Monday, March 14, 2011

Bencana nuklear dunia?

@utusanonline 
SENDAI, Jepun 13 Mac – Pihak berkuasa Jepun berusaha mencegah satu lagi ancaman radiasi di dua buah reaktor nuklear di Fukushima hari ini, selepas sistem penyejuknya gagal berfungsi sekali gus boleh mengakibatkan bencana nuklear terburuk di dunia dalam tempoh 25 tahun.
 PARA pekerja penyelamat mengeluarkan mayat mangsa dari runtuhan selepas gempa bumi 8.9 pada skala Richter yang menggegar pantai timur laut Jepun dan mengakibatkan tsunami, di Sendai, Jumaat lalu. – REUTERS

Syarikat pengendali Tokyo Electric Power Co (TEPCO) terpaksa menggunakan air laut dan asid borik bagi menyejukkan reaktor No. 1 selepas satu letupan memusnahkan bumbung dan dinding bangunan konkrit itu semasa mereka cuba melepaskan tekanan semalam.
Struktur tangki reaktor nuklear itu bagaimanapun tidak terjejas.
Selain itu, pengendali reaktor tersebut turut membebaskan udara daripada tangki simpanan reaktor No. 3 bagi mengurangkan tekanan dan mengelak kerosakan.
“Kami belum tahu status sebenar bahan api di bahagian teras reaktor itu. Kami perlu mengenal pasti keadaan teras itu sama ada ia tertutup, rosak atau bahan api kini sedang cair,” kata pakar nuklear, Mark Hibbs daripada Pembiayaan Keamanan Antarabangsa Carnegie.
Ancaman yang dihadapi Jepun itu dibimbangi boleh mengulangi bencana nuklear di loji nuklear Chernobyl, Ukraine pada 26 April 1986, selepas bahan radioaktifnya dilepaskan ke udara dalam satu letupan kuat.
Sekurang-kurangnya 32 maut akibat kesan secara langsung letupan dan 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif.
Lebih 120,000 yang lain terpaksa dipindahkan, sementara tahap pencemaran radiasi turut diukur sejauh barat Eropah.
Semalam, beribu-ribu penduduk di bandar sama dipindahkan berikutan letupan dan kebocoran yang berlaku di pusat reaktor No.1 di Fukushima, kira-kira 240 kilometer di utara Tokyo.

No comments: