Sunday, August 14, 2011

RAMADHAN YA KAREEM : Pesta Ibadat Di Masjidilharam

@utusanonline
ANTARA nikmat yang paling besar bagi umat Islam adalah peluang atau kesempatan berada pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Ia juga digelar Syahrul Quran kerana di dalamnya diturunkan al-Quran pada 17 Ramadan.
Tiada lafaz yang lebih bermakna selain alhamdulillah sebagai tanda bersyukur yang amat sangat ke hadrat ilahi yang memanjangkan usia kita sehingga dapat sekali lagi bertemu bulan Ramadan.

ba 01.1 Pesta ibadat di Masjidil Haram
Menunggu waktu berbuka puasa di perkarangan Masjidil Haram, Mekah.

@utusanonline
Antara perkara sunat yang semakin popular dalam kalangan masyarakat Malaysia pada Ramadan adalah mengerjakan umrah. Manakan tidak, ganjaran pahala yang begitu besar menjadi tarikan kepada mereka yang berkemampuan.
Ia sebagai mana sabda Nabi Muhammad SAW yang maksudnya: Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji. (riwayat Bukhari)
Justeru, tidak hairan saban tahun bilangan umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah pada bulan puasa semakin bertambah, biar pun kos perbelanjaan umrah dalam Ramadan lebih tinggi berbanding bulan-bulan lain.
Di Masjidil Haram, kedatangan Ramadan disambut begitu meriah. Bagaikan pesta ibadat di mana setiap ruang dan inci masjid sentiasa dipenuhi mereka yang beribadat dan bermunajat kepada Allah SWT.
Masyarakat Arab begitu menunggu-nunggu ketibaan Ramadan. Ini dibuktikan apabila Masjidil Haram padat dan sendat pada setiap kali solat fardu.
Ini satu fenomena positif bagi umat Islam Malaysia yang berada di Mekah pada Ramadan. Sebabnya, kita juga terpengaruh dengan budaya masyarakat Arab yang datang awal ke masjid dan kemudian beriktikaf sementara menunggu masuknya waktu solat.
Umumnya, untuk mendapat tempat yang selesa dalam ruang masjid, seseorang perlu bergerak ke sana sekurang-kurangnya sejam sebelum waktu solat fardu.
Untuk solat Jumaat pula, kita perlu berada di Masjidil Haram sekurang-kurangnya dua jam sebelum waktu solat pada pukul 12.30 tengah hari. Namun, tiada yang merungut.
Bagi yang datang lewat, mereka reda ‘dibakar’ matahari sementara menunggu waktu solat. Sebabnya terpaksa berada di tingkat paling atas yang berbumbungkan langit atau berada di dataran putih.
Jika ingin melihat orang ‘bertengkar’ mendapatkan ruang dalam saf, inilah masanya. Semuanya kerana mereka menyedari ganjaran besar yang menanti bagi mereka yang solat di Masjidil Haram iaitu 100,000 berbanding di masjid lain.
Sebab itu, mereka yang terlewat akan cuba menyelit di ruang-ruang yang sempit. Asalkan ‘celus’ kepala untuk sujud sudah memadai. Di sini, teruji kesabaran para jemaah. Sama ada mahu memberi laluan atau ruang kepada saudara yang lewat datang atau berkeras ‘mempertahankan ruang’ yang ada.
Dalam keadaan sulit begitu, berkat doa, selalunya ada sahaja individu yang menawarkan tempat untuk solat. Demikianlah antara keajaiban dan kuasa Allah yang sentiasa mendengar rintihan hamba-Nya.
Tugas paling sukar adalah di kalangan anggota polis yang berada di sekeliling Masjidil Haram. Mereka perlu memastikan tiada laluan masuk ke masjid yang terhalang oleh para jemaah.
Namun, hal itu keadaan itu hanya boleh bertahan sebelum iqamat. Sejurus iqamat, hampir semua ruang dalam masjid dipenuhi jemaah daripada pelbagai pelosok dunia.
Selesai solat fardu, biasanya disusuli solat jenazah. Ini antara peluang menambah saham akhirat kerana sudahlah pahalanya 100,000, ia ditunaikan dalam bulan Ramadan.
Dalam hadis disebut bahawa pahala ibadat sunat diberi ganjaran ibadat fardu manakala ibadat fardu pula digandakan 70 kali. Demikian hebatnya bonus yang dijanjikan Allah kepada kita pada Ramadan.
Disebabkan ganjaran itu juga, ramai kalangan jemaah yang beriktikaf hampir setiap hari di masjid. Selepas solat fardu, mereka solat sunat diikuti dengan membaca al-Quran.
Selepas itu, mereka tidur sebentar. Bangun tidur, terus sambung membaca al-Quran dan solat sunat yang lain. Demikianlah rutin bagi ‘para penghuni’ Masjidil Haram sepanjang Ramadan.
Barangkali budaya tidur sekejap ini yang perlu dipraktikkan di negara kita. Hendaknya jangan pula pihak Ahli Jawatankuasa Masjid marah-marah atau ‘mengusir’ orang yang mahu tidur dan iktikaf.
Cuma individu yang mahu tidur itu pula perlu menjaga adab-adab dalam rumah Allah. Bak kata orang, janganlah pula sampai meleleh air liur basi di sejadah atau karpet masjid.
Sementara sebahagian besar umat Islam bertarawih, tidak kurang juga mereka yang bertawaf di Baitullah mengerjakan umrah.
Yang jelas, Kaabah tidak pernah sunyi daripada laungan talbiah labbaikallah humma labbaik….
Demikianlah hebatnya pesta ibadat di Masjidil Haram. Keadaannya persis tiada yang terlibat dalam perkara lagha seperti menonton program-program hiburan di televisyen.

Pengalaman Ramadan di kota suci Mekah


adlan.jaafar@kosmo.com.my

SETIAP kali mata memandang Kaabah tambahan pula ibadah umrah dilakukan pada bulan Ramadan, serta-merta pemikiran Azman Disa melupakan terus hal ehwal dunia waima ahli keluarganya sendiri.
“Itu adalah perasaan saya dan kebanyakan orang apabila berada di sana. Rata-rata mereka turut menyatakan perkara yang sama kepada saya,” ujar Azman ketika ditemui di ibu pejabat Poto Travel and Tours di Kuala Lumpur.
Menurut lelaki yang berusia 36 tahun itu, setiap kali tiba bulan penuh keberkatan, pasti keadaan kota Mekah sesak dipenuhi umat Islam sehingga ke siar kaki masjid terutama ketika waktu sembahyang.
“Jika azan sudah berkumandang baru kita keluar ke masjid, pasti kita hanya dapat bersembahyang pada jarak 120 meter dari luar Masjidil Haram,” ujarnya yang sudah beberapa kali mengerjakan umrah ketika bulan Ramadan sejak tahun 1999.
Kata lelaki yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Umrah dan Haji itu, perkara yang paling dirindui adalah suasana yang hanya dapat dilihat dan dirasai pada bulan Ramadan.
“Apabila tiba waktu berbuka puasa, kita sebagai jemaah umrah tidak perlu berasa takut jika tiada makanan kerana ada orang Arab suka bersedekah.
“Di dalam dan luar pekarangan masjid, terdapat bentangan plastik yang dipanggil safrah. Pada bentangan itu, mereka akan menaburkan makanan seperti buah tamar, roti dan buah-buahan kering sebagai sedekah.
“Mereka akan menarik kita untuk makan hidangan tersebut, manakala untuk minuman pula kita akan dihidangkan sejenis minuman dipanggil ghawah,” terang Azman yang sudah 13 tahun terlibat dalam bidang itu.
Ghawah adalah sejenis minuman tradisional Arab iaitu minuman kopi yang dicampur rempah-ratus. Ia dapat menghilangkan angin dalam badan.
  
Tarawih di Mekah

Selepas solat Maghrib, jemaah akan berehat selama sejam dan akan sambung solat Isyak serta diikuti solat sunat tarawih.
SEORANG pekerja restoran di Riyadh, Arab
Saudi memasak qatayef iaitu sejenis lempeng
yang dihidangkan untuk iftar

Menurut Azman, perkara yang menjadi sebutan ketika tiba saat tarawih adalah solat yang diimamkan oleh Sheikh Abdullah Awwad Al-Juhany.
Alunan suara dan gaya bacaannya begitu menyentuh perasaan sehinggakan mereka yang tidak faham bahasa Arab pun boleh menangis ketika mendengar bacaannya.
“Jika maksud ayat tersebut sedih, dia boleh menangis dan apabila tiba ayat yang perlu penegasan, suara yang kedengaran penuh tegas dan garang,” kata Azman lagi.
Menyentuh mengenai aktiviti pada waktu siang dalam bulan Ramadan
di kota Mekah, Azman menambah, suasananya sedikit berbeza dan tidak meriah seperti waktu malam. Suasana agak lengang walaupun orang masih kelihatan di persekitaran masjid.
“Masjidil Haram dibuka 24 jam sehari dan orang ramai bebas melakukan ibadah. Pada waktu siang, kami akan berehat sebentar dengan tidur selepas solat Zuhur.
“Selain itu, saya akan membawa jemaah melakukan tawaf dan ziarah kerana ketika itu orang tidak begitu ramai,” katanya yang berpeluang ke kota Mekah atas tuntutan kerja.
Aktiviti di kota Mekah terutama kepada rakyat Malaysia bermula seawal pukul 3 pagi dengan bersahur kemudian diikuti dengan solat Subuh pada pukul 4 pagi.
Menyempurnakan rukun umrah seperti tawaf dan sai’e pula bermula pada pukul 5 pagi. Jika semua telah dilakukan, jemaah akan beriktikaf di masjid dengan perbanyakkan solat dan membaca al-Quran.

Kos tinggi

Lain pula pengalaman yang dirasai oleh Abdul Rahman Mohd. Ali, 46, sepanjang menjalani umrah pada bulan puasa terutama sebelum mendirikan rumah tangga.
Dia pernah mengunjungi tanah suci Mekah secara mengembara (backpacker) sebanyak lima kali sebelum berkahwin.
“Pengalaman yang dilalui sedikit berbeza. Saya masih ingat lagi ketika perjalanan menaiki bas dari Madinah ke Mekah.
“Pada waktu itu, azan Maghrib berkumandang dan saya masih lagi berada dalam bas. Tiba-tiba, saya dikerumuni orang Arab yang mahu bersedekah. “Ada yang memberi kurma, air dan lain-lain. Kita tidak akan mati jika berada di sana pada bulan Ramadan kerana di mana-mana akan ada orang sedekah makanan.

GHAWAH iaitu kopi tradisional Arab yang
dicampur dengan rempah-ratus antara minuman
yang popular di tanah Arab.

“Hanya orang yang berkurung di dalam rumah berkemungkinan akan menemui ajal,” seloroh Rahman yang sudah 15 tahun berkahwin.
Bagaimanapun, terdapat perkara yang dikesali oleh Rahman tatkala melihat orang Malaysia yang beribadat di sana tidak turut serta berderma.
“Sudah menjadi kebanggaan bangsa Arab apabila orang makan atau mengambil hasil pemberian mereka tetapi mengapa orang kita (Malaysia) hanya makan dan tidak berderma?” soal Rahman lagi.
Bercerita mengenai kelompok yang pergi umrah pada bulan puasa, Rahman berkata, kebanyakan mereka adalah individu yang bukan kali pertama pergi mengerjakan ibadat tersebut.
Kos menunaikan umrah pada bulan puasa boleh meningkat berkali ganda terutama pada 10 hari terakhir Ramadan. Kenaikan kos disebabkan harga sewa bilik yang mahal.
Sewa bilik boleh meningkat dari 700 riyal (RM562) semalam kepada 1,000 riyal (RM802.52) semalam dan harga boleh menjadi lebih mahal jika ia terletak berhampiran dengan masjid.
“Jika menginap di Hotel Hilton, sewa semalam pada 10 malam terakhir Ramadan boleh mencecah sehingga 17,000 riyal (RM13,606) semalam kerana layanan eksklusif dan lokasinya,” jelas Rahman.
Panggilan untuk menghadap rumah Allah tidak pernah memilih pekerjaan atau status seseorang. Pelakon yang kini lebih dikenali dengan watak-watak baik, Ashraf Muslim sukar menggambarkan perasaan pertama kali mengerjakan solat di Mekah ketika menunaikan umrah pada bulan Ramadan tahun 2009.
“Perasaan saya begitu seronok dan gembira sebelum berlepas ke sana. Perjalanan umrah saya adalah dari Jeddah dan singgah di Madinah, kemudian ke kota Mekah.
“Di Madinah, rombongan yang saya sertai tiba pada waktu awal pagi dan berkesempatan solat Subuh. Tatkala kaki melangkah anak-anak tangga masjid, azan Subuh pun kumandang.
“Perasaan saya ketika itu bercampur-baur. Rasa begitu sedih dan sayu kerana seperti dijemput ke tanah suci. Perasaan gembira turut dirasai dan terasa seperti begitu rindu kepada Maha Pencipta,” ujar Ashraf ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di Mekah ada sedikit kelainan.
Beliau memasuki Masjidil Haram melalui pintu pertama yang dipanggil pintu King Fahd juga pada waktu malam selepas solat Maghrib.
Untuk memasuki pekarangan masjid, jemaah perlu menuruni tangga sebelum dapat melihat Kaabah. Apabila terpandang sahaja Kaabah, saya terasa umpama magnet yang ditarik terus ke arah kiblat umat Islam itu,” kata Ashraf berkongsi pengalaman.
Tambahnya, di tanah suci itu, orang ramai akan berpusu-pusu untuk berbuka di dalam masjid kerana berdoa dalam tempoh lima minit terakhir sebelum azan Maghrib adalah paling mustajab.
Selain itu, Ashraf mengakui bahawa cuaca pada waktu siang di Mekah lebih panas berbanding Malaysia dan kadangkala suhu mencecah sehingga 40 darjah selsius.
Ashraf atau nama sebenarnya Mohd. Ashraf Muslim, 30, akan bertolak sekali lagi ke sana untuk menunaikan umrah pada 17 Ramadan ini.
Pemergian jejaka dari Melaka itu kali ini akan menjadi titik perubahan dalam hidupnya kerana dia akan menikahi gadis pilihan hati pada 1 Syawal di hadapan Kaabah.

No comments: