Tuesday, October 12, 2010

AMPUN TUANKU RAJA MELAKA !! PATIK MERAFAK SEMBAH...

Raja Noor Jan Shah dakwa diri Sultan Melaka


(SOROTAN)

@kosmoonline
KUALA LUMPUR 14 Nov. 2005- Mungkinkah akan tercipta sejarah baru negara apabila Melaka akan kembali mempunyai Sultan selepas kejatuhan kesultanan Melayunya 477 tahun lalu?
Ini kerana seorang lelaki yang mendakwa sebagai waris kesultanan Melayu Melaka, Raja Noor Jan Shah Raja Tuah telah melakukan istiadat Penganugerahan Watikah Gelar Adat Kesultanan Melaka Ke-44 di Dewan Pusat Komuniti Taman Melati, Gombak, dekat sini, malam tadi.
Melalui istiadat itu, Raja Noor Jan Shah mendakwa beliau sebagai Sultan Melaka yang ke-44 dengan membawa gelaran Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menolak kemungkinan untuk memberi pengiktirafan kepada mana-mana pihak yang mahu mengembalikan semula takhta Kesultanan Melaka.
Kata menteri itu, pada perkiraan beliau adalah sukar untuk pihak yang mendakwa itu membuktikan kesahihan tuntutan mereka.
Raja Noor Jan mendakwa, beliau adalah keturunan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah (1488-1511).


Menurut Datuk Kurnia Setia, Datuk Ab. Latiff Daud yang menjalankan `tugas-tugas khas diraja' itu, kemunculan semula takhta kesultanan Melaka adalah satu perkara yang serius.
Dakwanya, perkara itu telah diperhalusi ke Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu sebelum ini yang tidak dihebahkan kepada umum.
Beliau memberitahu demikian kepada Utusan Malaysia pada istiadat tersebut di sini malam tadi.
Ab. Latiff berkata, Sultan Mahmud mempunyai putera bernama Sultan Muzzaffar Shah I yang memerintah negeri Perak (1528-1549) sehingga kepada Sultan Perak Ke-22, Sultan Abdullah Muhamad Shah I Marhum Durian Sebatang (1851-1857) dan dari keturunan inilah munculnya Sultan Ahmad Shah Ke-44 yang bakal menjadi Sultan Melaka itu.
Ab. Latiff mendakwa, pihak Arkib Negara juga telah mengiktiraf salasilah Sultan Ahmad Shah ini adalah yang benar-benar berhak menduduki takhta setelah menjalani kajian selama tujuh tahun.
``Zaman pusaka Kerajaan Melaka, Sultan Ahmad Shah ini bermula dengan istiadat pertama sebelum ini pada 30 Oktober lalu,'' katanya.


Rakyat Melaka tidak perlukan Sultan

KUALA LUMPUR 15 Nov. 2005 - Rakyat Melaka tidak memerlukan Sultan selepas kejatuhan kesultanan Melayunya 477 tahun lalu, tegas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Beliau berkata, kerajaan negeri Melaka juga tidak akan mengiktiraf dan melayan mana-mana individu yang mendakwa dirinya sebagai waris kesultanan Melayu Melaka.
Katanya, buat masa ini sudah ada tiga kumpulan di negeri itu yang mendakwa mereka sebagai waris kesultanan Melayu Melaka.
``Kerajaan negeri tidak akan melayan, membuat kajian atau sebarang penyelidikan mengenai perkara ini kerana tahun lepas pun ada yang dakwa dirinya sebagai raja Melaka.
``Ini kes terbaru dan saya sendiri tidak pernah kenal siapa dia, dulu ada juga yang ditabalkan di Melaka, sudah banyak kali raja Melaka menabalkan diri sendiri,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran pergerakan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Mohd. Ali berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang lelaki yang mendakwa sebagai waris kesultanan Melayu Melaka, Raja Noor Jan Shah Raja Tuah yang melakukan istiadat Penganugerahan Watikah Gelar Adat Kesultanan Melaka ke-44 di Dewan Pusat Komuniti Taman Melati, Gombak.
Melalui istiadat tersebut, Raja Nor Jan Shah mendakwa beliau sebagai Sultan Melaka ke-44 dengan membawa gelaran Sultan Ahmad Shah.


Noor Jan bagi pingat palsu .



Bangunan kedai di Bandar Puteri, Puchong
tempat berlangsungnya penganugerahan pingat oleh Noor Jan kelmarin.


GOMBAK - Penuntut takhta Kesultanan Melaka, Raja Noor Jan Shah, 53, menganugerahkan pingat kebesaran membawa gelaran Datuk Seri Paduka Mahkota kepada pengarah sebuah syarikat hartanah global yang juga kenalannya pada majlis perasmian sebuah bangunan di Bandar Puteri, Puchong kelmarin.
Perkara itu didedahkan oleh Tengku Bendahara kepada Noor Jan, Yahya Abdullah selepas sidang akhbar oleh Noor Jan di sebuah rumah kedai yang digelar sebagai Balai Seri Melaka di Batu Caves di sini semalam.
Menurut Yahya, pada majlis perasmian tersebut yang turut dihadiri 150 pelabur asing, hanya pengarah syarikat itu yang menerima pingat kebesaran tersebut.
Dalam pada itu, Noor Jan mengakui dia dijemput khas sebagai tetamu dan diberi penghormatan merasmikan bangunan empat tingkat syarikat hartanah tersebut.
Noor Jan yang membahasakan dirinya sebagai 'tuanku' memberitahu, dia mengenali pengarah syarikat tersebut tetapi tidak mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.
"Pengarah syarikat itu jemput 'tuanku' sebagai tetamu khas dan beliau memuliakan Sultan Melaka kerana memahami keturunan raja negeri itu," kata Noor Jan yang memakai pakaian penuh istiadat pada sidang akhbar semalam.
Pada sidang akhbar itu, Noor Jan juga banyak menyelitkan mengenai salasilah yang mengangkat dirinya sebagai pewaris Kesultanan Melaka.
Ditanya mengenai kereta Rolls Royce sewa yang tertera namanya, Noor Jan berkata, kereta bernilai RM2.85 juta itu tidak digunakan oleh syarikat itu untuk membawanya. Kenderaan itu dijadikan gimik bagi meraikan pelabur asing.
"Kereta itu juga dijadikan gimik untuk menyambut 'tuanku' yang hadir pada majlis itu dan kenderaan itu dipulangkan selepas majlis berlangsung.
"Nama saya di depan dan belakang kereta itu hanya bermaksud untuk menggahkan Sultan Melaka, jadi apa salahnya," kata Noor Jan.
Bagaimanapun, Noor Jan memberitahu, semasa kereta itu disita dia sudah meninggalkan majlis dan mendakwa tidak tahu-menahu mengenai kereta itu tiada cukai jalan dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Kosmo! semalam melaporkan, polis sedang menyiasat sebuah syarikat pelaburan hartanah yang sanggup menyewa sebuah kereta Rolls Royce dari sebuah kedai kereta terpakai bagi dijadikan gimik untuk menipu kira-kira 150 pelabur asing.
Pelabur-pelabur asing yang hadir dalam majlis itu ialah pelabur warga Vietnam, Taiwan, China dan Hong Kong.
Polis kemudian merampas kereta tersebut.



No comments: