Thursday, August 18, 2011

NEGARAKU MERDEKA 31 OGOS !!! Alhamdulillah !!

Tarikan kapal terbang Jalur Gemilang


Mohd. Rahim Amatermin (kaca mata) menunjukkan trofi yang dimenanginya tahun lalu pada pertandingan menghias premis perniagaan sempena kemerdekaan di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.


ADA bermacam-macam cara untuk menzahirkan rasa kesyukuran terhadap nikmat merdeka di samping menanam semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Merdeka hujung Ogos ini.
Bagi penduduk di sekitar Pasir Gudang, Johor, mereka tentunya terpegun melihat hiasan bertemakan Jalur Gemilang sebuah premis mencuci kereta yang terletak di Kampung Pasir Putih.
Dari jauh orang ramai sudah boleh menyaksikan replika sebuah kapal terbang yang di cat dengan corak Jalur Gemilang bersama dengan logo 1Malaysia yang berdiri megah.
Premis milik Perniagaan 2A Bersatu itu merupakan juara peringkat kebangsaan kategori bangunan swasta dalam Pertandingan Keceriaan Merdeka tahun lalu.
Namun untuk tahun ini, dia menampilkan tarikan yang cukup berbeza hingga mampu menarik perhatian orang ramai yang lalu-lalang.
Pengurusnya, Abdul Halim Amatermin, 40, berkata, dia telah melakukan pelbagai penambahbaikan bukan saja dari jumlah bendera tetapi turut meletakkan tanda niaga replika kapalterbang.
"Kalau boleh kami mahu pertahankan gelaran juara. Tetapi tujuan kami membuat hiasan bendera sebegini adalah kerana semangat patriotik. Sama ada terdapat hadiah wang tunai atau tidak, bukan perkara utama.
"Saya difahamkan pertandingan dalam kategori bangunan swasta tahun ini mempertaruhkan RM3,000. Pasti lebih ramai yang akan turut serta berbanding tahun lalu yang penyertaannya secara sukarela," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Abdul Halim, nilai tambah yang dilakukan selain pertambahan bendera adalah logo 1Malaysia besar, replika menara KLCC dan beberapa hiasan lain yang diperbuat daripada barangan terpakai.
Nilai tambah lain yang menjadi keunikan bagi Perniagaan 2A Bersatu ialah bekerjasama dengan kumpulan basikal anak muda tempatan, Bike Classic Crew untuk meronda kampung dengan basikal yang 'sarat' dihiasi bendera.
"Selain dapat menanamkan semangat kemerdekaan dan cintakan negara kepada anak-anak muda, usaha ini juga dapat mengingatkan orang ramai terutama penduduk di sekitar premis kami ini mengenai sambutan hari kebangsaan pada 31 Ogos ini," katanya.
Abangnya yang merupakan kontraktror, Mohd. Rahim Amatermin berkata, perusahaan mencuci kereta yang diselia oleh Abdul Halim turut mengeluarkan belanja untuk menghiasi basikal-basikal milik anggota Bike Classic Crew.
Jelasnya, usaha menghiasi premis cuci kereta milik syarikat itu dimulakan sejak dua tahun lalu bermula dengan replika kapal terbang sembilan meter panjang dan lapan meter lebar yang dicat dengan corak Jalur Gemilang yang sudah menjadi kebiasaan kepada pengguna jalan raya yang berulang-alik ke Pelabuhan Tanjung Langsat.
Replika yang diletakkan di atas tiang setinggi 10 meter itu kini menjadi daya tarikan dan tumpuan orang ramai serta kebanggaan penduduk, lebih-lebih lagi sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos tidak lama lagi.
"Modal sebanyak RM7,000 dikeluarkan dua tahun lalu untuk membeli aluminium dan besi untuk membuat replika itu.
"Ketika meletakkannya di atas tiang kami terpaksa menggunakan kren kerana beratnya mencapai 200 kilogram," katanya.
Bagi Ketua Kumpulan Bike Classic Crew, Nur Hafizan Wagimon, 16, peluang untuk menyemarakkan semangat merdeka sebegini adalah penting untuk memupuk sifat patriotik kepada golongan muda.
Katanya, kumpulan yang dianggotai pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort ini secara keseluruhannya setuju untuk turut serta kerana ia adalah aktiviti yang menarik.
"Biasanya kami akan meronda kawasan sekitar Kampung Pasir Putih selepas waktu sekolah. Puasa memang memenatkan tetapi semangat kami menyambut hari kemerdekaan negara mengatasi lapar dan dahaga," katanya.
Seorang anggota kumpulan, Sarehan Saniful Alam, 14, berkata, dia dan teman-teman lain berasa bangga ketika berbasikal dengan bendera-bendera Malaysia berkibar ketika ditiup angin.

@utusanonline

No comments: