Thursday, August 04, 2011

MAHKOTA LELAKI SIKH



BAGI penganut agama Sikh, menyimpan rambut panjang sejak kecil adalah satu amalan yang dituntut. Tuntutan yang melambangkan kesyukuran kepada tuhan itu tidak mengecualikan jantina.
Bahkan setiap helaian bulu atau rambut yang tumbuh tidak boleh diganggu bentuk asalnya kerana ia adalah salah satu ciptaan tuhan.
“Ia perlu dibiarkan dalam keadaan semula jadi tanpa mengubah kejadiannya. Setiap penganut Sikh dituntut mengikuti falsafah ini, jika tidak mereka akan dianggap berdosa besar,” kata Presiden Institut Falsafah, Penyelidikan dan Pendidikan Sikh (InSPIRE), Prof. Madya Autar Singh.
Bagi masyarakat Sikh, mereka berpegang kepada 5K yang menjadi tuntutan agama iaitu rambut (kesh), sikat kayu (kangga), gelang besi (khada), senjata kerambit (kirpan) dan seluar dalam khas (kelshaira).
Tahap kesetiaan penganut Sikh dapat dilihat apabila mereka mempraktikkan 5K yang diwajibkan kepada mereka dan pada hari pembaptisan untuk menjadi seorang Sikh yang taat.
Bagaimanakah penganut Sikh menjaga rambut dan bulu di badan mereka? Autar Singh menjelaskan, setiap penganut Sikh dituntut menjaga kebersihan rambut dan bulu yang tumbuh di badan mereka.
“Kami perlu mencuci rambut dengan kerap dan sapu minyak kelapa pada rambut sebelum disikat dengan sikat khas (kangga) dua kali sehari atau lebih bagi menjaga kesuciannya.
“Sehubungan itu, setiap kaum lelaki dituntut memakai serban dan wanita sekadar memakai selendang di kepala selain digalakkan memakai serban,” katanya ketika ditemui di Pusat Aktiviti Belia Sikh Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Menyimpan rambut

BALJIT menunjukkan seluar dalam khas yang dipakai oleh setiap lelaki Sikh yang alim.


Sikat kayu bukan sahaja untuk berfungsi untuk menyisir rambut malah diletakkan di dalam serban kaum lelaki. Amalan itu sebagai mencontohi tindakan Guru Nanak iaitu seorang penyebar agama itu.
Kaum lelaki Sikh juga dituntut tidak mendedahkan atau membenarkan rambut mereka disentuh oleh orang lain. Rambut, serban dan janggut serta seluruh bahagian kepala mereka dianggap sangat mulia dan sensitif.
Baljit Singh, 27, berkata, menyimpan rambut yang panjang adalah satu tindakan yang bersifat peribadi walaupun ia sangat dituntut oleh ajaran Sikh, namun jika ada penganut Sikh yang ingkar ia bukan satu paksaan.
Bagi memelihara rambut dan mematuhi ajaran yang dituntut, seseorang penganut Sikh perlu mempunyai kefahaman mengenai kepentingan ajaran berkenaan.
KANGGA merupakan sikat kayu yang disimpan di dalam serban dan mudah dibawa ke mana-mana.

“Semasa zaman kanak-kanak, saya pernah berasa sedih kerana diejek oleh rakan-rakan. Namun lama-kelamaan perasaan itu hilang dan saya lebih berkeyakinan dengan imej sekarang.
“Dengan imej ini orang lebih mudah mengenali diri saya selain imej ini dianggap sebagai salah satu fesyen yang menarik. Malah saya juga bebas mengikuti fesyen terkini muda-mudi tanpa mengetepikan tuntutan agama,” kata jurutera di sebuah syarikat swasta itu.
Berbeza dengan kaum wanita Sikh, mereka dibenarkan mendedahkan rambut sahaja dan tuntutan yang lain sama seperti kaum lelaki.

Peralatan
DARI ATAS: Sikat kayu, gelang besi dan kerambit merupakan antara peralatan yang dimiliki oleh setiap penganut Sikh.

No comments: