Thursday, July 07, 2011

BENCANA MH17 : TERHEMPAS ATAU DITEMBAK ?

MH17 terhempas: Mayat ditemui di lokasi, serpihan bersepah sejauh beberapa kilometer

KUALA LUMPUR: 
Astro Awani | Diterbitkan pada 

Bangkai pesawat MH17 yang ditemui.
- AFP PHOTO/DOMINIQUE FAGET

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terputus hubungan pada kira-kira 1415 (GMT)  dari waypoint Tamak, sekitar 50km dari sempadan Ukraine dan Rusia telah disahkan terhempas menurut laporan AFP. AFP turut melaporkan beberapa mayat telah ditemui di sekitar lokasi pesawat terhempas dan serpihan dikatakan bersepah sejauh beberapa kilometer. Ekor pesawat malang itu dijumpai di sebuah ladang jagung berhampiran manakala pasukan mencari dan menyelamat kelihatan di lokasi. Pesawat Boeing 777 itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengahari (waktu tempatan) dan sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi Jumaat.


Empat perancang utama MH17 dikenal pasti
SINAR HARIAN | | 19 Jun 2019



Foto empat perancang utama insiden Malaysia Airlines MH17 
yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada tahun 
2014 dikenal pasti. - Foto Twitter / Aric Toller

SHAH ALAM - Laporan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) mendedahkan empat suspek dikenal pasti sebagai perancang utama insiden Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada tahun 2014. Ia dilaporkan dalam satu sidang media di Belanda, hari ini. Memetik Harian Metro, pasukan penyiasat JIT berkata tiga suspek adalah warga Rusia, manakala seorang warga Ukraine.

“Semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Donetsk People's Republic ketika kejadian. Igor Girkin digelar 'Menteri Pertahanan' untuk wilayah Donetsk,” katanya. JIT menambah, tiga daripada suspek aktif dalam gerakan bersenjata.

“Pendakwa raya akan dakwa empat suspek yang menjadi perancang utama dalam kejadian di Mahkamah Jenayah Belanda,” katanya. Pesawat Malaysian Airlines itu meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014. Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh. Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.


Keluarga mangsa MH17 tuduh Putin dalang sebenar tragedi
SINAR HARIAN | | 19 Jun 2019



BELANDA - Waris mangsa tragedi MH17 menamakan Presiden Russia Vladimir Putin sebagai dalang utama insiden berkenaan. Ibu kepada anak lelaki dan menantu yang terbunuh dalam nahas terbabit Silene Fredriksz memberitahu wartawan, kejadian tersebut berlaku kerana presiden itu.

"Dia mewujudkan situasi ini dan dia adalah orang penting yang bertanggungjawab,” katanya selepas anggota keluarga diberi taklimat berkenaan insiden dalam satu sidang media di Belanda, hari ini. Menerusi laporan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) empat suspek didakwa atas tuduhan membunuh selepas menembak jatuh pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) di timur Ukraine pada 2014 akan dibicarakan seawal tahun depan. Empat individu yang dinamakan Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) adalah Igor Gerkin, Sergey Dubinsky, Oieg Pulatov dari Russia manakala Leonid Kharchenko, seorang warganegara Ukraine. - AFP


Suspek utama MH17 nafi penglibatan pemberontak Ukraine
SINAR HARIAN | | 19 Jun 2019



Igor Girkin nafi dirinya dan pemberontak pro-Rusia terlibat dalam 
insiden MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014.

MOSCOW - Salah seorang suspek yang dinamakan sebagai perancang utama insiden Malaysia Airlines MH17 menafikan pemisah pro-Rusia sebagai dalang di sebalik serangan peluru berpandu BUK yang meragut nyawa 280 orang di dalam pesawat tersebut. Pesawat itu ditembak jatuh peluru berpandu buatan Soviet di kawasan dikawal pemberontak di timur Ukraine pada Julai 2014, kira-kira 40 kilometer dari sempada Rusia. Ia adalah lokasi di mana pertempuran berlanjutan selama beberapa bulan antara tentera Ukraine dan pemisah disokong Rusia.

"Saya hanya boleh mengatakan pemberontak tidak menembak jatuh pesawat itu," kata Igor Strelkov yang juga dikenali sebagai Igor Girkin kepada agensi berita Interfax di Rusia. Hari ini, penyiasat antarabangsa berkata mereka mengeluarkan waran tangkap ke atas Girkin dan tiga lagi suspek lain berhubung insiden MH17. Pendakwa raya Belanda, Fred Westerbeke berkata, kesemua lelaki tersebut 'akan dipertanggungjawabkan' kerana membawa senjata pemusnah BUK Telar ke timur Ukraine. Ahli keluarga mangsa pula berkata, keempat-empat suspek akan didakwa sebagai perancang utama di Mahkamah Jenayah Belanda pada 9 Mac 2020. Sementara itu, Girkin yang dipercayai tinggal di Moscow memberitahu Interfax bahawa beliau tidak akan memberi keterangan dalam kes tersebut.

"Saya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini. Saya dan pemberontak tidak terlibat," katanya. Terdahulu, Kremlin enggan mengulas laporan Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) yang menyiasat insiden berkenaan. Kremlin berkata, Rusia bukan sebahagian daripada siasatan. Tahun lalu, JIT berkata peluru berpandu anti-pesawat BUK yang menembak jatuh MH17 adalah milik briged tentera Rusia yang berpangkalan di Kursk. Moscow berulang kali menafikan sebarang pembabitan dalam menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu, sebaliknya menyalahkan Kiev. - AFP


MH17 ditembak jatuh peluru berpandu tentera Rusia                - Pasukan penyiasat
Agensi
Mei 24, 2018 22:00 MYT

BUNNIK: Sistem peluru berpandu antipesawat 53 Angkatan Bersenjata Rusia digunakan untuk menembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine pada tahun 2014, kata pasukan penyiasat kes itu pada Khamis.Pesawat dengan 298 penumpang di mana dua pertiga daripadanya ialah warga Belanda ditembak jatuh peluru berpandu buatan Rusia pada 17 Julai 2014 di ruang udara wilayah yang dikawal puak pemisah pro-Rusia.

 
Penyiasat merayu orang ramai untuk membantu mengenal pasti
krew yang mengendalikan peluru berpandu dan menentukan 
dari mana arahan itu datang.

"Sistem peluru berpandu yang digunakan adalah daripada tentera Rusia, Briged ke-53. Kita tahu apa yang digunakan, tetapi orang yang bertanggungjawab terhadap BUK ini, kita tidak dapat pastikan," kata Ketua Pendakwa Belanda, Fred Westerbeke kepada Reuters.


 Misil, Faktor Luaran Penyebab Nahas MH17
The Vocket.com  October 14, 2015


Selepas MH370 hilang tanpa dikesan, Malaysia digemparkan dengan sebuah lagi pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang jatuh di kawasan negara Ukraine pada 17 Julai 2014. Pesawat MH17 tersebut dalam perjalanan dari Amsterdam, Netherlands ke Kuala Lumpur, Malaysia. MH17 merupakan sebuah kapal terbang komersil model Boeing 777-200 dengan nombor pendaftaran 9M-MRD milik MAS telah dikendalikan oleh anak-anak kapal yang berwibawa dan berkelayakan.

Saat Nahas MH17 Berlaku

MH17 terbang berdekatan sempadan Ukraine/Rusia pada ketinggian 33,000 kaki, di bawah kawalan Kawalan Trafik Udara Ukraine.
Pada 13.20:30 jam (15.20:30 CET) kepala peledak diletupkan di luar dan di atas sebelah kiri kokpit penerbangan MH17. Ia adalah kepala peledak 9N314M yang dibawa di atas peluru berpandu siri 9M38 yang dilancarkan dari Buk, sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara.
Impak letupan tersebut telah membunuh tiga orang serta-merta di dalam kokpit dan menyebabkan kerosakan struktur yang telah mendorong bahagian-bahagian kapal terbang retak dan pecah di udara.
Perpecahan bahagian kapal terbang telah menyebabkan kawasan bangkai kapal terbang dan isi-isinya bertebaran meliputi 50 kilometer persegi di antara kampung Petropavlivka dan pekan Hrabove, Ukraine.
Nahas itu telah menyebabkan kesemua penghuni MH17 seramai 298 orang kehilangan nyawa pada hari kejadian tersebut.

Lain-lain Faktor Punca Nahas Dipertimbangkan Dan Ditolak Kebarangkaliannya

Walaupun pihak penyiasatan telah mempertimbangkan sebab-sebab lain terjadinya nahas ini, hanya letupan dari luar oleh misil ini menepati dan konsisten dengan bukti-bukti yang ditinggalkan di badan dan kerangka MH17.

Antara kebarangkalian yang telah dipertimbangkan ialah:

Faktor semulajadi

Walaupun ada berlaku ribut kilat di kawasan di mana ia nahas, tiada bukti menunjukkan bangkai atau data direkodkan disebabkan oleh panahan kilat. Bentuk kerosakan pada kapal terbang menunjukkan tiada serangan meteor berlaku ke atasnya. Manakala, data Aerospace Corporation menunjukkan tiada debu-debu angkasa lepas memasuki kawasan atmospfera antara 10 dan 19 Julai 2014. Maka, faktor semulajadi seperti panahan petir, meteor dan debu angkasa lepas bukan punca MH17 retak dan pecah serta terhempas di kawasan Ukraine.

Kemungkinan punca dalaman

Tangki minyak kapal terbang tidak menyebabkan kapal terbang meletup atau terbakar sehingga jatuh terjunam ke bumi. Api yang besar di darat menunjukkan tangki minyak kapal terbang masih dalam keadaan baik dan masih mempunyai kuantiti minyak yang banyak untuk menghasilkan api sebesar itu. Kerosakan bahagian-bahagian enjin juga tidak menyebabkan bentuk lubang tebuk. Di samping itu, sekiranya berlaku kegagalan enjin yang berleluasa ia tidak akan merosakkan kokpit. Ini kerana kerosakan fiuslaj akan terhad kepada kawasan bersebelahan dengan enjin sahaja.

Letupan di kabin atau bahagian bagasi ditolak kerana bentuk kerosakan yang ditemui di bangkai MH17 tidak menunjukkan berlakunya kesan letupan dalaman.

Misil, Faktor Luaran Penyebab Nahas MH17

Beratus-ratus lubang dan tanda memantul yang diperhatikan pada fiuslaj hadapan dan dalam kokpit menunjukkan terdapat pelbagai impak dari lebih 800 objek bertenaga tinggi dari luar ke arah kapal terbang terutama di kawasan umum di sebelah kiri, dan ke atas, kokpit.
Objek bertenaga tinggi yang melanda di luar pesawat tersebut adalah tertumpu sekitar bahagian kiri badan pesawat bermula bersebelahan dengan kokpit tingkap 2 dan 3.

Bahagian dalam kokpit, termasuk belah kiri kerusi kokpit, menunjukkan bukti perpecahan besar-besaran, penghancuran yang dahsyat dan mempunyai berpuluh-puluh lubang penembusan.

Kepadatan penembusan objek berkurangan di kawasan ke arah belakang dan ia berakhir di depan pintu penumpang sebelah kiri, pintu 1L. Ketumpatan paling tinggi ialah kira-kira 250 kesan bagi satu meter persegi.
Bukti kerosakan letupan telah ditemui di sekitar kokpit dalam bentuk bopeng dan jelaga. Beberapa panel fiuslaj hadapan menunjukkan bentuk berubah akibat letupan itu.
MH17 Terbang Di Atas Zon Konflik

Pada hari kejadian, krew penerbangan mengikuti pelan perjalanan yang telah dibenarkan seperti berikut:
Pihak-pihak penerbangan yang terlibat tidak cukup mengenalpasti risiko membenarkan penerbangan awam melalui kawasan konflik bersenjata di bahagian timur Ukraine.

Pihak berkuasa Ukraine melaporkan kapal terbang tentera telah ditembak jatuh pada 14 dan 16 Julai, dan mereka turut menyatakan sistem senjata dapat mencapai altitude ketinggian yang biasa digunakan oleh pesawat awam. Ini memberikan sebab yang kukuh untuk menutup ruang udara di atas bahagian timur Ukraine untuk penerbangan awam sebagai langkah berjaga-jaga.
Tetapi, pihak lain yang terlibat seperti operator penerbangan di negara ia beroperasi dan pihak ketiga seperti ICAO tidak dapat mengenalpasti potensi risiko tersebut.

ICAO tidak meminta pihak berkuasa Ukraine tentang pengurusan ruang udara dan tidak menawarkan apa-apa bantuan sewaktu tempoh berlakunya konflik di bahagian timur Ukraine.
Ini menyebabkan operator penerbangan termasuk MAS menganggap ruang udara Ukraine adalah selamat berikutan tiada apa-apa amaran spesifik dikeluarkan kepada penerbangan awam semasa tempoh di mana konflik Ukraine telah berkembang ke ruang udara. Dilaporkan 160 penerbangan awam melalui kawasan timur Ukraine pada hari kejadian tersebut dan ia hanya ditutup selepas nahas MH17.

Tanggungjawab sistem sedia ada untuk memastikan keselamatan penerbangan awam tidak menyediakan maklumat yang cukup untuk akses risiko di kawasan-kawasan konflik. Penilaian risiko bagi penerbangan awam menggunakan ruang udara kawasan konflik sepatutnya bukan sahaja perlu mengambil kira ancaman sebenar tetapi juga harus merangkumi risiko di mana niat atau keupayaan pihak-pihak berkonflik yang tidak dikenalpasti turut dinilai.

Dutch Safety Board mengumumkan keputusan penyiasatan akhir MH17 pada Selasa lalu bersama-sama laporan penuh dalam bentuk PDF menyatakan nahas MH17 kerana misil BUK buatan Rusia yang dilancarkan di dalam kawasan Ukraine tetapi tidak menamakan siapa yang bertanggungjawab ke atas nahas tersebut dan tidak menyatakan dengan spesifik siapakah yang melancarkan misil tersebut.


Wednesday, July 06, 2011

Korean Malay-Woman, Mariam Johari


Mariam gets her wish at last
web: www.nst.com.my

KUALA LUMPUR, 13 September 2009 : The Malaysian embassy in Seoul has finally given the green light for Mariam Johari's body to be buried in Malaysia. The body would be flown back to Malaysia by Wednesday. Efforts to bring Mariam's body back to Malaysia turned futile on Wednesday after the embassy office failed to respond to requests by Mariam's family. Mariam's Korean family then decided to go ahead with the funeral, which was scheduled for yesterday at 3pm.
In a dramatic turn of events, as the hearse left the hospital and went towards the crematorium, the family received a call informing them they could bury the body in Malaysia. The hearse made a U-turn to take the body back to the hospital for preparations to be flown back to Malaysia. Mariam, 88, had died in her sleep at an old folk's home in Seoul on Sunday and her Korean family then prepared for her funeral. But Mariam's children in Kota Tinggi, Johor, Ramlah, 73, and Jelani Sonni, 72, wanted the body to be brought back to Malaysia. On Wednesday, after money was raised by generous Korean donors who sympathised with Mariam's life story, efforts were again made to prepare for the body to be flown to Malaysia. Korean Broadcasting System documentary producer Park Keon Young, who had documented Mariam's life story, described the recent developments as a" miracle".
"We never thought Mariam could ever be laid to rest in Malaysia as she had wished after the embassy did not reply to our request to take Mariam home," Park told the New Sunday Times. This was the second time that Mariam's funeral had been halted by the embassy. On Tuesday, the funeral was halted after the embassy informed the family members of efforts being made to take Mariam's body to Malaysia. The decision was reversed 12 hours later when Wisma Putra found out that Mariam had denounced her citizenship in 2007, a few months after she regained her status as a Malaysian.
Wisma Putra said since Mariam was a Korean subject, it had no jurisdiction to take the body home. It triggered an immediate reaction from Koreans who wanted Mariam to be buried in Malaysia. Again, the effort was hampered by a lack of communication from the embassy. In Johor Baru, Johor Umno Youth said it will take care of all the arrangements to bring Mariam's body from Kuala Lumpur International Airport to Kota Tinggi for burial. Johor Umno Youth chief Fadil Muskon said they will arrange for Mariam's body to be sent to her son Jelani Sonni's house in Taman Kota Jaya in Kota Tinggi.


Terkilan, Ibu Meninggal Tidak Dikebumikan Secara Islam.

KOTA TINGGI: "Saya terkilan mak buat wasiat hendak dikebumikan secara Kristian kerana kami langsung tidak tahu menahu mengenai wasiat itu," Demikian keluhan pilu anak bongsu Marian Johari, Jelani Sonni selepas mendapat tahu ibunya,  rakyat Malaysia yang terkandas di Korea Selatan sejak 64 tahun lalu, meninggal dunia, malam kelmarin pada usia 88 tahun.

Jelani, 72, berkata beliau mendapat tahu berita kematian ibunya di sebuah rumah kebajikan di Seoul daripada anak saudaranya, Ahmad Onn, kira-kira jam 10.30 pagi semalam. Katanya, beliau hanya tahu Mariam ada membuat wasiat sebelum menyambut Ramadan, tetapi tidak tahu kandungannya. Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae meninggal dunia kira-kira jam 1.20 pagi waktu Korea Selatan (kira-kira jam 12.20 malam kelmarin waktu Malaysia) ketika tidur selepas kira-kira empat bulan tidak sihat. Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila akhbar terbitan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP) menyiarkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor, pada 23 Jun 2007.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921, berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan. Ketika Perang dunia kedua, suami Mariam menyertai tentera manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943.

Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won, yang membawanya ke Korea Selatan dan terkandas di negara itu. Namun, hasratnya bertemu semula tiga anaknya, Ramlah Sonni, 74, Jelani dan Jamnah, 67, akhirnya termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa Ramlah dan Jelani serta cucunya, Ahmad Onn, 43 dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007. 

Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September tahun sama sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007. Jelani berkata, itulah kali terakhir beliau serta kakak dan adiknya bertemu dengan ibu mereka.

photo from :
"Sejak itu saya langsung tidak mendengar daripadanya... mahupun daripada keluarga anak tirinya, Ji Yong Un, 53, di Seoul. Hanya pada petang 30 Mei lalu, saya mendapat panggilan daripada Mariam menerusi pelajar Malaysia yang menuntut di sana, Yen Mun Wah, yang menyatakan mak ketika itu tenat dan mak turut menyebut ketiga-tiga nama kami. Selepas itu tidak lagi ada khabar berita," katanya ketika ditemui selepas berbuka puasa di rumahnya di Taman Kota Jaya di sini.

Jelani kelihatan sedih, namun cuba menyembunyikannya dan kerap kali menyentuh mengenai kenangan bersama ibunya ketika wanita itu pulang ke negara ini, dua tahun lalu, termasuk mendengar Mariam mengucap dua kalimah syahadah. Ditanya sama ada beliau akan ke Korea membawa jenazah ibunya pulang ke negara ini, Jelani berkata beliau difahamkan kos membawa pulang jenazah itu membabitkan kira-kira RM30,000.

"Lagipun saya tidak sanggup melihat ibunya dikebumikan cara mereka... rela tidak rela, kami redha dan berserah kepadaNya," katanya. Jelani mengakui beliau dan adik beradik sekeluarga memang mahu ibu mereka dibawa pulang. "Malah ketika beliau masih sihat lagi. Namun apakan daya, tiada siapa dapat membantu kami membawanya pulang, kerajaan negeri pula sudah banyak membantu kami dan kami turut terhutang budi. "Kalau pun ada pihak yang sudi membantu membawa jenazah pulang, kami juga khuatir mengundang pelbagai masalah di Pejabat Agama di sini," katanya.


ARKIB : 08/09/2009

Kisah Nek Mariam Wajar Dijadikan Iktibar - Nooh Gadut.

JOHOR BAHRU 7 Sept. - Kisah hidup wanita kelahiran Johor yang terkandas selama 64 tahun di Korea Selatan, Mariam Johari, 88, dan meninggal dunia di sana wajar dijadikan pengajaran dan iktibar kepada semua pihak. Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut berkata, umat Islam khususnya generasi muda sepatutnya meletakkan akidah dan agama melebihi segala-gala daripada cinta dan kasih sesama manusia. Beliau berkata, ini kerana sayang kepada agama kekal di dunia dan akhirat manakala cinta kepada manusia hanya bertahan sementara waktu sahaja.

''Anak-anak muda jangan mengikut perasaan untuk melarikan diri dari rumah dan berhijrah ke luar negara walaupun tindakan itu mempunyai sebab. Sebelum membuat apa keputusan, ibarat pepatah Melayu, tepuk dada tanya iman dan bukannya tepuk dada tanya selera,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kematian Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae yang meninggal dunia ketika tidur pada Sabtu lalu selepas kira-kira empat bulan tidak sihat. Anaknya, Jelani Sonni, 72, mendakwa ibunya itu telah membuat wasiat sebelum menyambut Ramadan agar dikebumi secara Kristian.

Mariam yang dilahirkan di Plentong pada 16 Mac 1921 berkahwin dengan seorang jirannya ketika berusia 11 tahun pada 1932 dan melahirkan empat anak, namun anak keempatnya meninggal dunia beberapa bulan selepas dilahirkan. Ketika Perang Dunia Kedua, suami Mariam menyertai tentera manakala Mariam dikerah menjadi buruh membina landasan kapal terbang di Senai pada 1943. Mariam kemudian berkenalan dengan tentera kerahan Jepun dari Korea, Cho Se Won yang membawanya ke Korea Selatan dan terkandas di negara itu. Kisah Mariam mula mendapat perhatian apabila dia meluahkan hasratnya untuk mencari tiga anaknya di Plentong, Johor pada 23 Jun 2007. Hasratnya bertemu semula tiga anaknya itu, Ramlah Sonni, 74, Jelani dan Jamnah, 67, akhirnya termakbul apabila Korea Broadcasting System (KBS) membawa Ramlah dan Jelani serta cucunya, Ahmad Onn, 43 dan menantu, Siti Zainab Noor, 37, ke studio KBS di Seoul pada 18 Julai 2007. Pertemuan kali pertama selama enam hari tidak berakhir di situ apabila Mariam pula dibawa ke Malaysia pada 5 September sebelum pulang semula ke Korea Selatan pada 13 September 2007.

Mengulas lanjut, Nooh berkata, golongan wanita dan gadis remaja tidak harus cepat termakan pujuk individu lain terutamanya yang bukan seagama kerana kebiasaannya terdapat 'udang di sebalik batu'. Beliau berkata, sekiranya terdapat hasrat untuk berhijrah ke negara lain, golongan itu sepatutnya memastikan negara tersebut memiliki persamaan daripada segi agama, budaya dan makanan dengan Malaysia.

''Bagi keluarga yang ditakdirkan kehilangan anak, isteri atau suami, saya menasihatkan mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan ahli keluarga walau di mana mereka berada. Jangan sesekali mereka berputus asa dan jika terdapat kesilapan daripada pihak keluarga, perkara itu patut diperbetulkan dengan segera dan jangan lupa merujuk kepada Allah SWT dan melakukan solat hajat setiap malam,'' katanya.
Nooh turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu saluran khas bagi rujukan kes yang dihadapi oleh keluarga yang kehilangan anak gadis terutamanya ke luar negara


Tuesday, July 05, 2011

Layanan terakhir untuk si mati

@kosmoonline
DAHULU Kyaw Thu, 51, seorang bintang filem terkenal di negara yang diperintah junta tentera, Myanmar. Kini, dia kerap dilihat mengusung keranda atau memandu kereta mayat pada majlis pengebumian orang miskin.
Selepas sedekad Kyaw Thu mengasaskan Persatuan Perkhidmatan Pengebumian Percuma, organisasi itu telah membantu lebih 100,000 buah keluarga yang mahu memberi penghormatan terakhir kepada si mati tanpa bayaran waima kyat1 (RM0.47).
"Saya mahukan perjalanan terakhir si mati dalam keadaan sebaik mungkin," kata bekas pelakon yang kini sudah beruban pada rambut dan janggutnya tetapi aura bintangnya tetap bersinar. Dengan pekerja berbayar seramai 80 orang dan 115 orang lagi sebagai sukarelawan, kumpulan Kyaw Thu menguruskan perkhidmatan percuma hampir 50 pengebumian sehari. Bagi merealisasi angka tersebut, pasukannya menggunakan 18 buah kereta mayat dan dua buah bot bagi membawa si mati dan ahli keluarganya. Selain itu, Kyam Thu juga perlu bergantung kepada hasil derma daripada penduduk tempatan dan luar negara.
Persatuan tersebut merupakan salah satu daripada banyak kumpulan awam tempatan yang berkembang di negara yang berada di bawah pemerintahan tentera selama hampir separuh abad. Kehadirannya dapat menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh sektor awam kerana sering berdepan masalah kewangan dan aliran masuk bantuan asing yang sangat rendah. Menurut perangkaan Bank Dunia, Myanmar kekal sebagai salah satu negara tidak membangun walaupun memiliki banyak sumber-sumber alam yang tidak diteroka dengan hampir satu pertiga rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan. Kadar inflasi yang teruk turut menyebabkan penduduk negara pemerintah tentera itu semakin melarat.

Ritual pengebumian

PERBELANJAAN untuk majlis pengebumian di Myanmar menelan kos yang tinggi.

Pyae Phyo Tun, 12, seorang kanak-kanak yang mati lemas ketika sedang berenang di tasik berdekatan rumahnya. Ibu bapanya terpaksa merayu bantuan daripada Kyaw Thu kerana tidak mampu menanggung kos pengebumian anak lelakinya. "Kamu (Kyaw Thu) adalah penyelamat kami. Tanpa pertolongan anda, perjalanan terakhir anak lelaki kami tidak akan lancar," kata Aye Maw, 33, kepada pelakon filem itu pada hari pengebumian anak lelakinya di Yangon.
Di negara yang turut dikenali sebagai Burma itu, majoriti penganut Buddha percaya perjalanan ke kehidupan seterusnya perlu berjalan lancar tanpa ada penangguhan. Sebab itulah, upacara pengebumian adalah sesuatu yang sangat tradisi bagi penduduknya. Sudah menjadi kebiasaan, saudara-mara si mati akan membina sebuah astaka yang mampu bertahan selama seminggu di hadapan rumah untuk orang ramai berkumpul.
Selalunya, pada hari ketiga kematian, orang yang berkabung akan pergi ke tanah perkuburan manakala para sami akan membaca mantera sebelum mayat dibakar. Bagi yang berkemampuan, mereka akan membeli sebidang tanah di kawasan perkuburan bagi tujuan itu. Selepas beberapa hari, sebuah upacara memperingati si mati akan diadakan dengan menjemput orang ramai untuk berkabung manakala sami pula akan bersembahyang bagi memudahkan perjalanan roh ke dunia seterusnya. Bagi kebanyakan keluarga, agak sukar untuk mereka mengadakan sebuah majlis yang besar seperti itu. Pada masa itulah masa yang sangat sibuk bagi Kyaw Thu.

PERSATUAN Perkhidmatan Pengebumian Percuma telah menguruskan lebih 100,000 majlis seumpamanya untuk mereka yang kurang berkemampuan.

"Saya berasa gembira dan pada masa yang sama sedih. Anak saya tidak menyebabkan sebarang masalah walaupun dia kini sudah meninggal dunia. "Kami berdepan pelbagai kesukaran pada peringkat awal bagi mengurus pengebumian tetapi Persatuan Perkhidmatan Pengebumian Percuma membantu kami menyempurnakan mayatnya tanpa bayaran," kata Aye Maw dengan suara yang bergetar dan air mata yang bercucuran membasahi pipi.
Suaminya Zaw Tun, 34, bekerja sebagai buruh binaan berkata, mustahil untuk mereka membayar sendiri kos upacara pengebumian anak lelakinya.
Bagi upacara pengebumian sahaja boleh menelan kos lebih kyat35,000 (RM129.20) iaitu 10 kali ganda pendapatan seharinya. Persoalannya, bolehkah dia bekerja dalam waktu singkat bagi mengumpul duit sebanyak itu? "Saya terpaksa meminjam sebanyak kyat45,000 (RM166.70) pada kadar faedah 15 peratus ketika memerlukan wang bagi menghantar anak ke hospital dan mengaji sebuah bot untuk pengebumian. "Jiran-jiran tidak dapat membantu kerana mereka juga bekerja sebagai buruh kasar seperti saya," kata Zaw Tun dalam nada hiba selepas pulang dari tanah perkuburan.

Diperhatikan

Walaupun kumpulan Kyaw Thu bukan satu-satunya organisasi yang menawarkan perkhidmatan seperti itu kepada golongan miskin, aktivitinya telah dibawa kepada pihak berkuasa Myanmar. Kuasa pemerintahan Myanmar baru sahaja diberi kepada rakyat negara itu pada bulan Mac lalu melalui pilihan raya yang diadakan pertama kali dalam tempoh dua dekad. Parti Kesatuan Perpaduan dan Pembangunan, sebuah parti politik proksi tentera menyapu bersih keputusan pilihan raya pada bulan November lalu turut menawarkan perkhidmatan pengebumian. Bintang filem yang pernah glamor suatu ketika dahulu itu pernah ditahan sebanyak dua kali oleh pihak berkuasa kerana aktivitinya dengan pelajar serta pemberontakan yang diketuai sami-sami Buddha pada tahun 1988 dan tahun 2007.
"Saya tidak berminat dalam politik. Tetapi orang ramai berharap dan menaruh kepercayaan kepada kami disebabkan oleh aktiviti yang kami lakukan, " kata Kyaw Thu yang mengakui dia dan kumpulannya diperhatikan oleh pemerintah. Dia meninggalkan dunia lakonan kerana telah disenarai hitam selepas dibebaskan dari tahanan. "Kehidupan saya kini sangat sunyi berbanding ketika menjadi pelakon dahulu. Tetapi jika saya letakkan diri sebagai Kyaw Thu, seorang pekerja sosial, sekarang saya mempunyai lebih ramai kawan. Bukan sahaja orang yang masih hidup tetapi juga hantu," katanya. - AFP

Mayat Nurrahayu ditemui dalam keadaan menyayat hati


@kosmoonline
JOHOR BAHRU - Seorang remaja berusia 16 tahun ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila mangsa dibunuh dan dibakar sebanyak dua kali sebelum cebisan mayatnya ditemui di Tanah Perkuburan Hindu, Masai dekat sini kelmarin.
Mayat mangsa, Nurrahayu Qomarodin (gambar kecil) yang dilaporkan hilang pada 18 Jun lalu oleh ibu bapanya dipercayai dibakar di dua lokasi berasingan iaitu Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu, Masai dekat sini yang jarak di antara kedua-duanya kira-kira 20 kilometer bagi menghilangkan bukti.
Keadaan mayat mangsa yang merupakan anak seorang pengusaha kantin di sebuah kuari di Masai ditemui hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan di antara pukul 4 hingga 5 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, berdasarkan laporan saksi, mangsa dikatakan dilarikan oleh seorang lelaki pada hari kejadian dan sejak itu tidak pulang ke rumah keluarganya.
"Pihak polis yang menjalankan siasatan kemudian mendapat maklumat daripada orang awam yang memberitahu menjumpai cebisan rambut, baju dan selipar di sebuah tanah perkuburan Hindu, Masai.
"Berdasarkan siasatan, kesemua barang bukti konsisten dengan kes kehilangan mangsa," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Roslan, susulan penemuan mayat itu, pihaknya menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang bertugas di kuari tempat bapa mangsa mengusahakan kantin.

SEORANG penduduk menunjukkan tempat cebisan mayat Nurrahayu ditemui di tanah perkuburan Hindu, Masai, Johor Bahru semalam.

Astora Jabat Yang Tewas

@kosmoonline
KOTA BHARU - Bekas wartawan Utusan Malaysia, Asae Toramae atau lebih dikenali sebagai Astora Jabat kalah dalam pilihan raya umum Thailand yang menyaksikan Parti Demokrat pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva tumbang.
Beliau sudah menjangkakan kekalahan tersebut kerana pencalonannya bagi kawasan Parlimen Ruso/Jabat iaitu kawasan majoriti Melayu-Islam dalam Wilayah Narathiwat di selatan Thailand hanyalah satu permulaan baginya menceburi dunia politik.
"Saya sudah jangka akan kalah kerana menjadi orang terakhir mendaftar sehari sebelum tamat pencalonan.
"Tetapi saya tidak anggap kalah kerana saya seorang yang tidak akan mengalah dalam perjuangan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau yang mewakili Parti Harapan Baru (NAP) pimpinan bekas Perdana Menteri, Jeneral Chawalit Yongchaiyud, tewas dalam pertembungan tujuh penjuru.
Astora menjelaskan, banyak faktor menyebabkan kekalahan antaranya kerana beliau tidak dapat berkempen lebih lama.
Beliau yang berasal dari Ruso masih belum cukup dikenali masyarakat tempatan.
"Masyarakat belum cukup mengenali saya kerana selama 35 tahun saya berada di luar negara seperti Mesir, Maghribi dan Malaysia.
"Saya anggap ini pengalaman baharu yang bagus dan ia percubaan saya untuk mengenali dunia politik di sini,'' katanya.

Chupacabra hisap darah kambing


CHUPACABRA haiwan penghisap darah kambing yang menjadi legenda di Mexico.
 
@kosmoonline
SEJUMLAH 40 ekor bangkai kambing bergelimpangan di sebuah perkampungan penggembala di Mexico. Penduduk kampung hanya dapat memikirkan satu punca berdasarkan kesan darah yang amat sedikit ditinggalkan di tempat kejadian.
Mereka mengesyaki ia perbuatan haiwan leagenda, chupacabra, haiwan penghisap darah kambing.
Haiwan itu termasuk di bawah kategori cryptids yang dipanggil cryptozoological. Ia dikelaskan dalam satu kumpulan bersama haiwan legenda lain seperti naga Loch Ness dan Bigfoot.
Antara klu yang mengaitkan kematian besar-besaran kambing berkenaan dengan haiwan tersebut ialah berikutan terdapatnya kesan luka pada leher bangkai haiwan yang terkorban manakala darahnya kering.
Pada Julai lalu, AOL News melaporkan seekor haiwan hodoh yang didakwa sebagai chupacabra berjaya ditembak oleh seorang pegawai Kawalan Haiwan Texas, Frank Hackett.
"Haiwan itu kelihatan tidak normal. Ia sangat hodoh," kata Hackett.
Chupacabra dilaporkan pernah dikesan di tenggara Amerika Syarikat (AS) , Puerto Rico, Amerika Latin dan Mexico.
Pengkaji perubatan bagaimanapun membuat spekulasi bahawa chupacabra mungkin hibrid koyote yang perlu ditentukan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Sebelum itu, pada Januari lalu, seekor haiwan aneh yang menepati ciri-ciri chupacabra ditemui mati oleh pekerja sebuah padang golf di Texas, Tony Potter.
"Haiwan itu berwarna coklat tanpa bulu, bertelinga tajam dan bermuncung. Ia juga memiliki taring seperti anjing," dakwa Potter.
Ia seperti anjing bagaimanapun Potter tidak dapat mengesahkannya.
"Ini bukan koyote. Ini juga bukan seekor anjing," katanya.

Kes Pembunuhan Jutawan Kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya

Kronologi kes bunuh Sosilawati
@hmetro.com.my
30 Ogos 2010: Sosilawati bersama Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil dilaporkan hilang selepas ke Banting atas urusan jual beli tanah. Sosilawati kali terakhir dilihat membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting, pada jam 4 petang.

6 September 2010: BMW M5 milik Sosilawati ditemui di parkir Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW milik Ahmad Kamil pula dijumpai berdepan rumah teres berhampiran sebuah hotel di Subang Jaya.

12 September 2010: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan semua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar di sebuah ladang, manakala abunya dicampakkan ke sungai berhampiran.

13 Oktober 2010: Pathmanabhan bersama-sama Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas tuduhan membunuh semua mangsa.

15 Oktober 2010: Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap Sarawanan dan Suresh yang mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan itu.

18 Oktober 2010: Pathmanabhan gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang membatalkan namanya sebagai peguam berdaftar.
2 November 2010: Enam anak Sosilawati memfailkan tuntutan saman ganti rugi bernilai RM60 juta terhadap Pathmanabhan dan lima pekerja ladang yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan ibu mereka.

21 Februari 2011: Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda hukuman tujuh tahun kepada 20 tahun penjara kepada Sarawanan dan Suresh kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan itu.

3 Mei 2011: Tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta oleh Sosilawati terhadap dengan bekas suami, Nash di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dihentikan berikutan kematian jutawan itu.

RENTETAN PETIKAN AKHBAR ONLINE

@kosmoonline
BANTING - Empat pekerja ladang buah-buahan dan ternakan milik seorang peguam bergelar Datuk mengaku terlibat membunuh dan membakar Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersama jutawan kosmetik itu di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada lapan lelaki yang ditahan reman itu, polis kemudian berjaya menemui lokasi empat mangsa yang dipercayai ditahan, dibunuh dan dibakar di ladang ternakan tersebut.
"Kesemua lelaki terbabit mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka kemudian dibakar.
"Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke sebatang sungai berhampiran sebuah ladang ternakan di situ," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dekat sini semalam.

 Anak-anak setia menunggu Sosilawati beraya di Gombak

Oleh NOR SHAFAWATI YUP
shafawati.yup@kosmo.com.my

RUMAH Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak yang terus sunyi semalam
tanpa persiapan menyambut Aidilfitri.
@kosmoonline
GOMBAK, 10 September 2010 – Enam anak Sosilawati Lawiya, 47, (gambar) akan tetap menunggu kepulangan ibu mereka di Taman Harmonis di sini bagi menyambut Aidilfitri bersama hari ini.
Seorang lelaki yang mendakwa sebagai pekerja kepada jutawan kosmetik itu berkata, buat masa ini anak-anak Sosilawati tidak mahu diganggu kerana mereka tertekan memikirkan nasib ibu mereka yang belum diketahui.
“Walaupun tidak ada khabar berita mengenai ibu mereka anak-anak Sosilawati masih mengharap mereka dapat raya bersama di rumah ini,” katanya yang enggan bercerita lanjut.
Kosmo! yang membuat tinjauan di rumah Sosilawati pada pukul 9 pagi semalam mendapati suasana rumah tersebut lengang tanpa ada persiapan untuk menyambut Aidilfitri.
Dua lelaki menaiki kereta Chevrolet Aveo dilihat memasuki rumah jutawan itu namun mereka enggan melayan wartawan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Datuk Ho Abdullah berkata, sehingga semalam polis masih menjalankan siasatan berhubung kehilangan Sosilawati.
Tiga lagi yang hilang bersama wanita itu ialah pembantu peribadinya, Kamarudin Shansudin atau Kamal, 47, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam dari Tetuan Kamarudin & Partners, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32.
“Biarlah polis menjalankan siasatan dan saya nasihatkan sekali lagi jangan terpengaruh dengan dakwaan atau khabar angin,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Kehilangan Sosilawati terjawab hari ini?

BANTING, 12 September 2010 – Misteri kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi dijangka diketahui hari ini apabila pasukan forensik polis membuat siasatan di sebuah ladang pertanian bersepadu.
Polis telah menyekat laluan masuk ke Ladang Gadong, di Jalan Gadong, Tanjong Sepat dekat sini sejak malam tadi dan tidak membenarkan media yang berkumpul di situ memasuki kawasan itu.
Salah seorang anggota polis yang bertugas memberitahu pemberita mereka diarahkan agar tidak membenarkan media masuk ke dalam kawasan itu.
Difahamkan pihak forensik dari Bukit Aman akan datang pagi ini untuk menjalankan siasatan ketika spekulasi kuat mengatakan bahawa keempat-empat mereka telah dibunuh dan mayat mereka dibakar.
Menurut seorang penduduk di kawasan berhampiran, ladang itu menjalankan pertanian bersepadu seperti ternakan ayam, lembu dan penanaman longan.
Sosilawati, 47, dan pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dilaporkan hilang sejak hampir dua minggu lepas semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.
Seminggu selepas itu, polis menemui kereta BMW milik Sosilawati di Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya dan kereta BMW milik Ahmad Kamil di kawasan perumahan berhadapan sebuah hotel di Subang Jaya. – Bernama

Mayat dibakar di ladang ayam


KUALA LUMPUR – Empat mayat dipercayai termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya (gambar) dan tiga rakannya yang dilaporkan hilang sejak 13 hari lalu ditemui dekat pantai Morib, Selangor semalam.
Kesemua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.
Setakat ini polis sudah menahan enam individu berhubung penemuan mayat-mayat tersebut.
Motif pembunuhan belum dapat dipastikan.
Kehilangan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki lain dipercayai didalangi seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang dikatakan individu terakhir yang ditemui jutawan kosmetik itu ketika urus niaga tanah dijalankan di Banting, Selangor pada 30 Ogos lalu.
‘Datuk’ berkenaan yang mempunyai ramai kenalan di kalangan orang kenamaan dipercayai berperanan sebagai broker dalam penjualan tanah bernilai RM4 juta di Pulau Pinang.
Satu sumber memberitahu, ahli perniagaan itu dipercayai mempunyai banyak petunjuk bagi membantu siasatan kes, termasuk mengesan lokasi keempat-empat mangsa disembunyikan.
“Dia dikatakan pernah terbabit dalam kegiatan penipuan jual beli tanah, dipercayai didalangi sindiket terancang. Malah, beberapa laporan polis pernah dibuat terhadapnya sebelum ini berkaitan urus niaga tanah.
“Difahamkan, ahli perniagaan terbabit mahir ‘menghilangkan’ pelanggannya,” kata satu sumber ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Jelasnya, sebelum ini dua pelanggan dilaporkan hilang selepas mengadakan urus niaga tanah dengannya dan sehingga kini masih belum ditemui, namun lelaki tersebut menafikan semua dakwaan itu.
Ujar beliau, maklumat turut menyatakan ahli perniagaan itu sering terlepas daripada tindakan undang-undang kerana mempunyai hubungan istimewa dengan orang kenamaan, selain mahir dalam bidang perundangan.
Sosilawati yang merupakan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu.
Turut hilang ialah peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan seorang lelaki, Kamaruddin Shansuddin, 44, yang dikatakan pemandu peribadi jutawan itu.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! Ahad ke rumah Sosilawati di Taman Harmonis Gombak semalam mendapati pintu pagar rumah tersebut bertutup dan tidak nampak seperti suasana berhari raya.
Seorang lelaki yang merupakan pekebun di rumah berkenaan yang enggan dikenali memberitahu, keluarga Sosilawati masih belum mendapat apa-apa perkembangan berkenaan kehilangan jutawan itu daripada pihak polis.
Katanya, pihak keluarga juga itu enggan diganggu. Beliau memberitahu, hari raya tetap disambut meskipun tanpa adanya tuan rumah.

Anak harap sisa mayat ditemui bukan Sosilawati
                                                                                                          
ANAK bongsu Sosilawati, Siti Nur Fatimah tidak dapat menahan kesedihan ekoran kematian ibunya dan terpaksa ditenangkan oleh saudaranya di Taman Harmonis, Gombak semalam.

KUALA LUMPUR - "Kalau betul emak tidak ada lagi, bawa dia dan tunjuk depan Rina. Abah, tolong cari mak, abah."
Itulah ratapan anak keempat jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Erinawati Sofea Buhari, 21, yang meraung sejurus selepas sidang akhbar polis yang mengesahkan kematian ibunya disiarkan di kaca televisyen semalam.
Selepas pengumuman itu, Rina menangis seharian dan enggan bercakap dengan ahli keluarga lain.
Sebelum pengesahan tersebut, anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana sempat meluangkan masa menemui wartawan dan jurugambar di luar rumahnya pada pukul 1.30 petang.
"Saya meminta maaf kepada pihak media yang sudah lama menunggu sejak pagi kerana dalam keadaan sekarang ini kami sekeluarga sememangnya memerlukan kekuatan.
"Mengenai berita yang diterima pagi tadi (semalam), saya tidak boleh komen apa-apa dan masih menunggu pengesahan rasmi dari Balai Polis Dang Wangi memandangkan laporan polis dibuat di sana," kata Dekritawati ketika ditemui di kediamannya di Taman Harmonis, Gombak.

Lydiawati atau nama sebenarnya, Salina Zaimon yang diberi tangungjawab menguruskan majlis tahlil di kediaman Sosilawati di Taman Harmonis, Gombak, Selangor sejak lima hari lalu dalam pada itu menegaskan: “Biar media massa melaporkan sahabat saya itu mati disembelih, dibakar dan sebagainya, namun ia semakin menguatkan semangat saya untuk percaya dia masih bernyawa.”



Peguam ada harta luar biasa


BANTING - Pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki amat mengejutkan negara kerana kejadian itu turut menyaksi seorang peguam, Datuk K. Patmanaban, 41, yang dikenali ramai di daerah ini ditahan bagi membantu siasatan.


PEJABAT peguam di Jalan Kemboja, 33 Off Jalan Sultan Ahmad Shah di Banting dipercayai milik peguam Patmanaban (gambar kecil) yang ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh Sosilawati.


Peguam dari firma Pathmanalli & Partners beralamat di Jalan Kemboja, 33 Off Jalan Sultan Ahmad Shah di sini telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, Datuk itu dipercayai memiliki harta yang luar biasa dan siasatan akan dilakukan secara rapi termasuk menyelidik akaun bank milik peguam itu.
"Kita akan semak akaun Datuk itu dan sedang fikirkan keperluan untuk membekukan asetnya," kata beliau.
Bagaimanapun, katanya, peguam itu tiada rekod jenayah.

Bekas peguam bergelar 'Datuk' diberkas

BANTING, 12 September, 2010 – Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh. Peguam, adik dan enam pekerja ditahan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd. Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 September melibatkan lima orang.
Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan, manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.
Beliau berkata, hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.
Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.
Bagaimanapun, Mohd. Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.
Mengenai motif kejadian, beliau berkata, ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urus niaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati. – Bernama

Sosilawati, tiga lagi mati disah dibunuh
12/09/2010

BANTING – Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik untuk mengesahkan sepenuhnya perkara tersebut.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini hari ini.
Tiga lagi orang ialah pemandu Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah. – Bernama

Polis bawa suspek ke tempat kejadian

BANTING, 12 September 2010 – Pasukan forensik polis memasuki kawasan sebuah ladang pertanian bersepadu di Tanjong Sepat dekat sini bersama-sama dengan sekurang-kurangnya dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi.
Petugas media yang berada di jalan masuk ke Ladang Gadong melihat dua konvoi kenderaan dengan kawalan ketat polis memasuki kawasan itu, dan dua lelaki dilihat memakai pakaian lokap.
Menurut seorang anggota polis, mereka memasuki sebuah kawasan yang terletak kira-kira 100m dari jalan utama kawasan berkenaan, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) itu.

Pasukan forensik turut ke sebuah restoran, terletak kira-kira empat kilometer dari ladang itu untuk menjalankan siasatan.
Helikopter polis juga dilihat berlegar-legar di kawasan itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita di Kuala Lumpur bahawa polis percaya kes itu dapat diselesaikan segera berikutan penangkapan sekurang-kurangnya empat lelaki.
Ismail enggan menyatakan identiti mereka yang ditahan, walaupun ada sumber menyatakan mereka termasuk dua orang peguam.
Terdapat spekulasi mayat Sosilawati dan tiga orang lagi yang hilang itu dibakar.
Seorang sepupu Sosilawati, yang ditemui di rumahnya di Gombak, berkata, polis ada menghubungi mereka tengah hari ini memaklumkan kemungkinan mayat jutawan itu ditemui di Tanjong Sepat.
"Mungkin kena buat DNA untuk sahkan itu mayat Datuk,” kata Elias yang enggan menyatakan nama penuhnya.
Bekas suami pertama Sosilawati yang dikenali sebagai Buhari dilihat memasuki rumah Sosilawati kira-kira pukul 12.30 tengah hari. – Bernama

Sosilawati dikebumi di kampung
ERNI keluar dari pejabat ibunya di Kampung Baru, Kuala Lumpur
semalam setelah mengambil beberapa dokumen.

BATU PAHAT, 14 September 2010 - Keluarga arwah Datuk Sosilawati Lawiya, 47, berhasrat untuk mengebumikan jutawan kosmetik di kampungnya, di Kampung Seri Menanti, Sri Medan di sini.
Adik iparnya, Misjan Jamikan, 48, berkata, perkara tersebut telah dibincangkan bersama ahli keluarga termasuk anak-anak arwah di Kuala Lumpur malam kelmarin.
"Saya mahu arwah disemadikan dengan sempurna dan kematian itu perlu ada tanda (kubur) agar kami boleh menziarahinya.
"Anak-anak Sosilawati perlu ke hospital untuk mendapatkan tulang-tulang atau apa saja untuk dibawa balik dan saya akan uruskan yang lain di kampung ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seri Menanti semalam.

Kes Sosilawati: Dua dipenjara tujuh tahun


BANTING, 15 Oktober 2010 – Dua lelaki hari ini dihukum penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Datok di sini atas tuduhan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
K. Sarawanan, 19, dan U. Suresh, 26, yang masing-masing menghadapi empat pertuduhan melupuskan bahan bukti, didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.
Majistret Hurman Hussain menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap.
Mereka merupakan antara lapan orang yang ditahan di antara 9 dan 12 September lepas bagi membantu siasatan polis berikutan laporan kehilangan Sosilawati pada 30 Ogos lepas ini.
Pada Rabu lalu, peguam N. Patmanabhan; pekerja ladang, T. Thilaiyalagan, 19; R.
Matan, 20; dan R. Khatavarayan, 30, didakwa di mahkamah yang sama atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47; pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsudin, 44. – Bernama


Sosilawati periang, pemurah
Oleh YUSMAN AWANG@ kosmoonline


SOSILAWATI (tengah) pada majlis hari jadi Roslan yang ke-39 yang diraikan di Restoran Cerana, Cheras, tahun lalu.



MATI dipukul, ditikam, dibakar, disembelih. Biarlah apa sahaja perkataan digunakan oleh media massa bagi mensensasikan berita mengenai misteri kematian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiyah yang dikatakan telah dibunuh, namun bagi aktres Lydiawati, dia percaya sahabat baiknya itu masih hidup!
Sementelah, ujian DNA yang dikatakan akan diketahui hasilnya dalam masa terdekat ini belum lagi mengesahkan segala bahan bukti, khususnya sejumlah serpihan tulang yang ditemui di lokasi Sosilawati dikatakan mati dibunuh di Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Banting, Selangor itu milik pengasas syarikat kosmetik Nouvelles Visages itu.
Turut dikatakan dibunuh di lokasi sama ialah peguam peribadi Sosilawati, Ahmad Kamil Abdul Karim, pemandunya, Kamarudin Shansudin dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad.
“Saya percaya Sosilawati masih hidup dan mungkin sekarang ini dia masih dikurung dan disorok di mana-mana lokasi dan berada dalam keadaan penuh terseksa,” luah Lydiawati dalam suara sebak menerusi talian telefon. Kali terakhir Lydiawati berhubung dengan Sosilawati adalah menerusi telefon dalam minggu kedua Ramadan lalu.
Menurut pelakon filem Suami, Isteri dan... itu hatinya masih berat untuk menerima bahawa sahabat yang dikenali sejak sekian lama itu sudah tiada lagi di dunia ini.
“Saya boleh terima Sosilawati sudah tiada di alam kehidupan ini jika dibuktikan oleh jasadnya yang tidak bernyawa tetapi dalam keadaan sekarang ini, saya yakin dia belum mati!,” tuturnya lagi.
Namun Lydiawati akur sekiranya terbukti nyawa Sosilawati sudah tiada.
“Jika terbukti dia sudah tiada lagi di dunia ini, saya dan anak-anak Sosilawati khususnya akan menerimanya dengan reda,” ucapnya sebelum kedengaran seperti sedang menangis.

Kesuraman yang aneh

Seorang lagi artis yang rapat dengan Sosilawati, pelakon dan penerbit drama, Rosnah Mohd. Noor pula mengakui setiap kali dia bangkit daripada tidur, benda pertama yang muncul dalam visualnya sekarang ini adalah kelibat Sosilawati.
“Ia berlaku seperti sekelip mata, sungguh saya tidak percaya sahabat saya itu sudah tiada lagi,” ujarnya yang mengenali Sosilawati kira-kira 12 tahun lalu sebelum dia menjadi pengusaha Nouvelles Visages lagi.
Menurut Rosnah yang merupakan salah seorang stokis produk Nouvelles Visages, Sosilawati merupakan seorang yang periang dan merendah diri.
“Dia tidak pernah membezakan dirinya yang sudah bergelar jutawan dengan kami,” katanya yang biasa menghabiskan masa senggang dengan Sosilawati bersama rakan-rakan artis termasuk Lydiawati, Ifa Raziah dan Roslan Shah di Hotel The Zon All Suites Residence, Jalan Ampang, selain Restoran Pelita dekat KLCC.
“Sosilawati seorang wanita yang gigih dan sentiasa bercita-cita tinggi dalam meluaskan empayar bisnesnya. Dia pernah kata kepada saya dia mahu buat pelaburan masa depan dalam bisnes besar. Saya sedih sekali, begini malang nasib yang menimpa sahabat saya itu,” luahnya.
Rosnah cukup terkilan apabila dia tidak sempat bertemu dengan sahabatnya itu pada 30 Ogos lalu iaitu tarikh Sosilawati dikatakan pergi ke Banting, Selangor bagi urusan jual beli tanah.
“Pada 30 Ogos itu, saya datang ke ibu pejabat Nouvelles Visages di Jalan Raja Laut, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi untuk mengambil produk bagi outlet saya di Keramat.
“Saya dapat tahu dia akan datang ke pejabat itu pada sebelah petang. Cuma saya berasa agak aneh apabila keadaan di pejabat itu yang agak lenggang, kosong dan suram, sedangkan kalau selalunya saya datang, suasana di situ agak hiruk-pikuk serta penuh dengan longgokan produk Nouvelles Visages. Adakah itu sebagai petandanya?” soal Rosnah dalam nada penuh emosi.

IFA menyifatkan Sosilawati sebagai mentornya dalam dunia perniagaan.



Ifa Raziah tidak ketinggalan berkongsi emosi lukanya. Sementelah mengenali Sosilawati sejak sedekad yang lalu, kata figura yang terkenal dengan lagu-lagu dangdutnya itu, Sosilawati yang dikenalinya merupakan seorang yang cukup ceria.
“Dia seorang yang wanita yang tidak kisah untuk berjuang sampai mati dan dia tidak mudah tunduk kepada lelaki,” akuinya.

Dedah rahsia

Ifa yang turut menceburi bisnes produk kecantikan menegaskan bekas isteri penyanyi Nash atau nama sebenarnya, Jamaludin Elias itu merupakan mentor dirinya dalam mencapai kejayaan.
“Dia tidak lokek berkongsi ilmu kejayaan, biarpun saya memasarkan produk kecantikan yang bersaing dengan produknya. Malah, dia menggalakkan saya berusaha mencapai kejayaan yang sama dan tidak kisah kalau saya mengatasinya – itu yang saya kagum dengan dia. Dan saya cukup terkilan dengan apa yang menimpa dia, kenapa ini harus terjadi kepadanya?” soal Ifa.
Berkongsi momen bersama Sosilawati yang paling tidak akan dilupakan olehnya ialah pada hari pertama dia menjalankan tugas sebagai hos program Wanita Hari Ini di TV3 iaitu pada 3 Januari, 2008.
“Sudahlah itu hari pertama saya ditugaskan sebagai hos program TV, saya hanya tahu saya akan menemu bual Sosilawati lima minit sebelum program itu bermula. Justeru, soalan yang dilontarkan oleh saya kepada Sosilawati semuanya secara spontan.
“Ketika itu dia sedang hangat dengan kes pergolakan rumah tangganya bersama Nash, saya terus ajukan soalan-soalan kontroversi berkaitan hal itu.
“Tapi, dia menjawab segala soalan saya dengan penuh profesional biarpun dia juga tidak mengetahui saya yang akan menemu bual dia. Itulah saat yang paling tidak dilupakan kerana saya sebagai sahabatnya terpaksa menggali isi hatinya menerusi program TV yang ditonton jutaan penonton itu. Dan selepas program itu habis, dia tidak pula mengambil hati dengan saya,” ujar Ifa.






ROSNAH MOHD. NOOR
Dalam pada itu, penyanyi Roslan Shah pula mendedahkan ‘rahsia’ yang dikongsinya bersama Sosilawati selama ini.
“Selama empat tahun berturut-turut dari 2006 hingga 2009, dia telah menaja majlis hari jadi saya yang diraikan setiap 17 November.
“Saya bukan mahu bermegah tetapi saya cuma terharu dengan dia yang sudi menaja majlis hari jadi saya saban tahun sejak empat tahun sebelum ini. Dia suka menghabiskan masa senggang dengan saya, Ifa, Rosnah dan Lydiawati dari pukul 2 hingga 4 pagi kerana itulah cara dia dan kami melepaskan ketegangan selepas seharian sibuk dengan kerja masing-masing.
“Dia paling gemar mendengar saya mendendangkan lagu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Pelangi Petang. Lagu itu cukup dekat dengan emosinya,” ungkap Roslan yang menyeru supaya sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan tragedi yang sama berlaku terhadap Sosilawati itu menimpa orang lain.
Biarpun masih tidak boleh menerima musibah yang melanda Sosilawati, Roslan dalam nada cukup terkilan menyeru supaya pihak berwajib menghukum pihak yang bertanggungjawab dengan hukuman yang sewajarnya.

PERBICARAAN BERMULA

SHAH ALAM: Kisah tragis, rentetan peristiwa dan motif di sebalik peristiwa pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di sebuah ladang di Banting, tahun lalu bakal tersingkap apabila kes itu mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi, di sini, Isnin ini. Sekurang-kurangnya 50 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes paling menggemparkan negara sejak pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris yang mayatnya dikerat 18 bahagian pada 1993. Ini kerana empat mangsa dalam kes ini bukan saja dibunuh dengan kejam, malah mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di beberapa anak sungai berhampiran tempat kejadian.

Pathmanabhan Nalliannen

Pendakwaan akan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof dijangka akan memanggil dua pekerja ladang, K Sarawanan, 20, dan U Suresh, 27, yang sebelum ini mengaku melupuskan bahan bukti pembunuhan apabila membakar dan membuang abu mangsa.
Selain Ishak, pendakwaan turut dibantu Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani. Manakala, semua tertuduh diwakili barisan peguam, Manjeet Singh, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh. Pada 30 Mac lalu, bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap empat tuduhan membunuh mangsa dalam pembunuhan kejam itu. Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32. Perbuatan itu dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu. Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Surendren Nalliannen

Anak sulung Sosilawati, Erni sebelum ini berkata, keluarganya menyerahkan kepada pihak berkuasa dan yakin hukuman setimpal akan dijatuhkan terhadap pembunuh ibu mereka.

“Kalau hukuman dunia tidak boleh menghukum mereka, saya percaya Allah akan memberi pembalasan di akhirat kelak,” katanya. Kes pembunuhan itu mendapat publisiti meluas apabila Sosilawati dilaporkan hilang sejak 30 Ogos tahun laluselepas ke Banting atas urusan pembelian tanah dengan ditemani Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil.

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi satu semakan kehakiman mengubah hukuman penjara tujuh tahun terhadap Sarawanan dan Suresh kepada 20 tahun. Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober tahun lalu tidak memadai dengan kesalahan melupuskan bahan bukti kes itu.

Kedua-duanya mengaku meletak mayat mangsa di atas longgokan kayu, dicurah petrol dan diesel sebelum dibakar antara jam 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu. Sementara itu, tinjauan Harian Metro di Mahkamah Tinggi 8 mendapati bangku tambahan mula diletakkan di galeri awam untuk menampung kehadiran pemberita dan orang awam yang ingin mengikuti perbicaraan ini.
Kes akan didengar di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.



Hari Pertama


Empat jurugambar polis beri keterangan

SHAH ALAM, 04 Julai, 2011 - Hari pertama perbicaraan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain menyaksikan empat jurugambar polis dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Mereka ialah Detektif Koperal Mokhtar Hussain dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Lans Koperal Abdul Aziz Ahmad dan Detektif Sarjan Mhd. Rasdi Mhd. Safien yang kedua-duanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat serta Detektif Koperal K. Velamal dari Bahagian Bantuan Teknik, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.Berdasarkan keterangan keempat-empat saksi itu, sebanyak 168 keping gambar telah dirakam di beberapa lokasi kejadian pembunuhan kejam itu termasuk tempat serpihan tulang-tulang dibuang dipercayai milik empat mangsa.

Antara lokasi rakaman gambar itu termasuk di Sungai Panchau yang terletak di Jalan Morib dan Sungai Kanchong, Banting.Semua 168 keping gambar itu dikemukakan di mahkamah sebagai eksibit ketika sesi soal jawab di peringkat pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.Terdahulu, saksi pendakwaan ketiga, Mhd. Rasdi memberitahu, dia mengambil gambar di tiga lokasi iaitu sebanyak 73 keping gambar dirakam di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Sungai Panchau (42 keping) dan tali air yang terletak di Pekan Banting (23 keping).
Semua gambar itu dirakam pada 12 September 2010.

Tinggal keluarga demi Sosilawati

PATHMANABHAN (tengah) bersama tiga pekerjanya yang didakwa membunuh Sosilawati dan tiga rakan dibawa ke Mahkamah Shah Alam, Selangor semalam.

@kosmoonline
SHAH ALAM, 05 Julai 2011 - Isteri Noorhisham Mohamad, seorang daripada empat mangsa pembunuhan termasuk jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia marah apabila suaminya sanggup meninggalkan keluarga selama tiga hari kerana ingin membantu orang lain.
Suzana Radin Pangat, 39, berkata, kemarahannya diluahkan melalui satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berbunyi: "Kenapa sanggup nak bantu orang tapi tinggalkan saya dan anak-anak selama tiga hari."
Wanita itu menghantar SMS itu kepada telefon bimbit milik Noorhisham, lima minit selepas panggilan terakhir suaminya yang memberitahu bahawa dia tidak boleh pulang selama tiga hari kerana cuba menyelamatkan Sosilawati.
Sebelum itu, Suzana memberitahu, Noorhisham menghubunginya pada pukul 8 malam 30 Ogos 2010 dan memberitahu dia sedang cuba menyelamatkan Sosilawati.
"Noorhisham kata Kamal, pemandu Sosilawati (Kamaruddin Shamsuddin) ugut Sosilawati sebab ada satu gambar tidak elok nak disebarkan, jadi dia (Noorhisham) dan Kamil (Ahmad Kamil Abdul Karim) terpaksa bantu Sosilawati dalam hal ini.
"Lepas itu dia minta saya faham situasi dan minta maaf pada saya banyak-banyak dan dia kata dalam masa tiga hari dia balik dan akan cerita apa berlaku pada dia," jelas Suzana.
Selepas itu, dia bertanya di mana suaminya berbuka puasa pada hari itu namun suaminya tidak menjawab pertanyaan itu malah terus mematikan talian.
Ketika ini, saksi kelapan pendakwaan itu tidak dapat menahan perasaan sebak sehingga terpaksa berhenti seketika untuk menenangkan dirinya.
Suzana memberi keterangan pada hari kedua perbicaraan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, yang merupakan seorang pegawai bank, Ahmad Kamil, 32, seorang peguam, dan Kamaruddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.40 malam 30 Ogos tahun lepas.
Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, mengapa dia tidak menghubungi Noorhisham sebaliknya hanya menghantar SMS?.
Suzana yang bekerja sebagai pembantu peribadi di Ibu Pejabat Bank CIMB, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur berkata, dia hanya menghantar SMS kerana berada dalam keadaan marah ketika itu.
Ishak: "Ada Noorhisham hubungi awak semula selepas itu?"
Suzana: "Dia ada call tetapi saya tidak jawab."
Ishak: "Ada cuba hubungi suami selepas hantar SMS?"
Suzana: "Ada, masa sahur kira-kira pukul 3 pagi 31 Ogos 2010, tetapi saya tidak berjaya hubungi dia."
Terdahulu, saksi itu berkata, kali terakhir dia berjumpa suaminya yang dikahwini pada 1995 ialah semasa Noorhisham menghantarnya ke pejabat pada pukul 8 pagi 30 Ogos 2010.
Ishak: "Semasa hantar awak ke tempat kerja, ada (Noorhisham) beritahu apa-apa tentang tugasan dia hari itu?"
Suzana: "Dia ada beritahu petang dia akan ke Banting bersama Ahmad Kamil atas urusan Sosilawati. Kira-kira pukul 4 petang hari yang sama suami ada hubungi saya di pejabat memberitahu dia akan bersama Ahmad Kamil pergi ke Banting dan akan naik kereta Ahmad Kamil."
Ditanya mengenai pakaian yang dipakai Noorhisham ketika menghantar dia ke tempat kerja, ibu kepada tiga orang anak itu berkata, suaminya memakai baju korporat CIMB Islamic berwarna hijau dan jam tangan jenama Longines yang diperoleh daripada majikannya sebagai ganjaran kerana perkhidmatan cemerlang pada 2008.
Ketika Ishak menunjukkan jam tangan itu kepada Suzana untuk dicamkan, saksi tersebut dilihat membelek-belek jam tangan itu sebelum tunduk dan menangis.

Bukti peguam rancang bunuh Sosilawati


SHAH ALAM, 05 Julai, 2011 - Pihak pendakwaan semalam mengemukakan keterangan bagi membuktikan bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya telah melakukan pembunuhan ke atas jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya berdasarkan penemuan DNA milik mangsa-mangsa pada barang-barang kes.
Bukti itu akan dikemukakan melalui keterangan saksi yang menemui DNA milik seorang daripada mangsa iaitu pegawai bank, Noorhisham Mohammad pada kayu kriket dan DNA peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin pada zink-zink yang digunakan sebagai alas untuk membakar mayat-mayat mangsa.
Dua pekerja ladang Pathmanabhan, U. Suresh dan T. Sarawanan akan dipanggil memberi keterangan bagi membuktikan bagaimana perancangan oleh Pathmanabhan dan tertuduh keempat, R. Khatavarayan bersama yang lain untuk melakukan pembunuhan ke atas keempat-empat mangsa.
Kemuncak keterangan itu, Suresh dan Sarawanan akan memberi keterangan mengenai peranan setiap tertuduh dan bagaimana tertuduh kedua, T. Thilaiyagan membunuh setiap mangsa. Suresh dan Sarawanan sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana melupuskan mayat Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin. Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, R. Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan Kamaruddin, 44.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff berkata demikian dalam ucapan pembukaannya pada permulaan perbicaraan kes bunuh itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir. Ishak dalam ucapannya memberitahu, antara saksi yang akan memberi keterangan termasuk Erni Dekritawati Buhari, anak Sosilawati. Erni akan memberi keterangan berhubung khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada Sosilawati bertulis: "Jangan bagi Kamal masuk rumah, jika datang hubungi Bisah dia ambil gambar mak."

Hari Ke Tiga

Sosilawati terima cek RM1 juta
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM dan SUWARNI MOKHTAR

SHAH ALAM, 6 Julai 2011 - Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya ada menerima sekeping cek bernilai RM1 juta daripada tertuduh pertama, N. Pathmanabhan pada awal Ogos tahun lalu.
Cek yang dikatakan sebagai cek pembayaran itu dan diletakkan atas nama Southern Symphony bagaimanapun merupakan cek tertunggak iaitu bertarikh September 2010.
Saksi pendakwa ke-13, Junaidah Ismail, 52, yang memiliki sebuah syarikat menjalankan pengurusan acara menyatakan, dia ditunjukkan cek tersebut oleh Sosilawati yang dipanggilnya Wati ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang bagi menyambut ulang tahun kelahirannya pada 3 Ogos tahun lalu.
Sosilawati, jelasnya, bagaimanapun ingin singgah seketika di Banting untuk bertemu dengan bekas peguam itu yang dikenalinya sebagai Pathma.
''Sampai di pejabat Pathma, Wati telefon Pathma dan beritahu dah sampai. Kami tunggu seketika di hadapan pejabat dan Pathma tiba menaiki kereta mewah Brabus. Dia kemudian menyerahkan sekeping cek kepada Sosilawati dan kemudian kami beredar.
''Dalam kereta, Wati tunjuk cek tersebut pada saya dan kata: "Tengok Kak Jun, saya dapat payment (bayaran)." Masa nak serah balik cek pada Wati, saya perasan tarikh cek post-dated (tertunggak) bulan September. Bila saya tanya, Wati kata tak apa sebab dah bincang,'' katanya.
Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Mohd. Ghani, wanita terbabit menyatakan, dia ingat mengenai cek tersebut kerana tulisan 'Satu Juta Ringgit Malaysia' pada cek tersebut seperti tulisan kanak-kanak.
Wanita terbabit turut menyatakan, Sosilawati ada mengajaknya menemani beliau untuk bertemu Pathma pada 30 Ogos tahun lalu tetapi tidak dapat kerana kurang sihat.
Menjawab pertanyaan sama ada pertemuan di Banting pada 3 Ogos tahun lalu merupakan kali pertama dia berjumpa dengan tertuduh pertama, Junaidah menyatakan dia pernah menemui bekas peguam itu antara dua atau tiga tahun sebelum itu di Hotel Pan Pacific, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang berhubung urusan jual beli tanah di Pulau Pinang.
Pada masa itu, Pathma merupakan peguam kepada seorang lelaki yang dikatakan wakil rakyat Sepang bernama Datuk Suhaimi, kata wanita terbabit.
Ketika disoal balas oleh peguam bela, Manjeet Singh Dhillion, Junaidah menyatakan dia tidak tahu apa-apa mengenai syarikat Sosilawati, Nouvelle Visages Beauty Sdn. Bhd. pernah disaman kerana melanggar kontrak perjanjian jual beli hartanah.
Dia juga tidak mengetahui sekiranya rakannya itu mempunyai hutang sebanyak RM10 juta dengan pihak bank ketika dicadangkan mengenai perkara itu oleh peguam terbabit.
Bagaimanapun, tindakan barisan pembelaan yang dilihat cuba 'menyerang' keperibadian Sosilawati dengan bertanyakan soalan-soalan berkaitan hubungan wanita terbabit dengan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin atau Kamal dibantah oleh Idham.
Ujarnya, soalan-soalan mengenai hubungan kedua-dua mangsa itu dan kaitannya dengan perkahwinan Sosilawati dengan penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash atau Jamaludin Elias adalah tidak relevan dan lebih berunsurkan skandal.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan soalan itu ditanya selagi ia tidak terlalu menyentuh peribadi mangsa.
Ekoran itu, wanita terbabit dalam menjawab soalan Amer Hamzah Arshad menyatakan, dia tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa pasangan itu bercerai ekoran hubungan Sosilawati dengan pemandunya sebaliknya memberitahu kawannya dan penyanyi terbabit tidak sependapat dan sering bergaduh.
Seorang lagi saksi, Sabrina Adnan, 32, iaitu isteri kepada Ahmad Kamil Abdul Karim, memberitahu, suaminya turut menyatakan perkara yang sama dimaklumkan oleh isteri Noorhisham Mohamad, Suzana Radin Pangit dalam keterangannya semalam, bahawa dia tidak dapat pulang dalam tempoh tiga hari kerana ingin membantu Sosilawati.
Berpegang kepada kata-kata terakhir suaminya itu, penjawat awam di Kementerian Pengajian Tinggi itu hanya membuat laporan polis pada hari keempat kehilangan suaminya walaupun dia mengesyaki telah berlaku sesuatu kepada suaminya pada hari sebelumnya.
Sementara itu, ketika disoal oleh hakim mengenai 'keistimewaan' jam tangan Bell & Ross milik suaminya, Sabrina menyatakan, jam tersebut merupakan jam edisi terhad dan dapat memberitahu waktu terakhir ia berhenti berfungsi selain mempunyai nombor siri.
Wanita terbabit kemudiannya ketika disoal oleh Manjeet mengenai jam itu menyatakan, jarum minit jam yang diselaputi kotoran itu telah hilang dan hanya ada jarum pendek. Jarum pendek jam terbabit terhenti di antara nombor lima dan enam.
Perbicaraan bersambung esok.

Anak tak percaya SMS dihantar Sosilawati
@utusanonline

SHAH ALAM 6 Julai - Anak sulung jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya hari ini memberitahu bahawa beliau tidak mempercayai isi kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh ibunya ketika wanita itu dikatakan dibunuh bersama tiga lagi mangsa pada 30 Ogos tahun lalu.
Saksi Pendakwaan ke-15, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, berkata, dia juga merasa pelik dan mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila dimaklumkan bahawa Kamaruddin Shamsuddin (Kamal) telah mengambil gambar ibunya secara curi-curi.
Lebih-lebih lagi, apabila dia tidak menjumpai sebarang kamera yang dikatakan dipasang oleh pembantu peribadi Sosilawati itu bagi tujuan merakam gambar yang tidak senonoh selepas memeriksa bilik tidur ibunya.
''Selepas berbuka puasa, ibu ada telefon tetapi saya tidak sedar dan tidak jawab sebab telefon bimbit di dalam beg tangan. Kemudian saya juga dapati ada SMS daripada ibu pada pukul 8.40 malam berbunyi: "Jangan bagi Kamal masuk rumah. Dia tangkap gambar mak. Kalau ada apa-apa hubungi Bishah."
''Saya hubungi Aunty Bishah (Habishah Bahari) untuk tanya adakah dia tahu tentang SMS yang saya terima. Masa itu Aunty Bishah kata tidak mungkin Kamal buat macam itu. Saya sendiri pun tidak percaya Kamal buat macam itu.
''Saya merasa pelik sebab tidak pernah ibu dan Kamal bergaduh sampai begitu sekali,'' katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.
Menurut Erni, beliau bukan hanya menghubungi telefon bimbit Sosilawati tetapi juga telefon bimbit Kamal, Ahmad Kamil dan Noorhisham selepas panggilan kepada ibunya yang dibuat antara pukul 10 dan 11 malam masuk ke dalam peti pesanan suara.
Katanya, apabila kesemua panggilan tidak berjawab, dia pergi ke Shah Alam dan menjumpai kereta Proton Perdana hitam milik Noorhisham yang ditinggalkan di satu kawasan baru di Seksyen 7 di sini, pada malam yang sama.
''Saya datang lagi keesokan hari dan nampak kereta Noorhisham masih ada di situ. Masa itu saya yakin keempat-empat mereka masih belum balik.
''Saya masih menunggu tetapi saya rasa tidak sedap hati dan terfikir apa yang sebenarnya berlaku kepada mereka. Saya berbincang dengan adik-adik tetapi disebabkan belum cukup 24 jam, kami tidak boleh buat apa-apa dan hanya menunggu di rumah,'' jelas beliau.
Erni yang merupakan pengarah syarikat milik Sosilawati, Novoulles Visages Beauty Centre Sdn. Bhd. juga memberitahu, dia bersama bapa, Buhari Mohamed serta lima adiknya pergi ke Banting untuk mencari firma guaman Pathmanabhan pada hari yang sama.
Bagaimanapun, katanya usaha sehari suntuk bagi mencari peguam yang dikatakan ditemui Sosilawati pada hari kejadian tidak berjaya.
Terdahulu, saksi memberitahu Sosilawati memakai blaus dan seluar panjang serta memandu keretanya sendiri ke pejabat di Lorong Haji Hussein 1, Melalui Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur pada pukul 12 tengah hari, 30 Ogos tahun lalu.
Katanya, Sosilawati memberitahu beliau akan ke Banting untuk berjumpa seorang peguam bernama Pathma bagi mempercepatkan tarikh cek bagi membolehkan wang itu digunakan untuk memberi bonus hari raya kepada kakitangan serta hadiah untuk adik-beradik.
Menurut Erni, Sosilawati juga menyuruh dia mengikutnya ke sana pada petang itu sekiranya Kamal yang ketika itu mempunyai urusan peribadi tidak dapat datang bekerja pada hari tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, Kamal tiba di pejabat pada pukul 4 petang dan mereka berdua terus bertolak ke Banting.
Ketika hendak meninggalkan pejabat untuk keluar berbuka puasa pada pukul 7 malam, Erni memberitahu dia menerima panggilan daripada Ahmad Kamil.
Katanya, dia juga sempat berbual dengan Noorhisham yang ada bersama-sama Ahmad Kamil serta dimaklumkan tentang kereta pegawai bank itu yang ditinggalkan di Shah Alam.
''Saya bertanya mereka berbuka di mana, Kamil kata: "Entah mak kau bawak pergi hutan mana tah, pokok kelapa sawit je."
''Saya tanya mak ada di mana? Kamil kata ada di hadapan keretanya. Mak saya yang tunjuk jalan pada ketika itu,'' katanya lagi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ketiga bersambung esok.

Ahmad Kamil tergesa-gesa, bercakap cepat - Isteri

@kosmoonline
SHAH ALAM, 07 Julai 2011 - Peguam Datuk Sosilawati Lawiya, Ahmad Kamil Abdul Karim berada dalam keadaan tergesa-gesa, bercakap cepat dan tersekat-sekat ketika menghubungi isterinya, Sabrina Adnan pada 30 Ogos tahun lalu.
Sabrina, 32, yang merupakan saksi pendakwaan ke-14 berkata, sikap suaminya itu pelik kerana dia tidak bertanya mengenai anak-anak dan tidak menjawab soalan yang ditanya.
"Suami menghubungi saya pada pukul 4 petang memberitahu yang dia tidak dapat berbuka puasa bersama. Hampir empat jam kemudian, dia hubungi saya lagi dan dia bercakap dalam keadaan tergesa-gesa mengatakan tidak balik selama tiga hari," katanya di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff sama ada dia ada bertanya apa-apa, Sabrina yang bekerja sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) menjawab, ada.
"Dia kata ada masalah, Kak Wati (Sosilawati) tengah menangis dan dia mahu tolong. Dia kata Kamal (Kamaruddin Shamsuddin) ugut hendak sebarkan gambar yang tidak senonoh tetapi bila saya tanya dia ke mana dia tidak jawab," ujarnya.

Hari Ke Empat

Anak Sosilawati:
‘Saya terlalu gugup, tidak boleh berfikir’
July 07, 2011 @malaysian insider

SHAH ALAM, 7 Julai — Anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya, Erni Dekritawati Yuliana Buhari mengakui dirinya gugup dan cemas ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik itu dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini.
Erni Dekritawati Buhari, 26, berkata keadaan itu menyebabkan dirinya lupa dan tidak boleh berfikir dengan sempurna ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.
Menurut laporan Bernama Online, saksi itu yang lebih dikenali sebagai Rita turut ditegur Hakim Datuk Akhtar Tahir: “Cuba ingat betul-betul, sebab tak pasti tak jadi jawapan. Hak awak nak jawab tapi kalau asyik tak pasti, tak sama dengan tidak ingat atau tak tahu.”
Keadaan itu menyebabkan mahkamah memberhentikan prosiding selama 10 minit bagi membolehkan Rita menenangkan fikiran.
Ketika disoal semula Timbalan Pendakwa Raya Iskak Mohd Yusoff mengapa banyak jawapan “tidak ingat” dan “tidak pasti”, Rita menjawab: “Saya terlalu gugup, tidak boleh berfikir, banyak benda saya tak ingat sebab kejadian berlaku dah lama.”
Rita memberi keterangan pada perbicaraan kes N.Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R.Matan dan R.Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.
Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Ketika ditanya peguam Amer Hamzah Arshad, yang mewakili tertuduh ketiga Matan, bagaimana beliau mengenali Kamal (nama panggilan Kamaruddin), Rita menjelaskan beliau mengenali individu itu sebelum pergi ke United Kingdom untuk melanjutkan pelajaran.
“Pada tahun 2008, saya jumpa Kamal di konsert ketika dia mendapatkan tiket untuk saya dan emak, di luar stadium,” katanya.
Terdahulu, Rita mengakui bahawa beliau tidak mengetahui bahawa syarikat yang diusahakan oleh ibunya mempunyai hutang jangka masa panjang dengan pihak bank sebanyak RM10 juta.
Saksi ke-15 pendakwaan itu turut menjelaskan bahawa beliau tidak mengetahui Syarikat Novelles Beauty Centre Sdn Bhd itu mempunyai beban kewangan semasa berjumlah RM2.4 juta.
Beliau juga tidak mengetahui syarikat berkenaan mempunyai rizab simpanan berjumlah RM1.9 juta.
Bagaimanapun, Rita yang berkelulusan Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Nottingham Trent menafikan cadangan peguam Manjeet Singh Dillon yang mewakili Pathmanabhan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang itu.
Rita berkata kali terakhir beliau memeriksa akaun syarikat itu ialah beberapa bulan lepas tetapi tidak mengingati tarikh sebenar.
Walaupun berada di luar negara, Rita berkata tetapi ibunya masih tetap memaklumkannya mengenai urusan perniagaan dan pelaburan termasuk urusan pembelian tanah di Pulau Pinang yang dikatakan berjumlah RM1.2 juta tetapi beliau tidak mengetahui secara terperinci mengenai perkara itu.

Sosilawati tidak balik tiga hari

@utusanonline
Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
dan SUWARNI MOKHTAR
"Saya seterusnya mengarahkan anggota unit MPV (kereta peronda polis) untuk ke tempat itu bagi memastikan kenderaan itu memang berada di lokasi yang dimaklumkan," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin.










Habishah Bahari (kanan) ditemani Junaidah Ismail sewaktu hadir memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 7 Julai - ''Shah, Kak Wati tak balik tiga hari pergi Genting.'' Itulah kata-kata terakhir jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya kepada Habishah Bahari, 47, semasa menghubungi kawan baiknya itu buat kali ketiga pada malam dia dikatakan dibunuh bersama pemandu, peguam serta penasihat kewangannya. Habishah yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, dia berasa risau selepas talian terputus begitu sahaja kerana Sosilawati hanya membahasakan dirinya sebagai Kak Wati apabila susah hati.
Dalam keadaan biasa, jelas saksi pendakwaan ke-16 itu, rakannya itu membahasakan dirinya sebagai aku.
''Saya jadi risau, berdebar-debar dan tidak sedap hati sebab dia bahasakan dirinya Kak Wati dengan nada yang lembut,'' katanya tersekat-sekat semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani.
Habishah dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan terus menangis tanpa sempat menghabiskan jawapan sebelum mahkamah berhenti rehat bagi memberi masa untuk saksi itu menenangkan diri.
Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.
Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Terdahulu, kata Habishah, dia menerima panggilan pertama Sosilawati semasa sedang berbuka puasa di rumah seorang kawan pada pukul 7.30 malam, 30 Ogos 2010.
Beliau turut mendengar suara ramai orang sedang bercakap-cakap seolah-olah panggilan rakannya itu dibuat di kedai makan.
''Sosilawati kata, 'Wei, aku tak percaya Kamal (Kamaruddin) masuk bilik aku, Dia ambil gambar bogel aku, Kau pergi rumah aku, kau masuk ke dalam bilik air, kau check ada kamera tersorok tak'. Kemudian talian terus terputus.
''Saya hairan sebab kenapa ayat yang diguna, 'Kamal ambil gambar bogel aku' sebab tidak ada apa-apa petanda Kamal boleh berbuat demikian. Lagipun selama tiga tahun kenal Kamal, dia seorang yang jujur, baik hati, ikhlas, lembut, setia dan patuh pada arahan,'' jelasnya.
Berikutan itu, jelas Habishah, dia cuba menghubungi semula Sosilawati sebanyak lima kali tetapi panggilan itu tidak dijawab walaupun kedengaran nada dering.
Selepas lima hingga 10 minit kemudian, katanya, Sosilawati menghubunginya semula dengan menggunakan talian yang sama.
''Kali kedua dia call, saya tanya, Kak Wati, kau cakap apa aku tak faham. Dia kata tak apa, kau pergi dulu kat rumah aku, check kat bilik aku. Nanti balik aku cerita. Selepas itu dia terus letak telefon.
''Panggilan kali ketiga dan terakhir saya terima selepas saya solat Maghrib pada malam sama,'' katanya.
Menurut Habishah, dia hanya pergi ke rumah Sosilawati dan berjumpa anak-anak kawan baiknya itu sebaik sahaja selesai urusan di kedai jahitnya di Plaza Idaman Gombak pada pukul 11 malam.
Dia memberitahu anak-anak Sosilawati tentang apa yang diberitahu oleh ibu mereka serta menyuruh memeriksa bilik dan bilik air tetapi tiada sebarang kamera tersorok dijumpai.
Kata Habishah, dia pulang ke rumah dua jam kemudian dan menerima panggilan telefon daripada anak lelaki Sosilawati mengatakan akan ke Shah Alam bersama kakaknya, Erni Dekritawati Yuliana untuk mencari kereta Noorhisham.
Ditanya tentang peristiwa sebelum itu, kata saksi, dia diminta menemankan Sosilawati ke Banting pada 30 Ogos 2010 untuk berjumpa dengan peguam Pathma bagi menukar dan mendapatkan cek bertarikh sebelum hari raya.
''Saya tidak temankan dia sebab masa itu saya sibuk. Saya tunggu dia call tetapi dia tidak call. Jadi saya ingat mungkin saya tidak perlu pergi.
''Pukul 5 petang saya call, Sosilawati kata dia dalam perjalanan ke Banting dan ada tunggu tetapi saya tidak datang. Jadi dia pergi dulu sebab nak cepat,'' katanya.
Menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan, Habishah mengakui menyuruh anak-anak Sosilawati membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga walaupun menganggap dakwaan terhadap Kamal tidak berasas.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari keempat bersambung esok.


Hari Ke Lapan

gambar kereta jutawan kosmetik
Awang temui BMW X5 Sosilawati

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa seorang penduduk flat di Subang Jaya melihat kenderaan BMW X5 berwarna hitam yang digunakan oleh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada hari mereka dilaporkan hilang dipercayai dibunuh.
Sarjan Jaswant Singh, 52, berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki bernama 'Awang' di antara pukul 8.45 dan 8.50 malam semasa beliau bertugas sebagai penyelia di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 6 September 2010.
"Saya terima maklumat daripada Encik Awang bahawa dia telah nampak kenderaan jenis BMW bernombor pendaftaran WTL 11 yang diletakkan di tempat letak kereta Flat Angsana, Pangsapuri USJ, Subang Jaya.
Saksi ke-18 pendakwaan itu memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.
Pathmanabhan, 42; Thilaiyagan, 20; Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Jaswant berkata, beliau memaklumkan kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, semua ketua bahagian dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengenai penemuan kereta itu dan menunggu arahan selanjutnya sehingga pasukan forensik dan unit-unit lain tiba.
Ketika disoal balas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga, Matan, saksi itu berkata, beliau tidak mencatatkan nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat pemanggil itu.
Amer Hamzah: Ada tidak Awang beritahu berapa lama kereta itu berada di sana?
Jaswant: Awang kata kereta tersebut sudah lama berada di situ tetapi dia baru perasan (kereta milik Sosilawati) selepas menonton berita di televisyen.

 Kes Sosilawati: Amah dengar wanita jerit, nampak ‘api besar’
THE MALAYSIAN INSIDER
SHAH ALAM, 03 Ogos, 2011 – Seorang pembantu rumah warga Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bahawa beliau mendengar dua kali jeritan wanita di kawasan ladang di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat.
Saksi pendakwaan ke-33, Siti Hamidah Karnax, 18, berkata dia mendengar jeritan wanita itu kira-kira pukul 9 malam, 30 Ogos 2010 semasa sedang mengisar adunan tose, sejenis makanan kaum India, di dalam asrama pekerja di ladang itu.
Laporan Bernama Online menyebut, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani apakah reaksi dia selepas mendengar jeritan itu, Siti Hamidah berkata, dia buat biasa sahaja manakala yang lain di dalam asrama itu sedang menonton televisyen dan menikmati tose.
Ditanya bagaimana bunyi jeritan itu, beliau berkata: ”Aaaaaaahh”, “Aaaaaaah” dan jeritan itu didengar selang satu ke dua saat.
Siti Hamidah berasal dari Sunda, Indonesia adalah bekas pembantu rumah kepada peguam N. Pathmanabhan, 42, dan pekerja ladang R. Khatavarayan, 31, yang sedang dibicarakan bersama R. Thilaiyalagan, 20, dan R.Matan, 21, atas dakwaan membunuh Sosilawati, 47 (gambar).
Keempat-empat mereka juga dituduh membunuh pegawai Bank CIMB Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Sosilawati, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamarudin Shamsuddin, 44, di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, Selangor di antara pukul 8.30 malam hingga pukul 9.45 malam, 30 Ogos 2010.
Siti Hamidah berkata kemudiannya kira-kira pukul 1 pagi dia diarahkan oleh Jacinta, isteri Khatavarayan, mengambil barang-barang dalam rumah karaoke di dalam ladang itu.
Sebelum itu, katanya dia telah diarahkan oleh Jacinta untuk menyediakan dua helai kemeja-T – satu berlengan dan satu tidak berlengan, seluar panjang sukan, tuala, syampu, bedak, baldi dan kunyit dan diletakkan di pintu belakang asrama pekerja.
Siti Hamidah berkata setibanya di rumah karaoke itu, dia melihat barang-barang itu dalam keadaan bersepah dan nampak Khatavarayan bersama empat orang pekerja tetapi tertuduh pertama, Patmanabhan tidak kelihatan.
Kepada soalan Idham apa lagi yang dia nampak, Siti Hamidah berkata dia ternampak api besar dekat rumah yang diduduki Thilaiyalagan di dalam ladang itu.
Ditanya sebesar mana api itu, katanya “setinggi pokok sawit” dan menurutnya dia pernah nampak api di ladang itu semasa seorang lelaki yang bernama Raja dari India datang ke sana dan kali kedua semasa seorang lelaki yang dikenali sebagai Syafik datang ke ladang berkenaan.
Saksi itu juga memberitahu mahkamah, dia juga nampak tiga lelaki dan seorang wanita berambut panjang separas bahu berjaket biru berada di pondok rehat di ladang itu pada pukul 7 malam, 30 Ogos 2010.
Dia berkata terdahulu sebelum pukul 5 petang, Jacinta telah mengarahkan dia dan beberapa pekerja ladang supaya menutup tingkap dan pintu asrama.
Selepas itu, dia diarahkan oleh Jacinta mengambil parang dan dia mengambil dua parang dan satu pisau dari atas almari di dalam bilik Khatavarayan dan meletakkannya di belakang pintu dan nampak Khatavarayan meletakkan parang dan pisau itu ke dalam kenderaan pacuan empat roda, Isuzu D-Max berwarna kelabu.
Katanya kemudian dia nampak Pathmanabhan datang dan berbincang dengan Khatavarayan di luar dan selepas itu Khatavarayan naik kereta dalam keadaan cemas.
Semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon, Siti Hamidah mengakui dia menipu umurnya 23 tahun di dalam pasportnya semasa memasuki Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Kelantan pada tahun 2008 sedangkan pada ketika itu beliau berumur 15 tahun.
Katanya, dia melarikan diri dari majikannya di Kelantan kerana mendakwa dipukul majikannya sebelum pergi ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan Pathmanabhan pada Mac 2009 dan seterusnya dibawa ke ladang itu untuk bekerja dengan Khatavarayan pada Disember 2009.
Dia juga mengakui pernah dipukul oleh isteri Pathmanabhan dengan pelepah kelapa sawit dan dipukul oleh Khatavarayan dan Jacinta dengan tangan serta rotan.
Bagaimanapun, ketika disoal oleh Manjeet Singh mengapa dia tidak melarikan diri sebagaimana yang dilakukan semasa di Kelantan, Siti Hamidah berkata: “Orang yang lari kalau ditangkap akan dipukul dengan teruk.”
Dia juga menafikan dijanjikan oleh pihak polis hadiah selepas kes ini selesai.
Ketika disoal balas oleh Ravi Nekko, peguam yang mewakili Khatavarayan, sama ada dia bersetuju bahawa pada 30 Ogos 2010, hari itu hujan, Siti Hamidah berkata: “tidak bersetuju.”
Saksi itu juga memberitahu bahawa Khatavarayan akan mandi kunyit jika ada “kebakaran.”
Bagaimanapun, Siti Hamidah tidak bersetuju dengan cadangan Ravi bahawa Khatavarayan mandi kunyit apabila dia balik lewat kerana ada bayi di dalam rumah itu iaitu anak Thilaiyalagan yang dibela Jacinta.
Dia menafikan bahawa tindakannya memberi keterangan pada hari ini bermotifkan untuk membalas dendam dengan menegaskan bahawa ia bagi menyatakan kebenaran