Tuesday, April 05, 2011

Vikingdom - Projek Mega KRU Mahu Jual Pelancungan Negara

utusanonline
06032011
SELEPAS kejayaan filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM), KRU Studios bersedia mengorak setapak lagi dalam mengukuhkan portfolio mereka sebagai syarikat produksi yang disegani apabila bakal menerbitkan filem bertaraf antarabangsa, Vikingdom.

NORMAN Abdul Halim dan rakan perniagaannya, Patrick Ewald (kiri) bersalaman selepas sidang akhbar yang berlangsung di KRU Studios, Cyberjaya, baru-baru ini

Vikingdomakan membariskan pelakon dari Hollywood selaras dengan impian KRU Studios yang mahu membawanya ke pentas dunia.
Filem yang akan diarahkan oleh Yusry Abdul Halim itu merupakan kerjasama antara KRU Studios dengan Epic Pictures iaitu syarikat produksi yang menjadi ejen pemasaran filem-filem terbitan KRU Studios di luar negara.

Pengerusi Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim menjelaskan, projek Vikingdom memang sudah dalam perancangan pihaknya sebelum filem HMM diterbitkan lagi iaitu sekitar tahun 2007.

“Biarpun Vikingdom akan dibarisi pelakon antarabangsa, saya tidak mahu peminat meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat nama-nama besar seperti Brad Pitt atau Tom Cruise dalam filem ini.

“Memang agak mustahil untuk mendapatkan mereka kerana KRU Studios masih baru.
“Tetapi apa yang boleh saya katakan, pelakonnya nanti juga terkenal dan mereka adalah dari kalangan yang pernah membintangi siri televisyen dan beberapa buah filem di Hollywood.

“Sudah pasti, kami mahu bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Cruise dan Johnny Depp tetapi apa yang penting untuk kami sekarang adalah mengukuhkan kedudukan kami terlebih dahulu,” ujarnya dalam nada yang cukup optimis.

Norman berkata demikian pada sidang akhbar mengenai strategi pemasaran antarabangsa syarikat terbabit dan pengumuman penerbitan Vikingdom di bangunan KRU Studios di Cyberjaya, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Epic Pictures, Patrick Ewald serta Yusry dan Edry.
Epic Pictures sebelum ini merupakan pengedar filem antarabangsa pertama terbitan KRU Studios, Deadline yang dibintangi mendiang Brittany Murphy dan Thora Birch.

Mengulas lanjut mengenai Vikingdom, Norman memberitahu, filem itu masih lagi di peringkat praproduksi dan skripnya pula ditulis oleh James Coine.
Penggambarannya pula kata Norman, akan bermula sekitar Oktober atau November ini.
Buat pertama kalinya juga, Vikingdom akan menggunakan teknologi terkini, stereoskopik 3D yang pernah digunakan dalam pembikinan filem fiksyen Avatar.

“Kami mahu mencuba dan melihat respons yang diberikan apabila menggunakan elemen imej janaan komputer (CGI) menerusi HMM. Ternyata, ia mendapat sambutan baik daripada penonton dan juga pengedar filem antarabangsa.

“Atas alasan itu, kami berani untuk menerbitkan Vikingdom selepas HMM mencatatkan kejayaan membanggakan dan hak ciptanya berjaya dijual di lebih 70 buah negara di seluruh dunia.

“KRU Studios yakin dengan pendekatan dan tema tentang dunia Viking ini mampu mendapat tempat dan membawa filem ini jauh berkelana ke seluruh dunia.

“Mengenai pelakon tempatan pula, kami akan melihat jika ada watak yang sesuai untuk mereka,” jelas Norman tentang Vikingdom yang kini sudah pun mendapat perhatian beberapa pengedar di Eropah dan Jepun.
Tentang pemilihan tema Viking, Norman menjelaskan, ia merupakan strategi pemasaran memandangkan ia begitu dekat di jiwa penonton luar terutama penduduk Eropah.

Saat diajukan tentang bajet, Norman hanya tersenyum sambil berkata: “Kos penerbitan filem ini dan barisan pelakonnya hanya akan diumumkan di Festival Filem Cannes, Perancis pada Mei ini. Semuanya akan terjawab di sana nanti.”

Sementara itu, sebagai pengarah, Yusry bersama Norman dan Edry telah melakukan penyelidikan untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang dunia Viking termasuk mengunjungi salah sebuah muzium Viking dan melihat kesan peninggalan sejarahnya di Sweden.

Yusry menjelaskan Vikingdom akan menjalani penggambaran sepenuhnya di Malaysia termasuk di beberapa kawasan peranginan di Genting Highlands dan Bukit Fraser.

“Kami juga mahu menggunakan sepenuhnya teknologi dan kemudahan yang ada di studio kami dan juga di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

“Malah, kami juga sudah menyiapkan lakaran untuk rekaan busana, set dan beberapa faktor lain yang akan melengkapkan lagi perjalanan filem ini.

“Kami mahu pembikinan Vikingdom dapat menjadi seperti filem trilogi The Lord of The Rings yang berjaya melonjakkan sektor ekonomi dan pelancongan New Zealand,” kata Yusry.

Monday, April 04, 2011

AURA DIANA BAYANGI KATE

LONDON:
Jika anda beranggapan ramai bakal isteri sukar menyesuaikan diri mereka dengan keluarga baru, cuba letakkan diri anda pada kedudukan bakal isteri pewaris takhta England, Putera William, Kate Middleton. Nenda bakal suaminya adalah Ratu Elizabeth ll, Ratu England, bakal bapa mentuanya pula Putera Charles juga pewaris takhta, seorang yang kepala angin dan lebih mencabar lagi, beliau akan sentiasa dibandingkan dengan bonda William, mendiang Puteri Diana.

Sehingga kini tiada wanita dalam kerabat diraja England mampu menyaingi populariti Diana dan Middleton bakal menghadapi cabaran besar untuk menandingi kehebatan seorang wanita paling terkenal pada abad ke-20.

“Ia suatu keadaan sukar dan saya bersimpati dengan Kate,” kata seorang jururawat bersara, Elsie Andrews ketika membuat penilaian mengenai masa depan tunang Putera William itu.

Beliau berkata, Kate tidak sepatutnya diadili mengikut skala Diana, tetapi perlu dibenarkan membentuk imejnya sendiri di kalangan keluarga diraja.
Bagaimanapun, ‘kekuatan’ Diana tetap dirasai bulan lalu, apabila Middleton dan William kedua-duanya berusia 28 tahun, mengumumkan pertunangan mereka. William menyarungkan cincin pertunangan permata nilam bertatah berlian, kepunyaan bondanya.

William ketika bercakap mengenai cincin pertunangan itu berkata, ia adalah cara beliau memberi peranan kepada bondanya bagi perkahwinan mereka, manakala Kate ketika bercakap secara terbuka buat pertama kali mengenai Diana menyifatkan beliau sebagai satu inspirasi.

Pemberian cincin itu bagaimanapun umpama suatu peringatan kepada Kate dan harapan tinggi terhadap beliau. Mampukah Kate melakukan seperti apa yang dilakukan Diana apabila mengahwini pewaris takhta England itu?


Adakah Kate akan memilih jalannya sendiri dalam ‘drama’ kerabat diraja atau seperti Diana yang dihimpit kesunyian dan tekanan kerana menjadi seorang puteri sebenar?

Ketika Kate mencari kedudukannya dalam keluarga diraja, beliau akan mendapati dirinya dicabar legenda Diana, walaupun di mana saja beliau berada.

Mahu glamor? Diana menari dengan John Travolta di Rumah Putih, berkawan baik dengan Elton John dan menghabiskan masa cuti di kapal mewah di French Riviera manakala jurugambar paparazzi mengekori ke mana saja beliau pergi.

Mahu bergaya? Pakaian Diana direka oleh pereka fesyen bertaraf dunia seperti Versace, Galliano, Dior dan Valentino. Pakaian yang beliau pakai mampu mempengaruhi trend fesyen dunia.

Peranan dalam kerja amal? Diana memecahkan tradisi diraja dengan memeluk seorang mangsa AIDS dan membantu membentuk dasar kerajaan dengan berjalan di atas padang dipenuhi periuk api.

Kate menjauhi publisiti sejak beberapa minggu lalu. Apabila beliau muncul untuk pertama kali selepas bertunang, rakyat Britain, pengulas dan penganalisis akan mula berbincang sama ada beliau mempunyai kehebatan semula jadi seperti Diana. – AP

Penulis Lirik Seri Bayu Meninggal Dunia

2011/04/03

PORT DICKSON: Penulis lirik, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, meninggal dunia pada 8.15 malam tadi di Hospital Port Dickson selepas menderita sakit saraf (motoneuron disease) selama enam tahun.
Menurut sahabat baik penulis lirik itu, Azmi Zahari, Allahyarham meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
"Beliau dimasukkan ke hospital di sini kerana semasa kejadian, Seri Bayu tinggal bersama abang angkatnya di Kampung Teluk di sini. Sebelum ini, Allahyarham dijaga oleh adik angkatnya di Serdang," kata Azmi yang juga Exco Pertubuhan Insan Prihatin.
Allahyarham yang berasal dari Singapura akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Kampung Teluk di sini, selepas waktu Zuhur hari ini. Seri Bayu pernah mendirikan rumahtangga sebanyak dua kali dan dikurniakan lima anak dengan isteri pertama. Beliau pernah mencipta lagu untuk Jamal Abdillah dan Anita Sarawak serta ramai lagi artis tempatan yang lain. - BERNAMA