk bantuan kecemasan daripada aset Libya yang dibekukan pada mesyuarat wakil negara luar yang berlangsung di Doha.

Wakil NTC berkata, jumlah bantuan itu yang diumumkan adalah dua kali berbanding yang diminta Selasa lalu oleh pemimpin nombor dua NTC, Mahmud Jibril.
"Ahli mesyuarat NTC bersetuju permintaan Libya sebanyak AS$5 bilion daripada aset regim Muammar Gaddafi yang dibekukan untuk diagihkan serta-merta," kata duta TNC dari Emeriyah Arab (UAE). - AFP
Wartawan asing terperangkap di hotel Tripoli2011/08/24
TRIPOLI: Wartawan asing yang membuat liputan konflik Libya daripada sebelah rejim Muammar Gaddafi kini terperangkap dalam hotel penginapan mereka yang masuk hari ketiga hari ini apabila kumpulan bersenjata yang setia dengan rejim itu terus menjadikan mereka tahanan.

Bekalan elektrik dan air juga dipotong dan tiada kakitangan hotel yang bertugas sehingga memaksa lebih 30 wartawan termasuk wartawan AFP terpaksa berkumpul di tingkat pertama Hotel Rixos.
Mereka turut memakai topi keledar dan jaket tebal dan hanya dapat mendengar bunyi tembakan dari luar hotel.
Dengan ada peluru yang tersasar ke hotel berkenaan, wartawan terpaksa menggantung kain rentang di luar hotel dengan tertera perkataan "Akhbar, televisyen, jangan tembak!.

Dari semasa ke semasa, mereka dibekalkan makanan dan diperiksa seolah-olah wartawan terbabit kini dijadikan tebusan. - AFP

400 maut, 2,000 cedera dalam pertempuran Tripoli
2011/08/24

BENGHAZI: Empat ratus orang terbunuh dan 2,000 lagi cedera dalam pertempuran tiga hari antara pemberontak dan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi di Tripoli, kata ketua majlis pemberontak.

Mustafa Abdel Jalil, Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan, memberitahu televisyen France-24 kira-kira 600 askar pro Gaddafi ditawan tetapi pertempuran tidak akan berakhir sehingga pemimpin Libya itu menjadi tawanan.
“Mengikut maklumat kami, bilangan yang terbunuh dalam opperasi tiga hari itu mencecah 400 dengan 2,000 lagi cedera. Kami menawan sehingga 600 askar Gaddafi," katanya tanpa menyatakan apakah angka itu membabitkan kedua-dua pihak. - AFP

Dunia Sokong Guling Gaddafi

Pemimpin diktator digesa undur elak lebih banyak pertumpahan darahNEW YORK: Pemimpin dunia memuji kejayaan pemberontak menamatkan pemerintahan rejim Muammar Gaddafi yang berkuasa sejak 42 tahun lalu, sambil menggesa beliau berundur bagi mengelak lebih banyak pertumpahan darah.

Walaupun kebanyakan mereka berpendapat masa depan Libya perlu ditentukan sendiri oleh rakyatnya, tekanan semakin meningkat mahukan diktator itu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Di WASHINGTON, Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menggesa Gaddafi mengaku kalah dan memenuhi kehendak rakyat agar menyerah dan meletak jawatan.
“Malam ini kuasa Gaddafi sampai ke penghujung. Tripoli sudah terlepas daripada pemerintahan kuku besi. Rakyat Libya menunjukkan komitmen tidak berbelah bagi mengembalikan maruah dan kebebasan mereka,” katanya.

Beliau berkata, masa depan Libya kini berada di tangan rakyatnya dan berikrar bekerjasama serta meningkatkan hubungan baik dengan majlis pemberontak.

Di BEIJING, China berkata ia menghormati kehendak rakyat Libya yang mahukan perubahan dan berikrar meneruskan kerjasama dengan Libya untuk pembangunan dan pemulihan semula negara itu.

“China berharap keamanan di Libya akan dipulihkan segera. Negara itu sudah lama dalam keadaan huru-hara sehingga rakyatnya hidup sengsara. China bersedia bekerjasama dan membantu Libya untuk pembinaan semula negara itu,” kata jurucakap kementerian luar Ma Zhaoxu dalam kenyataan.
China sebelum ini mengambil pendirian tidak campur tangan dalam konflik di Libya, namun beberapa bulan kebelakangan ini negara itu semakin terbabit dengan pemberontak dan beberapa kali mengadakan pertemuan dengan anggota Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC)

Di LONDON, Perdana Menteri Britain, David Cameron memendekkan lawatan ke Cornwall untuk menghadiri satu mesyuarat keselamatan membabitkan Libya semalam, kata pegawai.

“Gaddafi melakukan jenayah terhadap rakyat Libya dan mesti berundur untuk mengelak lebih banyak pertumpahan darah. Anggota keselamatan yang masih setia kepada Gaddafi perlu meletak senjata dan menyerahkan kuasa kepada yang berhak,” katanya.

Di PARIS, pejabat Presiden Nicolas Sarkozy mengeluarkan kenyataan menggesa Gaddafi meletak jawatan dan mengakhiri penderitaan yang dihadapi rakyat Libya berikutan pertempuran yang berlarutan sejak lebih enam bulan lalu.

“Apa yang jelas, Gaddafi tidak lagi diterima rakyat. Beliau sudah digulingkan dan kini bukan lagi pemerintah yang sah untuk Libya,” kata kenyataan itu. – Agensi

Rumah Gaddafi kena tawan
2011/08/24

Pemberontak terus buru pemimpin Libya, pelbagai spekulasi timbul

TRIPOLI: Pemberontak memasuki kediaman pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, selepas 24 jam bertempur dengan tentera yang mengawal kawasan umpama kubu itu, semalam.

Wartawan di tempat kejadian berkata, pintu masuk berwarna hijau kediaman itu diletupkan dan beratus-ratus pemberontak membanjirinya dan melepaskan tembakan ke udara.
Belum ada berita sama ada Gaddafi, 69, berada di situ tetapi pertempuran sengit yang meletus sebelum kediaman itu dimasuki membayangkan kemungkinan beliau ada di dalam.
Pertempuran di Bab al-Aziziyah membabitkan penggunaan mortar, mesingan dan senapang antipesawat meletus beberapa jam selepas anak Gaddafi yang dikatakan penggantinya, Saif al-Islam, muncul di khalayak ramai bagi menafikan dia ditahan pemberontak.

Kemunculannya secara mengejut dikatakan bukti bahawa Gaddafi masih mampu bertindak balas sekalipun ramai menganggap pemerintahannya sudah berakhir.

Kediaman besar Gaddafi, bagaimanapun, rosak teruk kerana serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selain dianggap lambang utama pemerintahannya selama 42 tahun.

Tidak hairanlah seorang pemberontak, Abdel-Aziz Shafiya, 19, menyuarakan kegembiraan tidak terhingga ketika meronda kawasan dalamannya dengan membawa pelancar roket dan senapang Kalashnikov.
“Saya kehilangan rakan dan keluarga tetapi sudah masuk rumah Gaddafi. Ramai kawan saya terkorban. Semua itu memberi makna ketika ini,” katanya.

Bekas penasihat kanan Gaddafi, Abdel-Salam Jalloud yang berpaling tadah bulan ini, memberitahu stesen televisyen Al-Jazeera bahawa dia berpendapat pemimpin itu berada di pinggir Tripoli dengan berlindung di rumah persendirian, hotel kecil dan masjid.

Ada juga laporan yang mendakwa Gaddafi bersembunyi dekat sempadan Algeria.

Pemberontak dilaporkan sudah memberi amaran kepada kerajaan Algeria supaya tidak campurtangan dalam hal ehwal mereka.

Tetapi, jurucakap pemberontak di Doha, Mahmoud Shammam, bersikap lebih berhati-hati.

“Kami tidak tahu siapa ada di dalam. Kami percaya ada orang menginap tempat itu dan dia mengetuai usaha melawan kami. Ini adalah istana terakhir Gaddafi,” katanya.

Pertempuran masih berlaku di beberapa tempat di Tripoli antara pemberontak dan penyokong Gaddafi.

Dua juta orang tinggal di ibu kota Libya itu. – AP/AFP


Pemberontak masuk perangkap

Pemberontak tawan kubu Gaddafi
2011/08/24

TRIPOLI: Pemberontak menawan kubu kuat Muammar Gaddafi malam tadi tetapi tidak menemui pemimpin Libya atau anaknya.

Tembakan dilepaskan di jalan raya Tripoli bagi menyambut kejayaan pemberontak membolosi tembok Bab al-Azizya di tengah ibu kota itu yang menyebabkan tentera Gaddafi melarikan diri.
Bagaimanapun, tentera yang setia dengan Gaddafi masih bertahan di beberapa kawasan di bandaraya itu dan masih menguasai Hotel Rixos yang menjadi pusat wartawan, sekali gus mengalang mereka daripada meninggalkannya.
Di Benghazi, jurucakap tentera, Kolonel Ahmed Omar Bani berkata tiada tanda-tanda Gaddafi dan keluarga di kawasan kubu.

Era Gaddafi Berakhir
Foto

Tripoli ditawan, tiga anak pemimpin Libya ditahan

TRIPOLI: Era pemerintahan 42 tahun Muammar Gaddafi di Libya, berakhir semalam selepas rakyat yang memberontak menguasai ibu kota Tripoli, dibantu pesawat tempur Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menahan tiga anaknya, Saif al-Islam, Mohammed Gaddafi dan Saadi Gaddafi Gaddafi menyusuli bekas pemimpin Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali dan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak kehilangan kuasa selepas rakyat bangkit menumbangkan pemerintahan mereka enam bulan lalu.

Pertempuran turut dilaporkan berlaku dekat kediaman rasmi Gaddafi, dikenali sebagai Bab-al-Aziziyah apabila pemberontak cuba memasuki kawasan berkenaan.
Namun, nasib Gaddafi masih samar-samar dan lokasinya belum diketahui. Anaknya yang lain, iaitu Hannibal, Mutasim, Khamis dan Asiha juga belum ditemui. Hannibal tidak banyak terbabit dalam politik tetapi Khamis mengetuai satu unit tentera yang kerap menindas penunjuk perasaan, manakala Mutasim adalah pegawai tentera dan penasihat keselamatan bapanya. Saif dan Gaddafi pula akan menghadapi dakwaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan.

Gerakan menawan Tripoli dimulakan 30 kilometer dari sebelah barat kelmarin, apabila pemberontak menawan satu demi satu bandar termasuk sebuah pangkalan tentera dengan penduduk tempatan keluar memberi sokongan.

Pada masa sama, penduduk Tripoli yang dibekalkan senjata api secara rahsia oleh pemberontak bangkit melawan rejim Gaddafi. Apabila pemberontak tiba di pintu masuk Tripoli, batalion khas yang ditugaskan oleh Gaddafi untuk melindungi ibu negara, segera menyerah diri.

Pegawai pemberontak, Fathi al-Baja, berkata tindakan itu diketuai oleh pemimpin unit tentera itu sendiri yang menyokong pemberontakan secara senyap-senyap sebagai membalas dendam tindakan Gaddafi membunuh adiknya dulu.
Beliau yang mengetuai Jawatankuasa Politik pemberontak, berkata Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) merangka serangan itu sejak tiga bulan lalu dengan kerjasama NATO dan penyokong mereka di Tripoli.

Penyokong pemberontak di Tripoli mula melancarkan operasi apabila azan subuh kedengaran serentak dengan serangan udara NATO dan memasuki ibu kota itu dari sebelah barat. Meskipun kereta kebal askar pro Gaddafi cuba mempertahankan kawasan mereka daripada kemaraan pemberontak, tentangan mereka tidak lama sebelum berundur.

Selepas kejayaan itu, ramai penduduk Tripoli menerima mesej pemberontak menerusi telefon bimbit yang menyatakan: “Allahuakbar. Kami ucapkan tahniah kepada penduduk Libya atas kejatuhan Gaddafi.”
Foto

Siaran televisyen menunjukkan ramai pemberontak dan penduduk Tripoli membanjiri Dataran Hijau, melepaskan tembakan ke udara, bertepuk tangan dan mengibarkan bendera pembangkang bagi meraikan kemenangan. Sebahagian mereka membakar bendera rejim Gaddafi dan menembak posternya.

Namun, Jurucakap pemberontak, Mohammed Abdel-Rahman, mengakui penyokong Gaddafi masih memberi tentangan dan mengeluarkan amaran Gaddafi akan terus mengancam selagi tidak ditahan. – Agensi

Anak Gaddafi lepas lari
2011/08/23

BENGHAZI: Mohammed Gaddafi, anak pemimpin Libya Muammar Gaddafi, berjaya melarikan diri selepas ditahan di Tripoli, menurut sumber pemberontak.

“Ya, benar. Beliau melarikan diri," kata sumber pemberontak di Benghazi.
Mohammed, anak sulung Gaddafi, dan adiknya, Seif al-Islam, ditahan selepas pihak pemberontak menawan sebahagian besar Tripoli. - AFP

Anak Gaddafi sahkan ditahan di rumah
2011/08/22

BEIRUT: Anak lelaki sulung pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, Mohammad, memberitahu televisyen al-Jazeera awal hari ini bahawa beliau ditahan pemberontak dan dikenakan tahanan di rumah di Tripoli.

“Anggota bersenjata mengepung rumah saya dan saya masih berada di dalam dan mereka di luar. Mereka berkata akan menjamin keselamatan saya. Mereka mengepung rumah saya," katanya menerusi panggilan telefon dari Tripoli.
Bunyi tembakan boleh didengar semasa perbualan itu.
"Ya, tembakan itu dalam rumah saya," katanya sebelum talian tiba-tiba terputus. - Reuters

 Gaddafi hilangkan diri, atur strategi



SAIF  memberi isyarat ‘V’ tanda   kemenangan selepas bertemu dengan penyokongnya di Tripoli, semalam.
SAIF memberi isyarat ‘V’ tanda kemenangan selepas bertemu dengan penyokongnya di Tripoli, semalam.

Anak Gaddafi temui penyokong di Tripoli bukti tidak ditahan musuh

TRIPOLI: Anak Muammar Gaddafi, yang didakwa pemberontak berjaya ditahan, melakukan kemunculan mengejutkan bersama-sama penyokongnya tengah malam kelmarin dan menyeru golongan masih setia kepada pemimpin Libya itu supaya menentang pemberontak yang berkata mereka berjaya menawan hampir keseluruhan ibu kota Libya itu.

Saif al-Islam, yang dilihat sebagai pewaris bapanya, melawat hotel Tripoli yang menjadi penginapan wartawan asing untuk mengisytiharkan kemenangan kerajaan dalam pertempuran dengan pemberontak.
Dia membawa wartawan ke kubu kuat bapanya, Bab al-Aziziyah. Rakaman televisyen menunjukkan Saif tersenyum, melambai dan bersalaman dengan penyokongnya, selain mengangkat tangan dan membuat isyarat ‘V’ sebagai tanda kemenangan.
“Kami sekat pemberontak. Ia perangkap. Kami susahkan mereka, jadi kami menang. Angkat senjata hari ini, angkat senjata hari ini. Insya-Allah kita akan serang tikus hari ini,” kata Saif kepada penyokong setianya yang menanti untuk diberikan senjata.

Penangkapan Saif dilaporkan pemberontak dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague dan penampilannya di depan media asing menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti pemberontak.

Katanya, Tripoli masih dalam kawalan kerajaan dan tidak peduli mengenai waran tangkap dikeluarkan ICJ yang mahukan dia dan bapanya kerana melakukan jenayah kemanusiaan.

Gaddafi sendiri tidak kelihatan di khalayak ramai selama beberapa minggu sebelum pemberontak tiba di ibu kota itu hujung minggu lalu.
Turut melakukan pemberontak ialah seorang lagi anak Gaddafi yang dikatakan berada dalam tahanan mereka, Mohammed, berjaya melepaskan diri daripada tahanan.

Selain itu, apabila ditanya sama ada bapanya selamat dan sihat di Tripoli, Saif memberitahu wartawan: ‘Sudah tentu.’

Pemimpin dunia mendesak Gaddafi, 69, menyerah diri untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah dan merayu peralihan kuasa secara teratur, ketika pertempuran selama enam bulan untuk mengambil alih kawalan ke atas negara pengeluar minyak di Afrika Utara itu sudah memasuki peringkat akhir.

Pemberontak menawan Tripoli dua hari lalu yang diatur dengan kebangkitan penduduk bandar raya itu sendiri.

Penduduk yang membanjiri jalan raya Ahad lalu untuk meraikan kejatuhan kepemimpinan diktator, berada dalam rumah ketika tembakan mesingan dan letupan
menandakannya pertempuran paling hebat dalam kebangkitan di dunia Arab yang membentuk semula politik serantau. – Reuters
Memetik sumber terdekat dengan presiden Algeria, akhbar El Watan di sini melaporkan Gaddafi dipercayai berada di sempadan Libya-Algeria, pekan yang dikenali sebagai Ghadamis. Lokasinya masih belum diketahui lebih seminggu selepas kejatuhan Tripoli.
Pemimpin tertinggi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) pula berkata, Gaddafi dipercayai berada di pekan gurun Bani Walid kira-kira 150 kilometer di tenggara Tripoli.

“Gaddafi cuba menghubungi Bouteflika dengan telefon tetapi beliau enggan menerima panggilan itu. Penasihat presiden terpaksa memberi alasan yang beliau tiada dan sibuk dengan pelbagai majlis di Algeria,” lapor El Watan memetik sumber itu dalam laporan laman webnya.

“Ini bukanlah kali pertama Gaddafi dan beberapa pembantunya cuba menghubungi presiden untuk mendapat peluang berunding tetapi Algeria jelas memegang pendirian berkecuali dan kami enggan untuk masuk campur dalam hal dalaman Libya,” katanya.

Tidak jelas bila panggilan itu dibuat tetapi NTC sudah menuntut Algeria menyerahkan anggota keluarga Gaddafi kepada mereka untuk dibicarakan.
Menteri Luar Algeria, Mourad Medelci sebelum ini memberitahu, kerajaan Algeria tidak boleh memberi status pelarian kepada Gaddafi walaupun membenarkan isteri dan anaknya memasuki negara itu.

Bagaimanapun, Mourad berkata Algeria akan mengiktiraf pemimpin baru Libya sebaik mereka menubuhkan kerajaan.

Algeria adalah satu-satunya jiran Libya di Afrika Utara yang belum mengiktiraf NTC yang mengambil alih ibu negara Tripoli dan beberapa bahagian di negara itu mengakhiri pemerintahan selama 42 tahun Gaddafi.

Sementara itu, NTC juga mendedahkan bahawa Perlembagaan baru Libya akan siap lapan bulan sebelum pilihan raya umum diadakan awal 2013.

“Kami sudah ada pelan masa depan dengan waktu peralihan kepada pembentukan kerajaan baru selama 20 bulan,” kata jurucakap NTC, Guma al-Gamaty, kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Di Paris, pemimpin dunia mengumumkan pemulangan AS$15 bilion (RM45 bilion) kepada NTC selepas menamatkan pembekuan aset Libya di luar negara bagi membina semula negara Afrika Utara itu. – Agensi

Saif terus lawan, Saadi sedia menyerah

 
pix_gal0
Anak Muammar Gaddafi berbeza pendirian ketika dunia sokong pemerintah baru Libya

 
TRIPOLI: Anak Muammar Gaddafi, Saif al-Islam dan Saadi berbeza pendirian terus melawan rejim baru atau menyerah diri ketika dunia menyatakan sokongan kepada Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) untuk membentuk pentadbiran di negara Afrika Utara itu, semalam.

Saif memberitahu televisyen Syria, al-Rai bahawa dia dan bapanya sihat serta berikrar bahawa mereka akan meneruskan perjuangan dengan menawan semula Tripoli.
“Kami akan mati di negara ini. Tiada siapa akan serah diri. Kami mesti terus lawan siang dan malam hingga tanah air bersih daripada samseng dan pengkhianat.
“Kami mahu beritahu rakyat bahawa kami terus mengorak langkah berjuang dan pemimpin tentera dalam keadaan baik.”

Bagaimanapun, adik Saif, Saadi yang juga bekas pemain bola sepak, memberi maklum balas berbeza ketika ditemuramah televisyen Arab Saudi, al-Arabiya apabila menyuarakan kesediaan berunding dengan rejim baru.

“Saya sedia menyerah diri jika tindakan itu menamatkan pertumpahan darah tetapi saya tidak hanya mewakili diri sendiri dan bagi mencapai penyelesaian secara aman krisis ini, kita perlu duduk semeja untuk berunding. Perkara paling utama ialah menghentikan pertumpahan darah.”

Gaddafi dilaporkan lari ke Bani Walid, 150 kilometer ke tenggara Tripoli bersama Saif dan ketua perisikan, Abdullah al-Senoussi, tiga hari selepas Tripoli ditawan pemberontak. Bani Walid dikuasai puak Warfalla yang berpengaruh tetapi tidak pro-Gaddafi.
Angkatan bersenjata NTC minggu ini menyatakan mereka berada 30 kilometer dari Bani Walid. NTC juga memberi kata dua kepada penyokong Gaddafi di Sirte menyerah diri atau menghadapi serangan.

Russia menjadi antara negara terbaru mengiktiraf NTC sebagai pemerintah baru Libya ketika satu sidang antarabangsa diadakan di Paris bagi menyelaras aspek politik dan pembinaan semula ekonomi negara itu 42 tahun selepas Gaddafi menggulingkan Raja Idris pada 1969.

Ketika persidangan itu memberi tumpuan kepada usaha membina semula Libya, ada juga peserta yang merebut kontrak selepas perang meliputi sektor minyak dan gas.
Mac lalu, Russia berkecuali daripada undian di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membenarkan campur tangan asing di Libya.

Tetapi, Moscow kemudian menuduh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bertindak di luar mandat untuk melindungi orang awam dan memihak kepada pemberontak.

Ada pihak di Libya membayangkan rejim baru akan mengetepikan Russia dan China dan memberi kontrak kepada peneraju campur tangan termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Qatar.

NTC dijangka mendesak langkah segera dari negara Barat supaya menamatkan pembekuan aset Libya menerusi sekatan PBB.

Amerika dan Britain mendapat keizinan PBB untuk menamatkan pembekuan AS$1.5 bilion (RM4.5 bilion) aset Libya manakala Perancis dibenarkan menyerahkan 1.5 bilion euro (RM6.48 bilion) daripada nilai keseluruhan 7.6 bilion euro. – Agensi



Pesawat British bedil kubu di bandar kelahiran Gaddafi
2011/08/26

LONDON: Pesawat British menembak peluru berpandu ke sebuah kubu di Sirte, bandar kelahiran pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, hari ini, menurut Kementerian Pertahanan Britain.

“Pada tengah malam, formasi Tornado GR4s...melepaskan peluru berpandu Storm Shadow ke sebuah kubu besar di bandar kelahiran Gaddafi, Sirte,” menurut kenyataan kementerian itu.
Menurut taklimat harian di Brussels, pesawat NATO turut menyerang tentera yang setia kepada Gaddafi di Sirte semalam, memusnahkan 29 kenderaan bersenjata.
Selepas Tripoli jatuh ke tangan pemberontak, mereka kini memburu Gaddafi dan mara ke Sirte di mana mereka menghadapi tentangan kuat di timur bandar itu.

Gaddafi dikatakan berlindung di bandar itu yang terletak 360 kilometer ke timur Tripoli- AFP

Tentera pro Gaddafi kepung bandar barat Libya
2011/08/25

ZINTAN: Tentera yang setia dengan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kini mengepung bandar pemberontak, Zuwarah di barat Tripoli, namun komander pemberontak menegaskan anggota pejuangnya kini kekurangan kekuatan untuk mempertahankan bandar itu.

Kolonel Abdu Salem berkata, tentera pemberontak di Zuwarah sudah mendapatkan bantuan dari Zintan dan beberapa tempat lain di selatan untuk mempertahankan bandar itu.
Namun jurucakap pemberontak di Zintan, Kolonel Juma Brahim berkata: “Zintan tidak mampu memberi sebarang pertolongan. Semua anggota kami kini berada di Tripoli." - AFP
 

PEMBERONTAK memijak patung kepala Gaddafi di  Bab al-Aziziya,   Tripoli, kelmarin.
PEMBERONTAK memijak patung kepala Gaddafi di Bab al-Aziziya, Tripoli, kelmarin.

SANG PRIMADONA - Takdir Azean Irdawaty A.M.N.

Kak Yan tidak bermaya


Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

2011/09/07

Kesihatan Azean Irdawaty semakin merosot selepas disahkan menghidap penyakit Lymphedema

SAMBUTAN Aidilfitri bagi keluarga seniwati Azean Irdawaty atau lebih akrab disapa Kak Yan tahun ini mungkin tidak lagi semeriah dulu. Meskipun penyakit barah yang dihidapi Kak Yan sudah pulih sepenuhnya, namun kesan pembedahan dan juga rawatan kemoterapi dan radioterapi yang dilakukan membuatkan pelakon itu lebih sebulan terlantar kesakitan. Sepanjang tempoh itu, Azean tidak boleh banyak bergerak dan segala urusan seharian termasuk yang ada kaitan dengan dirinya sendiri diuruskan oleh suami dan anak-anaknya. Perkara ini diakui sendiri oleh suaminya, Khairil Anwar Z.M Rashidi ketika dihubungi Hip petang Isnin lalu.

“Sejak menjalani pembedahan membuang sebanyak 16 kelenjar di tubuhnya, keadaan kesihatan Kak Yan semakin tidak menentu. Menurut doktor, dia menghidap penyakit Lymphedema.
“Keadaan ini berlaku apabila protein tidak dapat dicerna oleh tubuh. Disebabkan itu, dia lebih banyak berehat di atas katil dan tidak boleh banyak bergerak kerana kesakitannya itu membabitkan bahagian pinggang ke atas. “Kalau nak mandi atau buang air, kami anak beranak akan membantunya. Mujurlah bahagian pinggang dan ke bawah dia masih kuat. Jadi mana yang boleh dia uruskan sendiri, dia akan buat,” katanya menceritakan keadaan sebenar isterinya itu.
Menurut Khairil Anwar atau lebih mesra disapa Karl ini lagi, penyakit Lymphedema yang dihidapi isterinya itu memang tidak akan sembuh sepenuhnya. Jadi apa yang boleh dilakukan adalah sentiasa mengawasi perkembangannya dari masa ke semasa.
“Sebelum menjalani pembedahan dan rawatan kemoterapi dan radioterapi lagi doktor sudah memaklumkan kepada kami bahawa memang akan ada risiko yang menanti dan kesan sampingan. Memandangkan penyakit ini memang tiada penawarnya jadi kami hanya membuat rawatan biasa saja seperti membuat urutan.

“Bagaimanapun, teknik urutan itu bukanlah seperti urutan biasa yang kita lakukan. Sebaliknya ia dilakukan oleh pakar yang biasa berdepan dengan pesakit Lymphedema,” katanya Karl lagi.

Meskipun agak sedih melihat keadaan isterinya itu, namun kata Karl lagi dia cukup kagum dengan ketabahan isterinya itu.

“Walaupun terlantar dan tidak boleh banyak bergerak disebabkan penyakitnya itu, namun saya lihat dia cukup tenang dan tabah untuk melalui apa saja dugaan dan cabaran yang mendatang. Semangatnya cukup kuat untuk menempuh hari-hari yang mendatang bersama penyakitnya itu,” pujinya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai sambutan hari raya yang diraikan seluruh umat Islam di Malaysia minggu lalu, dia berkata mereka hanya meraikan Aidilfitri di kediaman mereka saja.

“Kami tidak ke mana-mana. Sebaliknya sambutan Adilfitri diadakan di rumah saja memandangkan keadaan Kak Yan yang tidak boleh banyak bergerak itu. Benjy pula memang tidak dapat bersama kerana pada waktu itu, dia terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di hidungnya,” terangnya.
 
Marilah kita berdoa supaya penyakit Kak Yan disembuhkan Allah. Agar kesihatannya terus bertambah baik, hidupnya sentiasa diberkati dan dirahmati Nya... 
" Ya Allah Ya Robbi, kurniakanlah ketabahan dan kekuatan mental fizikal ke atas Kak Yan supaya beliau dapat menghadapi dugaanMu ini dengan iman dan taqwa. Sembuhkanlah penyakitnya. Kurniakanlah kebajikan yang berterusan sepanjang hayatnya dikandung badan. Amin ya Robbul Alamin..."