Monday, August 01, 2011

Misteri Keranda Tempayan Murut Tagol

Oleh Hassan Omar dan jurugambar, Datu Ruslan Sulai
bminggu@bharian.com.my

2011/03/13

Keranda tempayan peninggalan tradisi kuno Murut Tagol

DEGUP jantung kian kencang. Sepi hutan di tebing Sungai Tagol, Pensiangan kira-kira 150 kilometer dari Keningau, Sabah seolah-olah tidak mengalu-alukan kehadiran kami. Kayu kecil dalam semak yang patah akibat dipijak tiga pasang kaki insan, menguasai sepi di sekitar tebing sungai setinggi kira-kira dua meter dari muka sungai.

Perlahan-lahan penulis, jurugambar Datu Ruslan Sulai dan Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Kampung Pilanas, Kinon Limpas, 53, serta rakannya, Ampuka Ansapoi, 42, selain dua pemuda yang mengendalikan perahu, Ghani Angkusoi, 23, dan Jureh Using, 22, menghampiri kawasan perkuburan masyarakat Murut Tagol berusia kira-kira 100 tahun dalam hutan di tebing sungai itu.

Kinon dan Ampuka tidak henti-henti menebas semak untuk memudahkan kami melangkah di belakang mereka. Walaupun berat hati, apatah lagi kaki untuk melangkah menuju `sirap' yang dalam bahasa Murut Tagol bermaksud pondok usang di kawasan perkuburan itu, kami tetap meneruskan langkah.

Siulan burung bagaikan menghanyutkan jauh perasaan kami ke dasar Sungai Tagol. Perlahan-lahan bulu tengkuk terasa meremang. Langkahan kaki kian perlahan.

Sepuluh minit melangkah melangkaui semak dalam hutan, kami sudah menjejakkan kaki di kawasan itu. Lima sirap (pondok) diperbuat daripada kayu sudah terpacul di depan mata. Kinon dan Ampuka mula membaca sesuatu dalam bahasa Murut Tagol. Meskipun sepatah pun perkataan itu tidak saya fahami, saya yakin ia adalah kata-kata meminta izin daripada roh nenek moyang mereka yang dipercayai mereka masih berada sekitar kawasan itu.

Sebaik saja terpacul deretan lima sirap di depan mata, kaki kami terpaku. Kinon dan Ampuka juga terhenti seketika. Renungan mata Kinon seolah-olah mencuba membaca apa yang sedang bermain di fikiran kami. Dia bagaikan mengarahkan kami supaya terus melangkah menghampiri sirap.

Sebaik saja berada kira-kira satu meter dari sirap, jurugambar mencari sudut terbaik untuk merakamkan foto. Empat pasu besar setinggi kira-kira 1.5 meter yang dijadikan tempat menyimpan mayat dan sebuah keranda usang dalam sirap setinggi kira-kira satu meter itu menjadi buruan sudut terbaik untuk dirakamkan. Bunyi klik jurugambar yang pantas merakam peluang yang ada, memecah kesunyian hutan kira-kira tiga minit. Namun wajahnya agak cemas apabila gambar yang cuba dirakamkan tidak menjadi. Aneh sungguh!

Kinon dan Ampuka sudah dapat membaca keresahan di wajah kami. Ghani dan Jureh kian resah. Walaupun dilahirkan di Kampung Salinatan, iaitu satu daripada puluhan kampung masyarakat Murut Tagol di tebing Sungai Tagol, anak muda itu semakin pucat.

Saya terus membaca ayat Kursi. Kinon dan Ampuka tidak henti-henti membaca jampi dan mantera dalam bahasa Murut Tagol. Hanya selepas 10 minit menekan butang merakamkan gambar, keresahan di wajah Datu Ruslan beransur-ansur pudar. Satu demi satu foto berjaya dirakamkannya.

Dalam sirap pertama ada empat pasu besar atau dalam bahasa Murut Tagol disebut `bangkalan' dan sebuah keranda. Setiap mulut bangkalan itu ada penutup diperbuat daripada kayu yang di sekelilingnya disaluti damar yang kian luntur.

Penutup itu diikat pada badan bangkalan dengan rotan. Dalam sirap kedua ada lima bangkalan tetapi tiada keranda. Sirap ketiga ada lima bangkalan manakala sirap keempat dan kelima, masing-masing ada empat bangkalan.

Setengah jam berada di kawasan perkuburan itu membuatkan mulut kami terkunci tanpa sebarang bicara. Pesan orang tua-tua, kalau berada di kawasan seumpama itu, jangan tegur apa yang dilihat. Hanya bola mata yang memerhati manakala mulut harus dikunci.

Sejurus kemudian, kami sudah bergerak meninggalkan kawasan perkuburan itu. Sebaik menjejakkan kaki dalam perut perahu, Jureh seolah-olah tidak mahu menunggu lebih lama untuk menghidupkan enjin motor sangkut 15 kuasa kuda segera meninggalkan kawasan itu.

Malam itu, kami menumpang tidur di rumah seorang penduduk Kampung Pensiangan dan sebegitu sukar melelapkan mata. Meskipun dipanjat keletihan terpaksa memanjat dan menuruni bukit serta melangkah dalam semak, amat sukar untuk kami hanyut dibawa mimpi. Wajah bangkalan dan kisah mengenainya yang diceritakan anggota masyarakat Murut Tagol di Pensiangan, iaitu kawasan terpencil bersempadan dengan Kalimantan, menyebabkan kami sukar melelapkan mata. Kami turut ‘diganggu’ apabila mayat dalam keadaan lutut bertemu dagu dimasukkan ke dalam bangkalan, seolah-olah wujud di depan mata. Hanya ketika subuh semakin bening, kami akhirnya berupaya melelapkan mata.

Bangkalan yang diperbuat daripada tembikar pada ketika masyarakat Murut Tagol masih pagan (tiada agama) tidak digunakan dalam majlis perkahwinan. Juga bukan untuk menyimpan beras. Bangkalan cukup penting untuk menyimpan mayat tidak kira sama ada lelaki, perempuan, kanak-kanak atau orang dewasa.

Pada ketika si pesakit nazak, bangkalan harus disediakan. Sejurus selepas ia bergelar si mati, tubuhnya yang masih lembut harus segera dilipat untuk memastikan ia boleh dimuatkan dalam bangkalan. Selepas dimasukkan, mulut bangkalan segera ditutup dengan kayu yang kemudian diikatkan dengan rotan pada tubuh bangkalan.

Bagi mengelakkan bangkalan mengeluarkan bau meloyakan tekak, penutup itu disaluti damar. Begitu juga dengan mereka yang memilih keranda sebagai tempat menyimpan mayat anggota keluarga. Sekujur tubuh yang sudah kaku itu tidak dikebumikan.

Berdasarkan adat diwarisi ini, tugas membeli bangkalan dari Kalimantan, menyempurnakan amalan memasukkan mayat ke dalam bangkalan dan majlis kenduri - semuanya di atas bahu menantu lelaki si mati. Jika tiada menantu lelaki, tugas itu dilakukan lelaki daripada keluarga besan si mati. Jika tiada juga, barulah ia diserahkan kepada anak saudara lelaki si mati.

Namun, bukan semua mayat yang sudah dimasukkan ke dalam bangkalan akan segera dibawa ke sirap yang jauh dari rumah. Ini kerana upacara membawa turun bangkalan memerlukan kos.

Bagi keluarga yang tidak mempunyai kewangan kukuh, bangkalan yang sudah ada mayat dibiarkan dalam rumah sementara menunggu keluarganya menjual padi huma atau babi hutan yang diburu atau apa saja yang boleh mendatangkan wang. Pada ketika itulah si isteri yang kematian suami harus menyediakan makanan untuk diletakkan di atas penutup bangkalan.

Si isteri tidak boleh menyuap nasi jika tidak berada di sisi bangkalan. Keadaan itu berlarutan antara satu hingga dua minggu sebagai bukti kasih dan cinta si isteri kepada suami. Pada ketika tertentu, si isteri lazimnya boleh mendengar bahagian tubuh si suami yang sudah mereput jatuh dalam bangkalan. Yang paling kuat, sudah pastilah kepala mayat berdetup di lantai bangkalan.

Apabila wang sudah diperoleh, upacara membawa turun bangkalan dari rumah untuk dibawa ke sirap dijalankan. Dengan diiringi bacaan tertentu, si menantu sekali lagi berperanan utama untuk menyempurnakannya.

Bukan tidak pernah berlaku ketika bangkalan dibawa menuruni tangga, tiba-tiba bahagian bawah bangkalan tersangkut pada kayu tangga, lalu bocor atau pecah. Bagaimanapun, si menantu tidak boleh meninggalkan begitu saja bangkalan dan mayat atau tulang bapa atau ibu mentuanya di kaki tangga. Dalam keadaan gementar dan menahan bau yang cukup meloyakan, si menantu harus segera mengutip tulang bertaburan dan memasukkannya semula ke dalam bangkalan, membersihkan air dari bangkalan yang membasahi tangga serta mengikat semula bahagian bangkalan yang pecah atau menutup lubang yang bocor. Pernah berlaku si menantu yang terpalit dengan air itu terpaksa mandi dengan menggunakan air tanah liat sebelum menggosok seluruh tubuh dengan abu. Satu atau dua minggu bau yang cukup meloyakan itu belum pasti sudah terlongkah dari tubuh mereka.

Namun, amalan menyimpan mayat dalam bangkalan sudah lama berlalu. Menjelang awal 1970-an ia bukan lagi sesuatu yang wajib dilakukan oleh masyarakat Murut Tagol. Mereka yang tinggal di puluhan kampung di sepanjang tebing Sungai Tagol, Sungai Seliu dan Sungai Pensiangan sejak awal 1900, secara evolusi meninggalkan amalan berkenaan apabila mula mengenali dan memeluk Kristian pada hujung 1960-an.

Kini sejajar perubahan zaman, anggota masyarakat Murut Tagol yang sudah menerima pemodenan tetapi masih terpaksa bergelut dengan kemudahan asas yang terhad, sudah meninggalkan amalan berkenaan.

Setiap kali ada kematian, mereka dikebumikan melalui proses pengebumian Kristian. Ada juga yang disemadikan di tanah perkuburan Islam. Namun, kebanyakan tapak pengebumian itu tetap tidak jauh dari sirap menyimpan bangkalan yang kebanyakannya di tebing sungai bagi memudahkan mereka menziarahi pusara anggota keluarga atau sanak saudara.

Namun demikian, masih ada segelintir anggota masyarakat terbabit yang masih mengamalkan kaedah membuka semula bangkalan yang sudah berusia puluhan tahun dengan tujuan mengambil tulang-temulang anggota keluarga untuk dimasukkan ke dalam 'tajau' atau pasu kecil yang kemudian disemadikan semula dalam sirap.

Berdasarkan nasihat pegawai Jabatan Kesihatan, mereka tidak lagi membina sirap baru untuk tujuan berkenaan kerana ada sesetengah sirap yang sudah terlalu usang dibiarkan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Namun, biar waktu menelan zaman, masyarakat Murut Tagol tetap menghormati amalan menyimpan mayat dalam bangkalan yang dipraktikkan nenek moyang mereka. Kini, jika ada pun sesiapa yang dijemput maut, tidak ada lagi si menantu atau sanak saudara si mati yang sanggup melipatkan mayat untuk disimpan dalam bangkalan.

Bagi mereka, amalan ketika nenek moyang mereka masih belum bertaut pada agama Islam atau Kristian itu hanya tinggal sebahagian adat dan kepercayaan yang diceritakan kepada anak cucu masing-masing. Kehadiran Islam yang turut mengeluarkan sebahagian kecil daripada anggota masyarakat Murut Tagol daripada amalan animisme turut membuatkan amalan berkenaan hanya tinggal sebahagian daripada khazanah sejarah kewujudan etnik terbabit di kawasan pedalaman Sabah yang bersempadan dengan Kalimantan.

INFO
Bangkalan
* Setinggi 1.5 meter tinggi.
* Menyimpan mayat etnik Murut Tagol sebelum kedatangan Islam dan Kristian.
* Diletakkan dalam ‘sirap’ (pondok) di hutan.
* Dibeli dari Mansalong, Kalimantan.
* Ditutup dengan kayu dan disaluti damar.
* Harga antara RM2,000 hingga RM3,000.
* Amalan menyimpan mayat dalam bangkalan semakin berkurangan sekitar 1970-an.

No comments: