Thursday, June 03, 2010

Menyingkap rahsia alam di Royal Belum



BUNYI enjin bot yang membingit, nyata memecah kesunyian Taman Negeri Royal Belum (Royal Belum) yang terletak di Gerik, Perak.
Namun kebingitan itu tidak mematahkan keinginan kira-kira 100 peserta ekspedisi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir termasuk wakil media menyingkap rahsia alam yang hakikatnya masih tersimpan rapi di perut hutan Royal Belum yang menebal.
Royal Belum yang bersempadan dengan Thailand meliputi kawasan hutan seluas 117,500 hektar. Di sebelahnya, terbentang Hutan Simpan Temengor yang mempunyai keluasan lebih 200,000 hektar.
Kedudukan taman negeri itu dan Hutan Simpan Temengor hanya dipisahkan dengan jalan menghubungkan Gerik dan Jeli di Kelantan.
Berbanding hutan-hutan lain di Malaysia, Royal Belum merupakan hutan simpan yang cukup istimewa kerana ia dikatakan masih "suci" disebabkan terletak di bawah pengawasan pihak tentera.
Sejarah pula mencatatkan taman negeri itu sebagai bekas kawasan hitam yang pernah menjadi pusat kegiatan Parti Komunis Malaya.
Selama lebih empat jam mengharungi perjalanan sejauh kira-kira 20 kilometer dari jeti Pulau Banding, mata pasti terpukau dengan pemandangan dan kehijauan alam.
Hati turut terhibur melihat keberanian dan aksi anak-anak Orang Asli yang pelbagai ragam ketika melalui beberapa perkampungan masyarakat tersebut sebelum tiba ke destinasi dituju - kawasan perkhemahan di hulu Sungai Kejar Royal Belum.
Benarlah kata pujangga bahawa manusia dan alam mempunyai hubungan yang sangat rapat. Kedua-dua entiti ini sememangnya tidak dapat dipisahkan. Jiika terpisah, rosaklah manusia, musnahlah alam.
Rafflesia
Matlamat kami untuk melihat bunga pakma terbesar nyata berhasil walaupun mengundang sedikit kekecewaan apabila bunga yang bahasa saintifiknya dikenali sebagai Rafflesia baru sahaja berkembang.
Biarpun yang tinggal hanya kudup-kudup layu menandakan ia telah berusia melebihi lima hari iaitu jangka hayat berkembang mekarnya bunga terbesar di dunia tersebut, hati tetap puas.
Puas kerana hasrat untuk melihat dengan mata kepala sendiri akhirnya menjadi kenyataan. Lebih menggembirakan adalah kudup-kudup Rafflesia yang terdapat di Sungai Gadong, salah satu tempat yang sempat dilawati dalam perjalanan yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit menghala pergi, bukan setakat sekuntum dua, malah banyak. Dan semua kudup tersebut bukan pula hanya menunggu masa untuk mereput tetapi ada juga yang baru mula berkembang.
Difahamkan terdapat sekurang-kurangnya 10 spesies Rafflesia hidup subur di situ. Salah satunya dinamakan sebagai Azlanii mengambil sempena nama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Kami kemudian bertolak ke Air Terjun Sungai Ruok. Perjalanan dengan bot mengambil masa 15 minit. Air Terjun Sungai Ruok agak istimewa kerana mempunyai tiga kawasan air terjun semulajadi.
Lebih istimewa kerana di sini terdapat banyak ikan. Maka, ada yang tidak melepaskan peluang untuk berenang bersama-sama ikan tersebut. Bagi mereka yang tidak pandai berenang, 'bermanja' dengan ikan-ikan jinak sambil membiarkan kaki 'diurut' sudah cukup untuk menghilangkan keletihan akibat perjalanan mendaki bukit.
Untuk menjamin ikan-ikan sedia ada seperti kelah, temoleh dan tengas tidak pupus, sempena lawatan kerja dua hari ke Royal Belum, Menteri Besar mengisytiharkannya sebagai santuari ikan.
Tidak jauh dari santuari ikan kelah, temoleh dan tengas, terdapat batu-batuan mengandungi lopak air yang sering dikunjungi haiwan liar untuk mendapatkan nutrien garam atau dipanggil sira.
Dalam usaha mempelbagaikan produk pelancongan, pihak pengurusan taman negeri juga mengenalpasti satu kawasan yang kaya dengan tumbuhan ubat-ubatan untuk dijadikan sebagai taman herba.
Bagi yang berpeluang berada di taman negeri ini, tentu sekali sering terserempak dengan kelibat binatang-binatang liar atau setidak-tidaknya menjumpai kesan-kesan tapak kaki haiwan terbabit.
Hakikatnya Royal Belum yang telah berusia lebih 130 juta tahun dihuni oleh pelbagai flora dan fauna yang semakin jarang ditemui.
Dianggarkan, lebih 3,000 spesies flora selain 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut dan 23 ikan hidup di sini.
Kewujudan haiwan mamalia seperti gajah, harimau belang, badak sumbu dan tapir menguatkan bukti Royal Belum masih terpelihara.
Pengalaman tidur di rumah bot, mungkin menjadi kenangan yang sukar dilupakan kerana tidak ramai berpeluang berbuat demikian.
Jangkaan bahawa rumah bot tersebut akan terhuyung-hayang sepanjang malam dan kami tidak dapat tidur dengan lena, meleset sama sekali sebaik sahaja masing-masing memejam mata.
Namun, di sebalik kesucian dan keindahan alam semulajadinya, ramai di antara kita kurang menyedari bahawa masa depan khazanah berharga negara itu kini semakin terancam oleh sikap dan ketamakan manusia sendiri.
Dalam masa sama, kehadiran kami ke Royal Belum turut menyingkap satu lagi rahsia apabila melihat individu yang bertanggungjawab memelihara hutan dara tersebut hakikatnya dipikul oleh seorang pengurus muda yang bersemangat waja bernama Iylia Ainuddin, 29.
Pengurus Taman Negeri Royal Belum bertubuh kecil molek itu sanggup hidup di hutan semata-mata kerana kecintaannya terhadap alam semulajadi.

Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN @ Utusanonline

No comments: