Tuesday, June 15, 2010

SHREK yang mempesonakan - (Nostalgia 04Jun 2010 Galaxy Ampang)


                                                                    Bintang-bintang utama di sebalik Shrek Forever After pada majlis tayangan perdana filem itu Los Angeles baru-baru ini. Dari kiri: Antonio Banderas (Puss in Boots), Mike Myers (Shrek), Eddie Murphy (Donkey) dan Cameron Diaz (Fiona). - Foto AFP



NILAI hiburan yang ditawarkan dalam jenama filem francais Shrek memang tidak perlu disangkal. Bahkan, di kalangan peminat karakter gergasi hijau ini, kemunculan edisi keempat juga terakhir Shrek pastinya sesuatu yang paling dinantikan.
Sepertimana yang dipaparkan dalam jurnal Shrek untuk tiga prekuel terdahulu, Shrek Forever After (SFA) yang didatangkan dalam visual 3D kali ini masih berkisar kepada rentetan hidup Shrek.
Bab terakhir Shrek ini yang bermula dengan paparan Shrek (suara oleh Mike Myers) menyulami kebahagian di samping isteri, Fiona (suara oleh Cameron Diaz) dan tiga anaknya berubah selepas diperdaya oleh Rumpelstiltskin yang berangan menjadi raja, menerusi satu perjanjian yang mengakibatkan kehidupan Shrek menjadi haru-biru.


Kebahagiaan Shrek di samping Fiona dan tiga anaknya musnah selepas
diperdaya oleh Rumpelstiltskin.
Justeru, penceritaan kali ini membawa imaginasi dan khalayan penonton dalam misi Shrek untuk meleraikan kekusutan yang membelenggu.
Umumnya, tiada apa yang ekstra tentang SFA, walaupun penonton, masih mampu terhibur dengan jenaka dan aksi-aksi lucu yang dipaparkan, Shrek kali ini bagai dihasilkan sekadar untuk melengkapkan rantaian plot filem ini.
Misi Shrek untuk memulihkan segala kecelaruan yang membelenggu hidupnya masih ditemani Donkey (suara oleh Eddie Murphy) yang setia di sisi dan tidak lekang dengan jenaka slasptiknya.
Perjanjian dengan Rumpelstiltskin yang mengubah hidup Shrek menjadi haru-biru.
Penampilan Fiona untuk kali ini, daripada seorang puteri ayu kepada yang srikandi yang ekstrem dan ganas dalam mengetuai kumpulan ogre membalas dendam terhadap Rumpelstiltskin begitu mengujakan.

Begitu jua dengan aksi beberapa watak baru termasuk Rumpelstiltskin (suara oleh Walt Dohrn) dan bala tentera ahli sihirnya yang pasti membuai imaginasi penonton.
Apa pun, watak paling comel dan tentunya akan terus diingati adalah watak Puss in Boots (suara oleh Antonio Banderas) yang mengalami perubahan fizikal yang drastik kali ini.



Puss in Boots bertukar daripada
seekor kucing satria kepada kucing
gemuk yang manja.






Jika sebelum ini, Puss adalah seekor kucing satria, namun gara-gara dimanjakan oleh Fiona, Puss bertukar menjadi seekor kucing gemuk dan 'terlebih manja'. Aksi-aksi Puss On Boots memang boleh buat penonton pecah perut.
Lebih manis, kesemua watak-watak penting yang pernah mewarnai kembara Shrek daripada yang pertama hinggalah terkini dimunculkan kembali di pengakhiran cerita, sebagai simbolik kenang-kenangan buat semua peminat filem DreamWorks Animation ini.

Bersesuaian dengan perjalanan francais Shrek yang menemui noktahnya dalam edisi ini, SFA juga diakhiri dengan pengakhiran yang menggembirakan untuk semua. Shrek terus bahagia menjalani kehidupan bersama isteri, anak-anak dan komuniti persekitarannya.

Aksi lucu Shrek, Donkey dan Puss in Boots.


Bagi peminat Shrek dan animasi umumnya, SFA adalah animasi yang tidak harus dilepaskan kerana selepas ini tiada lagi jurnal si gergasi hijau yang comel untuk menggeletak anda di pawagam.
Cuma, dalam keghairahan trend pembikin filem Hollywood hari ini menawarkan visual 3D dalam kebanyakan filem mereka termasuk animasi, terdetik juga persoalan di fikiran mengenai relevannya SFA dipersembahkan dalam 3D.
Menyedari kapasiti dan plot Shrek yang hanyalah berkisar kepada genre drama, pengembaraan dan komedi dengan paparan aksi yang minimum, justeru SFA dilihat kurang memberangsangkan apabila diterjemah dalam paparan 3D.
Pengarahnya, Mike Mitchell.


Bukan plotnya lemah, cuma paparan secara 3D dilihat tidak memberikan impak ekstra kepada filem ini. Malah, berdasarkan pengamatan selama 93 minit itu, paparan 3D pada SFA hanya biasa-biasa saja, tidaklah sehebat pengalaman ketika kita menonton 3D dalam Up (2009), A Chrismas Carol (2009) mahupun How To Train Your Dragon (2010).
Rasanya, jika SFA dipersembahkan dalam bentuk 2D saja pun sudah memadai kerana memakai kaca mata 3D atau tidak, visual yang dipaparkan dalam filem ini tidak begitu menuntut kita untuk menikmatinya dalam visual 3D.
Mungkin desakan trend dan arus perkembangan teknologi industri filem Hollywood yang memaksa produksi SFA untuk turut sama menghidangkan filem arahan Mike Mitchell ini dalam visual 3D.

No comments: