Thursday, June 03, 2010

Australia...Unik & romantik

BERADA pada jarak 6,616 kilometer dari Kuala Lumpur, pastinya ada kelainan dan keunikan yang ditawarkan Australia berbanding negara jiran seperti Singapura, Indonesia atau Thailand.
Paling menyerlah keindahan alam semulajadi yang menjadi tarikan utama di sebalik kemajuan negara itu. WAVE Rock atau batu ombak berusia 2,500 tahun ini menjadi tarikan pelancongan di Hayden, Australia.


 
Sydney misalnya biar pun amat terkenal dengan status metropolitan namun kota itu menawarkan keunikan tersendiri. Pelbagai destinasi yang mesti dilawati ada di Sydney antaranya Opera House, Sydney Harbour Bridge, Akuarium Sydney, pantai Bondi, Masjid Gallipoli, The Rocks Market, Paddy‘s Market, The Australia Reptile Park dan Taman Marks.
Sydney Opera House mempunyai reka bentuk bangunan abad ke-20 yang unik sememangnya terkenal. Kedudukannya berdekatan Sydney Harbour Bridge di Darling Harbour menjadikan kedua-duanya mercu tanda Australia. Daya tarikan rumah opera itu adalah reka bentuknya yang bersumberkan cengkerang laut.
Selain objek pelancongan, rumah opera itu menjadi pusat seni termasuk teater muzikal, opera, balet dan teater. Reka bentuknya berdasarkan kerja arkitek dari Denmark, Jorn Utzon. Bangunan ikonik itu terletak bersebelahan dengan Jambatan Harbour yang dibuka pada tahun 1932 dengan kepanjangan 1150 meter. Ia merupakan jambatan yang kelima panjang di dunia dan menjadi tempat utama dilawati ketika berkunjung ke New South Wales.
Laluan Pelancongan Selatan yang hebat mengubah suasana romantik kepada kisah percintaan yang hebat. Memandu di sepanjang Great Ocean Road melewati tempat luncur air yang menjadi legenda di Torquay dan Bells Beach. Destinasi tersebut terletak di Apollo Bay iaitu tiga jam perjalanan dari Melbourne.
Sementara itu, perjalanan ke Wave Rock (batu ombak) di Hyden pasti meninggalkan kenangan manis. Perjalanan dengan memandu kurang empat jam dari Perth berbaloi untuk menikmati pemandangan menyerupai ombak besar yang telah terbentuk sejak 2,500 tahun lalu.
Bagi peminat dolfin, jangan lepaskan peluang mengunjungi pulau Moreton di Queensland. Ketika melawat tempat ini, anda dapat berinteraksi dengan dolfin jinak. Di selatan Australia, anda boleh menyaksikan bagaimana wain diproses dan menikmati keindahan tumbuhan semula jadi di Barossa.
Keunikan tersendiri Australia menarik perhatian Estee Lauder untuk menawarkan peluang keemasan dan pengalaman baru untuk pemenang melangkah lebih jauh. Untuk merealisasikan hasrat tersebut, Tourism Australia dijemput bekerjasama. Pemenang tahun ini berpeluang melalui pengalaman unik Australia yang pasti tidak dapat dilupakan.
Ini adalah pertama kali jenama kosmetik bekerjasama dengan Tourism Australia seperti mana yang ditegaskan Pengurus Besar untuk negara Selatan, ASEAN dan negara-negara Teluk, Maggi White.
Kerjasama tersebut membuktikan keinginan untuk bekerja rapat dengan rakan di luar industri tradisi, malah membolehkan lebih ramai mengetahui tentang keindahan Australia.
“ Estee Lauder begitu gembira dapat bekerjasama dengan Tourism Australia kerana lokasi-lokasi Australia melambangkan keseronokan, keghairahan, cabaran dan romantik. Ini satu pengalaman yang amat digemari oleh peminat Estee Lauder. ‘Australia memang ideal sebagai latar belakang sesi penggambaran pemenang kita tahun ini,” kata Pengurus Kanan Perhubungan Awam, Estee Lauder Malaysia, Yap Mei Fong.
Australia merupakan negara keenam terbesar di dunia dan mempunyai banyak keindahan yang boleh diterokai. Ciptaan alam semulajadi seperti haiwan dan tumbuhan tidak mungkin ditemui di negara lain.
Untuk melibatkan pihak umum dalam kempen tersebut, Estee Lauder and Tourism Australia akan menganjurkan kempen Estee Lauder Goes Australia SMS Contest. Orang ramai boleh mengundi untuk destinasi Australia kesukaan mereka. Apa yang bakal dimenangi oleh seorang pemenang SMS bersama temannya? Mereka berdua berpeluang mendaki Sydney Harbour Bridge, bermain dengan dolfin liar Queensland, membuat wain sendiri di Selatan Australia, memandu sambil menikmati pemandangan Great Ocean Road di Victoria, melihat sendiri keajaiban di Western Australia atau menikmati pemandangan yang begitu menawan hati di Wineglass Bay di Tasmania.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH



KOH ABDULLAH


adawiyah.koh@utusan.com.my

No comments: