Sunday, February 27, 2011

INTERLOK - Luahan Hati Datin Siti Saroja Basri

the malaysian insider


21 FEB  — Saya berpeluang bertemu Datin Siti Saroja Basri, isteri kepada Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) sewaktu kami sama-sama menghadiri Mesyuarat Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel “Interlok” Edisi Murid di Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Putrajaya, pada 16 Februari 2011.
Beliau yang paling awal sampai di Bilik Mesyuarat Seri Duta, tersenyum mesra dan menghulur salam sebaik kami bertemu. Namun, pada mata beliau, terbayang rasa sayu yang lahir dari dalam jiwa berikutan kontroversi yang muncul berhubung novel “Interlok” edisi murid (DBP: 2010) sejak 15 Disember 2010.
Kami bertiga pernah bertemu sebelum ini dan Datin Siti Saroja masih ingat. Saya bertanya khabar Pak Lah dan dimaklumkan bahawa tidak banyak perubahaan. Malah, kata Datin Siti Saroja (gambar), Pak Lah semakin “terpenjara” dan takut untuk keluar rumah.
Beliau meluahkan rasa sedih atas insiden pembakaran buku di Klang pada 8 Januari 2011, seperti dilaporkan pelbagai media. Saya menyatakan pendirian Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan membakar bahan bacaan seperti itu yang bertentangan budaya kaum India.
Datin Siti Saroja mengulangi bahawa Pak Lah tidak pernah berniat menghina sesiapa melalui mana-mana karya beliau. Saya bersetuju dan turut menyatakan bahawa Kavyan juga berpendirian tegas bahawa Pak Lah tidak patut diheret masuk ke dalam kontroversi ini oleh mana-mana pihak, termasuk persatuan penulis dan media.
“Kalau ada perkara dalam novel itu yang dirasakan tak sesuai, apa salahnya pihak berkenaan datang berjumpa Pak Lah. Uthaya pun sudah lama kenal Pak Lah; boleh datang berjumpa dan kita boleh berbincang secara baik untuk buat apa yang patut. Tapi kami sekeluarga sangat kecewa dan sedih dengan tindakan pihak tertentu; apatah lagi usia Pak Lah sudah lebih 90 tahun sekarang,” kata Datin Siti Saroja kepada saya semasa kami berdua berbual sebelum mesyuarat panel bermula.
Seterusnya, semasa waktu rehat, kami berdua berbual lagi dari hati ke hati. Saya menunjukkan perbezaan antara “Interlok” edisi pelajar (2005) dan “Interlok” edisi murid (2010). Datin Siti Saroja faham bahawa terdapat “kekurangan” pada halaman Hak Cipta edisi murid (2010) kerana tahun pertama karya terbit (1971) dan Hak Cipta pengarang (1971) tidak dinyatakan.
Malah, Datin Siti Saroja juga sedikit terkejut apabila saya menunjukkan bahawa edisi pelajar (2005) masih menyatakan dengan jelas bahawa “Interlok” menang hadiah dalam pertandingan pada tahun 1967 tetapi edisi murid (2010) langsung tidak menyebutnya. Biodata Pak Lah dalam edisi murid (2010) juga tidak menyebut langsung perkara tersebut. Datin Siti Saroja membaca biodata itu sekali lagi dan nampaknya seakan-akan baru sekarang beliau sendiri menyedari hal itu.
Saya memberitahu beliau supaya tidak bimbang kerana tugas, tanggungjawab dan amanah Panel Bebas yang dilantik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk juga membersihkan, mengangkat dan mempertahankan nama, integriti dan maruah Pak Lah sebagai Sasterawan Negara.
Panel bebas itu dipengerusikan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin manakala ahli terdiri daripada Datin Siti Saroja mewakili Pak Lah; Setiausaha Satu Gapena, Profesor Datuk Zainal Abidin Borhan; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abd Aziz; Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Lim Swee Tin; Pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Profesor N.S. Rajendran; bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G. Krishnabagwan; dan saya sendiri atas kapasiti sebagai Presiden Kavyan.
“Pak Lah sudah lebih 90 tahun dan beliau tidak pernah berniat menghina sesiapa,” kata Datin Siti Saroja kepada saya lebih tiga kali; sekali gus menunjukkan betapa kesedihan yang terpaksa ditanggung oleh beliau, anak-anak dan Pak Lah sendiri sejak isu “Interlok” dimanipulasi pihak tertentu sehingga mengheret Pak Lah ke dalam kontroversi yang memberi kesan kepada pengarang itu.
Di luar waktu mesyuarat panel bebas itu juga, Datin Siti Saroja menunjukkan kepada saya salinan surat bertarikh 10 Ogos 2010 daripada pihak DBP kepada Pak Lah yang meminta izin pengarang (Pak Lah) membenarkan sepuluh perkataan dalam “Interlok” edisi pelajar (2005) dipinda (diganti, digugurkan) dalam usaha memurnikan teks menjadi “Interlok” edisi murid (2010).
Antara perkataan dalam edisi pelajar yang dimurnikan dalam edisi murid adalah “aku” menjadi “saya”, “betina” (perempuan), “jantan” (lelaki), “mayat” (jenazah), “celaka” (tak guna), “almarhum” (Allahyarham) dan “mampus” (mati).
Pak Lah ternyata membenarkan kesemua sepuluh pindaan itu dilakukan demi memurnikan novel “Interlok” supaya sesuai bagi pembaca sasaran, iaitu pelajar Tingkatan Lima yang bakal membaca novel itu sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).
Sayang, seribu kali sayang! Bayangkan jika pihak DBP yang mengirim surat bertarikh 10 Ogos 2010 kepada Pak Lah turut memasukkan satu lagi perkataan untuk dipinda, iaitu “paria”.
Tentu tidak akan sampai ke tahap Raja Rajeswari, seorang ibu dari Kepong yang mula-mula sekali menelefon saya pada 20 Disember 2010 untuk meluahkan rasa sedih selepas membaca novel “Interlok” edisi murid milik anaknya dan mengadu kepada saya bahawa novel itu “menghina semua kaum India di Malaysia sebagai paria”.
Tentu tidak sampai ke tahap Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel “Interlok” Edisi Murid ditubuhkan untuk memurnikan, menjernihkan, meminda dan menyunting novel ini atas arahan kerajaan.
Tidak mustahil, itulah juga suara hati Datin Siti Saroja.

** Uthaya Sankar SB merupakan seorang sasterawan yang berkarya dalam Bahasa Malaysia. Buku terbarunya, Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2009). Uthaya adalah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang aktif mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.

* Uthaya Sankar SB berpegang pada amanah untuk tidak mendedahkan cadangan yang dikemukakan secara rasmi dalam Mesyuarat Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel “Interlok” Edisi Murid.

No comments: