Thursday, June 03, 2010

ANWAR : SODOMY TRIAL I

ARKIB : 30/09/1998

Anwar tak mengaku salah -- *5 tuduhan rasuah *4 tuduhan seks di luar tabii





KUALA LUMPUR 29 Sept. - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima tuduhan rasuah dan empat tuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii (meliwat).
Bagaimanapun, Hakim Hasnah Datuk Mohd. Hashim memerintahkan semua kes terhadap Anwar dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini untuk perbicaraan dan tarikhnya akan ditetapkan kelak.
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail mengemukakan perakuan Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah mengikut Seksyen 418A (1) Kanun Prosedur Jenayah supaya perbicaraan terhadap Anwar dijalankan di Mahkamah Tinggi.
Anwar, 51, yang ditahan di bawah Seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 20 September lalu dibawa ke mahkamah tanpa digari kira-kira pukul 8 pagi ini dengan menaiki Pajero polis dan dikawal ketat.
Beliau dihadapkan ke mahkamah pada pukul 10.20 pagi. Sebelum itu Anwar berpeluang menemui dan berpelukan dengan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, dua anak perempuannya, Nurul Izzah dan Nurul Nuha; bapanya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman; bapa mertuanya, Datuk Wan Ismail Wan Mahmood serta beberapa orang saudara maranya.
Selepas mengambil tempat di dalam mahkamah, Dr. Wan Azizah sempat menunjukkan kepada Anwar yang berada di kandang tertuduh, senaskhah majalah Asiaweek keluaran terbaru bertarikh 2 Oktober 1998 yang memuatkan cerita mengenai penahanan beliau di bawah ISA lebih seminggu lalu.
Anwar diwakili oleh tujuh peguam kanan terdiri daripada dua bekas Presiden Majlis Peguam, Raja Aziz Addruse dan Zainur Zakaria bersama Christopher Fernando, Sulaiman Abdullah, Gurbachan Singh, Pawancheek Marican dan Kamar Ainiah Kamaruzaman.
Pihak pendakwa diwakili oleh Abdul Gani bersama Timbalan-Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad dan Mohd. Yusof Zainal Abiden serta Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Augustin.
Selepas setiap pertuduhan dibacakan, Anwar menyatakan bahawa beliau faham, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Tuduhan pertama menyebut bahawa Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan melakukan perbuatan rasuah berkaitan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ke atas Setiausaha Sulitnya, Mohd. Azmin Ali.
Mohd. Azmin disiasat kerana disyaki menerima rasuah sehingga dia telah mengumpulkan harta yang tidak munasabah dengan pendapatannya.
Anwar didakwa campurtangan dalam siasatan tersebut dan mempengaruhi Ketua Pengarah BPR, Datuk Shafee Yahya untuk menutup siasatan kes itu yang bertentangan dengan siasatan BPR tanpa merujuk kepada Pendakwa Raya.
Ekoran perbuatan Anwar, Azmin dikatakan telah dilindungi daripada tindakan atau prosiding yang bersifat jenayah.
Anwar didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 2(1) Ordinan No.22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 dan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Dalam pertuduhan kedua, Anwar menghadapi dua kes membabitkan perbuatan rasuah yang dilakukan antara 12 dan 18 Ogos 1997 dan juga pada 27 Ogos 1997.
Beliau didakwa mengarahkan pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd. Said Awang dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Polis, Amir Junus memperolehi pengakuan bertulis daripada bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali bagi menafikan salah laku seks dan liwat yang dilakukannya dengan tujuan melindungi dirinya daripada sebarang tindakan atau prosiding bersifat jenayah.
Dan akibatnya, Azizan dan Ummi Hafilda telah memberi pengakuan bertulis masing-masing pada 18 Ogos 1997 kepada Perdana Menteri sepertimana yang diarahkan.
Anwar juga dituduh mengarahkan kedua-dua pegawai kanan polis itu supaya menggesa Azizan dan Ummi Hafilda memberi kenyataan umum bertulis bagi menafikan perbuatan yang sama.
Anwar turut menghadapi empat tuduhan berasingan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan, dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii.
Sabitan kesalahan di bawah seksyen itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Mengikut pertuduhan-pertuduhan itu, Anwar didakwa meliwat adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja; penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Anees; Azizan dan seorang lelaki bernama Hairany Mohd. Naffis.
Hakim Hasnah menolak permohonan supaya Anwar dibenarkan ikat jamin memandangkan beliau ditahan di bawah ISA.
Menurut Hasnah, sekiranya keadaan berubah maka mahkamah itu boleh mempertimbangkan jaminan terhadapnya.
Selepas itu Anwar dibawa semula ke tempat tahan di lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Oleh: KAMARIAH AHMAD, NORLIZAH ABAS dan NORAZLITA MOHD. SIES

ANWAR Ibrahim yang diapit oleh para pegawai polis dibawa dengan kereta Pajero selepas pendakwaan terhadap beliau dibuat di Mahkamah Sesyen 4, Jalan Raja, Kuala Lumpur, semalam.

ARKIB : 17/12/1998

Pita video bahan bukti -- Gani: Usaha untuk mematahkan hujah pihak pembela




KUALA LUMPUR 16 Dis. - Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail berkata, pihaknya akan mengemukakan pita video sebagai salah satu bukti dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mematahkan hujah pihak pembela.
''Ekoran beberapa perkara yang ditimbulkan hari ini, saya ingin memberi notis kepada pihak pembela bahawa kami akan mengemukakan pita video sebagai bahan bukti,'' katanya.
Mendengar kata-kata Gani, Hakim Datuk S. Augustine Paul bertanya: ''Mengenai apa?''
Gani: ''Kami tidak boleh beritahu. Mereka (pihak pembela) akan saksikan sendiri.''
Gani memaklumkan demikian sejurus sebelum Mahkamah Tinggi di sini menangguhkan sidangnya selepas mendengar sambungan keterangan Penolong Kanan Pesuruhjaya (SAC) I Musa Hassan selaku saksi pendakwa ke-13.
Musa telah disoal oleh peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Christopher Fernando berhubung dakwaan adik angkat bekas Timbalan Perdana Menteri itu, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja di dalam sepucuk suratnya kepada Anwar.
Surat tanpa tarikh itu antara lain mengandungi dakwaan Sukma bahawa dia dipaksa mengakui dan menandatangani dokumen yang menyebut bahawa dia mempunyai hubungan seksual dengan Anwar, Azizan Abu Bakar, Meor dan Ismail serta lain-lain yang tidak dikenalinya.
Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau atau para pegawainya tidak pernah memaksa Sukma supaya secara palsu mengaitkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dengan tuduhan liwat.
Surat itu kemudian ditandakan sebagai IDD80 dikemukakan oleh Fernando pada perbicaraan sesi petang kes Anwar yang menghadapi empat tuduhan menafikan perbuatan salah laku seks dan meliwat.
Perbicaraan hari ke-28 hari ini juga agak tegang ekoran pertikaman lidah antara Fernando dan Hakim Augustine yang tidak berpuas hati dengan bentuk soalan-soalan yang ditanya oleh peguam itu kepada Musa.
Walaupun beberapa kali diberi peringatan oleh Hakim Augustine, Fernando masih bertegas bahawa soalan-soalan kepada Musa adalah berkaitan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Sukma terhadap saksi itu.
Keadaan itu berterusan sehingga menyebabkan Hakim Augustine menarik balik kebenaran yang diberikan kepada peguam itu untuk mengemukakan soalan-soalan khusus menyentuh diri saksi.
Hakim Augustine: ''Soalan-soalan sedemikian sepatutnya dikemukakan dalam perbicaraan kes Sukma. Saya khuatir, saya terpaksa mengubah fikiran. Tidak ada lagi soalan lanjut berhubung surat Sukma.''
Fernando: ''Walaupun mengenai dakwaan terhadap saksi ini?''
Hakim Augustine: ''Ya.''
Fernando: ''Memandangkan mahkamah sudah membuat keputusan sedemikian, saya ingin meringkaskan keseluruhan perkara berkaitan dalam satu soalan terakhir.
''Adakah kamu atau pegawai-pegawai kamu, seperti yang didakwa oleh Sukma, memaksa dia supaya secara palsu mengaitkan Anwar dengan tuduhan liwat?''
Musa menafikannya.
Sebelum itu, daripada soalan-soalan Fernando, Musa memberitahu beliau tidak pernah melihat surat itu dan menafikan beberapa tuduhan lain yang dibuat oleh Sukma terhadapnya.
Antaranya, Sukma mendakwa Musa dan Penolong Penguasa (ASP) Rodwan tidak tahu mengapa dia ditahan dan tertanya-tanya sesama mereka ketika dia dibawa ke Bukit Aman.
Semasa sidang disambung pada pukul 2.15 petang, Musa telah disoal balas oleh seorang lagi peguam Anwar, Gurbachan Singh berhubung laporan polis yang dibuat oleh Ma'amin Latib terhadapnya,
Gurbachan: ''Adakah semua kandungan laporan ini benar?''
Musa: ''Ada yang benar, ada setengah yang tidak benar.''
Gurbachan: ''Tarikh dan masa pertemuan antara kamu berdua itu semuanya betul?''
Musa: ''Untuk makluman Yang Arif, pada 26 Oktober 1998 dari jam 8 malam hingga 2 pagi, pengadu (Ma'amin) tidak dipanggil oleh saya.''
Gurbachan: ''Habis, di mana kamu pada ketika itu?''
Musa: ''Saya berada di rumah dan saya telah semak diari saya. Dua lagi pertemuan pada jam 8.30 malam 19 November 1998 dan 11 pagi 22 November 1998 adalah betul.''
Gurbachan: ''Kamu setuju bahawa adalah perkara biasa untuk mendapatkan kenyataan saksi di antara jam 1 hingga 2 pagi?''
Musa: ''Biasanya, sekiranya saksi boleh datang pada waktu antara 1 hingga 2 pagi, pada saya adalah normal.''
Gurbachan: ''Kamu tidak bercakap benar, kamu memang bersama Ma'amin pada jam 2 pagi?''
Musa: ''Tidak benar Yang Arif.''
Gurbachan kemudian mengalihkan soalannya mengenai siasatan yang dilakukan berhubung penyebaran surat layang Talkin Terbuka Untuk Anwar Ibrahim.
Katanya: ''Pada masa keputusan dibuat untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) terhadap siasatan itu, adakah betul Anwar dianggap sebagai pengadu manakala Ummi Hafilda dan Azizan pula sebagai orang-orang yang disyaki?''
Musa: ''Pengadu adalah juru iring Anwar (ASP Zull Aznam Haron) dan mereka yang disyaki terlibat adalah Ummi dan Azizan. Tertuduh bukan pengadu dalam kes 1997.''
Gurbachan: ''Adakah laporan polis itu dibuat oleh Zull Aznam bagi pihak tertuduh?''
Musa: ''Setelah saya baca laporan itu, pada fahaman saya, mungkin ia dibuat bagi pihak tertuduh.''
Gurbachan: ''Adakah kamu tahu bahawa Anwar ingin supaya mereka yang memalukannya didakwa tetapi hasratnya itu tidak digalakkan?''
Musa: ''Saya tidak tahu tertuduh cenderung untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang mentohmahnya.''
Gurbachan: ''Tetapi tidak digalakkan oleh Perdana Menteri?''
Musa: ''Saya tidak tahu.''
Perbicaraan disambung esok.

Oleh: FARIDAH HASHIM

ADIK angkat Anwar Ibrahim, Sukma Dermawan Sasmitaat Madja hadir di mahkamah ketika rayuannya berhubung permohonan writ habeas corpus didengar di Mahkamah Rayuan semalam. - Gambar ZUL AZHAR SHEBLEE.


ARKIB : 10/06/1999

Buat pertuduhan pindaan tidak profesional


KUALA LUMPUR 9 Jun - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pihak pendakwaan bersikap amat tidak profesional serta berkepentingan ketika mensabitkannya dengan cara yang boleh dipersoalkan kerana membuat pertuduhan pindaan atas dakwaan meliwat Azizan Abu Bakar.
Selain itu, Anwar juga mempertikaikan penglibatan dua timbalan kanan pendakwa raya yang menurutnya boleh dipersoalkan berhubung sikap ketika mengendalikan prosiding terhadapnya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu membuat dakwaan demikian dalam kandungan afidavitnya untuk menyokong permohonan bagi usul membatalkan prosiding perbicaraan terhadapnya.
Anwar, 51, memfailkan afidavit itu melalui peguam belanya pagi ini.
Dalam afidavit tersebut Anwar menyatakan bahawa dalam pertuduhan asal melibatkan dakwaan bahawa dia telah meliwat Azizan, kesalahan itu dikatakan dilakukan pada 7.45 petang, bulan Mei 1994.
Menurutnya, ketika kes itu disebut pada 27 April 1999, pendakwa raya memohon supaya tarikh kesalahan tersebut dipinda dari bulan Mei 1994 menjadi bulan Mei 1992 dengan alasan bahawa ia adalah kesilapan tipografi.
Anwar berkata, apabila kes bermula untuk perbicaraan pada 7 Jun 1999, pendakwa raya sekali lagi memohon agar tarikh kesalahan itu dipinda dari 'bulan Mei 1992' menjadi 'di antara bulan Januari hingga Mac 1993.'
Sehubungan itu, Anwar menyatakan pendakwa raya cuai ketika mengemukakan tuduhan jenayah terhadapnya kerana mereka bertindak meminda pertuduhan pada 27 April 1999 setelah mendapati bahawa pindaan itu tidak boleh dipertahankan.
Oleh itu, Anwar menyatakan bahawa pindaan tersebut tidak harus dibenarkan kerana ia berniat jahat, bukan sahaja akan memprejudiskannya bahkan akan menyalahgunakan proses mahkamah.
Afidavit itu juga menyatakan niat jahat seperti yang didakwa itu boleh dibuktikan melalui pengemukaan keterangan seorang peguam Manjeet Singh Dhillon.
Keterangan Manjeet boleh menunjukkan bahawa pendakwa raya berniat jahat dengan menuduh anak guamnya, Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai, di bawah Seksyen 57 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yang boleh dikenakan hukuman mati).
Menurut Anwar, pada 9 November 1998, Manjeet dalam akuan berkanun telah menyatakan bahawa dia pernah menghadiri satu mesyuarat di Jabatan Peguam Negara pada 2 Oktober 1998.
Mesyuarat tersebut yang turut dihadiri oleh seorang lagi peguambela Nallakaruppan, Balwant Singh Sidhu adalah bagi meminta supaya pertuduhan terhadap Nallakaruppan diringankan kepada sesuatu yang tidak boleh dikenakan hukuman mati.
Manjeet selanjutnya menyatakan dua Timbalan Kanan Pendakwa Raya iaitu Datuk Abdul Gani Patail dan Azahar Mohamad yang hadir dalam perbincangan itu memberitahu bahawa mereka boleh menimbangkan permintaannya jika Nallakaruppan bersedia bekerjasama.
Kerjasama yang didakwa itu adalah dengan mengakui penglibatan seksualnya dengan beberapa gadis dan isteri orang.
Anwar dengan itu menyatakan bahawa tingkah laku Abdul Gani dan Azahar jelas menunjukkan bahawa mereka telah menyalahgunakan jawatan sebagai pegawai Jabatan Peguam Negara dengan mencari jalan keluar secara luar biasa untuk mencungkil keterangan terhadapnya dengan cara yang salah.
Selain itu katanya, penglibatan tidak sihat Abdul Gani boleh dibuktikan dengan keterangan seorang pegawai polis ketika dia memberi keterangan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat kecederaan semasa dia ditahan.
Menurut Anwar, saksi itu pernah menyatakan bahawa Abdul Gani berada bersama-sama dengan pegawai-pegawai polis yang menunggunya ketika dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Anwar juga menyatakan niat jahat pendakwa raya boleh dibuktikan melalui tindakan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja menarik balik pengakuan bersalah atas tuduhan membenarkan dirinya diliwat setelah mendakwa pengakuan itu diperoleh oleh polis secara paksa.
Anwar juga menyatakan selain itu, seorang pereka fesyen, Mior Abdul Razak Yahya, juga telah dituduh membuat keterangan palsu setelah dia membuat pengakuan terpaksa mengaku membenarkan dirinya diliwat.
Menurut Anwar lagi, bekas penulis ucapannya, Dr. Munawar Ahmad Anees juga mendakwa dipaksa oleh polis membuat pengakuan berhubung perbuatan liwat dengan cara yang salah.
Afidavit tersebut juga menyatakan, Anwar pada mulanya telah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 29 September tahun lalu dengan sembilan pertuduhan, lima di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1970, dan yang lain di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Dia menyatakan atas permohonan Peguam Negara, perbicaraan terhadap tuduhan-tuduhan tersebut telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Jenayah) di sini.
Pada 5 November tahun lalu, empat tuduhan di bawah Ordinan 22 telah dibicarakan dan pada penghujung perbicaraan dia didapati bersalah dan dihukum penjara enam tahun.
Menurutnya, pada penghujung kes tersebut, pihak pendakwa telah meminda pertuduhan-pertuduhan supaya supaya mereka tidak lagi perlu membuktikan bahawa perbuatan liwat telah dilakukannya.
Anwar berkata, pindaan kepada pertuduhan-pertuduhan telah dibenarkan sungguhpun keterangan yang memprejudiskan telah diterima pakai sebagai sebahagian daripada kes pendakwaan.


ARKIB : 20/07/1999

Rodwan jelas kesilapan keterangan


KUALA LUMPUR 19 Julai - Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau melakukan kesilapan ketika memberikan keterangannya sebelum ini berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.
Rodwan menjelaskan bahawa kesilapan itu berkaitan tempat dan waktu Sukma dibawa berjumpa pegawai penyiasat kes itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) 1, Musa Hassan.
Dalam keterangan yang pertama, katanya, beliau memberitahu mahkamah bahawa sehari sebelum pengakuan dibuat, Sukma telah dibawa berjumpa Musa di pejabatnya (Rodwan) pada pukul 3.30 petang pada 16 September, 1998.
Bagaimanapun, hari ini, Rodwan menerangkan bahawa Sukma sebenarnya telah dibawa berjumpa Musa pada pukul 4.20 petang pada hari yang sama di pejabat Musa.
Rodwan menjelaskan lagi, kesilapan itu berlaku kerana pada 16 September 1998, beliau berjumpa Sukma sebanyak dua kali, iaitu pukul 3.30 petang di lokap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan pada pukul 4.20 petang selepas Sukma dibawa ke pejabatnya sebelum beliau membawa tertuduh itu berjumpa Musa.
Beliau berkata demikian ketika memberi jawapannya dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela Sukma Gobind Singh Deo.
Rodwan merupakan saksi pendakwa yang dipanggil semula untuk memberi keterangan pada prosiding bicara dalam perbicaraan bagi menyangkal dakwaan Sukma bahawa dia telah dipaksa, diugut dan dipujuk dengan janji sebelum membuat pengakuannya.
Bicara dalam perbicaraan itu untuk menentukan sama ada Sukma memberikan pengakuannya secara sukarela atau sebaliknya.
Pihak pendakwa ingin mengemukakan dokumen pengakuan Sukma itu sebagai bahan bukti dalam perbicaraan utama Anwar atas tuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.
Anwar dibicarakan bersama-sama Sukma yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengan Anwar dan meliwat Azizan.
Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam, di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45, di unit No. 10-7-2, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.
Perbicaraan utama Anwar dan Sukma masuk hari ke-27 hari ini.
Ketika menjawab soalan lain, Rodwan menerangkan bahawa Sukma sendiri yang meminta untuk berjumpa dengan Musa pada hari tersebut.
Rodwan menafikan apa yang dikatakan oleh Gobind bahawa keterangannya hari ini adalah, 'to serve particular situation' (untuk memenuhi keperluan dalam keadaan tertentu).
Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan satu soalan peguam bela bahawa keterangan sebelum ini mengenai perkara tersebut adalah tidak benar.
Ketika disoal semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail, Rodwan menyatakan bahawa beliau hanya tersilap berhubung masa dan tempat Sukma dibawa berjumpa dengan Musa.
Menurutnya, keterangan yang tidak betul atau kesilapan itu bukan disengajakan.


ARKIB : 28/07/1999

Saksi: Sukma lupa tarikh, tahun kejadian


KUALA LUMPUR 27 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Sukma Darmawan Sasmitaat Madja tidak ingat tarikh dan tahun yang tepat berhubung dakwaan kejadian di mana bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meliwat Azizan Abu Bakar.
Seorang saksi, Hakim Mahkamah Sesyen, Abdul Karim Abdul Jalil berkata, dalam pengakuan Sukma yang dibuat di hadapannya menyebutkan dia (Sukma) tidak ingat dengan tepat tarikh kejadian liwat itu berlaku.
Abdul Karim menyatakan demikian dalam keterangannya semasa disoal semula oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Azahar Mohamad.
Beliau merupakan saksi pendakwa yang kelima pada perbicaraan Anwar yang dituduh meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya dan meliwat Azizan.
Terdahulu, Karpal Singh selaku peguam bela Anwar menyoal balas Abdul Karim pada sidang sesi pagi dalam perbicaraan itu yang bermula pukul 10.02 pagi.
Sebelum itu pada pukul 9.13 pagi, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dan Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail bersama Karpal dan Jagdeep Singh Deo dilihat masuk ke kamar Hakim Datuk Ariffin Jaka.
Selepas keluar dari kamar hakim pukul 9.39 pagi, Karpal dilihat berbincang sebentar dengan Anwar dan Sukma.
Sebaik sahaja mahkamah bersidang Karpal terus menyoal balas: ''Pengakuan yang direkod pada 17 September 1998 ini adakah arahan pihak atasan, bukan arahan Perdana Menteri, arahan siapa?''
Abdul Karim: ''Saya diarah oleh Hakim Kanan Mahkamah Sesyen, Lim Yee Lan.''
Karpal: ''Selepas merekodkan dokumen ini, awak simpan pengakuan ini?''
Abdul Karim: ''Ya, saya simpan pengakuan asal.''
Karpal: ''Adakah dibuat salinan daripada dokumen asal?''
Abdul Karim: ''Ada, pertamanya salinan pada 17 September 1998, saya serahkan kepada Asisten Supritendan Mohd. Rodwan Yusof, lebih kurang pukul 6.15 petang, sebelum Sukma dibawa balik ke tempat tahanan polis.''
Karpal: ''Adakah Rodwan memohon salinan?''
Abdul Karim: ''Ya, beliau memohon salinan dalam bilik saya setelah saya serah Sukma kepada polis.''
Karpal: ''Adakah awak sedar ada perbicaraan yang melibatkan Sukma di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 19 September tahun lalu?''
Abdul Karim: ''Ya.''
Karpal: ''Adakah pada bila-bila masa dibekalkan salinan kepada peguam Mohd. Noor Don yang mewakili Sukma?''
Abdul Karim: ''Seingat saya tidak beri apa-apa.''
Karpal menyoal: ''Apabila pengakuan direkodkan adakah awak setuju bahawa satu pengakuan telah direkodkan?''
Abdul Karim: ''Ya, saya setuju.''
Karpal: ''Sila lihat isi kandungan P4 (pengakuan). Adakah di mana-mana dalam kandungan itu terdapat satu pengakuan oleh Sukma bahawa dia ada terbabit dengan kesalahan liwat 'pada satu malam, di antara Januari dan Mac 1993, di Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar' melakukan liwat ke atas Azizan Abu Bakar?''
Abdul Karim meneliti kandungan pengakuan itu. Bagaimanapun, Karpal terus menyoal: ''Adakah Sukma atau Anwar melakukan liwat pada 'satu malam, di antara Januari dan Mac 1993' ke atas Azizan?''
Setelah meneliti dokumen itu, Abdul Karim berkata: ''Khususnya di antara Januari hingga Mac 1993, tidak ada.''
Karpal: ''Tidak ada langsung? Bolehkah kamu membaca kedua-dua tuduhan. Jangan bimbang.''
Hakim Ariffin mencelah: ''Tidak ada?''
Abdul Karim: ''Setakat yang saya baca tidak ada.''
Karpal: ''Baca tuduhan dengan ringkas, ini adalah pertuduhan Anwar yang dikatakan seperti yang disebutkan tadi dan Sukma, dua pertuduhan. Apa jadi, tohmahan tidak disebutkan dalam pengakuan?''
Hakim Ariffin bertanya Karpal: ''Adakah kamu merujuk mengenai tarikh atau kesalahan?''
Karpal: ''Saya bertanya tarikh kesalahan-kesalahan itu didakwa berlaku, ia tidak ada?''
Abdul Karim: ''Soalan mengenai tuduhan yang dihadapi oleh kedua-dua tertuduh (Anwar dan Sukma) tidak dinyatakan dengan tepat.''
Karpal menyampuk: ''Bukan dengan tepat tapi tidak ada.''
Hakim Ariffin mencelah: ''Tidak ada disebut di dalam pengakuan.
Karpal: ''Yang Arif, dakwaan mengenai kejadian malam itu tidak ada.''
Abdul Karim: ''Tidak ada secara khusus.''
Karpal: ''Bukan cara khusus, langsung tidak ada?''
Abdul Karim cuba menjelaskan: ''Seperti dalam pertuduhan, tarikh-tarikh tidak ada mengenai tarikh dan tempat seperti yang disebut.''
Karpal: ''Langsung tidak ada, setuju?''
Abdul Karim: ''Setuju.''
Karpal: ''Perkara ini penting.''
Hakim Ariffin: Saya mahu kamu tunjukkan apakah soalannya.''
Di peringkat itu, Karpal berhujah: ''Mengikut Seksyen 115 (2) Kanun Prosedur Jenayah, seorang majistret diwajibkan menyimpan satu pengakuan yang telah direkodkan jika majistret itu akan membicarakan kes itu.''
Hakim Ariffin: ''Seksyen 115 (2) adalah serah dokumen kepada majistret lain.''
Karpal menjawab: ''Ini keperluan untuk menyimpan dengan dirinya sendiri.''
Mohtar bangun membantah Karpal yang membangkitkan perkara tersebut.
Hakim Ariffin: ''Saya telah buat keputusan.''
Karpal: ''Tunggu dulu, Yang Arif. Saya akan tiba pada perkara itu kemudian sebagaimana mengikut undang-undang. Beliau (saksi) menyimpannya mengikut undang-undang.''
Abdul Karim menjawab bahawa beliau setuju.
Karpal menyoal lagi: ''Adakah awak setuju bahawa apa yang didapati di dalam kandungan P4 adalah mengenai perkara-perkara yang lain, bagi tahun-tahun yang lain dan bukan 1993?''
Abdul Karim: ''Masalahnya di sini...''
Karpal meninggi suara: 'Bukan masalah.''
Abdul Karim: ''Biar saya jawab... masalahnya tertuduh menyatakan masa, tarikh tidak ingat. Tahun 1993 langsung tidak disebut oleh tertuduh. Setakat ini tahun 1993 tidak didapati dalam pengakuannya.''
Karpal: ''Itu sahaja soalan balas saya.
Selepas itu Gobind Singh Deo selaku peguam bela Sukma memberitahu bahawa beliau tidak ada soalan terhadap saksi itu.
Azahar yang menyoal semula Abdul Karim mengemukakan soalannya: ''Kamu telah beritahu Yang Arif semasa soal balas, kamu diarahkan oleh Hakim Lim Yee Lan. Adakah awak akan merekodkan pengakuan Sukma jika tidak berpuas hati dia memberikan pengakuan secara sukarela?''
Abdul Karim: ''Saya tidak akan rekodkan.''
Azahar: ''Yang Arif, dengan izin, saya ingin saksi ini rujuk pertuduhan-pertuduhan, sila lihat tuduhan terhadap Anwar dan pertuduhan pindaan kedua terhadap Sukma. Adakah kamu bersetuju dengan saya dalam pertuduhan ini, Anwar dan Sukma masing-masing dituduh melakukan liwat terhadap Azizan di satu unit No.10-7-2, Tivoli Villa pada satu malam, lebih kurang 7.45 malam?''
Abdul Karim: ''Ya.''
Azahar: ''Sila lihat P4 pengakuan yang awak rekod, antara muka surat 12 hingga 14. Baca muka 12 mulai perenggan akhir sehingga muka 14 perenggan kedua terakhir.''
Abdul Karim: ''Ya.''
Azahar: ''Adakah bersetuju dengan saya dalam P4 ini, Sukma ada membuat pengakuan bahawa Datuk Seri Anwar telah meliwat Azizan pada satu malam pukul 7.30 atau pun selepas 7.30 malam di apartmen kepunyaan Sukma di Tivoli Villa?''
Abdul Karim: ''Ada disebutkan Yang Arif.''
Azahar: ''Adakah juga bersetuju dengan saya dalam pengakuan ini, Sukma menyatakan dia tidak ingat dengan tepat tarikh kejadian liwat yang berlaku?''
Abdul Karim: ''Ya, Yang Arif.''


ARKIB : 05/08/1999

Azizan nafi diberi rasuah jawatan


KUALA LUMPUR 4 Ogos - Saksi utama pendakwa, Azizan Abu Bakar menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau diberi 'rasuah' jawatan pengarah syarikat dan sejumlah besar wang untuk membuat kenyataan palsu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwatnya.
Azizan memberi sebab mengapa beliau mengambil masa selama lima tahun untuk mendedahkan perkara tersebut kepada umum.
Katanya, perasaan bersalah menguasai dirinya dan wujud kesedaran agar ia tidak berlaku ke atas orang lain.
Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan bertubi-tubi dalam pemeriksaan balas Christopher Fernando selaku peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang dituduh meliwat Azizan.
Anwar dibicarakan bersama-sama adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja, yang menghadapi dua tuduhan bersubahat dengannya meliwat Azizan.
Mereka berdua dituduh melakukan kesalahan itu pada satu malam di antara Januari hingga Mac 1993, pukul 7.45 di unit No. 10-7-2, Jalan Medang Tanduk, Bangsar di sini.
Azizan, 38, merupakan saksi pendakwa keenam memberi keterangan dalam perbicaraan Anwar dan Sukma yang masuk hari ke-37 hari ini.
Ketika meneruskan pemeriksaan balas pada sesi pagi ini, Fernando menyoal: ''Azizan, kamu beritahu mahkamah kamu berjumpa dengan Asisten Supritendan Zull Aznam (bekas juruiring Anwar)?''
Azizan: ''Ya, saya ada berjumpa.''
Fernando: ''Adakah selepas kamu jumpa Anwar pada Jun atau Julai 1998? Kamu beritahu mahkamah bahawa kamu pernah berbincang tentang kemalangan jalan raya yang meragut nyawa isteri kamu. Selepas itu adakah Zull Aznam memandu dan membawa kamu balik ke Rawang?''
Azizan: ''Tidak.''
Fernando: ''Adakah beliau bawa kamu pergi ke mana-mana?''
Azizan: ''Tidak.''
Fernando: ''Adakah kamu berjumpa beliau selepas kamu bertemu Anwar?''
Azizan: ''Tidak ada.''
Fernando: ''Adakah kamu jumpa beliau sebelum menemui Anwar?''
Azizan: ''Ada.''
Fernando: ''Adakah kamu memberitahu beliau bahawa kamu merekakan perkara liwat ini untuk wang?''
Azizan: ''Tidak ada.''
Fernando: ''Saya katakan kamu memberitahu Zull Aznam bahawa kamu merekakan perkara ini kerana kamu dijanjikan wang.''
Azizan: ''Tidak setuju.''
Fernando: ''Adakah Ummi (Hafilda Ali) beritahu kamu bahawa beliau diberi satu kontrak oleh Datuk Seri Megat Junid bernilai berjuta-juta ringgit. Ada atau tidak?''
Azizan: ''Tidak.''
Fernando: ''Adakah kamu tahu bahawa Ummi diberi satu kontrak oleh Megat Junid yang bernilai berjuta-juta ringgit?''
Azizan: ''Tidak.''
Fernando: ''Kamu tidak baca 'paper' atau akhbar mengenai perkara ini, ada atau tidak?''
Azizan: ''Maaf Yang Arif, saya tidak faham.''
Hakim Datuk Ariffin Jaka lalu mencelah: ''Apakah relevan Ummi dan Megat Junid ini?''
Fernando: ''Ia relevan untuk menunjukkan bagaimana wang itu masuk.''
Azizan menjawab: ''Saya tidak ada membacanya.''
Hakim Ariffin mencelah dengan soalan: ''Mengenai Megat Junid beri kontrak berjuta-juta ringgit kepada Ummi?''
Azizan: ''Tidak ada.''
Fernando: ''Saya katakan bahawa Ummi memujuk kamu merekakan perkara liwat ini supaya Anwar akan dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, jawab dengan jujur.''
Azizan: ''Tidak setuju.''
Fernando: ''Dan saya katakan bahawa Ummi berjanji akan membayar sejumlah wang yang besar kepada kamu untuk berbuat demikian.''
Azizan: ''Tak setuju.''
Fernando: ''Dan saya katakan bahawa seleaps berkali-kali dipujuk kamu setuju untuk memasuki satu konspirasi menjatuhkan Anwar.''
Azizan: ''Tidak setuju.''
Fernando: ''Adakah Ummi beritahu kamu bahawa beliau telah berjumpa di antara lain Tun Daim Zainuddin untuk melaksanakan konspirasi ini?''
Azizan: ''Tidak.''
Fernando: ''Beliau (Ummi) tak beritahu kamu beliau jumpa Tun Daim sehingga hari ini?''
Azizan: ''Tak pernah.''
Fernando: ''Adakah Ummi beritahu kamu bahawa antara lain Tun Daim, Megat Junid, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Dr. Ristina Majid, Datuk Aziz Shamsuddin adalah orang yang akan memastikan Anwar dipecat daripada jawatan beliau jikalau kamu sanggup membuat pertuduhan-pertuduhan seperti dalam P5.''
Azizan: ''Saya tak faham.''
Di peringkat ini, Hakim Ariffin menjelaskan kepada Azizan soalan itu mengenai pengakuan bersumpahnya.
Azizan: ''Tidak ada.''
Fernando: ''Ada atau tidak selepas kamu tandatangan P5 kamu beritahu kawan-kawan kamu bahawa Ummi adalah jahat dan memujuk kamu menandatangani P5 itu?''
Azizan: ''Tidak.''
Fernando: ''Adakah kamu pada satu ketika beritahu kawan-kawan kamu selepas P5 ini ditandatangani bahawa kamu bosan dengan Ummi yang selalu kacau kamu?''
Azizan: ''Tidak.''
Saksi itu menyatakan beliau beritahu kawan-kawannya bahawa beliau ingin memulakan penghidupan baru.
Fernando: ''Sebagai pengarah syarikat dan eksekutif jualan dan pentadbiran?''
Azizan: ''Tidak, bukan sebagai pengarah tetapi eksekutif jualan di Syarikat Distine Trading Sdn. Bhd.''
Tambahnya, beliau pernah memberitahu kawannya yang bernama Omar Veran Kutty dan seorang yang bernama Ma'amin.
Fernando: ''Boleh beritahu berapakah rumah dan flat yanh kamu miliki pada masa ini?''
Azizan: ''Sebuah rumah sahaja iaitu di Rawang.''
Fernando: ''Adakah itu atas nama kamu sendiri?''
Azizan: ''Bukan. Ia atas nama arwah isteri saya.''
Fernando: ''Azizan, adakah kamu memiliki rumah dan apartmen yang bukan atas nama kamu?''
Hakim Ariffin bertanya Fernando: ''Adakah soalan adil kepada saksi ini?''
Namun Azizan menjawab: ''Tidak ada, Yang Arif.''
Fernando: ''Sekarang kamu tinggal di Alor Gajah, Melaka?''
Azizan:f ''Ya, benar.''
Fernando: ''Kamu tinggal dengan siapa?''
Azizan: ''Bersama rakan tempat saya kerja di Alor Gajah.''
Fernando: ''Saya katakan kamu adalah lembaga pengarah syarikat Azarik Sdn. Bhd., dan jawatan yang kamu pegang masa ini antara lain termasuk sejumlah wang yang besar sebagai rasuah kepada kamu untuk membuat kenyataan palsu terhadap Anwar, setuju atau tidak?''
Azizan: ''Tidak setuju sama sekali.''
Selepas jawapan itu Fernando memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil beberapa orang saksi.
Hakim Ariffin: ''Saya pasti kamu ada arahan spesifik.''
Fernando mengalihkan soalannya: ''Azizan, kenapa jikalau benar dakwaan liwat terhadap Anwar dan Sukma, kamu menunggu selama lebih kurang lima tahun untuk bawa perkara ini secara terbuka untuk memberitahu dunia?''
Azizan: ''Sebab perasaan bersalah menguasai diri saya dan kesedaran pada diri saya agar perkara yang telah terjadi tidak akan berlaku kepada orang lain.''
Fernando: ''Soalan saya, kenapa kamu tunggu lima tahun bukan lima hari atau lima bulan.''
Pada peringkat ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah yang mengetuai pendakwaan membantah soalan peguam bela itu dengan alasan bahawa Fernando tidak boleh dapat jawapan seperti yang diinginkan.
Hakim Ariffin bersetuju dengan Peguam Negara lalu berkata: ''Dia (Azizan) telah jawab bahawa perasaannya telah sedar dan berfikir tidak mahu perkara ini terjadi, dia telah jawab.''
Fernando: ''Saya mohon izin mahkamah untuk bertanya kenapa mengambil masa lima tahun.''
Hakim Ariffin lalu bertanya Azizan: ''Kenapa lima tahun, ada sebab?''
Azizan: ''Perasaan saya tertekan.''
Fernando yang nampak tidak berpuas hati dengan jawapan Azizan terus menyoal: ''Jikalau benar, kamu tidak tunggu selama lima tahun.'
Hakim Ariffin: ''Dia sudah pun menjawab.''
Fernando mengubah soalan: ''Adakah keputusan kamu untuk menuduh selepas kamu berjumpa Ummi Haflida?''
Azizan: ''Tidak.''
Fernando: ''Tidak! Kamu faham soalan saya. Bukankah selepas kamu jumpa Ummi, kamu setuju untuk buat dakwaan-dakwaan ini terhadap Anwar. Saya menghargai sekiranya mahkamah membenarkan dia menjawab soalan ini.''
Azizan: ''Tidak.''
Fernando: ''Berapa lamakah kamu merancang dengan Ummi sebelum kamu bersetuju untuk menandatangani P5 ini?''
Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Abdul Gani Patail pula bangun membantah soalan itu.
Menurut Gani, faktanya tidak boleh dinafikan.
Hakim Ariffin berkata, Gani boleh menyoal semula Azizan mengenai perkara itu selepas pemeriksaan balas.
Fernando meneruskan soalan: ''Berapa lama kamu merancang?''
Azizan: ''Saya tidak merancang.''
Di peringkat ini, Fernando mengingatkan Gani supaya tidak memimpin saksi itu menjawab soalannya macam 'burung kakak tua'.
Hakim Ariffin mencelah dengan soalan: ''Berapa lama?''
Azizan: ''Saya tidak ada merancang.''
Fernando: ''Baiklah, berapa lama selepas kamu menemui Ummi kamu mengambil masa untuk menandatangani P5?''
Azizan: ''Lebih kurang tiga minggu.
Fernando: ''Pada pendapat kamu mana yang lebih serius: Meletak jawatan sebagai pemandu atau membuat suatu dakwaan seserius ini. Jikalau kamu takut kepada Anwar, mengapa buat dakwaan ini terhadap pemimpin politik.?''
Azizan menyatakan bahawa membuat dakwaan terhadap Anwar adalah lebih serius.
Fernando: ''Semalam kamu sendiri memberitahu mahkamah bahawa Ummi beritahu kamu beliau kenal ramai orang kenamaan untuk meyakinkan kamu supaya menandatangani P5, betul atau tidak.''
Hakim Ariffin mencelah: ''Kenapa kamu ulang-ulang soalan?''
Fernando: ''Saya ada sebab. Tolong bersabar dengan saya. Benar atau tidak?''
Azizan: ''Saya sudah jawab soalan.''
Mohtar membantah: ''Yang Arif, saya tidak mahu memprotes tetapi beliau (Fernando) tidak boleh 'berpusing-pusing' untuk mendapatkan jawapan daripada saksi.''
Hakim Ariffin: ''Beliau sudah jawab semalam. Kamu boleh baca jawapannya.''
Fernando: ''Saya ada sebab untuk menyoal perkara ini, saya minta tolong bersabar.''
Hakim Ariffin: ''Tunjukkan soalan kamu semalam.''
Tetapi Fernando terus menyoal: ''Jawab soalan, setuju atau tidak?'' Para hadirin di galeri awam tergelak kuat apabila melihat Azizan membisu dan terpinga-pinga sahaja.
Hakim Ariffin memandang ke arah Azizan sambil berkata: ''Mengapa tengok saya macam mimpi, kamu lapar.''
Fernando segera menyampuk: ''Jawab soalan hakim, adakah kamu letih dan lapar, nak minta berhenti beritahu mahkamah.''
Azizan: ''Ya, saya rasa letih.''
Fernando: ''Lapar atau tidak?''
Hakim Ariffin: ''Adakah kamu hendak tidur?''
Azizan: ''Saya letih dan lapar.''
Hakim Ariffin: ''Kita tangguh sekarang, kamu (Azizan) pergi makan dan tidur, datang pada sebelah petang.''
Sidang sesi pagi berhenti pukul 12.10 tengah hari.

Laporan: KAMARIAH AHMAD dan NORLIZAH ABAS

ARKIB : 27/10/1999

Mahkamah keluar sapina baru terhadap PM


KUALA LUMPUR 27 Okt - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengeluarkan sapina baru terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk hadir pada perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sapina baru itu mengkehendaki Dr Mahathir hadir di mahkamah pada 1 Nov ini bagi membolehkan pihak pembelaan menemusoal beliau sebelum memutuskan sama ada Perdana Menteri akan dipanggil sebagai saksi bagi kes pembelaan.
Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili adik angkat bekas Timbalan Perdana Menteri, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang dituduh bersama-sama Anwar, memberitahu wartawan di luar mahkamah bahawa sapina baru itu dikeluarkan bagi menggantikan sapina yang dikeluarkan sebelum ini.
''Kami berharap Perdana Menteri akan menerima sapina itu dan hadir di mahkamah seperti yang dikehendaki,'' kata Gobind lagi.
Sebelum ini, Dr Mahathir berkata beliau sanggup ke mahkamah untuk memberi keterangan pada perbicaraan Anwar jika diberikan senarai soalan-soalan berhubung kes liwat bekas timbalannya itu.
Gobind berkata, ''soal menghantar senarai soalan tidak timbul dan kita jangka yang sapina itu akan sampai kepadanya dalam beberapa hari lagi.''
Pada 18 Okt, mahkamah mengeluarkan sapina terhadap Dr Mahathir tanpa menetapkan tarikh dan pada 21 Okt lepas, Hakim Datuk Arifin Jaka memerintahkan Perdana Menteri untuk hadir di mahkamah esok.
Sapina itu dikeluarkan atas permohonan Sukma.
Anwar, 52, dan Sukma, 38, didakwa meliwat Azizan Abu Bakar, 39, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini, pada satu malam, antara Januari dan Mac 1993.
Sukma, seorang ahli perniagaan, juga dituduh bersubahat dengan bekas Menteri Kewangan itu untuk meliwat Azizan, bekas pemandu peribadi isteri Anwar di tempat dan masa yang sama.
Anwar dipecat daripada Kabinet pada 2 Sept 1998 kerana sebab-sebab moral


ARKIB : 12/05/2001

Pendakwa gugur lima pertuduhan terhadap Anwar


KUALA LUMPUR 12 Mei - Pihak pendakwaan hari ini menggugurkan lima pertuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang membabitkan empat kes liwat dan satu kes rasuah di Mahkamah Tinggi.
Pengguguran itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azahar Abdul Hamid ketika mahkamah bersidang di bilik mesyuarat pentadbiran Penjara Sungai Buloh di sini hari ini.
Bagaimanapun, Azahar tidak menyatakan apa-apa alasan atau sebab pengguguran pertuduhan terhadap Anwar.
Hakim Datuk S. Augustine Paul yang mendengar kes itu memerintahkan supaya Anwar, 53, dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan terbabit.
Anwar hadir pada prosiding itu yang mengambil masa beberapa minit.
Anwar kini menjalani hukuman penjara enam tahun atas empat kesalahan rasuah kerana campur tangan dalam penyiasatan polis mengenai dakwaan salah laku seksual terhadapnya, yang membawa kepada pemecatannya daripada kabinet pada 2 September, 1998.
Beliau juga didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos tahun lalu kerana meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Hakim Datuk Arifin Jaka yang mendengar kes itu memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas tamat tempoh hukuman penjara enam tahunnya sekarang.
Dua daripada tuduhan liwat terhadap Anwar yang digugurkan hari ini membabitkan Anwar; adik angkatnya kelahiran Indonesia, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja; dan bekas penulis ucapannya warga Pakistan, Dr Munawar Aness - kedua-duanya telah dijatuhi hukuman penjara masing-masing enam bulan pada 19 September, 1998 selepas mengaku bersalah membenarkan Anwar meliwat mereka.
Dua lagi tuduhan liwat melibatkan seorang bernama Hairany Mohamed Naffis dan pereka fesyen, Mior Abdul Razak Yahya.
Tuduhan rasuah yang digugurkan hari ini mendakwa Anwar menggunakan kedudukannya untuk menghalang Badan Pencegah Rasuah (BPR) daripada meneruskan penyiasatan melibatkan bekas setiausaha sulitnya, Mohamed Azmin Ali.
Sementara itu, isteri Anwar yang juga presiden Parti Keadilan Nasional, Wan Azizah memberitahu media bahawa beliau bersyukur dengan keputusan hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak berpuas hati terhadap kelewatan Hakim Arifin menyampaikan alasan penghakimannya dalam kes liwat Anwar yang telah disabitkan sembilan bulan lalu. - Bernama


ARKIB : 10/07/2002

Rayuan terakhir Anwar ditolak


KUALA LUMPUR 10 Julai - Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan pensabitan dan hukuman penjara enam tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim atas empat tuduhan rasuah, tiga tahun lalu.
Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah yang mengumumkan keputusan tersebut berkata, mahkamah dengan sebulat suara menolak rayuan Anwar terhadap pensabitan dan hukuman penjara itu.
Mohamed Dzaiddin yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Haidar Mohamed Noor pada 2 April lalu menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah pihak pembela dan pendakwa selama enam hari.
Bagaimanapun, Mohamed Dzaiddin memberitahu bilik mahkamah yang penuh sesak itu yang beliau tidak bercadang untuk membacakan alasan penghakiman itu kerana ia setebal 60 muka surat.
Dalam menolak rayuan Anwar itu terhadap pensabitan, Mohamed Dzaiddin berkata, panel hakim itu telah memeriksa rekod prosiding dan alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi "secermat yang boleh" dan alasan penghakiman Mahkamah Rayuan dalam mengesahkan keputusan hakim yang arif itu.
"Kami gembira yang kesilapan-kesilapan yang diadukan itu bukan kerana salah laksana keadilan dan oleh itu kami perlu mengesahkan pensabitan tersebut," katanya.
Dalam menolak rayuan itu terhadap hukuman yang dikenakan, Mohamed Dzaiddin berkata, selepas mempertimbangkan alasan yang diberikan oleh Hakim Datuk S. Augustine Paul, mahkamah berpuas hati yang hukuman penjara enam tahun bermula dari tarikh pensabitan bukan kerana kesilapan prinsip atau undang-undang.
"Oleh itu, kita tidak melihat apa-apa alasan untuk campur tangan dalam hak budi bicara beliau. Pada masa yang sama, kami menolak rayuan terhadap hukuman itu," kata beliau lagi.
Selepas mendengar keputusan mahkamah itu, Anwar bingkas bangkit dan membacakan satu kenyataan satu setengah muka surat mengecam badan kehakiman dan mendakwa dirinya sebagai "mangsa konspirasi politik".
Mohamed Dzaiddin beberapa kali memberitahu Anwar supaya berhenti membaca kenyataan itu, tetapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak menghiraukannya. Ketua hakim itu kemudian duduk balik di kerusinya sehingga Anwar habis membaca kenyataan itu.
Semasa panel tiga hakim itu berjalan keluar, anggota keluarga Anwar dan penyokong-penyokongnya melaung sebutan "Allahu Akbar" dan ada antara mereka yang tidak mahu berdiri untuk memberi penghormatan kepada hakim-hakim berkenaan.
Anwar yang nampak resah dan kecewa dengan keputusan mahkamah tersebut dikerumuni oleh pemberita dan selepas itu kedengaran laungan reformasi oleh anggota keluarga dan penyokong-penyokongnya di bilik mahkamah.
Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini yang berlaku kerana polis berjaya mengawal keadaan sebelum mengarahkan mereka dalam bilik mahkamah untuk bersurai.
Mahkamah Rayuan pada, 29 April, 2000, mengesahkan pensabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi pada 14 April, 1999, ke atas Anwar kerana masuk campur dalam siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seks terhadap beliau.
Anwar dituduh mengarahkan bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohamed Said Awang dan timbalannya, Datuk Amir Junus untuk memaksa Ummi Hafilda Ali dan Azizan Abu Bakar menarik balik dakwaan liwat dan zina terhadap beliau.
Anwar didapati bersalah kerana melakukan kesalahan-kesalahan itu antara 12 Ogos dan 27 Ogos, 1997, dan dipenjarakan enam tahun atas setiap satu daripada empat tuduhan amalan rasuah.
Mahkamah Tinggi telah memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak bermula pada tarikh hukuman.
Anwar diwakili oleh satu pasukan peguam yang diketuai oleh Raja Aziz Addruse sementara Peguam Negara, Datuk Abdul Gani Patail mengetuai pasukan pendakwaan.
Anwar telah dipecat pada 2 September 1998 dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 20 September tahun yang sama kerana mengetuai demonstrasi antikerajaan di sini, sebelum dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan amalan rasuah.
Beliau juga menjalani satu lagi hukuman penjara selama sembilan tahun kerana tuduhan meliwat. Hukuman itu dikenakan oleh Mahkamah Tinggi pada dua tahun lalu dan masih menunggu keputusan rayuan.
Keadaan di luar bangunan Sultan Abdul Samad yang menempatkan Mahkamah Persekutuan, menyaksikan bilangan penyokong yang lebih kecil berbanding bilangan yang datang semasa perbicaraan beliau dua tahun lalu.
Seramai 300 penyokong beliau mula berkumpul di hadapan bangunan itu dari jam 7.30 pagi, lebih kurang sejam sebelum Anwar dibawa ke mahkamah dalam kenderaan pacuan empat roda polis pada lebih kurang 8.45 pagi.
Selepas keputusan mahkamah itu diumumkan, anak sulung Anwar, Nurul Ezzah muncul di luar bangunan untuk memberikan ucapan ringkas dan membaca satu kenyataan oleh Anwar.
Ini disusuli oleh satu lagi ucapan oleh Naib Presiden Keadilan, Mohamed Azmin Ali.
Beliau memberitahu pemberita yang Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak berada di mahkamah kerana berada di luar negara.
Antara yang turut hadir di Mahkamah Persekutuan itu ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.
Penyokong-penyokong itu bersurai tanpa sebarang kejadian tidak diingini, pada lebih kurang 12.15 tengah hari. - Bernama


ARKIB : 02/09/2004

Kerajaan tidak campur tangan keputusan sabitan kes liwat Anwar


PUTRAJAYA 1 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara mahkamah soal rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap sabitan kes liwat itu yang dijangka diumumkan esok.
``Esok ada kes mahkamah dan kes beliau (Anwar) akan didengar, dan keputusan akan dibuat... Kita tidak campur tangan dalam keputusan badan kehakiman. Tentulah (kerajaan menyerahkan kepada mahkamah).
``Tidak ada apa yang kita bimbangkan. Tidak ada apa-apa,'' kata Abdullah pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Panel Penasihat Antarabangsa Koridor Raya Multimedia (MSC-IAP), di Pusat Konvensyen Putrajaya, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai jangkaannya terhadap keputusan rayuan bekas Timbalan Perdana Menteri itu terhadap sabitan kes liwat.
Mahkamah Rayuan di sini dijangka mengumumkan kes rayuan Anwar itu esok.
Anwar dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun mulai 9 Ogos 2000 atas kesalahan meliwat bekas pemandunya, Azizan Abu Bakar.
Ia bagaimanapun berkuat kuasa selepas beliau menjalani hukuman penjara enam tahun kerana kesalahan rasuah sejak beliau ditangkap pada 1998.
Keputusan mahkamah esok, jika memihak kepadanya, akan membolehkan Anwar dibebaskan.


ARKIB : 02/09/2004

Anwar bebas apabila mahkamah ketepikan sabitan liwat


Putrajaya 2 Sept _ Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan hari ini selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara apabila Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya terhadap sabitan bagi kesalahan liwat.
Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Hamid Mohamad, Datin Paduka Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud menerusi keputusan majoriti 2-1 untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara sembilan tahun yang dikenakan terhadap Anwar pada 2 Ogos, 2000.
Anwar, 57, pada 14 April, 1999 telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.
Anwar dibebaskan dari penjara hari ini iaitu genap enam tahun beliau dipecat daripada Kabinet.
Mahkamah turut mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun terhadap adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.
Mereka didapati bersalah meliwat pemandu keluarga Anwar, Azizan Abu Bakar, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar di sini antara Januari dan Mac 1993.
Anwar mengucapkan terima kasih kepada para hakim yang telah mengetepikan sabitan dan hukumannnya sambil berkata: "Semoga Allah Merahmati Anda."
Di luar mahkamah, beliau berkata kepada pemberita: "Syukur kepada Allah kerana semuanya sudah berakhir. Tetapi saya kekal komited dengan perjuangan saya bagi keadilan.
"Saya juga ingin menyuarakan penghargaan saya kepada perdana menteri."
Anwar tiba di mahkamah dengan berkerusi roda dan memakai "neck support" dari Hospital Kuala Lumpur, tempat beliau menjalani rawatan perubatan, diiringi beberapa buah kereta peronda polis serta motosikal pengiring.
Kenderaan itu seterusnya dilihat memasuki kawasan tempat letak kereta bawah tanah di bahagian belakang mahkamah.
Bagaimanapun wartawan dan jurugambar yang berada di situ tidak dapat masuk ke kawasan itu kerana ia kemudiannya dikunci.
Kira-kira 400 penyokong Anwar kelihatan berada di luar mahkamah, termasuk daripada Parti Keadilan dan PAS. Mereka mula memenuhi ruang kawasan mahkamah seawal 7 pagi.
Antara yang kelihatan berada di kawasan tersebut ialah Naib Presiden Keadilan Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung PAS Nasaruddin Mat Isa dan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.
Hakim Abdul Hamid dalam penghakiman setebal 88 muka surat berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tanpa keraguan munasabah kes terhadap Anwar dan Sukma, seperti yang dikehendaki oleh undang-undang berkaitan, mengenai keterangan yang boleh diterima dan sejajar dengan prinsip undang-undang yang sudah termaktub.
Beliau berkata walaupun jika mahkamah mendapati ada keterangan bagi mengesahkan Anwar dan Sukma terlibat dalam kegiatan homoseksual dan terdorong untuk mempercayai bahawa perbuatan yang didakwa itu memang berlaku, tetapi mahkamah hanya boleh mensabitkan mereka sekiranya pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa sebarang keraguan mengenai kesalahan itu.
Hakim Abdul Hamid berkata isu yang perlu ditentukan oleh mahkamah di akhir kes pendakwaan ialah sama ada mereka telah membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa Anwar dan Sukma telah meliwat Azizan di Tivoli Villa pada satu malam antara Januari dan Mac 1993, dan bagi Sukma pula, sama ada dia bersubahat dengan Anwar melakukan kesalahan itu.
Mahkamah menetapkan bahawa hakim yang mengendalikan perbicaraan seharusnya tidak menerima sesuatu pengakuan jika terdapat sebarang kesangsian semasa pengakuan itu dibuat atau dirakamkan.
Semasa menggulung keterangan, Hakim Abdul Hamid berkata bahawa nampaknya pelbagai perkara luar biasa berlaku berhubung tangkapan Sukma dan pengakuannya, sebelum dan selepas pengakuan itu dibuat.
Pengakuan itu dibuat 10 hari selepas soal siasat intensif dilakukan dan 12 hari selepas penahanannya (sehingga tarikh dia membuat kenyataan itu kepada seorang majistret), sedangkan pada asalnya dia ditangkap sebagai seorang saksi dan disoal siasat sebagai seorang pesalah dan akhirnya menjadi orang tertuduh.
Hakikatnya ialah dia dihadapkan ke mahkamah dua hari selepas itu kerana membenarkan Anwar meliwatnya, dan catatan mengenainya dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraannya.
* Mahkamah juga mendapati bahawa Azizan adalah seorang yang bersubahat. Oleh itu, keterangan sokongan mengenai perwatakan yang menyakinkan dan tidak dapat ditolak, adalah diperlukan.
Berdasarkan keterangan Azizan sendiri, dia diliwat 10 hingga 15 kali di pelbagai tempat termasuk di rumah Anwar dalam tempoh beberapa tahun. Dia tidak pernah membuat sebarang laporan, tidak pernah mengadu mengenainya dan tidak segera meletak jawatan daripada pekerjaannya selepas dia diliwat buat pertama kalinya.
Walaupun keterangan Dr Mohamed Fadzil Man yang memeriksa Sukma pada 10 Nov 1994 dan bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar dan perilaku Anwar mengesahkan penglibatan Anwar dan Sukma dalam kegiatan homoseksual, keterangan seperti itu tidak menyokong cerita Azizan bahawa dia diliwat di tempat dan pada masa dan tarikh seperti yang disebut dalam tuduhan.
Tanpa keterangan sokongan, adalah tidak wajar untuk menghukum mereka semata-mata berdasarkan keterangan seorang yang bersubahat melainkan jika keterangannya begitu meyakinkan atau sebab lain yang boleh diberi pertimbangan khas tetapi ini tidak ditemui oleh mahkamah.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Hamid berkata undang-undang yang berkaitan itu memerlukan pihak pendakwaan membuktikan kesnya tanpa sebarang keraguan munasabah sebelum memanggil tertuduh membela diri.
Beliau berkata mahkamah mendapati bahawa Mahkamah Tinggi telah terkilaf dengan memanggil kedua-dua tertuduh membela diri, dan sepatutnya, mereka dibebaskan di akhir kes pendakwaan.
Berikut adalah antara sebab-sebab yang diberikan oleh Hakim Abdul Hamid:
* Bahagian penting kesalahan itu tidak dibuktikan oleh pihak pendakwaan, kerana Azizan, satu-satunya sumber mengenai tarikh kesalahan itu, menunjukkan dia tidak konsisten dan bercanggah semasa memberikan keterangan mengenai isu itu, dan dengan itu menjadikan beliau seorang saksi yang tidak boleh dipercayai.
Keterangan Azizan mengenai tarikh kejadian itu disangsikan kerana dia memberikan tiga tarikh berbeza melibatkan tiga tahun berlainan -- dua yang pertama masing-masingnya merangkumi tempoh satu(bulan dan yang satu lagi meliputi tempoh tiga bulan.
Dalam tuduhan bertarikh 5 Okt 1998 terhadap Anwar berkaitan Tivoli Villa, tarikh kesalahan dilakukan yang diberikan oleh Azizan adalah Mei 1994.
Apabila Sukma didakwa pada 23 April 1999, tarikh kesalahan yang dinyatakan ialah Mei 1992 dan tuduhan terhadap Anwar dipinda dari Mei 1994 kepada Mei 1992.
Pada 7 Jun 1999, tuduhan-tuduhan itu sekali lagi dipinda dari Mei 1992 kepada "antara Januari dan Mac 1993".
* Pengakuan Sukma tidak boleh diterima kerana ia seolah-olah tidak dibuat secara sukarela. Jika diterima sekalipun, ia tidak akan menyokong tarikh kesalahan itu didakwa dilakukan.
Hakim Rahmah pula dalam penghakiman berbezanya, berkata walaupun terdapat percanggahan dalam keterangan Azizan berhubung tarikh kesalahan itu dilakukan, itu tidak sewenang-wenangnya menjadikan Azizan seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dan keseluruhan keterangan mengenai ceritanya tidak dapat diterima.
Percanggahan itu tidak memudaratkan kes pendakwaan memandangkan dalam kesalahan seksual, tarikh bukannya intipati penting dalam pertuduhan.
Mengenai isu sama ada Sukma membuat pengakuan secara sukarela, hakim itu mendapati tidak ada sebab yang kuat untuk menolak keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dan juga Mahkamah Rayuan.
Beliau bersetuju bahawa butiran dalam pengakuan itu mestilah diberikan secara sukarela dan juga bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Azizan bukan seorang yang bersubahat.
Tidak ada apa-apa yang menunjukkan Azizan "akur sepenuhnya dengan niat jahat seorang yang lain untuk satu tempoh tertentu, sehinggalah dia mulai bimbang atau kerana sebab lain, menentang bekas rakannya dan memberikan maklumat mengenainya."
Hakim Rahmah berkata beliau berpendapat Azizan bukannya seorang yang bersubahat tetapi seorang mangsa rogol dan malu serta takut membuat laporan terhadap kedua-duanya.
Oleh itu, katanya, memandangkan Azizan bukan seorang yang bersubahat, keterangan sokongan tidak diperlukan bagi mahkamah membuat keputusan bahawa Azizan boleh dipercayai.


ARKIB : 03/09/2004

Pendakwa gagal bukti kes liwat Anwar, Sukma


PUTRAJAYA 2 Sept. - Pihak pendakwaan didapati telah gagal membuktikan tanpa keraguan yang munasabah kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dalam pertuduhan meliwat Azizan Abu Bakar.
Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamad dalam penghakiman majoriti 2-1, setebal 88 muka surat berkata, kegagalan pendakwa itu meliputi apa yang dikehendaki oleh undang-undang berkaitan keterangan yang boleh diterima dan sejajar dengan prinsip undang-undang yang sudah termaktub.
Hakim Abdul Hamid bersama Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud memutuskan membenarkan rayuan Anwar dan Sukma manakala Hakim Mahkamah Persekutuan, Datin Paduka Rahmah Hussain membuat keputusan menentang rayuan itu.
Hakim Abdul Hamid berkata, walaupun jika mahkamah mendapati ada keterangan bagi mengesahkan Anwar dan Sukma terlibat dalam kegiatan homoseksual dan terdorong untuk mempercayai bahawa perbuatan yang didakwa itu memang berlaku, tetapi mahkamah hanya boleh mensabitkan mereka sekiranya pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa sebarang keraguan mengenai kesalahan itu.
Hakim Abdul Hamid berkata, isu yang perlu ditentukan oleh mahkamah di akhir kes pendakwaan ialah sama ada mereka telah membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa Anwar dan Sukma telah meliwat Azizan di Tivoli Villa pada satu malam antara Januari dan Mac 1993, dan bagi Sukma pula, sama ada dia bersubahat dengan Anwar melakukan kesalahan itu.
Mahkamah menetapkan bahawa hakim yang mengendalikan perbicaraan seharusnya tidak menerima sesuatu pengakuan jika terdapat sebarang kesangsian semasa pengakuan itu dibuat atau dirakamkan.
Semasa menggulung keterangan, Hakim Abdul Hamid berkata bahawa nampaknya pelbagai perkara luar biasa berlaku berhubung tangkapan Sukma dan pengakuannya, sebelum dan selepas pengakuan itu dibuat.
Pengakuan itu dibuat 10 hari selepas soal siasat intensif dilakukan dan 12 hari selepas penahanannya (sehingga tarikh dia membuat kenyataan itu kepada seorang majistret), sedangkan pada asalnya dia ditangkap sebagai seorang saksi dan disoal siasat sebagai seorang pesalah dan akhirnya menjadi orang tertuduh.
Hakikatnya ialah dia dihadapkan ke mahkamah dua hari selepas itu kerana membenarkan Anwar meliwatnya, dan catatan mengenainya dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraannya.
Mahkamah juga mendapati bahawa Azizan adalah seorang yang bersubahat. Oleh itu, keterangan sokongan mengenai perwatakan yang menyakinkan dan tidak dapat ditolak, adalah diperlukan.
Berdasarkan keterangan Azizan sendiri, dia diliwat 10 hingga 15 kali di pelbagai tempat termasuk di rumah Anwar dalam tempoh beberapa tahun. Dia tidak pernah membuat sebarang laporan, tidak pernah mengadu mengenainya dan tidak segera meletak jawatan daripada pekerjaannya selepas dia diliwat buat pertama kalinya.
Walaupun keterangan Dr. Mohd. Fadzil Man yang memeriksa Sukma pada 10 November 1994 dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar dan perilaku Anwar mengesahkan penglibatan Anwar dan Sukma dalam kegiatan homoseksual, keterangan seperti itu tidak menyokong cerita Azizan bahawa dia diliwat di tempat dan pada masa dan tarikh seperti yang disebut dalam tuduhan.
Tanpa keterangan sokongan, adalah tidak wajar untuk menghukum mereka semata-mata berdasarkan keterangan seorang yang bersubahat melainkan jika keterangannya begitu menyakinkan atau sebab lain yang boleh diberi pertimbangan khas tetapi ini tidak ditemui oleh mahkamah.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Hamid berkata undang-undang yang berkaitan itu memerlukan pihak pendakwaan membuktikan kesnya tanpa sebarang keraguan munasabah sebelum memanggil tertuduh membela diri.
Beliau berkata mahkamah mendapati bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dengan memanggil kedua-dua tertuduh membela diri, dan sepatutnya, mereka dibebaskan di akhir kes pendakwaan.
Berikut adalah antara sebab-sebab yang diberikan oleh Hakim Abdul Hamid:
Bahagian penting kesalahan itu tidak dibuktikan oleh pihak pendakwaan, kerana Azizan, satu-satunya sumber mengenai tarikh kesalahan itu, menunjukkan dia tidak konsisten dan bercanggah semasa memberikan keterangan mengenai isu itu, dan dengan itu menjadikan beliau seorang saksi yang tidak boleh dipercayai.
Keterangan Azizan mengenai tarikh kejadian itu disangsikan kerana dia memberikan tiga tarikh berbeza melibatkan tiga tahun berlainan - dua yang pertama masing-masing merangkumi tempoh satu bulan dan yang satu lagi meliputi tempoh tiga bulan.
Dalam tuduhan bertarikh 5 Oktober 1998 terhadap Anwar berkaitan Tivoli Villa, tarikh kesalahan dilakukan yang diberikan oleh Azizan adalah Mei 1994.
Apabila Sukma didakwa pada 23 April 1999, tarikh kesalahan yang dinyatakan ialah Mei 1992 dan tuduhan terhadap Anwar dipinda dari Mei 1994 kepada Mei 1992.
Pada 7 Jun 1999, tuduhan-tuduhan itu sekali lagi dipinda dari Mei 1992 kepada `antara Januari dan Mac 1993'.
Pengakuan Sukma tidak boleh diterima kerana ia seolah-olah tidak dibuat secara sukarela. Jika diterima sekalipun, ia tidak akan menyokong tarikh kesalahan itu didakwa dilakukan.
Hakim Rahmah pula dalam penghakimannya, berkata walaupun terdapat percanggahan dalam keterangan Azizan berhubung tarikh kesalahan itu dilakukan, itu tidak sewenang-wenangnya menjadikan Azizan seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dan keseluruhan keterangan mengenai ceritanya tidak dapat diterima.
Percanggahan itu tidak memudaratkan kes pendakwaan memandangkan dalam kesalahan seksual, tarikh bukannya intipati penting dalam pertuduhan.
Mengenai isu sama ada Sukma membuat pengakuan secara sukarela, hakim itu mendapati tidak ada sebab yang kuat untuk menolak keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dan juga Mahkamah Rayuan.
Beliau bersetuju bahawa butiran dalam pengakuan itu mestilah diberikan secara sukarela dan juga bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Azizan bukan seorang yang bersubahat.
Tidak ada apa-apa yang menunjukkan Azizan `akur sepenuhnya dengan niat jahat seorang yang lain untuk satu tempoh tertentu, sehinggalah dia mulai bimbang atau kerana sebab lain, menentang bekas rakannya dan memberikan maklumat mengenainya'.
Hakim Rahmah berkata beliau berpendapat Azizan bukannya seorang yang bersubahat tetapi seorang mangsa rogol dan malu serta takut membuat laporan terhadap kedua-duanya.
Oleh itu katanya, memandangkan Azizan bukan seorang yang bersubahat, keterangan sokongan tidak diperlukan bagi mahkamah membuat keputusan bahawa Azizan boleh dipercayai.

No comments: