Thursday, June 17, 2010

Pelajar Lelaki Dipenjara Dua Tahun Kebumi Mayat Bayi

MELAKA: Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi dipenjara dua tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran dan mengebumikan mayat seorang bayi lelaki yang dilahirkan teman wanitanya, di tepi sungai di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini, bulan lepas.

TERTUDUH (menutup muka) hadir di Mahkamah Majistret, Melaka semalam atas tuduhan menyembunyikan kelahiran bayi.


Teman wanitanya yang juga pelajar berusia 15 tahun yang mengaku bersalah atas tuduhan sama, dikenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin, selama dua tahun.
Remaja perempuan yang merupakan pesalah juvana, juga diperintah melapor diri di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan balai polis berdekatan setiap dua bulan sekali dalam tempoh dua tahun, mesti berada di rumah selewat-lewatnya jam 6 petang setiap hari bagi tempoh dua tahun dan mengikuti bangkel interaktif anjuran JKM.

Pelajar perempuan itu dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru, dituduh bersama-sama melakukan kesalahan berkenaan antara pukul 12 tengah hari hingga 12.30 tengah hari pada 12 Mei lepas.
Kedua-dua tertuduh yang bertubuh kecil, tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama iaitu boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum hukuman dijatuhkan, Majistret Muhamad Faizal Ismail turut meneliti laporan sosial dan laporan akhlak yang disediakan Timbalan Pendakwaraya Farah Wahida Md Nor.
Hadir sama dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup itu ialah dua Penasihat Mahkamah Juvana Rizal Abdullah dan Zainon Mohd Ali.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkenaan, Farah Wahida berkata, Muhamad Faizal menyatakan hukuman yang diputuskan itu berdasarkan kepada kepentingan awam dan sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh.
Beliau berkata, majistret berharap hukuman berkenaan sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak melakukan jenayah sama dan juga sebagai pengajaran kepada kedua-dua pesalah muda itu.
"Walaupun kedua-dua pesalah masih muda tetapi mahkamah memandang serius kes berkenaan dan hukuman berat itu sebagai pengajaran," katanya.
Farah Wahida berkata, terdahulu ketika merayu agar hukuman diringankan, Muhammad Safiuddin memberitahu mahkamah dia ingin meneruskan pengajiannya dan juga meminta mahkamah memberi peluang kepadanya untuk berubah.
Pelajar perempuan dalam rayuannya berkata, dia mahu meneruskan pelajarannya dan turut memberitahu ibunya seorang ibu tunggal.
Farah Wahida berkata, beliau pula memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat berdasarkan kepentingan awam kerana kes jenayah berkenaan semakin berleluasa di negara ini.

- BERNAMA


KRONOLOGI KES


Mayat Bayi Lelaki Ditemui Ditanam Di Tebing Sungai Batu Berendam
MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya, yang merupakan pelajar berusia belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki, yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi, Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah berkata kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok.
"Siasatan kes ini telahpun selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada pukul 4 pagi di Taman Melaka Baru.
"Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.
Mohd Adnan berkata polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira pukul 10 malam Rabu lepas.
Katanya wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.
Semasa disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.
Katanya polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira pukul 1.45 pagi di rumahnya, yang kemudiannya membawa polis ke tempat bayi itu ditanam.
Susulan daripada itu, Mohd. Adnan memberitahu, polis menahan teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang merupakan penuntut sebuah pusat pengajian tinggi di Terengganu.
Tambahnya, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun itu, polis pergi ke lokasi tempat mayat bayi tersebut ditanam pada pukul 4 pagi keesokan harinya.
“Polis kemudian menemui mayat bayi yang ditanam sedalam 0.8 meter di tebing sebatang sungai sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.
“Siasatan mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala,” katanya.
Berikutan itu, polis menahan pasangan terbabit di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.
- BERNAMA


No comments: