Monday, March 07, 2011

iPad 2 yang Ditunggu-Tunggu

SEORANG wakil Apple memberi demonstrasi sembang video menerusi iPad 2 semasa pelancarannya di Pusat Yerba Buena Untuk Kesenian di San Francisco, di California, kelmarin. Gambar kanan menunjukkan saiznya yang nipis. – AFP

SAN FRANCISCO 4 Mac – Selepas pengumuman iPad 2 akan berada di pasaran pada 11 Mac ini, para peminat Apple semakin teruja dan tidak sabar untuk mendapatkan gajet tersebut.
Pengumuman tersebut mendapat sambutan positif orang ramai dengan memberikan komen mereka menerusi laman web sosial Twitter sejak tujuh hari lalu, kata sebuah laman web analisis, wthashtag.com.

Menurut Pengerusi Mobile Entertainment Forum, (MEF), Andrew Bud, iPad 2 memperlihatkan bagaimana kecekapan hubungan telefon disambungkan dengan sesebuah alatan teknologi seperti ‘tablet’ dan menjadi medium utama untuk akses kepada sebarang informasi dan hiburan.
Sementara itu, seorang penganalisis Forrester, Sarah Rotman Epps berkata, beliau kagum dengan gajet terbaru itu dan percaya sebanyak 80 peratus iPad 2 akan menjadi gajet utama dalam pasaran Amerika Syarikat.

Seorang lagi penganalisis, Carolina Milanesi dari Penyelidikan Gartner juga berasa kagum dengan keluaran gajet tersebut sambil meluahkan rasa terujanya dalam Twitter dan mengatakan harga yang mahal bukan penghalang untuk memiliki gajet tersebut kerana harga yang ditawarkan berbaloi dengan keistimewaannya.
Namun, bukan semua pihak memberi tanggapan positif terhadap kemunculan gajet terbaru itu.

Naib Presiden program IDC untuk pelanggan dan paparan, Bob O’Donnell berkata, iPad 2 tidak ubah seperti keluaran iPad versi pertama dan menjelaskan terdapat sesetengah syarikat kurang selesa dengan kamera pada iPad 2 atas alasan keselamatan dan ruang privasi.
Sebuah laman web teknologi, The Register menyifatkan iPad 2 sebagai satu perubahan evolusi berbanding perubahan revolusi.

“Secara keseluruhannya, iPad 2 bukanlah sesuatu yang mengecewakan namun bagi sesiapa yang inginkan keajaiban, iPad 2 hanya mempunyai sedikit sentuhan ajaib berbanding iPad versi pertama dan sememangnya itu bukan perubahan secara besar-besaran,” menurut laman web tersebut. – Agensi

No comments: